Tadi masa di majlis Perasmian Wisma Sejarah Persatuan Sejarah Malaysia, ramai orang bercakap tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang ahli politik yang saya rasa kurang arif tentang Dunia Melayu. Katanya orang Melayu di Malaysia ni pun pendatang asing dan bukannya penduduk asal negara ini. Dan mereka datang dari Nusantara.
Saya ucapkan terima kasih kepada YB tersebut kerana pendapat beliau itu ada benarnya. Tapi ternyata beliau sangat tidak faham dan tidak arif tentang apa itu Nusantara. Jadi saya amat terpanggil nak tulis tentang perkara ini. Pertamanya Nusantara itu apa dan di mana? Mungkin beliau tidak tahu bahawa Nusantara itu adalah satu konsep geo-politik-kultural Dunia Melayu yang merangkumi Kepulauan Indonesia, Tanah Melayu, Borneo, Filipina dan juga Selatan Thailand. Nusantara juga dikenali sebagai Kepulauan Melayu. Nusantara dihuni oleh orang Melayu yang terdiri dari berbagai suku kaum dan etnik dengan bahasa dan kebudayaan yang serupa dan berbeza pada masa yang sama. Tapi samada mereka itu dipanggil Bajau, atau Mandailing, Batak, Aceh, Melayu, Dayak , Iban dan apa juga namanya itu semua adalah tergolong sebagai orang Melayu.
Perpindahan serta migrasi antara semua suku kaum ini diseluruh Nusantara berlaku sepanjang masa dari dahulu hingga sekarang. Parameswara yang membangunkan Melaka dalam tahun 1400 datang dari Majapahit. Sebelum Melaka menjadi besar, sudah ada banyak kampung nelayan di seluruh Tanah Melayu seawal abad ke 2 dan 3 di Lembah Bujang dan kawasan Merbuk. Ini adalah tamaddun awal Melayu-Hindu-Buddha-Islam. Nusantara adalah suatu kawasan besar tempat tinggal masyarakat Melayu dan migrasi dari Majapahit ke Melaka tidak ubah seperti Sun Yat Sen membawa sebahagian besar orang China untuk menetap di Formosa (Taiwan sekarang ini) dan meninggalkan Tanah Besar China. Mereka masih orang China dan tidak berubah menjadi bangsa lain walaupun mereka sudah terpisah dari negara asal mereka.
Itulah yang terjadi kepada orang Melayu di seluruh Kepulauan Melayu. Dan migrasi begini tidak pernah berhenti berlaku hingga sekarang. Dan ia juga tidak jauh bezanya daripada perpindahan suatu keluarga keturunan Jawa di Tg.Karang ke Mata Air Perlis dengan kemasukan buruh asing dari Jawa Barat ke Labis di Johor pada dasarnya. Hanya selepas entiti politik negara di Kepulauan Melayu dipisahkan oleh penjajahan dan diikuti oleh kemerdekaan, baru kita ada Republik Indonesia, Malaysia, Filipina dan Selatan Thai. Sebelum itu, tak ada semua nama tu dan seluruh Kepulauan Melayu dihuni oleh orang Melayu. Jadi, mengatakan orang Melayu di Malaysia adalah juga kaum pendatang dari Nusantara adalah tidak betul. Kerana seluruh Kepulauan Melayu dihuni oleh orang Melayu dan tidak ada cerita mereka tu pendatang asing. Macam mana nak dikatakan pendatang asing kalau migrasi berlaku dalam wilayah geo-politik-kultural kaum atau etnik yang sama? Saya harap YB tu benar-benar faham dengan apa yang dia katakan dan tidak mengeluarkan kenyataan yang sensasi dan kurang difahaminya sendiri.
Tuesday, October 14, 2008
Melayu dan Nusantara
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:08 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment