Sejak beberapa hari yang lalu tiap-tiap malam saya menonton program Galeri Perdana selepas Berita Perdana RTM. Ada segmen tentang Jelajah Riau dan Salamah Basiron yang amat menarik hati dan cukup baik r & d nya. Jelajah Riau mempamerkan tempat-tempat bersejarah di sekitar Kampar dan Pekan Tua di Sumatera tempat Sultan Mahmud Shah dimakamkan selepas mengundurkan diri dari Melaka yang jatuh ke tangan Feringghi pada tahun 1511. Satu pengkisahan sejarah secara visual yang cukup penting dan unik dan tak pernah dilakukan sebelum ini oleh mana-mana pihak berwajib Malaysia seingat saya. Dokumentari sebegini sepatutnya dibuat oleh Muzium atau KPKKW tetapi nampaknya RTM yang cukup perihatin dan sedar tentang kepentingannya. Banyak perkara yang dipamerkan dalam dokumentari pendek ini tetapi visual tentang makam Sultan Mahmud cukup detail dengan pengkisahan sejarah bagaimana baginda berkerajaan di Kampar dan dimakamkan di situ.
Pun begitu saya merasa sedikit sedih menontonnya kerana makam Sultan Mahmud Sultan terakhir Melaka dijaga dan dikelola oleh penduduk tempatan Pekan Tua sahaja. Apakah tidak boleh dirundingkan dengan pihak berwajib Sumatera supaya makam ini dijaga bersama oleh pihak Malaysia dan juga Indonesia? Bukan itu saja, usaha-usaha yang lebih lanjut perlu dibuat untuk mempopulerkan Pekan Tua sebagai tempat bersejarah yang penting kerana ia membicarakan tentang sejarah kesultanan kita . Ini adalah Sultan Melaka terakhir dan merupakan ayahanda kepada keturunan DYMM Sultan Perak sekarang. Dokumentari pendek yang 'humble' oleh RTM ini perlu diangkat ke peringkat yang lebih tinggi dalam status warisan dan sejarah kita.
Segmen mengenai penulis lirik dan pencipta lagu tahun 60han Salamah Basiron juga tidak kurang menariknya. Tahniah sekali lagi kepada RTM kerana segmen sebegini memperkaya pengetahuan kita tentang khazanah industri hiburan kita. Selalunya hanya stesen Klasik Nasional yang memuatkan program begini yang cukup baik dan menfaatkan penyelidikan yang terperinci dan memberi sentuhan intelektual kepada program hiburan. Dan ini suatu keistimewaan yang tidak terdapat pada stesen lain yang ada di antaranya memuatkan hiburan semata-mata dan juga 'jeritan serta kicauan murai' dj nya sahaja!
Thursday, October 30, 2008
Galeri Perdana yang makin mantap
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:00 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment