Saya amat gembira dengan terlancarnya program berita di RTM iaitu Berita Serumpun setiap minggu dengan kerjasama Radio Teleyisen Republik Indonesia. Bermula dengan program kerjasma antara Malaysia dan Indonesia sejak sekian lama, program berita ini merupakan contoh kerjasama terbaru untuk memperkukuh hubungan bi-lateral dengan jiran terdekat yang mempunyai lebih banyak persamaan dari perbezaan. Cuma rancangan setengah jam setiap minggu ini agak pendek dan mungkin perlu dikerapkan atau diperpanjang waktu siarannya. Tahniah kepada RTM yang cukup sensitif kepada keperluan semasa dan serantau.
Cuma saya agak terkilan kerana hingga kini program Deklamasi Angkasapuri yang amat saya senangi dan ikuti sejak dimulakan tidak ada dengar beritanya dan ramai penulis kawan-kawan saya juga turut merasakan begitu. Itu suatu program yang amat baik dan dapat memupuk kreativiti dan memartabat kesenian tinggi (high art) yang tidak sedikit pentingnya kepada pemupukan nilai-nilai pemikiran yang baik dan tidak bersifat budaya populer semata-mata. Puisi walau pun adakalanya bersifat sangat peribadi, tetapi proses penulisannya mencerna bukan saja pengalaman emosi tetapi juga sikap kejujuran, ketulusan dan daya intelek yang tinggi dan dalam maknanya.
Dan dalam program Deklamasi Angkasapuri juga sering dimuatkan persembahan lagu-lagu puisi yang sangat menghiburkan, dengan kelunakan suara dan ciptaan muzik yang menyentuh kalbu dan cukup provokatif sifatnya kadang-kadang dan menjangkau bukan saja tahap emosi manusia tetapi juga daya intelektual dan spiritual yang tinggi. Walau pun ASWARA dan berbagai persatuan penulis tempatan masih mengadakan program pengucapan puisinya, Deklamasi Angkasapuri berada pada kelasnya yang tersendiri. Mungkin kami semua rindu kepada program ini dan mungkin RTM perlu mengadakannya semula kerana terlalu banyak program hiburan populer yang disajikan kebelakangan ini. Dan adakah kesenian itu hanya untuk hiburan dan cari makan?
Tuesday, October 14, 2008
Program di RTM
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:21 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment