Friday, May 29, 2009

Legenda Pak Berahim dan Makcik Nancy

Sewaktu masih kecil ( lingkungan 4 tahun) dan tinggal di Teluk Air Tawar, Seberang Perai saya sering mengikut nenek saya ke Pulau Pinang. Masa itu semuanya kena naik feri dan itulah yang paling saya sukai kerana masa itulah nenek (sebelah bapa) akan bercerita tentang beberapa legenda dalam keluarga kami. Antaranya kisah Pak Berahim anak saudara beliau dan bagaimana dia mempunyai dua orang isteri.

Pak Berahim (panggilan semua anak buah kepadanya) adalah merupakan seorang anak Melayu Pulau Pinang yang pertama mendapat lesen memandu kapal kargo antara-bangsa (mungkin juga orang Melayu pertama di seluruh Malaya dalam tahun 30-40han rasanya) dan masih muda belia dan cukup kacak serta merisaukan nenek saya yang kami semua sekarang gelarkan Queen Victoria! Dipendekkan cerita, nenek saya berjaya memujuk Pak Berahim dalam usia yang amat muda supaya berkahwin dengan sepupunya. Nenek saya merasakan dia cukup puas hati dan telah menjalankan tanggung-jawabnya kepada Pak Berahim yang kematian ibu sejak kecil. Pak Berahim sering membawa kapal kargo ke negara-negara Asia seperti India, Burma dan Thailand dll. Pak Berahim menjadi sanjungan keluarga dan masyarakat Melayu Seberang Perai kerana maklum saja menjadi anak Melayu pertama menjadi Kapten Kapal Dagang syarikat multinasional ketika itu. Bila dia tidak belayar saya sering dibawa oleh nenek melawat Pak Berahim di Pulau Pinang.

Beberapa tahun berselang, sewaktu berlabuh di Rangoon, Pak Berahim naik ke darat dan bertemu dengan seorang wanita jelita tempatan yang bernama Nancy. Nancy berketurunan Islam Burma dan tanpa diketahui oleh Pak Berahim siapa Makcik Nancy sebenarnya, mereka telah jatuh cinta. Kisah klise cinta 3 segi yang tak pernah membosankan (kalau tidak penulis skrip semua kehabisan idea tak tau apa nak tulis)! Dipendekkan cerita, Pak Berahim sewaktu nak berangkat balik ke Tanah Melayu telah berjanji akan pulang semula ke Rangoon dan mengahwini buah hati pengarang jantungnya dalam masa beberapa bulan lagi. Pak Berahim pulang ke Pulau Pinang dan menceritakan masalahnya kepada nenek . Mengamuk sakan lah nenek saya. Beliau tidak membenarkan Pak Berahim berkahwin seorang lagi. "Mentang-mentanglah gaji dia banyak, dia nak menikah dengan orang rata dunia!" Begitulah antara sumpah seranah nenek saya kepada Pak Berahim. Kesian dia, Pak Berahim bukannya seorang yang romeo tetapi kerana dia terlalu muda ketika dikahwinkan , mungkin telah jatuh cinta pandang pertama bila terpandang Makcik Nancy jelitawan Rangoon ini. Mana ada peraturan tentang soal hati ini?Mungkin itu yang tidak diketahui oleh nenek saya.

Pak Berahim mengutuskan surat kepada kekasihnya dan menceritakan apa yang terjadi dan memberitahu keluarganya tidak membenarkan mereka berkahwin. Pak Berahim tidak mahu menceritakan yang dia sudah berkeluarga sebenarnya dan itulah sebabnya nenek tidak membenarkan mereka berkahwin. Pak Berahim agak kecewa dengan keputusan itu tetapi tidak berbuat apa-apa kerana nenek adalah seperti ibunya sendiri.

Beberapa bulan berlalu, satu hari tok wan saya dikejutkan dengan perkhabaran dari Pulau Pinang. Dia disuruh ke rumah Pak Berahim dengan segera kerana ada masalah besar yang mungkin mencetuskan ketegangan antara-bangsa . Beliau bergegas ke rumah Pak Berahim dan sampai di sana mendapati ada seorang tetamu wanita asing yang memakai saree dengan dua orang tentera pengawal lengkap bersenjata! Pak Berahim dan isterinya duduk dalam keadaan yang paling sukar pastinya, tetapi sempat menceritakan kepada tok wan saya itulah Nancy, wanita Rangoon yang ingin dikahwininya. Rupa-rupanya Makcik Nancy adalah anak gadis kepada Gabnor Rangoon. Setelah menerima surat Pak Berahim Makcik Nancy amat kecewa. Ayahnya telah mengutus surat kepada Konsul Burma di Pulau Pinang dan menyuruh siasatan dijalankan.

Pak Berahim dan Makcik Nancy disuruh buat pilihan oleh ayahnya. Meneruskan perkahwinan atau menerima ajal mereka ketika itu juga kerana ayah Makcik Nancy merasa cukup malu dengan apa yang berlaku. 2 orang tentera pengiring Makcik Nancy masing-masing membawa pistol dengan sebutir peluru sahaja di dalamnya. 1 peti wang emas juga dibawa bersama. Arahannya sangat mudah. Jika Makcik Nancy tidak mahu mengahwini Pak Berahim apabila mengetahui dia sudah beristeri, tembak Makcik Nancy di kepala sampai mati. Dan jika Pak Berahim tidak mahu mengahwini Makcik Nancy, tembak dia di kepala sampai mati! Bercakap tentang 'shotgun marriage' dalam erti kata yang sebenarnya!! Tetapi jika keduanya bersetuju untuk berkahwin dan menerima nasib mereka, 1 peti wang emas itu untuk memastikan Mak Cik Nancy boleh hidup dengan selesa dan tidak akan diinayai oleh nenek saya atau isteri pertama Pak Berahim.

Nenek saya tidak ada bersama ketika itu dan ini menyelamatkan hubungan diplomatik Tanah Melayu-Burma! Tok wan saya (seorang guru agama berasal dari Tikam Batu, Kedah dan berketurunan dari Sadao, Selatan Thai serta sepengajian dengan 'Tok Ngah Lah' Haji Abdullah Fahim) tidak mahu membuang masa dan terus bertanya kepada Pak Berahim apa keputusannya? Pak Berahim mengambil keputusan berdiam diri tetapi tok wan saya membuat keputusan untuknya. "Kahwinlah. Bukannya mati. Tapi kalau tak kawin mungkin mati!' Tok wan saya jenis yang tidak banyak cakap tapi man of action . Melalui jurubahasa dari Konsul Burma dia bertanya kepada Makcik Nancy pulak. Mana ada pilihan? Makcik Nancy menganggukkan kepala tanda setuju menjadi isteri kedua Pak Berahim. Pada hari itu juga, tok wan saya menikahkan Pak Berahim dan Makcik Nancy di depan isteri pertamanya. Selesai masalah diplomatik antara-bangsa! Ini cerita betul, bukan rekaan dan bukan bahan joke of the year saya. Sebab itu saya dan kakak-kakak saya menamakannya Legenda Pak Berahim dan Makcik Nancy.

Saya masih ingat selepas itu, Makcik Nancy dan madunya bergambar berdua dan gambar mereka diedarkan kepada seluruh keluarga supaya semua mengetahui , menghormati dan menerima beliau dalam keluarga. Tok wan saya berpendidikan agama dan agak strict tentang peraturan kekeluargaan Islam. Lagi pun berani nak apa-apakan anak Gabnor Rangoon? Perang sabil pulak nanti! Nenek saya tidak dapat berkata apa-apa dan terpaksa menerima 'kudeta' tok wan dan apa yang terjadi walau pun beliau mengomel setiap hari tentang perkara itu setiap kali ke rumah Pak Berahim di Pulau Pinang. Dan setiap kali cucu atau anak-anak saudara lelakinya akan berangkat ke luar negeri kami semua akan mendengar leteran nenek dan legenda Pak Berahim diceritakan semula entah untuk kali keberapanya. Semoga tidak ada lagi apa juga ketegangan diplomatik dalam keluarga saya selepas ini disebabkan oleh cinta pandang pertama!

0 comments: