Sunday, May 3, 2009

Antara Yap Ah Loy dan Anugerah Boh Cameronian

Dengar kabarnya MCA hendak memberi penghormatan yang lebih banyak kepada Yap Ah Loy yang dianggap oleh masyarakat Cina sebagai orang yang bertanggung-jawab membuka dan memajukan Kuala Lumpur. Dalam syarahannya baru-baru ini di Shah Alam, Encik Siri Neng Buah dari Jabatan Warisan (ketika itu di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan) telah menceritakan bahawa ketika Yap Ah Loy dan pedagang-pedagang Cina datang ke Lembah Kelang, Kuala Lumpur sudah pun dibuka oleh Raja Abdullah dari Kelang
dan ramai pengikut-pengikutnya yang tinggal di situ. Jadi faktanya ialah orang yang membuka Kuala Lumpur adalah Raja Abdullah dan bukannya Yap Ah Loy. Tapi meramai dan memajukannya, mungkin itulah peranan yang dimainkan oleh Yap Ah Loy.

Dalam syarahan tersebut juga, Encik Siri menceritakan bahawa selain membawa pekerja-pekerja dari China untuk bekerja di lombong-lombong bijih sekitar Lembah Kelang, Yap Ah loy dan beberapa orang pedagang Cina yang lain juga mengusahakan rumah perjudian dan pelacuran. Ramai wanita Cina yang dibawa masuk untuk tujuan pelacuran dan merekalah yang memulakannya di Lembah Kelang dan merupakan yang pertama seumpamanya di seluruh Negeri Selat dan Negeri Melayu. Ini semua adalah fakta sejarah dan sesuatu yang perlu diberi perhatian jika nama Yap Ah Loy mahu digunakan di mana-mana juga.

Malam ini akan diadakan Anugerah Boh Cameronian untuk memberi penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam seni persembahan pentas terutama produksi dalam Bahasa Inggeris. Setiap tahun majlis anjuran pihak swasta ini menjadi semakin besar dan berbagai perkara berlaku dan tidak berlaku di dalamnya dengan nada dan iklim liberal yang mungkin bukan semua orang boleh menghargainya. Apa pun, satu perkara yang saya agak terkilan ialah kenapa hingga kini kita tidak ada majlis serupa ini untuk seni pementasan dalam Bahasa Kebangsaan? Persembahan muzikal, teater, tarian, muzik dan sebagainya boleh dikategorikan termasuk dalam seni persembahan pentas dan hingga kini kita tidak ada majlis anugerah untuk
mereka yang terlibat di dalamnya. Mungkin Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan yang sangat besar ini mahu memikirkan untuk membuat pembaharuan dan mengadakan anugerah sedemikian untuk memartabat industri seni persembahan pentas berbahasa kebangsaan?

0 comments: