Dalam Mingguan Malaysia baru-baru ini ada artikel yang ditulis oleh Zin Mahmud bertajuk Warisan, Wawasan dan Kewarasan. Saya membaca artikel ini beberapa kali dan merasa cukup terpanggil untuk memberi respon mengenainya.
Mengikut Zin, Tunku Abdul Rahman didesak oleh British untuk memasukkan Singapura ke dalam Malaysia. Berikutan dengan itu, Tunku yang berpandangan jauh memasukkan Borneo Utara (Sabah sekarang ini) dan juga Sarawak ke dalam Malaysia untuk mengelakkan ketidak-seimbangan populasi Malaysia kerana majoriti penduduk Singapura terdiri dari orang Cina. Kebanyakan buku Sejarah mempunyai pandangan sedemikian dan pada pandangan saya ianya tidak lebih dari interpetasi umum. Apa yang tidak diketahui (mungkin) ramai ialah Tunku Abdul Rahman sudah lama bertindak dan membuat persediaan merapatkan diri dengan orang-orang Borneo Utara iaitu semenjak proses pencapaian kemerdekaan lagi.
Beberapa tahun dahulu, YBhg.Tun Sakaran Dandai menceritkankan kepada saya bahawa sewaktu Tanah Melayu hampir mencapai kemerdekaan, segolongan kecil anak-anak muda dari Sabah telah dihantar ke Tanah Melayu untuk tinggal di sini dan berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin politik Melayu untuk mempelajari selok-belok pentadbiran sendiri juga untuk tujuan mengeratkan perhubungan dengan pimpinan anak negeri . Hal ini disahkan oleh Tan Sri Aishah Ghani yang menceritkan kepada saya bahawa sejurus sebelum kemerdekaan dicapai, beliau dan beberpa orang pemimpin politik UMNO mempunyai beberapa orang anak angkat dari Sabah yang dibawa masuk oleh Tunku Abdul Rahman. Fakta ini mungkin kecil dan dianggap tidak penting, tetapi pemikiran Tunku yang jauh ke depan dalam hal ini pastinya bukan sesuatu yang tidak dirancang dan berlaku secara kebetulan. Mungkin juga Tunku sudah menjangkakan bahawa Singapura akhirnya akan bercantum dengan Tanah Melayu dan beliau membuat persediaan ke arah itu terlebih dahulu.
Sayang, penulisan buku sejarah kita sering masih terkongkong pada landasan yang konvensional dan sudah diketahui ramai sahaja selain daripada tidak banyak yang mahu mengeksplorasi trek-trek lain dan memasukkan juga sudut pandangan disiplin ilmu yang lain seperti antropologi, sosiologi, ekonomi dll. Saya salah seorang yang berpandangan bahawa penulisan fakta sejarah bukan hak mutlak orang sejarah sahaja.
Zin Mahmud juga mengatakan PPSMI adalah dasar yang dibuat sebagai persediaan untuk menaikkan daya saing orang Melayu dan rakyat negara ini dalam era globalisasi yang didominasi oleh Bahasa Inggeris. Saya mohon untuk berbeza pendapat tentang perkara ini. Tanpa mahu mempertikai niat baik Tun Dr.Mahathir dan semua yang terlibat dalam dasar ini, saya masih beranggapan PPSMI adalah cara terburuk dan salah dari segi Perlembagaan untuk meninggikan tahap penguasaan Bahasa Inggeris murid-murid sekolah kita. Ada 1001 cara lain untuk membolehkan pelajar-pelajar kita menguasai Bahasa Inggeris atau bahasa ilmu apa juga seperti Perancis, Jerman, Russia dll yang penting. Dan lebih menyedihkan ialah dasar PPSMI digubal oleh ahli politik yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam dan kepakaran bukan saja dari sudut pembelajaran bahasa tetapi juga dari aspek pedagogi pembelajaran bahasa. Tanyalah sesiapa pun yang pernah menjadi guru dan cukup berilmu dalam pengajaran bahasa pasti akan mengatakan dasar PPSMI tidak ubah seperti peribahasa 'tikus membaiki labu' sahaja kedudukannya!
Kata Zin lagi, kemenangan besar BN dalam pilihan-raya 2004 adalah kerana sokongan rakyat kepada dasar-dasar 'berwawasan' Tun Mahathir. Sekali lagi saya mohon untuk berbeza pendapat kerana saya rasa ini hanyalah pandangan dan interpetasi Zin sahaja. Orang lain mungkin mempunyai pandangan yang berbeza mengenainya. Beberapa bulan selepas pilihan-raya 2004 saya pernah berbual dengan YBhg.Tun Daim Zainuddin Mantan Menteri Kewangaan mengenai perkara ini. Saya tanyakan beliau apa pandangannya mengenai kemenangan besar BN dan adakah beliau bersetuju dengan pendapat ramai orang bahawa faktor Pak Lah membawa kepada kejayaan ini? Beliau mengatakan ia bersetuju dengan sebahagian daripada pandangan tersebut tetapi menambah bahawa dalam UMNO dan BN ketika itu ada perpaduan dan itu faktor yang paling penting. Sama seperti apa yang berlaku pada tahun 1999, pada tahun 2008, tsunami politik berlaku bukan sahaja kerana ada perubahan pola pengundian dan realiti politik yang tidak disedari (atau tidak mahu disedari) juga kerana tidak ada perpaduan dalam UMNO dan BN!
Saya kurang pasti apa motifnya tetapi merasa amat tidak wajar Zin seolah-olah tidak mahu mengakui kewujudan Pak Lah sebagai TPM semenjak 1999 dan menjadi PM semenjak 2003 mempunyai impak kepada perjalanan politik negara ini. Apa pun tujuan beliau mengatakan begitu, jangan sampai fakta dan kebenaran sejarah dibelakangkan kerana 20 atau 30 tahun lagi mungkin orang lain akan menulis banyak perkara yang tidak diketahui ramai tentang apa yang berlaku dan tidak berlaku dalam pilihan-raya 2008. Interpetasi sejarah bukan milik seorang manusia sahaja dan cuba-cubalah akur dengan semangat keterbukaan Pak Lah dan yang diwarisi dengan begitu graceful oleh DS Najib yang cukup merendah diri mengakui 'Kerajaan tidak tahu segala-galanya' dan mengalu-alukan partisipasi semua 'pemegang saham' yang berwibawa dan berilmu dalam proses pembinaan negara bangsa. Wawasan seorang manusia yang menjadi PM di mana pun akan tinggal sebagai wawasan orang itu sahaja dan ia tidak semestinya lengkap, tepat dan mencakupi keperluan semua orang dalam semua aspek kehidupan. Jangan lupa tentang perkara itu!
Monday, May 18, 2009
Respon Kepada Artikel Zin Mahmud
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 6:14 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
Saya pula ingin memohon anda membaca sekali lagi rencana tersebut.Baca sekali lagi.Tak semua perkara boleh diakui dalam akhbar arus perdana seperti Mingguan Malaysia.
Post a Comment