Semalam sewaktu perasmian Wisma Sejarah, PM telah mencadangkan mata-pelajaran Sejarah perlu diajar kembali di sekolah rendah. Saya amat menyokong cadangan ini, malah ingin menambah ia patut diajar juga di sekolah menengah dan di peringkat lebih tinggi untuk semua aliran pengajian. Dalam sistem pendidikan di banyak negara maju, sejarah diajar hingga ke universiti walau pun untuk pengajian sains dan nuklear fizik. Tujuannya hanya satu, supaya warga negaranya tahu asal usul mereka dan tidak ada orang yang buta sejarah dan mengeluarkan apa juga pendapat yang tidak wajar kerana mereka kurang memahaminya. Dan ini sering berlaku di Malaysia.
Bagaimana mata pelajaran ini diajar perlu difikirkan bersama kerana ia tidak semestinya dibuat secara konvensional seperti yang telah dilakukan sebelum ini. Begitu juga kandungan kurikulum -nya. Semua pakar dan sarjana sejarah perlu diajak berbincang tentang perkara ini sebelum keputusan diambil mengenainya. Ramai orang sekarang berada pada tahap yang agak mengelirukan bila bercakap tentang identiti dan jati diri, semangat kebangsaan dan patriotisme dll kerana masa telah mengubah banyak perkara dalam kehidupan kita. Tetapi fakta sejarah tetap fakta walau pun kemungkinan ianya mengalami interpetasi semula dengan persepsi yang sudah berubah dan penemuan fakta-fakta baru. Tapi apa pun yang berlaku, fakta tetap fakta dan tidak ada apa yang dapat mengubahnya!
Contohnya seperti mengatakan MCP atau Parti Komunis Malaya dan Chin Peng adalah pejuang kebangsaan yang turut berjuang untuk membebaskan negara ini dari penjajahan Inggeris tanpa mengambil kira bahawa MCP mendapat sokongan dan bergerak di bawah arahan Comintern atau Komunis Internasional yang berpusat di Moscow ketika itu dengan ramai pemimpin-pemimpinnya yang dilatih di China. Tujuan MCP menentang British adalah untuk menjadikan Tanah Melayu sebuah negara komunis, bukan membebaskannya dari penjajahan British untuk mengembalikan kedaulatan negara ini kepada penduduk asalnya iaitu orang Melayu dan Raja-Raja Melayu.
Kebelakangan ini, kerana semakin ramai golongan teknokrat yang berada dalam politik dan mereka sangat tidak arif tentang sejarah negara ini malah konsep asas tentang siapa penduduk asal negara ini juga tidak difahami dengan jelas, berbagai kenyataan dikeluarkan yang lebih merupakan cakap-cakap kurang bijak dan politiking. Dan ini amat merbahaya kepada negara seperti Malaysia yang berbilang kaum, berbilang budaya dan agama.
Tuesday, October 14, 2008
Mata Pelajaran Sejarah di sekolah
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:45 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment