Beberapa hari berada di Sg.Petani di rumah ibu saudara tanpa akses internet, 6 surat kabar tempatan setiap hari (10 termasuk dari luar negeri bila ada masa) dan 'membungkus' diri saya dengan soal-soal saudara mara dan politik tempatan menjadikan saya mati akal untuk menulis apa pun dalam blog ini. Pun begitu, selepas menonton filem Angels and Demons dan mendapat dosage surat kabar yang cukup baru saya teransang untuk menulis semula.Tak saya tidak melarikan diri ke mana juga atas apa sebab pun jadi jangan buat apa juga spekulasi yang tidak betul dan membuang masa saja!
Hari ini Ku Seman dalam Mingguan Malaysia semakin tinggi suhu kemarahannya tentang drama Indonesia di televisyen tempatan. Relax brader! Jangan marah-marah tak tentu pasal tapi berhujahlah dengan kepala yang dingin di zaman Influenza A H1N1 ni. Tapi saya amat faham dengan kemarahan sahabat saya ni kerana saya pun marah juga hal-hal macam ini. Entah kenapa, semua stesen televisyen kita menyiarkan drama dari Indonesia yang tidak berkualiti, entah apa-apa ceritanya dan tidak boleh difikirkan kenapa siri program begitu yang dibawa masuk. Tak cukup dengan itu, sekarang nak diterbitan di Malaysia pula.
Saya boleh menerima tentang keterbukaan sistem ekonomi kita yang membolehkan drama Indonesia diterbitkan di Malaysia, tetapi kenapa kualitinya tidak dipentingkan langsung? Agaknya perkiraan utama ialah harga siri drama dari Indonesia ini lebih murah dari drama-drama yang diterbitkan oleh syarikat tempatan. Kalau itulah ceritanya, kepentingan bisnes dan bukan seni yang menjadi kriteria utamanya. Tak usah bercakap tentang penerapan unsur-unsur pembinaan negara bangsa. Apa yang nak dibina jika ceritanya tentang perkara-perkara yang tidak masuk akal dan diluar konteks masyarakat Malaysia? Nilai-nilai kemanusiaan sejagatnya juga tidak ada kerana unsur magis, khayalan dll yang banyak mendominasi drama-drama ini.
Satu perkara lain yang perlu ditanya ialah banyakkah siri drama tempatan yang dapat dijual dan ditayangkan di stesen televisyen di Indonesia? Setahu saya, tidak banyak mana yang dapat dijual sejak bertahun-tahun yang lalu. Beberapa tahun lalu, Mantan Menteri Penerangan Dt.ZAM dalam ucapannya dalam satu majlis meraikan seniman dari Malaysia dan Indonesia pernah menyentuh tentang perkara ini secara tebuka, tetapi sehingga kini keadaannya masih tidak berubah. Mungkin itu sebabnya suhu kemarahan Ku Seman tinggi. Saya menghantar SMS kepada beliau tadi dan saya harap saya tidak menambahkan suhu kemarahannya!!
Penghormatan Kepada Guru
Dalam Mingguan Malaysia hari ini juga, TPM TS Mahyuddian bercakap tentang Kementerian Pelajaran pimpinannya. Antara isu yang dibangkitkan ialah tentang soal penghormatan kepada guru. Saya setuju dengan pandangan beliau bahawa tahap penghormatan masyarakat kepada guru tidak berubah tetapi apa yang beliau tidak sebut ialah terdapat perubahan nilai-nilai masyarakat yang amat ketara yang ada kaitan dengan profesyen perguruan. Saya melihat perkara ini telah lama berlaku semenjak menjadi pensyarah di Maktab Perguruan dulu. Apa yang berubah ialah nilai-nilai masyarakat yang meletakkan profesyen dan pendapatan dengan gaji yang jauh lebih tinggi itu sebagai lebih bernilai dari menjadi seorang guru. Di mana juga di dunia ini menjadi guru bermakna berpendapatan rendah dan nilai ekonomi seseorang tidak tinggi. Penilaian materialistik inilah yang menyebabkan profesyen perguruan hanya diceburi jika tidak ada pilihan lain lagi.
TPM juga menyebut tentang saiz kelas yang perlu dikecilkan. Dalam postings yang lalu saya telah sentuh tentang perkara ini dan sememangnya masalah ini cukup serius dan ada kaitannya dengan kesan psikologi dan fisiologi seseorang guru. Tidak ada guru yang boleh berfungsi dengan motivasi yang optimum dengan 50 orang murid dalam satu kelas. Bukan itu saja, kita perlukan lebih banyak sekolah supaya hanya satu sesi persekolahan yang dijalankan supaya pembelajaran tidak di compressed dalam sesi yang singkat dengan masa rehat 15 minit dari jam 7.45 pagi hingga 1.30 tgh. Saya berpendapat masalah disiplin di sekolah-sekolah kita pasti ada kaitan dengan suasana ini. Buatlah penyelidikan dan lihatlah dapatannya tentang tahap stress di kalangan murid-murid kita.
Wawasan 2020 mensasarkan negara ini bertaraf negara maju. Apa definisi negara maju kita? Pendapatan perkapita penduduk yang dua kali ganda dari sekarang? Bagaimana tentang kos dan kualiti kehidupan rakyat negara ini secara keseluruhannya? Statistik hanya memberikan angka-angka yang dirumus mengikut purata dll ukuran, tetapi jauh lebih penting ialah taraf kehidupan sebenar setiap rakyat negara ini kerana dalam kita bercakap tentang kemiskinan tegar telah dihapuskan, program televisyen kita mempamerkan realiti kehidupan ramai rakyat yang terpinggir dan tidak mendapat nikmat kemajuan dan kekayaan ekonomi seperti sepatutnya.
Saya kritis tentang banyak perkara bukan bermakna saya menentang dan anti sesiapa juga dalam kerajaan Barisan Nasional. Tetapi pengalaman saya tinggal di luar negeri, pembacaan dan pengamatan saya tentang banyak perkara menyebabkan saya beranggapan masih banyak yang perlu dilakukan untuk membaiki taraf kehidupan rakyat di negara ini. Tidak usah bandingkan dengan negara yang jauh lebih mundur dari kita, kerana kita hanya 10 tahun lagi nak mencapai taraf negara maju.
Sunday, May 17, 2009
Drama TV dari Indonesia dll.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 2:15 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment