Wednesday, August 6, 2008

Di Persimpangan itu

Lelaki itu adalah seorang pelaut
yang singgah di setiap pelabuhan
dan dengan penuh kejujuran
menjadi lelaki sejati
sehinggalah dia ditemui
dan dalam gugup suaranya menyata citra
kerinduan kepada tanah bondanya
dan seperti orang banyak
dia sudah jemu dengan pelayaran

Sesungguhnya dia tak berbohong
dan kejujuran itu tak meragukan aku kepadanya
lalu aku jatuh cinta dengan ketidak-puraannya

Lelaki ini pula seorang penanti
atau benarkah begitu?
kerana aku tidak pernah melihat kesetiaan sinonim dengan mereka
lalu ku fikir dia suatu eksotika
sehingglah aku menyelak lembaran sejarah
yang mengungkap rahsia sejuta
yang akhirnya menjawap
segala teka segala luka dan airmata yang sekian banyak tertumpah
itu tak lebih dari permainan cintanya dalam penantian menunggu kesediaan
dan dalam kebingungan itu
rupanya aku telah terlebih dahulu membalas dendam
dengan ketidak-setiaan yang tak pernah dirancang
dan dia amat tersiksa jadinya
ah....kehidupan!!

Di persimpangan itu
diakah seorang Sita yang terkesima
oleh hangat cinta seorang Rama
yang cuba memenggal kepala seorang Ravana tua
yang kehilangan gelanggang permainan
kerana cahaya tidak lagi menyoroti tingkahnya
dan tirai telah lama dilabuhkan
dan itulah hadiah perkahwinan yang mahu dipersembahkan

Atau di persimpangan itu
diakah Tun Kudu
yang dalam sendu keliru
bakal menyatu kota yang terbelah dua
dengan bahang apinya yang terus menyala
dan diakah juga
bakal menutup buku perseteruan
walau dengan begitu payah dan pedih luka
menghulur tangan lembut seorang perempuan
kepada lelaki-lelaki itu
yang selama ini menikamnya
dari setiap sudut
tapi yang anehnya
dia tidak juga mati
lalu mereka menamakannya puteri seorang wali

Di persimpangan itu
ia memejamkan mata
dan menyerah kepadaNya
menabur takdir
Allahuakbar!

5/6/2007

0 comments: