Monday, October 6, 2008

Muzium Sastera Melaka

Dalam Utusan Malaysia hari ini diberitakan Perbadanan Muzium Negeri Melaka sedang dalam proses membaik pulih sebuah bangunan kolonial untuk dijadikan Muzium Sastera yang pertama di negara ini. Suatu usaha yang amat baik, benar-benar berwawasan dan cukup intelektual dan harus dipuji. Bukan kerana saya intim dengan penulis, tetapi sastera dan penulisan adalah satu-satunya tinggalan sejarah dan wadah penggerak intelek, pemikiran, falsafah dan world view apa bangsa pun di dunia ini. Lama selepas Coliseum dan apa juga artifak sejarah dan ketamadunan sesuatu bangsa itu runtuh atau lenyap langsung, peninggalan sastera dan penulisanlah yang bakal menjadi artifak penting sesuatu tamaddun. Tahniah kepada KM Melaka dan para intelek yang mendokong usaha-usaha begini.

Pun begitu, sayang kerana artifak yang bakal dipamerkan hanya tinggalan sejarah penulisan sastera dari penulis Melaka sahaja. Kenapa tidak diluaskan untuk mencakupi penulisan semua hasil sastera dari seluruh negara? Mungkin memulakannya dengan penulis Melaka adalah suatu usaha 'bertatih' tetapi elok juga difikirkan supaya ianya diperkembang dan diluaskan menjadi Muzium Sastera Malaysia. Malah kemudian hari kelak, Melaka yang gigih dengan Dunia Melayu Dunia Islamnya boleh dimanfaatkan untuk menjadi dan mendirikan suatu hab muzium sastera serantau yang cukup baik, sesuai dan penting sesuai dengan kedudukannya sebagai Bandar Bersejarah yang diiktiraf UNESCO. Mungkin sahabat saya Dt. Dr. Latiff, Prof. Ramlah Adam dll perlu think big!

Pengambilalihan suatu bangunan kolonial untuk dijadikan muzium sastera juga adalah suatu usaha yang sangat kena pada tempatnya (cun habis kata budak-budak sekarang!). Jangan di runtuhkan bangunan-bangunan lama kolonial atau bukan kolonial, tapi baik pulih dan gunakan untuk jadi muzium. Berbagai jenis muzium boleh dibuat dan dieksploitasi kalau kita mahu. Entah kenapa selama ini bila bercakap tentang muzium orang-orang kita hanya memikirkan muzium natural history. Suatu tragedi intelek yang menakutkan!

Orang-orang di KPKKW perlu membuat anjakan paradigma untuk memikirkan perkara yang selama ini telah banyak 'di terlepas pandang' dalam usaha memartabat warisan, kesenian dan kebudayaan negara ini. Setiap tahun rombongan kesenian kita mengadakan titian muhibbah dengan negara serumpun, malah festival seni dan filem di luar negeri sejak dari dulu. Dan kita tak tahu setakat mana kejayaan yang telah dicapai dalam bab ini sebab dalam sidang akhbar selepas pulang dari luar negeri kata-kata klise yang sering terpampang di akhbar ialah 'Festival ini telah berjaya'! Bagaimana kita mengukur kejayaan itu kalau filem dan keseniaan kita kebanyakannya hanya ditonton oleh penuntut dan orang Malaysia di London? Apakah ada penyelidikan yang dibuat dan data-data pertambahan kedatangan pelancong dari Britain menunjukkan jumlah pelancong berlipat-kali ganda datang ke negara ini dari Britain? Dan adakah permintaan untuk filem-filem kita ditayangkan di London selain dari yang dibawa masa festival? Ukuran kejayaan itu perlu di sokong oleh kesan yang dibawa selepas setiap festival, bukan dengan kenyataan oral semata-mata!

0 comments: