Sewaktu masih kecil ( lingkungan 4 tahun) dan tinggal di Teluk Air Tawar, Seberang Perai saya sering mengikut nenek saya ke Pulau Pinang. Masa itu semuanya kena naik feri dan itulah yang paling saya sukai kerana masa itulah nenek (sebelah bapa) akan bercerita tentang beberapa legenda dalam keluarga kami. Antaranya kisah Pak Berahim anak saudara beliau dan bagaimana dia mempunyai dua orang isteri.
Pak Berahim (panggilan semua anak buah kepadanya) adalah merupakan seorang anak Melayu Pulau Pinang yang pertama mendapat lesen memandu kapal kargo antara-bangsa (mungkin juga orang Melayu pertama di seluruh Malaya dalam tahun 30-40han rasanya) dan masih muda belia dan cukup kacak serta merisaukan nenek saya yang kami semua sekarang gelarkan Queen Victoria! Dipendekkan cerita, nenek saya berjaya memujuk Pak Berahim dalam usia yang amat muda supaya berkahwin dengan sepupunya. Nenek saya merasakan dia cukup puas hati dan telah menjalankan tanggung-jawabnya kepada Pak Berahim yang kematian ibu sejak kecil. Pak Berahim sering membawa kapal kargo ke negara-negara Asia seperti India, Burma dan Thailand dll. Pak Berahim menjadi sanjungan keluarga dan masyarakat Melayu Seberang Perai kerana maklum saja menjadi anak Melayu pertama menjadi Kapten Kapal Dagang syarikat multinasional ketika itu. Bila dia tidak belayar saya sering dibawa oleh nenek melawat Pak Berahim di Pulau Pinang.
Beberapa tahun berselang, sewaktu berlabuh di Rangoon, Pak Berahim naik ke darat dan bertemu dengan seorang wanita jelita tempatan yang bernama Nancy. Nancy berketurunan Islam Burma dan tanpa diketahui oleh Pak Berahim siapa Makcik Nancy sebenarnya, mereka telah jatuh cinta. Kisah klise cinta 3 segi yang tak pernah membosankan (kalau tidak penulis skrip semua kehabisan idea tak tau apa nak tulis)! Dipendekkan cerita, Pak Berahim sewaktu nak berangkat balik ke Tanah Melayu telah berjanji akan pulang semula ke Rangoon dan mengahwini buah hati pengarang jantungnya dalam masa beberapa bulan lagi. Pak Berahim pulang ke Pulau Pinang dan menceritakan masalahnya kepada nenek . Mengamuk sakan lah nenek saya. Beliau tidak membenarkan Pak Berahim berkahwin seorang lagi. "Mentang-mentanglah gaji dia banyak, dia nak menikah dengan orang rata dunia!" Begitulah antara sumpah seranah nenek saya kepada Pak Berahim. Kesian dia, Pak Berahim bukannya seorang yang romeo tetapi kerana dia terlalu muda ketika dikahwinkan , mungkin telah jatuh cinta pandang pertama bila terpandang Makcik Nancy jelitawan Rangoon ini. Mana ada peraturan tentang soal hati ini?Mungkin itu yang tidak diketahui oleh nenek saya.
Pak Berahim mengutuskan surat kepada kekasihnya dan menceritakan apa yang terjadi dan memberitahu keluarganya tidak membenarkan mereka berkahwin. Pak Berahim tidak mahu menceritakan yang dia sudah berkeluarga sebenarnya dan itulah sebabnya nenek tidak membenarkan mereka berkahwin. Pak Berahim agak kecewa dengan keputusan itu tetapi tidak berbuat apa-apa kerana nenek adalah seperti ibunya sendiri.
Beberapa bulan berlalu, satu hari tok wan saya dikejutkan dengan perkhabaran dari Pulau Pinang. Dia disuruh ke rumah Pak Berahim dengan segera kerana ada masalah besar yang mungkin mencetuskan ketegangan antara-bangsa . Beliau bergegas ke rumah Pak Berahim dan sampai di sana mendapati ada seorang tetamu wanita asing yang memakai saree dengan dua orang tentera pengawal lengkap bersenjata! Pak Berahim dan isterinya duduk dalam keadaan yang paling sukar pastinya, tetapi sempat menceritakan kepada tok wan saya itulah Nancy, wanita Rangoon yang ingin dikahwininya. Rupa-rupanya Makcik Nancy adalah anak gadis kepada Gabnor Rangoon. Setelah menerima surat Pak Berahim Makcik Nancy amat kecewa. Ayahnya telah mengutus surat kepada Konsul Burma di Pulau Pinang dan menyuruh siasatan dijalankan.
Pak Berahim dan Makcik Nancy disuruh buat pilihan oleh ayahnya. Meneruskan perkahwinan atau menerima ajal mereka ketika itu juga kerana ayah Makcik Nancy merasa cukup malu dengan apa yang berlaku. 2 orang tentera pengiring Makcik Nancy masing-masing membawa pistol dengan sebutir peluru sahaja di dalamnya. 1 peti wang emas juga dibawa bersama. Arahannya sangat mudah. Jika Makcik Nancy tidak mahu mengahwini Pak Berahim apabila mengetahui dia sudah beristeri, tembak Makcik Nancy di kepala sampai mati. Dan jika Pak Berahim tidak mahu mengahwini Makcik Nancy, tembak dia di kepala sampai mati! Bercakap tentang 'shotgun marriage' dalam erti kata yang sebenarnya!! Tetapi jika keduanya bersetuju untuk berkahwin dan menerima nasib mereka, 1 peti wang emas itu untuk memastikan Mak Cik Nancy boleh hidup dengan selesa dan tidak akan diinayai oleh nenek saya atau isteri pertama Pak Berahim.
Nenek saya tidak ada bersama ketika itu dan ini menyelamatkan hubungan diplomatik Tanah Melayu-Burma! Tok wan saya (seorang guru agama berasal dari Tikam Batu, Kedah dan berketurunan dari Sadao, Selatan Thai serta sepengajian dengan 'Tok Ngah Lah' Haji Abdullah Fahim) tidak mahu membuang masa dan terus bertanya kepada Pak Berahim apa keputusannya? Pak Berahim mengambil keputusan berdiam diri tetapi tok wan saya membuat keputusan untuknya. "Kahwinlah. Bukannya mati. Tapi kalau tak kawin mungkin mati!' Tok wan saya jenis yang tidak banyak cakap tapi man of action . Melalui jurubahasa dari Konsul Burma dia bertanya kepada Makcik Nancy pulak. Mana ada pilihan? Makcik Nancy menganggukkan kepala tanda setuju menjadi isteri kedua Pak Berahim. Pada hari itu juga, tok wan saya menikahkan Pak Berahim dan Makcik Nancy di depan isteri pertamanya. Selesai masalah diplomatik antara-bangsa! Ini cerita betul, bukan rekaan dan bukan bahan joke of the year saya. Sebab itu saya dan kakak-kakak saya menamakannya Legenda Pak Berahim dan Makcik Nancy.
Saya masih ingat selepas itu, Makcik Nancy dan madunya bergambar berdua dan gambar mereka diedarkan kepada seluruh keluarga supaya semua mengetahui , menghormati dan menerima beliau dalam keluarga. Tok wan saya berpendidikan agama dan agak strict tentang peraturan kekeluargaan Islam. Lagi pun berani nak apa-apakan anak Gabnor Rangoon? Perang sabil pulak nanti! Nenek saya tidak dapat berkata apa-apa dan terpaksa menerima 'kudeta' tok wan dan apa yang terjadi walau pun beliau mengomel setiap hari tentang perkara itu setiap kali ke rumah Pak Berahim di Pulau Pinang. Dan setiap kali cucu atau anak-anak saudara lelakinya akan berangkat ke luar negeri kami semua akan mendengar leteran nenek dan legenda Pak Berahim diceritakan semula entah untuk kali keberapanya. Semoga tidak ada lagi apa juga ketegangan diplomatik dalam keluarga saya selepas ini disebabkan oleh cinta pandang pertama!
Friday, May 29, 2009
Legenda Pak Berahim dan Makcik Nancy
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:25 AM 0 comments
Monday, May 25, 2009
Penghormatan Untuk Sudirman
Dengar kabarnya Istana Budaya akan mengadakan Konsert Mengenang Sudirman tidak lama lagi. Memang sudah sampai masanya, seniman besar dan berbakat seperti Allahyarham diberi penghormatan yang sewajarnya begitu. Kalau tak salah saya, RTM telah memulakannya pada tahun 2007 dengan beberapa siri program di RTM 1 dan kemuncaknya konsert di Stadium Melawati. Terima kasih kepada bos RTM ketika itu, walau pun seorang lagi adik saya iaitu Akmal Abdullah dalam kolum Epilognya dalam Berita Harian yang mula mencuit perasaan dan pertimbangan orang tertentu, agaknya. Apa pun, semangat menghormati seniman seperti Sudirman yang cukup unik dan mempunyai keistimewaannya sendiri semakin mendapat sambutan dan pengiktirafan.
Saya masih ingat perbualan dengan Datin Rodziah kakak Allahyarham beberapa hari sebelum konsert tahun 2007 itu diadakan. Saya tanyakan bagaimana perasaannya setelah hampir 15 tahun adiknya meninggalkan kita, baru ada usaha memberi penghormatan dalam konsert yang sebegitu besar? " Untuk apa konsert ini dibuat?" Soalan saya dijawab dengan soalan balik dan saya terdiam sambil memerhatikan wajah beliau. " Kenapa baru sekarang nak buat?" Datin Rodziah bertanya lagi. Masih ada banyak perkara yang terbuku di hatinya saya kira.
Mungkin berbagai NGO yang berkaitan dengan keseniaan dan muzik boleh memikirkan cara-cara lain untuk memberi penghormatan kepada Sudirman. Kenapa tidak namakan dewan, studio, jalan atau apa saja yang bersifat lebih kekal dengan nama Sudirman untuk memberi pengiktirafan kepadanya. Kalau kita sudah boleh membuat konsert untuk mengenang beliau, kenapa tidak boleh berikan penghormatan dan pengiktirafan dengan cara lain? Seniman, Karyawan atau apa juga persatuan boleh membuat cadangan dan hantarkan kepada kementerian untuk melaksanakannya. P.Ramlee bukan seorang sahaja seniman besar di negara ini dan saya kira penghormatan untuk beliau telah terlalu banyak. "Cukup-cukup lah bercakap tentang P.Ramlee," kata Dr. Anuar Arai suatu ketika dulu. Saya setuju dengan saranan beliau dan ini bukan bermakna saya tidak menghormati seniman agong ini tetapi, janganlah sampai kita langsung tidak melihat bahawa ada orang lain juga yang perlu diberi pengiktirafan kerana kehebatannya.
Sekali lagi terima kasih kepada bos RTM ketika itu yang cukup sensitif tentang perkara ini dan dengan penuh kejujuran meletakkan seorang seniman hebat kita di tempatnya. Hanya orang yang hebat dapat mengakui dan memberi pengiktirafan kepada orang lain yang cukup hebat juga. Dan semua ini bermula dengan rasa rendah diri, keikhlasan dan mengakui kerdilnya kita di sisi tuhan Rabul alamin. Alhamdullilah dan Al-Fatihah untuk Sudirman Hj.Arshad.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:31 PM 0 comments
Thursday, May 21, 2009
Kota Buku
2 hari yang lalu, bertempat di Hotel Shangri La Putrajaya saya menghadiri majlis TPM TS Mahyuddin Yassin melancarkan buku-buku penerbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia sewaktu perjumpaan dengan Sasterawan dan penulis. Dalam ucapannya, TPM mengumumkan Kementerian Pelajaran akan membuat Kota Buku iaitu satu institusi yang serba-serbinya berkaitan dengan buku dan penulisan. Terima kasih atas pengumuman tersebut dan ini mengingatkan saya kepada berbagai cadangan dan perancangan Mantan PM Pak Lah semasa menjadi Perdana Menteri dalam mempromosi budaya ilmu dan pembinaan modal insan yang cemerlang. Program seperti Kota Buku ini adalah sebahagian daripada pengisian kepada perancangan yang berkaitan dengan pembinaan budaya ilmu dan intelektualisme sebuah negara bangsa yang baik dan amat perlu untuk makanan minda dan rohani rakyat negara ini.
Ternyata PM (dan juga TPM) mengotakan janji mereka untuk meneruskan agenda dan perancangan yang telah diuar-uarkan oleh Pak Lah dalam mereka mencarta perkembangan dan pembangunan baru serta meneruskan kesinambungan pentadbiran mengikut perencanaan dan gaya mereka sendiri. Ianya pasti menarik untuk dianalisis dalam jangka masa yang lebih lama kerana masih terlalu awal untuk sesiapa juga berbuat demikian. Pun begitu, saya pasti ramai yang akan berkata, 'yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua juga!'
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 2:47 AM 0 comments
Monday, May 18, 2009
Respon Kepada Artikel Zin Mahmud
Dalam Mingguan Malaysia baru-baru ini ada artikel yang ditulis oleh Zin Mahmud bertajuk Warisan, Wawasan dan Kewarasan. Saya membaca artikel ini beberapa kali dan merasa cukup terpanggil untuk memberi respon mengenainya.
Mengikut Zin, Tunku Abdul Rahman didesak oleh British untuk memasukkan Singapura ke dalam Malaysia. Berikutan dengan itu, Tunku yang berpandangan jauh memasukkan Borneo Utara (Sabah sekarang ini) dan juga Sarawak ke dalam Malaysia untuk mengelakkan ketidak-seimbangan populasi Malaysia kerana majoriti penduduk Singapura terdiri dari orang Cina. Kebanyakan buku Sejarah mempunyai pandangan sedemikian dan pada pandangan saya ianya tidak lebih dari interpetasi umum. Apa yang tidak diketahui (mungkin) ramai ialah Tunku Abdul Rahman sudah lama bertindak dan membuat persediaan merapatkan diri dengan orang-orang Borneo Utara iaitu semenjak proses pencapaian kemerdekaan lagi.
Beberapa tahun dahulu, YBhg.Tun Sakaran Dandai menceritkankan kepada saya bahawa sewaktu Tanah Melayu hampir mencapai kemerdekaan, segolongan kecil anak-anak muda dari Sabah telah dihantar ke Tanah Melayu untuk tinggal di sini dan berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin politik Melayu untuk mempelajari selok-belok pentadbiran sendiri juga untuk tujuan mengeratkan perhubungan dengan pimpinan anak negeri . Hal ini disahkan oleh Tan Sri Aishah Ghani yang menceritkan kepada saya bahawa sejurus sebelum kemerdekaan dicapai, beliau dan beberpa orang pemimpin politik UMNO mempunyai beberapa orang anak angkat dari Sabah yang dibawa masuk oleh Tunku Abdul Rahman. Fakta ini mungkin kecil dan dianggap tidak penting, tetapi pemikiran Tunku yang jauh ke depan dalam hal ini pastinya bukan sesuatu yang tidak dirancang dan berlaku secara kebetulan. Mungkin juga Tunku sudah menjangkakan bahawa Singapura akhirnya akan bercantum dengan Tanah Melayu dan beliau membuat persediaan ke arah itu terlebih dahulu.
Sayang, penulisan buku sejarah kita sering masih terkongkong pada landasan yang konvensional dan sudah diketahui ramai sahaja selain daripada tidak banyak yang mahu mengeksplorasi trek-trek lain dan memasukkan juga sudut pandangan disiplin ilmu yang lain seperti antropologi, sosiologi, ekonomi dll. Saya salah seorang yang berpandangan bahawa penulisan fakta sejarah bukan hak mutlak orang sejarah sahaja.
Zin Mahmud juga mengatakan PPSMI adalah dasar yang dibuat sebagai persediaan untuk menaikkan daya saing orang Melayu dan rakyat negara ini dalam era globalisasi yang didominasi oleh Bahasa Inggeris. Saya mohon untuk berbeza pendapat tentang perkara ini. Tanpa mahu mempertikai niat baik Tun Dr.Mahathir dan semua yang terlibat dalam dasar ini, saya masih beranggapan PPSMI adalah cara terburuk dan salah dari segi Perlembagaan untuk meninggikan tahap penguasaan Bahasa Inggeris murid-murid sekolah kita. Ada 1001 cara lain untuk membolehkan pelajar-pelajar kita menguasai Bahasa Inggeris atau bahasa ilmu apa juga seperti Perancis, Jerman, Russia dll yang penting. Dan lebih menyedihkan ialah dasar PPSMI digubal oleh ahli politik yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam dan kepakaran bukan saja dari sudut pembelajaran bahasa tetapi juga dari aspek pedagogi pembelajaran bahasa. Tanyalah sesiapa pun yang pernah menjadi guru dan cukup berilmu dalam pengajaran bahasa pasti akan mengatakan dasar PPSMI tidak ubah seperti peribahasa 'tikus membaiki labu' sahaja kedudukannya!
Kata Zin lagi, kemenangan besar BN dalam pilihan-raya 2004 adalah kerana sokongan rakyat kepada dasar-dasar 'berwawasan' Tun Mahathir. Sekali lagi saya mohon untuk berbeza pendapat kerana saya rasa ini hanyalah pandangan dan interpetasi Zin sahaja. Orang lain mungkin mempunyai pandangan yang berbeza mengenainya. Beberapa bulan selepas pilihan-raya 2004 saya pernah berbual dengan YBhg.Tun Daim Zainuddin Mantan Menteri Kewangaan mengenai perkara ini. Saya tanyakan beliau apa pandangannya mengenai kemenangan besar BN dan adakah beliau bersetuju dengan pendapat ramai orang bahawa faktor Pak Lah membawa kepada kejayaan ini? Beliau mengatakan ia bersetuju dengan sebahagian daripada pandangan tersebut tetapi menambah bahawa dalam UMNO dan BN ketika itu ada perpaduan dan itu faktor yang paling penting. Sama seperti apa yang berlaku pada tahun 1999, pada tahun 2008, tsunami politik berlaku bukan sahaja kerana ada perubahan pola pengundian dan realiti politik yang tidak disedari (atau tidak mahu disedari) juga kerana tidak ada perpaduan dalam UMNO dan BN!
Saya kurang pasti apa motifnya tetapi merasa amat tidak wajar Zin seolah-olah tidak mahu mengakui kewujudan Pak Lah sebagai TPM semenjak 1999 dan menjadi PM semenjak 2003 mempunyai impak kepada perjalanan politik negara ini. Apa pun tujuan beliau mengatakan begitu, jangan sampai fakta dan kebenaran sejarah dibelakangkan kerana 20 atau 30 tahun lagi mungkin orang lain akan menulis banyak perkara yang tidak diketahui ramai tentang apa yang berlaku dan tidak berlaku dalam pilihan-raya 2008. Interpetasi sejarah bukan milik seorang manusia sahaja dan cuba-cubalah akur dengan semangat keterbukaan Pak Lah dan yang diwarisi dengan begitu graceful oleh DS Najib yang cukup merendah diri mengakui 'Kerajaan tidak tahu segala-galanya' dan mengalu-alukan partisipasi semua 'pemegang saham' yang berwibawa dan berilmu dalam proses pembinaan negara bangsa. Wawasan seorang manusia yang menjadi PM di mana pun akan tinggal sebagai wawasan orang itu sahaja dan ia tidak semestinya lengkap, tepat dan mencakupi keperluan semua orang dalam semua aspek kehidupan. Jangan lupa tentang perkara itu!
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 6:14 PM 1 comments
Sunday, May 17, 2009
Drama TV dari Indonesia dll.
Beberapa hari berada di Sg.Petani di rumah ibu saudara tanpa akses internet, 6 surat kabar tempatan setiap hari (10 termasuk dari luar negeri bila ada masa) dan 'membungkus' diri saya dengan soal-soal saudara mara dan politik tempatan menjadikan saya mati akal untuk menulis apa pun dalam blog ini. Pun begitu, selepas menonton filem Angels and Demons dan mendapat dosage surat kabar yang cukup baru saya teransang untuk menulis semula.Tak saya tidak melarikan diri ke mana juga atas apa sebab pun jadi jangan buat apa juga spekulasi yang tidak betul dan membuang masa saja!
Hari ini Ku Seman dalam Mingguan Malaysia semakin tinggi suhu kemarahannya tentang drama Indonesia di televisyen tempatan. Relax brader! Jangan marah-marah tak tentu pasal tapi berhujahlah dengan kepala yang dingin di zaman Influenza A H1N1 ni. Tapi saya amat faham dengan kemarahan sahabat saya ni kerana saya pun marah juga hal-hal macam ini. Entah kenapa, semua stesen televisyen kita menyiarkan drama dari Indonesia yang tidak berkualiti, entah apa-apa ceritanya dan tidak boleh difikirkan kenapa siri program begitu yang dibawa masuk. Tak cukup dengan itu, sekarang nak diterbitan di Malaysia pula.
Saya boleh menerima tentang keterbukaan sistem ekonomi kita yang membolehkan drama Indonesia diterbitkan di Malaysia, tetapi kenapa kualitinya tidak dipentingkan langsung? Agaknya perkiraan utama ialah harga siri drama dari Indonesia ini lebih murah dari drama-drama yang diterbitkan oleh syarikat tempatan. Kalau itulah ceritanya, kepentingan bisnes dan bukan seni yang menjadi kriteria utamanya. Tak usah bercakap tentang penerapan unsur-unsur pembinaan negara bangsa. Apa yang nak dibina jika ceritanya tentang perkara-perkara yang tidak masuk akal dan diluar konteks masyarakat Malaysia? Nilai-nilai kemanusiaan sejagatnya juga tidak ada kerana unsur magis, khayalan dll yang banyak mendominasi drama-drama ini.
Satu perkara lain yang perlu ditanya ialah banyakkah siri drama tempatan yang dapat dijual dan ditayangkan di stesen televisyen di Indonesia? Setahu saya, tidak banyak mana yang dapat dijual sejak bertahun-tahun yang lalu. Beberapa tahun lalu, Mantan Menteri Penerangan Dt.ZAM dalam ucapannya dalam satu majlis meraikan seniman dari Malaysia dan Indonesia pernah menyentuh tentang perkara ini secara tebuka, tetapi sehingga kini keadaannya masih tidak berubah. Mungkin itu sebabnya suhu kemarahan Ku Seman tinggi. Saya menghantar SMS kepada beliau tadi dan saya harap saya tidak menambahkan suhu kemarahannya!!
Penghormatan Kepada Guru
Dalam Mingguan Malaysia hari ini juga, TPM TS Mahyuddian bercakap tentang Kementerian Pelajaran pimpinannya. Antara isu yang dibangkitkan ialah tentang soal penghormatan kepada guru. Saya setuju dengan pandangan beliau bahawa tahap penghormatan masyarakat kepada guru tidak berubah tetapi apa yang beliau tidak sebut ialah terdapat perubahan nilai-nilai masyarakat yang amat ketara yang ada kaitan dengan profesyen perguruan. Saya melihat perkara ini telah lama berlaku semenjak menjadi pensyarah di Maktab Perguruan dulu. Apa yang berubah ialah nilai-nilai masyarakat yang meletakkan profesyen dan pendapatan dengan gaji yang jauh lebih tinggi itu sebagai lebih bernilai dari menjadi seorang guru. Di mana juga di dunia ini menjadi guru bermakna berpendapatan rendah dan nilai ekonomi seseorang tidak tinggi. Penilaian materialistik inilah yang menyebabkan profesyen perguruan hanya diceburi jika tidak ada pilihan lain lagi.
TPM juga menyebut tentang saiz kelas yang perlu dikecilkan. Dalam postings yang lalu saya telah sentuh tentang perkara ini dan sememangnya masalah ini cukup serius dan ada kaitannya dengan kesan psikologi dan fisiologi seseorang guru. Tidak ada guru yang boleh berfungsi dengan motivasi yang optimum dengan 50 orang murid dalam satu kelas. Bukan itu saja, kita perlukan lebih banyak sekolah supaya hanya satu sesi persekolahan yang dijalankan supaya pembelajaran tidak di compressed dalam sesi yang singkat dengan masa rehat 15 minit dari jam 7.45 pagi hingga 1.30 tgh. Saya berpendapat masalah disiplin di sekolah-sekolah kita pasti ada kaitan dengan suasana ini. Buatlah penyelidikan dan lihatlah dapatannya tentang tahap stress di kalangan murid-murid kita.
Wawasan 2020 mensasarkan negara ini bertaraf negara maju. Apa definisi negara maju kita? Pendapatan perkapita penduduk yang dua kali ganda dari sekarang? Bagaimana tentang kos dan kualiti kehidupan rakyat negara ini secara keseluruhannya? Statistik hanya memberikan angka-angka yang dirumus mengikut purata dll ukuran, tetapi jauh lebih penting ialah taraf kehidupan sebenar setiap rakyat negara ini kerana dalam kita bercakap tentang kemiskinan tegar telah dihapuskan, program televisyen kita mempamerkan realiti kehidupan ramai rakyat yang terpinggir dan tidak mendapat nikmat kemajuan dan kekayaan ekonomi seperti sepatutnya.
Saya kritis tentang banyak perkara bukan bermakna saya menentang dan anti sesiapa juga dalam kerajaan Barisan Nasional. Tetapi pengalaman saya tinggal di luar negeri, pembacaan dan pengamatan saya tentang banyak perkara menyebabkan saya beranggapan masih banyak yang perlu dilakukan untuk membaiki taraf kehidupan rakyat di negara ini. Tidak usah bandingkan dengan negara yang jauh lebih mundur dari kita, kerana kita hanya 10 tahun lagi nak mencapai taraf negara maju.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 2:15 AM 0 comments
Thursday, May 7, 2009
Kertas Kerja Prof.Dt. Zainal Kling di Kongres Kebudayaan Melayu 2.
MULTICULTURALISM:
MUSANG MARXIST-SOCIALIST BERBULU AYAM
The main idea of multiculturalism is the equal value of all cultures (i.e., cultural relativism)…Multiculturalism, a politicized form of cultural relativism, rejects the idea that there are general truths, norms, or rules with respect to both knowledge and morals…Multiculturalism attempts to replace individual rights with collectivism by assuming that a man’s identity and value are derived solely from biology, and that what is important is not what a person does as an individual, but rather what some members of his biological group currently do or did years ago. It follows that collective guilt replaces individual responsibility—a person must assume the responsibility for acts committed by his ancestors and pay for these acts ad infinitum…The victim mentality is both a cause and effect of multiculturalism. Multiculturalism promotes a culture of victims who have a perpetual claim on society and the government. The result is the division of society into political interest groups with conflicting demands that cannot all be met. (E.W.Younkins)
Multiculturalism atau cultural pluralism sebagai dasar, idealisme atau realiti menegaskan ciri unik pelbagai budaya terutama yang saling berkaitan di kalangan budaya dalam negara yang menerima kedatangan pelbagai budaya asing. Kehadiran pelbagai budaya asing dalam negara pribumi menuntut persama kedudukan dan hak sehingga mencapai pengiktirafan resmi. Banyak teori dan andaian dikemukakan tentang asal-usul gagasan ini. Namun pada tahun 1960han Kanada telah menjadikannya sebagai resmi dan kemudian diikuti oleh Australia dan negara-negara Eropah.
Sebenarnya negara-negara Eropah atau Amerika tidak pernah mempunyai dasar resmi bertulis tentang multiculturalism, sekadar hanya menerima perlaksanaannya di dalam pelbagai ucapan dan keputusan mahkamah. Malah kini mereka telah pula belok ke belakang untuk mentang terhadap dasar itu dan hampir meninggalkannya. Sejak kehadiran Islam di Eropah dan manipulasi golongan anti-Islam terutama Yahudi yang mengembang ketakutan terhadap Islam sebagai ‘Eurobia’ ramai golongan muda yang menentang dengan keras dan terbuka terhadap dasar multiculturalism.
Di Belgium telah muncul parti politik pelampau kanan yang tegas menentang dan menggerakkan tuntutan kemerdekaan oleh etnik berbahasa Belanda, Flemish, melalui parti Vlaams Belang (Seruan Flemish). Demikian juga gerakan parti kanan Belanda Party for Freedom, pimpinan Geerts Wilders yang telah membuat dan menyebarkan filem ‘fitna’ yang memburukkan Islam dan Nabi Muhammad sebagai ‘penjahat’. Usaha akhbar Denmark Jyllands-Posten’s menyabarkan kartun Nabi Muhammad yang membawa bom di dalam serbannya telah mendapat sokongan lebih dari 60% masyarakat terutama golongan muda. Usaha ini adalah sebahagian dari gerakan anti-multiculturalism yang diarahkan kepada Islam dan menanam kebencian terhadap Islam yang dituduh sebagai pembawa kegenasan dan membela pengganas dalam negara.
Begitu juga gerakan politik Pauline Hanson, One Nation, di Australia adalah penentangan politik teranga-teranagn dan terbuka terhadap imigrant adan multiculyturalism seperti mana dalam tahun 60han anggota Conservative seperti Enoch Powell atau Pim Fortuyn, pemimpin parti kanan Belanda yang tegas menetang multiculturalism dan kemudian terbunuh pada tahun 2002 oleh kerananya. Sejak itu Belanda yang terkenal sebagai liberal dan menyokong multiculturalism berpaling ke arah monoculturalism. Kabinet Perdana Menteri Jan-Peter Balkenende telah memaksakan dasar asimilasi, bayaran denda dan hukuman keras yang membawa kepada pemenjaraan serta kawalan ketat terhadap imigrasi dan pemohon asylum (suaka politik). Ramai kini secara terbuka menuntut dasar kembali kepada satu bangsa, satu budaya dan masyarakat homogen - seragam.
Dasar yang sedang diamalkan di Eropah termasuk ujian terhadap para pendatang:
· Kursus wajib atau ujian sejarah kebangsaan, perlembagaan dan system perundangan seperti ujian ‘Life in the United Kingdom’.
· Pengenalan kepada sejarah rasmi negara, undang-undang kanun Negara yang ditetapkan olek Suruhanjaya van Oostrom di Netherland serta pelbagai pameran sejarah termasuk wira-wira bangsa.
· Kempen rasmi untuk menggalak perpaduan bangsa dan identifikasi individu dengan bangsanya seperti kempan rasmi Du bist Deutschland di Jerman.
· Ujian yang direkabentuk utnuk menlahirkan nilai ‘tak diingini. Di Baden-Württemberg para pendatang ditanya apakah akan mereka lakukan jika anak mereka ialah homosexual. Jangkaan jawapan ialah penerimaan dan jika menolak akan gagal ujian untuk diterima sebagai pendatang.
· Larangan terhadap pakaian Islam niqab atau purda.
Gerakan Islamophobia - takut Islam - terkuat ialah faham ‘Eurobia’ – Europe+Arabia – sebagai jolokan kepada penaklukan Arab ke atas Eropah. Karya seorang wanita Yahudi kelahiran Mesir, menyebarkan gagasan Eurobia dan ‘dhimmitude’ atau perlindungan Islam terhadap bangsa Eropah sebagai bangsa terjajah menjadi perdebatan panas di Eropah kini.
Berhadapan dengan segala gerakan penentangan terhadap multiculturalism oleh pendokong budaya asli Eropah, Amerika dan pelbagai fahaman kanan atau pelampau yang dituduh sebagai ‘racist’ dan ‘xenophobia’ itu ialah pegawai rasmi dan minoriti pendatang yang menuntut multiculturalism. Baik di Kanada, Australia, Eropah, Amerika mahupun negara-negara lain pendatang inilah yang bergerak menjadi pencetus kepada gerakan itu sama ada mereka dari Asia Jauh, Asia Barat, Eropa Timur mahupun Asia Selatan dan Afrika. Gerakan itu sudah mencapai tahap kesahihan kerana di sebaliknya terdapat ideologi dan perjuangan yang didalangi oleh gerakan Marxist-Socialist yang telah kalah dalam peperanganh ekonomi dan politik di Eropah pada tahun 1960han dan runtuhnya semua Communism kecuali Asia yang telah pula memeluk ‘capitalism’ sebagai agama sekular baru. Para ilmuwan mereka lari ke bawah tanah sebagai filsafat ilmu dan politik-ekonomi golongan ‘critical’ atau lebih terkenal sebagai ‘post-modernism’. Dengan alasan berjuang untuk ‘identity’ golongan kecil race, ethnic dan gender mereka membangun fahaman ‘politics of identity’ di mana setiap golongan adalah berhak untuk mempertahankan identitinya yang unik, asing serta biologis. Perjuangan itu tetap mengekalkan fahaman dan ideologi Marxist-Socialist yang terus menentang fahaman lain selain ideologi itu sahaja. Mereka tetap mengajarkan kebencian dan permusuhan terhadap ideologi lain terutama naratif agung (grand narative) yang bukan Marxist.
Seperti kata Roger Scruton , failasuf dari Cambridge: Multiculturalism thus originally had its roots in a cultural identity crisis in the West, but it was quickly expropriated by groups with their own agendas. This period, the 1960s and 70s, was also the birth of the Western Cultural Revolution, a hippie youth rebellion against the established Western culture and institutions that was deeply influenced by Marxist-inspired ideologies. The anti-Western component in Multiculturalism suited them just fine. Following the end of the Cold War in the late 1980s and early 90s, when economic Marxism suffered a blow in credibility although it didn’t die, larger segments of the Western political Left switched to Multiculturalism and mass immigration as their political life insurance, and wielded the censorship of Political Correctness and “anti-racism” as an ideological club to beat their opponents and continue undermining Western institutions.
‘Multiculturalism asalnya berakar-umbi dalam krisis identiti Barat tetapi segera dipesongkan oleh kelompok-kelompok yang beragenda sendiri. Dalam tempuh 1960han dan 1970han muncul Revolusi Budaya Barat, suatu penentangan remaja hippie terhadap budaya dan institusi mantap Barat yang diilhamkan oleh ideologi Marxist. Komponen anti-Barat dalam multiculturalism amat sesuai untuk mereka. Dengan berakhirnya Perang Dingin pada akhir 1980han dan awal 1990han, ketika kesahihan ekonomi Marxisme terpukul, meskipun tidak mati, tetapi sebahagian besar golongan politik kiri Barat bertukar kepada multiculturalism dan isu migrasi beramai sebagai jaminan politik mereka dan menghayun pemukul ideologi berbentuk ‘Politik Betul’ (Political Correctness) dan anti-rasisme untuk menghentam sebarang penentang mereka dan terus berusaha melemahkan segala institusi Barat.’
Kini, dengan gabungan pelbagai faktor termasuk globalisasi, imigrasi antarabangsa buruh berbudaya rendah, bisnes antarabangsa yang tidak mempedulikan kenegaraan serta gerakan anti-Islam maka telah muncul suatu emosi dan rasa amat geram dan benci kerana, ”Many Westerners sense that their media and their politicians are no longer listening to them, and they are perfectly correct. Those who feel a loyalty to their culture and their nation states feel betrayed, because they are.”
(Ramai orang Barat merasa bahawa media dan ahli politik mereka tidak lagi mahu mendengar mereka, dan mereka sebenarnya betul. Mereka yang merasa taat-setia kepada budaya dan bangsa mereka merasa dikhianati, dan sememangnya demikian.)
Multiculturalism di Malaysia
Begitulah juga bangsa Melayu dan Bumiputera di Malaysia, mereka telah dikhianati oleh media dan para pemimpin mereka yang bebal dan dungu akan keadaan sebenar di sebalik multiculturalism serta impikasi mengenepikan fahaman kebangsaan yang selama ribuan tahun menunjangi kewujudan bangsa, negara dan tamadun yang kini dengan mudah diserahkan kepada orang lain yang berniat dan berhasrat buruk terhadap segala bentuk budaya dan institusi bangsanya itu.
Dengan jelas golongan Marxist-Sosialist yang telah kalah di seluruh dunia dan di Malaysia hingga PRU11 (2004) telah mempergunakan slogan busuk racism dan chauvinism malah ‘apatheid’ Melayu dan Bumiputera sebagai cokmar besar menghentam sekerasnya seluruh sistem Melayu itu sebagai rasis untuk menutup rasisme tulin mereka. Menuntut hak ras dan budaya kelompok etnik sendiri di sebalik nama ‘demokrasi’, ‘keadilan’ serta ‘hak asasi manusia’ apalagi ‘kedaulatan rakyat’ adalah sejitunya marxism yang amat memecahkan dan menghancurkan perpaduan bangsa ke dalam ‘atominsme’ rasis dan cauvinis. Mereka tidak silu menjadi musang berbulu ayam dan musuh dalam selimut yang menggunting dalam lipatan dengan niat paling busuk dan buruk. Setelah menikmati segala macam kemajuan yang jauh melebihi keselesaan orang Melayu dan Bumiputera yang masih lagi merempat di luar bandar, ulu sungai dan dalam hutan Malaysia, golongan keturunan pendatang dihasut dan diracuni pemikiran mereka sebagai ‘terpinggir’, warga kelas dua dan Melayu disuruh benci sesama sendiri. Kempen ‘hate culture’ ini adalah sikap dan pegangan tetap Marxist yang selamanya berlaku demi keruntuhan ‘bourjuis’ (pemilik harta) untuk melahirkan cita-cita asing sebagai ‘Malaysian Malaysia’.
Di manapun mereka berada, walaupun di Britain adalah tetap sama, seperti kata Scruton: “ For many years our own Labour Party existed on a diet of class hatred not entirely dissimilar to the hatred that had been a cornerstone of communist ideology between the wars. The most striking feature of the left-wing movements of the sixties – movements to which many of today’s political élite belonged – was the fervour of hatred that they expressed towards the ‘bourgeoisie’, meaning anyone who owned property. Incitement is never far from the surface in politics,” .
Inilah permainan Marxist-Socialist yang sentiasa membina budaya kebencian seperti juga ideologi komunis terhadap golongan yang dinamakan ‘berada’ (bourgeoisie). Mereka telah kalah, seperti kalahnya mereka di Malaysia tetapi tetap gigih menabur kebencian terhadap Melayu yang amat baru mencapai sedikit kemajuan, menggalak pergaduhan awam, mendorong penentangan kuasa kerajaan dan mengajukan tuduhan rasisme terhadap hak asasi Melayu / Bumiputera atas nama keadilan dan demokrasi. Mereka tidak pun membela keadilan Bumiputara yang masih tertindas oleh perkembangan budaya dari tahap ‘tribalism’ ke arah ‘peasantry dan kini menjadi buruh bandar. Mereka tidak pernah menganjurkan ‘aman’ dan ‘damai’ dalam masyarakat tetapi hanya ‘lawan tetap lawan’, peperangan dan persinggitan yang tidak berhenti-henti. Justeru itu, walaupun mereka telah dapat memerintah namun tetap tidak dapat tenang dan aman untuk membawa pembangunan bangsa kerana pemikiran mereka disumbat dengan gesaan ‘pergaduhan abadi’ (permanent struggle) dan revolusi mereka akan menghadapi penentangan seluruh rakyat.
Mereka tidak mengakui kebumiputraan Melayu kerana itu bertentangan dengan gagasan kelas ‘proleter’ serta kedaulatan rakyat mereka. Justeru, tugas mereka ialah memperjuangkan revolusi ‘Malaysian Malaysia’ yang akan menghapuskan segala ciri kebangsaan, kenegaraan (national) dan batas kesejarahan jitu yang sahih orang Melayu/Bumiputara. Mereka ingin menegakkan ‘historcism’ palsu. Lihat sahaja perlembagaan parti yang mengaku ‘demokratis’, tidak sedikit pun menerima segala ciri Perlembagaan Persekutuan meskipun perlembagaan itu yang memberikan mereka ‘kerakyatan’ dan kuasa demokratis. Malah mereka mengenepikannya tanpa sebarang kenyataan taat kepada semua peruntukan kerajaan dan bentuk kenegaraan di dalamnya.
Bandingkan pula dasar kebudayaan yang disarankan oleh memorandum mereka seperti yang cadangkan oleh pertubuhan-pertubuhan China. Tidak satupun prinsipnya mengiktiraf kesejarahan dan kebumiputeraan Melayu apalagi hak asasi Melayu/Bumiputara untuk menjadi asas pembinaan kebudayaan itu. Lebih buruk lagi ialah penyelewengan tafsiran terhadap prinsip kedua DKK (Dasar Kebudayaan Kebangsaan) yang sengaja disalah-tafsirkan sebagai mengarah kepada ‘asimilasi’ meskipun dengan jelas prinsip kedua DKK itu menerima unsur lain yang boleh ‘disesuaikan’ untuk memaju dan mengembang kebudayaan nasional secara bersama. Mereka menuntut persamaan hak dan multiculturalism asing dan migrantism, yang kini telah ditentang hebat oleh seluruh masyarakat Barat di mana gagasan itu bermula.
Barangkali yang lebih parah perlu difahami tentang pemerintahan Marxist-Socialist ialah sikap dan tindakan mereka yang amat kasar dan kuku-besi, yang authoritarian dan oligarchy. Tidak ada satu pun pemerintahan seperti ini baik di Eropah mahupun di Asia yang menunjukkan ‘toleran’ atau terbuka terhadap fahaman lain yang tidak bersamaan dengan mereka. Selamanya mereka menindas dan memburukkan apa saja yang berlainan dan menggalakkan sengketa. Pemerintahan yang selama ini amat toleran terhadap mereka akan dihapuskan dengan keras melalui apa saja caranya. Lihat sahaja ketidak-toleran mereka terhadap akhbar The New Straits Times dan Utusan Malaysia yang diharamkan di Pulau Pinang, dan di Perak serta dikempenkan supaya diboikot di Selangor. Inilah wajah sebenar Marxist-Sosialist yang berbulu ayam di sebalik demokrasi, keadilan dan kerakyatan PR.
Justeru demikian, kita juga harus menentang sehabisnya gagasan multiculturalism kerana ia menyorokkan musang Marxism dalam bulunya dan menyimpan musuh socialism dalam selimut serta menjadi api komunisme dalam sekam yang terus merosakkan segala yang di sekelilingnya.
Sayangnya sebahagian besar anggota Melayu/Bumiputera yang terjebak dalam kepalsuan, kemunafikan serta kefasikan ini belum menyedari betapa mereka sedang diperkuda dan diperunta untuk membawa keruntuhan dalam negara dan masyarakat mukmin kerana keenakan dan godaan permainan dan rasukan enak mimpi ‘kerajaan kebajikan’ dalam seruan ‘syaitan’ menggunakan sepenuhnya strategi ‘bajak wangkang makan diangkat’ serta budaya ‘pak kaduk – ayam menang kampung tergadai - yang mengangkat ego dan kesombongan pemimpin Melayu-Islam demi perpecahan Melayu/Bumiputara. Hal inilah sewajarnya diwaspadai sangat-sangat dan dihapuskan seperti mana diperintah oleh Allah di dalam sekian banyak ayat al-Baqarah dan at-Taubah.
(Seperti yang dijanjikan saya letakkan kertas kerja Prof Dt.Dr.Zainal Kling yang telah dibentangkan pada Kongres Kebudayaan Melayu ke 2 yang lalu.)
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 6:45 AM 0 comments
Tuesday, May 5, 2009
Beberapa Anekdot Tentang Tunku Abdul Rahman PM Pertama Malaysia.
Beberapa tahun lalu semasa berbual dengan Datuk Syed Hussein (Pak Syed) menantu YTM Tunku Abd.Rahman PM Pertama Malaysia dan isterinya YM Tengku Khatijah (Mak Engku) anakanda Tunku, mereka menceritakan beberapa kisah lucu tentang Bapa Kemerdekaan Malaysia ini. Antaranya kata Pak Syed ialah tentang pertemuan Tunku dengan Lee Kuan Yew di London sebelum Singapura keluar dari Malaysia. Pertemuan itu berlaku secara rahsia di sebuah Kelab Malam bernama Omar Khayyam dan Pak Syed ada bersama-sama Tunku ketika itu. Tunku mengingatkan Lee Kuan Yew supaya jangan beritahu sesiapa bahawa mereka berjumpa di Kelab Malam kerana takut dimarahi oleh isterinya jika perkara itu diketahui. Lee Kuan Yew tercengang-cengang kerana sangkanya Tunku takut perjumpaan mereka di Kelab Malam itu diketahui oleh rakyat Malaysia dan di sensasikan untuk tujuan yang negatif, tetapi rupanya Tunku takut Mak Pah (Tun Sharifah Rodziah) yang marah kalau mengetahuinya!
Mak Engku tanpa berselindung dan dengan frankness beliau yang legendary terus menceritakan kepada saya bahawa bapanya memang begitu. 'Pak (panggilan anak-anaknya kepada Tunku) suka joget'. Tu pi night club di London tu biasalah. Mak Pah tak tau, kalau tau jenuh la kena marah!' Pun begitu kata Pak Syed mereka pergi untuk berbincang dan bertekak. Mereka berada dalam satu bilik khas dan Tunku meninggikan suara juga kepada Lee Kuan Yew beberapa kali yang mendiamkan diri bila kena marah. Beberapa pertemuan lain dengan Lee Kuan Yew di Kuala Lumpur berlaku selepas itu dan diikuti dengan Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965.
Pun begitu Pak Syed kesal dengan cerita-cerita yang disebarkan tentang skendel 'lantai parlimen dibasahi oleh bir dan minuman keras' sewaktu merayakan hari jadi tunku sebelum peristiwa 13 Mei 1969 kalau tak salah saya. 'Minuman keras memang ada dihidangkan, tetapi tidaklah sampai lantai dewan tu basah oleh bir.' Begitu cerita Pak Syed dan hal ini disahkan oleh Tan Sri Abdullah Ahmad yang menjadi Setia Usaha Politik kepada Tun Abdul Razak ketika itu. Hingga sekarang YM Tengku Ahmad Nerang kekanda kepada Tengku Khatijah tidak mahu bercakap tentang ayahandanya jika diinterviu oleh media mau pun penyelidik. Terlalu banyak kelukaan dihati beliau agaknya kerana ayahandanya dipersalahkan atas segala yang tidak baik berlaku di Malaysia ketika itu. Dalam frenzy orang-orang tertentu memomokkan Tunku dan mencari kambing hitam atas apa yang berlaku, sudah tidak ada garis pemisah antara perkara yang benar dan tidak benar tentang peribadi Tunku Abdul Rahman. Tunku mungkin bukan seorang yang warak, tetapi saya juga tidak yakin peribadi beliau begitu teruk sekali. Semoga cerita-cerita seperti ini tidak akan berulang dalam sejarah politik kita.
Sewaktu kemerdekaan belum tercapai dan dana parti UMNO begitu sedikit, Tunku pernah mengadu kepada YBhg. Datuk Siti Rahmah Kassim Ketua Penerangan Kaum Ibu UMNO ketika itu (yang melucutkan gelang emas ditangannya ketika Tunku menitiskan air mata memberitahu hadirin di Melaka tentang UMNO yang ketiadaan sumber kewangaan untuk meneruskan perjuangan mendapatkan kemerdekaan) bahawa ada kalanya beliau merasa buntu dan tidak pasti apakah mereka mampu meneruskan perjuangan. Cerita ini disampaikan sendiri oleh Datuk Siti Rahmah kepada saya di Rembau sedikit waktu lalu. Tunku telah menjual hampir semua harta beliau yang berupa rumah kedai di Arglye Road di Pulau Pinang. Daripada 11 pintu rumah kedai hanya 2 pintu yang tidak dijual kerana ditegah menjualnya oleh ahli keluarga beliau. Kata Tunku kepada Datuk Siti Rahmah ' harta saya semua dah jual. Merdeka tak dapat juga lagi. Boleh ka kita ni? ' Siapa sangka dalam kelicikan, kepintaran dan kecekalannya berjuang untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu, ada saat-saatnya Tunku hampir putus asa untuk meneruskan perjuangan?
Mungkin tidak ramai orang yang tahu kenapa Tunku dimakamkan di Alor Setar ketika mangkat pada tahun 1991. Peristiwa ini berlaku sewaktu AllahYarham Tun Dr. Ismail meninggal dunia dan beliau dikebumikan di Makam Pahlawan di Masjid Negara. Tunku menghadiri pengkebumian itu bersama-sama dengan Pak Syed (yang beliau panggil Cin). Sebelum pengkebumian, timbul sedikit pertelingkahan pendapat mengapa jenazah Tun Dr.Ismail perlu dikebumikan di situ yang mengasingkannya daripada kuburan orang Islam yang lain dan ini bukanlah sesuatu yang baik dalam ajaran Islam. Tun Abd.Razak memberitahu orang-orang UMNO yang mempersoalkan perkara tersebut bahawa semasa pembinaan Masjid Negara, Tunku telah mengamanatkan bahawa pejuang-pejuang kemerdekaan negara hendaklah dikebumikan di kawasan khas Makam Pahlawan di kawasan masjid sebagai penghormatan kepada jasa-jasa mereka.
Sewaktu Tunku dan Pak Syed tiba, seorang tokoh wanita UMNO telah menyindir beliau dan mengatakan bahawa Tunku membina Makam Pahlawan dan Tun Dr.Ismail dikebumikan di situ supaya Tunku juga akan dikebumikan di situ bila tiba masanya kelak! Tunku sangat sedih mendengar kata-kata tersebut dan beliau berpaling kepada Pak Syed serta berkata 'Cin, kalau Pak mati esok, jangan tanam di sini. Bawak balik tanam di Langgar.' Wanita tersebut terdiam dan beredar dari situ tidak lama selepas itu. Selepas kemangkatan Tunku, Tun Dr. Mahathir memerintahkan Tunku dimakamkan di Makam Pahlawan (menurut cerita Tan Sri Saleha Ali) tetapi keluarga Almarhum meminta amanat Tunku supaya mengkebumikannya di Makam Di Raja di Langgar, Alor Setar dihormati. Tengku Ahmad Nerang mungkin ada banyak sebab tidak mahu bercakap tentang ayahandanya hingga sekarang dan ianya bukan sahaja kerana sewaktu Tunku menghembuskan nafas terakhirnya beliau bukan ahli UMNO.
Ketika berbual dengan Dato Omar Mohd.Hashim Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia tentang tiga orang Mantan Presiden UMNO yang meninggal dunia sewaktu tidak lagi menjadi ahli UMNO, saya bertanya kepada beliau kenapa perkara begini boleh berlaku? 'UMNO ni jinxed agaknya. ' ujar Dt. Omar. Beliau ketawa kuat selepas berkata begitu tapi entah kenapa saya sedikit pun tidak terasa lucunya!
Al-Fatihah untuk Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Abd.Razak dan Tun Dr. Ismail.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:05 AM 0 comments
Sunday, May 3, 2009
Antara Yap Ah Loy dan Anugerah Boh Cameronian
Dengar kabarnya MCA hendak memberi penghormatan yang lebih banyak kepada Yap Ah Loy yang dianggap oleh masyarakat Cina sebagai orang yang bertanggung-jawab membuka dan memajukan Kuala Lumpur. Dalam syarahannya baru-baru ini di Shah Alam, Encik Siri Neng Buah dari Jabatan Warisan (ketika itu di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan) telah menceritakan bahawa ketika Yap Ah Loy dan pedagang-pedagang Cina datang ke Lembah Kelang, Kuala Lumpur sudah pun dibuka oleh Raja Abdullah dari Kelang
dan ramai pengikut-pengikutnya yang tinggal di situ. Jadi faktanya ialah orang yang membuka Kuala Lumpur adalah Raja Abdullah dan bukannya Yap Ah Loy. Tapi meramai dan memajukannya, mungkin itulah peranan yang dimainkan oleh Yap Ah Loy.
Dalam syarahan tersebut juga, Encik Siri menceritakan bahawa selain membawa pekerja-pekerja dari China untuk bekerja di lombong-lombong bijih sekitar Lembah Kelang, Yap Ah loy dan beberapa orang pedagang Cina yang lain juga mengusahakan rumah perjudian dan pelacuran. Ramai wanita Cina yang dibawa masuk untuk tujuan pelacuran dan merekalah yang memulakannya di Lembah Kelang dan merupakan yang pertama seumpamanya di seluruh Negeri Selat dan Negeri Melayu. Ini semua adalah fakta sejarah dan sesuatu yang perlu diberi perhatian jika nama Yap Ah Loy mahu digunakan di mana-mana juga.
Malam ini akan diadakan Anugerah Boh Cameronian untuk memberi penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam seni persembahan pentas terutama produksi dalam Bahasa Inggeris. Setiap tahun majlis anjuran pihak swasta ini menjadi semakin besar dan berbagai perkara berlaku dan tidak berlaku di dalamnya dengan nada dan iklim liberal yang mungkin bukan semua orang boleh menghargainya. Apa pun, satu perkara yang saya agak terkilan ialah kenapa hingga kini kita tidak ada majlis serupa ini untuk seni pementasan dalam Bahasa Kebangsaan? Persembahan muzikal, teater, tarian, muzik dan sebagainya boleh dikategorikan termasuk dalam seni persembahan pentas dan hingga kini kita tidak ada majlis anugerah untuk
mereka yang terlibat di dalamnya. Mungkin Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan yang sangat besar ini mahu memikirkan untuk membuat pembaharuan dan mengadakan anugerah sedemikian untuk memartabat industri seni persembahan pentas berbahasa kebangsaan?
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 12:27 AM 0 comments