Tuesday, May 5, 2009

Beberapa Anekdot Tentang Tunku Abdul Rahman PM Pertama Malaysia.

Beberapa tahun lalu semasa berbual dengan Datuk Syed Hussein (Pak Syed) menantu YTM Tunku Abd.Rahman PM Pertama Malaysia dan isterinya YM Tengku Khatijah (Mak Engku) anakanda Tunku, mereka menceritakan beberapa kisah lucu tentang Bapa Kemerdekaan Malaysia ini. Antaranya kata Pak Syed ialah tentang pertemuan Tunku dengan Lee Kuan Yew di London sebelum Singapura keluar dari Malaysia. Pertemuan itu berlaku secara rahsia di sebuah Kelab Malam bernama Omar Khayyam dan Pak Syed ada bersama-sama Tunku ketika itu. Tunku mengingatkan Lee Kuan Yew supaya jangan beritahu sesiapa bahawa mereka berjumpa di Kelab Malam kerana takut dimarahi oleh isterinya jika perkara itu diketahui. Lee Kuan Yew tercengang-cengang kerana sangkanya Tunku takut perjumpaan mereka di Kelab Malam itu diketahui oleh rakyat Malaysia dan di sensasikan untuk tujuan yang negatif, tetapi rupanya Tunku takut Mak Pah (Tun Sharifah Rodziah) yang marah kalau mengetahuinya!

Mak Engku tanpa berselindung dan dengan frankness beliau yang legendary terus menceritakan kepada saya bahawa bapanya memang begitu. 'Pak (panggilan anak-anaknya kepada Tunku) suka joget'. Tu pi night club di London tu biasalah. Mak Pah tak tau, kalau tau jenuh la kena marah!' Pun begitu kata Pak Syed mereka pergi untuk berbincang dan bertekak. Mereka berada dalam satu bilik khas dan Tunku meninggikan suara juga kepada Lee Kuan Yew beberapa kali yang mendiamkan diri bila kena marah. Beberapa pertemuan lain dengan Lee Kuan Yew di Kuala Lumpur berlaku selepas itu dan diikuti dengan Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965.

Pun begitu Pak Syed kesal dengan cerita-cerita yang disebarkan tentang skendel 'lantai parlimen dibasahi oleh bir dan minuman keras' sewaktu merayakan hari jadi tunku sebelum peristiwa 13 Mei 1969 kalau tak salah saya. 'Minuman keras memang ada dihidangkan, tetapi tidaklah sampai lantai dewan tu basah oleh bir.' Begitu cerita Pak Syed dan hal ini disahkan oleh Tan Sri Abdullah Ahmad yang menjadi Setia Usaha Politik kepada Tun Abdul Razak ketika itu. Hingga sekarang YM Tengku Ahmad Nerang kekanda kepada Tengku Khatijah tidak mahu bercakap tentang ayahandanya jika diinterviu oleh media mau pun penyelidik. Terlalu banyak kelukaan dihati beliau agaknya kerana ayahandanya dipersalahkan atas segala yang tidak baik berlaku di Malaysia ketika itu. Dalam frenzy orang-orang tertentu memomokkan Tunku dan mencari kambing hitam atas apa yang berlaku, sudah tidak ada garis pemisah antara perkara yang benar dan tidak benar tentang peribadi Tunku Abdul Rahman. Tunku mungkin bukan seorang yang warak, tetapi saya juga tidak yakin peribadi beliau begitu teruk sekali. Semoga cerita-cerita seperti ini tidak akan berulang dalam sejarah politik kita.

Sewaktu kemerdekaan belum tercapai dan dana parti UMNO begitu sedikit, Tunku pernah mengadu kepada YBhg. Datuk Siti Rahmah Kassim Ketua Penerangan Kaum Ibu UMNO ketika itu (yang melucutkan gelang emas ditangannya ketika Tunku menitiskan air mata memberitahu hadirin di Melaka tentang UMNO yang ketiadaan sumber kewangaan untuk meneruskan perjuangan mendapatkan kemerdekaan) bahawa ada kalanya beliau merasa buntu dan tidak pasti apakah mereka mampu meneruskan perjuangan. Cerita ini disampaikan sendiri oleh Datuk Siti Rahmah kepada saya di Rembau sedikit waktu lalu. Tunku telah menjual hampir semua harta beliau yang berupa rumah kedai di Arglye Road di Pulau Pinang. Daripada 11 pintu rumah kedai hanya 2 pintu yang tidak dijual kerana ditegah menjualnya oleh ahli keluarga beliau. Kata Tunku kepada Datuk Siti Rahmah ' harta saya semua dah jual. Merdeka tak dapat juga lagi. Boleh ka kita ni? ' Siapa sangka dalam kelicikan, kepintaran dan kecekalannya berjuang untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu, ada saat-saatnya Tunku hampir putus asa untuk meneruskan perjuangan?

Mungkin tidak ramai orang yang tahu kenapa Tunku dimakamkan di Alor Setar ketika mangkat pada tahun 1991. Peristiwa ini berlaku sewaktu AllahYarham Tun Dr. Ismail meninggal dunia dan beliau dikebumikan di Makam Pahlawan di Masjid Negara. Tunku menghadiri pengkebumian itu bersama-sama dengan Pak Syed (yang beliau panggil Cin). Sebelum pengkebumian, timbul sedikit pertelingkahan pendapat mengapa jenazah Tun Dr.Ismail perlu dikebumikan di situ yang mengasingkannya daripada kuburan orang Islam yang lain dan ini bukanlah sesuatu yang baik dalam ajaran Islam. Tun Abd.Razak memberitahu orang-orang UMNO yang mempersoalkan perkara tersebut bahawa semasa pembinaan Masjid Negara, Tunku telah mengamanatkan bahawa pejuang-pejuang kemerdekaan negara hendaklah dikebumikan di kawasan khas Makam Pahlawan di kawasan masjid sebagai penghormatan kepada jasa-jasa mereka.

Sewaktu Tunku dan Pak Syed tiba, seorang tokoh wanita UMNO telah menyindir beliau dan mengatakan bahawa Tunku membina Makam Pahlawan dan Tun Dr.Ismail dikebumikan di situ supaya Tunku juga akan dikebumikan di situ bila tiba masanya kelak! Tunku sangat sedih mendengar kata-kata tersebut dan beliau berpaling kepada Pak Syed serta berkata 'Cin, kalau Pak mati esok, jangan tanam di sini. Bawak balik tanam di Langgar.' Wanita tersebut terdiam dan beredar dari situ tidak lama selepas itu. Selepas kemangkatan Tunku, Tun Dr. Mahathir memerintahkan Tunku dimakamkan di Makam Pahlawan (menurut cerita Tan Sri Saleha Ali) tetapi keluarga Almarhum meminta amanat Tunku supaya mengkebumikannya di Makam Di Raja di Langgar, Alor Setar dihormati. Tengku Ahmad Nerang mungkin ada banyak sebab tidak mahu bercakap tentang ayahandanya hingga sekarang dan ianya bukan sahaja kerana sewaktu Tunku menghembuskan nafas terakhirnya beliau bukan ahli UMNO.

Ketika berbual dengan Dato Omar Mohd.Hashim Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia tentang tiga orang Mantan Presiden UMNO yang meninggal dunia sewaktu tidak lagi menjadi ahli UMNO, saya bertanya kepada beliau kenapa perkara begini boleh berlaku? 'UMNO ni jinxed agaknya. ' ujar Dt. Omar. Beliau ketawa kuat selepas berkata begitu tapi entah kenapa saya sedikit pun tidak terasa lucunya!

Al-Fatihah untuk Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Abd.Razak dan Tun Dr. Ismail.

0 comments: