Dengar kabarnya Istana Budaya akan mengadakan Konsert Mengenang Sudirman tidak lama lagi. Memang sudah sampai masanya, seniman besar dan berbakat seperti Allahyarham diberi penghormatan yang sewajarnya begitu. Kalau tak salah saya, RTM telah memulakannya pada tahun 2007 dengan beberapa siri program di RTM 1 dan kemuncaknya konsert di Stadium Melawati. Terima kasih kepada bos RTM ketika itu, walau pun seorang lagi adik saya iaitu Akmal Abdullah dalam kolum Epilognya dalam Berita Harian yang mula mencuit perasaan dan pertimbangan orang tertentu, agaknya. Apa pun, semangat menghormati seniman seperti Sudirman yang cukup unik dan mempunyai keistimewaannya sendiri semakin mendapat sambutan dan pengiktirafan.
Saya masih ingat perbualan dengan Datin Rodziah kakak Allahyarham beberapa hari sebelum konsert tahun 2007 itu diadakan. Saya tanyakan bagaimana perasaannya setelah hampir 15 tahun adiknya meninggalkan kita, baru ada usaha memberi penghormatan dalam konsert yang sebegitu besar? " Untuk apa konsert ini dibuat?" Soalan saya dijawab dengan soalan balik dan saya terdiam sambil memerhatikan wajah beliau. " Kenapa baru sekarang nak buat?" Datin Rodziah bertanya lagi. Masih ada banyak perkara yang terbuku di hatinya saya kira.
Mungkin berbagai NGO yang berkaitan dengan keseniaan dan muzik boleh memikirkan cara-cara lain untuk memberi penghormatan kepada Sudirman. Kenapa tidak namakan dewan, studio, jalan atau apa saja yang bersifat lebih kekal dengan nama Sudirman untuk memberi pengiktirafan kepadanya. Kalau kita sudah boleh membuat konsert untuk mengenang beliau, kenapa tidak boleh berikan penghormatan dan pengiktirafan dengan cara lain? Seniman, Karyawan atau apa juga persatuan boleh membuat cadangan dan hantarkan kepada kementerian untuk melaksanakannya. P.Ramlee bukan seorang sahaja seniman besar di negara ini dan saya kira penghormatan untuk beliau telah terlalu banyak. "Cukup-cukup lah bercakap tentang P.Ramlee," kata Dr. Anuar Arai suatu ketika dulu. Saya setuju dengan saranan beliau dan ini bukan bermakna saya tidak menghormati seniman agong ini tetapi, janganlah sampai kita langsung tidak melihat bahawa ada orang lain juga yang perlu diberi pengiktirafan kerana kehebatannya.
Sekali lagi terima kasih kepada bos RTM ketika itu yang cukup sensitif tentang perkara ini dan dengan penuh kejujuran meletakkan seorang seniman hebat kita di tempatnya. Hanya orang yang hebat dapat mengakui dan memberi pengiktirafan kepada orang lain yang cukup hebat juga. Dan semua ini bermula dengan rasa rendah diri, keikhlasan dan mengakui kerdilnya kita di sisi tuhan Rabul alamin. Alhamdullilah dan Al-Fatihah untuk Sudirman Hj.Arshad.
Monday, May 25, 2009
Penghormatan Untuk Sudirman
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:31 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment