Thursday, April 30, 2009

RTM dan Krisis Jatidiri

Seorang felo blogger mengatakan RTM sejak kebelakangan ini sedang melalui krisis identiti. Beberapa kali saya juga turut bersungut kepada komrad di media yang sehati tapi kadang-kadang tidak sejiwa! Nak buat macam mana kan? Terima sajalah apa yang ada. Tapi kami semua sependapat, perubahan-perubahan yang dibuat semenjak DS Shabery Chik menerajui Kementerian Penerangan ada kalanya mengundang banyak persoalan dan kontroversi. Tapi semenjak DS Rais Yatim menerajuinya diubah kembali kepada apa yang ternyata jauh lebih baik dan mempunyai asas iannya dibuat begitu dan bukan sekadar berubah kerana mahu mengubahnya. Kehilangan hampir 400000 penonton setia RTM 1 semasa Warta Perdana Bahasa Malaysia jam 8 malam kerana diubah sejam kemudian pastinya memberi banyak pengajaran kepada semua yang waras mengapa Warta Perdana itu harus dibuat pada jam 8.00 malam. Jadikan ianya suatu pelajaran yang baik.

Terima kasih juga kepada DS Rais Yatim kerana mengembalikan siaran RTM 1 kekal sebagai saluran berbahasa Kebangsaan sahaja. Sejak dulu lagi perkara ini telah berlaku, tapi entah kenapa tiba-tiba ada orang mahu bereksperimen menjadikannya saluran caca-marba bahasa! Ada orang terlalu percaya kepada multikulturisme agaknya sehingga mengenepikan isu-isu
yang ada hubung-kaitnya dengan kebangsaan dan bukan kebangsaan? Saya sedang cuba mendapatkan soft-copy artikel dari Dt. Prof Zainal Kling untuk dimuatkan dalam posting saya yang memperlihatkan asal-usul multikulturisme adalah dari Marxisme. InsyaAllah, akan disegerakan.

Pun begitu, saya masih menunggu bila RTM 1 dan 2 mahu meletakkan kembali ikon-ikon negara dan kebangsaan kita dalam siarannya? Klip seperti Tugu Negara, Bangunan Putra Perdana, Masjid Putrajaya dll semua dah tak ada langsung dalam RTM. Apa yang sudah berlaku? Ada kudeta ke di RTM sehingga ikon nasional pun tak boleh diletakkan? Kalau ada, siapa yang merampas kuasa? Banyak ikon nasional lain yang boleh diletakkan kalau ada orang yang allergic dengan segala-galanya tentang Putrajaya. DS Rais, tolong betulkan perkara ini dan jangan biarkan orang-orang tertentu mengubah RTM hanya kerana mereka nak mengubahnya!

Tuesday, April 28, 2009

Kisah Siti Hajar dan Telaga Zam-Zam.

Dalam Utusan Malaysia hari ini ada kisah isteri-isteri Nabi Ibrahim iaitu Siti Hajar dan Siti Sarah. Selepas membacanya saya teringat kisah bagaimana Siti Sarah iaitu isteri pertama Nabi Ibrahim yang sakit hati bila Siti Hajar isteri keduanya yang masih muda mengandungkan anak mereka. Dalam usahanya supaya Nabi Ibrahim tidak terlalu sayang kepada isteri barunya, Siti Sarah telah mencucuk sebelah telinga madunya supaya cacat dan tidak cantik lagi. Siti Hajar yang cukup sabar dan sedih dengan perbuatan Siti Sarah telah mengadu kepada Nabi Ibrahim . Nabi Ibrahim serba salah tetapi cukup simpati dan sedih terhadap apa yang telah berlaku kepada isteri mudanya. Beliau memujuk Siti Hajar dan akhirnya mencucuk sebelah lagi telinganya dan menggantung perhiasan menjadi subang di kedua belah telinganya. Siti Hajar nampak semakin manis dan cantik dengan perhiasan yang tergantung di telinganya. Sejak itulah disunatkan bertindik telinga kepada kanak-kanak perempuan.

Siti Sarah terus tidak puas hati dan semakin benci kepada madunya dan akhirnya menyuruh suaminya membuang Siti Hajar dan anak lelaki yang baru dilahirkan iaitu Ismail. Dari situlah kisahnya telaga zam-zam dijumpai oleh Siti Hajar setelah berlari ke sana-sini mencari air antara
Safa dan Marwah yang akhirnya menjadi ibadat sai dalam ibadat haji dan umrah hingga ke hari ini.

Saya mengenali seorang manusia yang ceritanya hampir sama seperti apa yang berlaku kepada Siti Hajar, cuma dia tidak dicacatkan telinganya tapi dicacatkan dengan serangan peribadi melalui fitnah dan cerita yang tidak benar terhadapnya. Dan seperti Siti Hajar, beliau menderita dan cukup tersiksa dengan fitnah-fitnah yang dilemparkan , tetapi Allah Taala terus mengangkat darjatnya dengan memberikan ketenangan, keimanan dan kekuatan dalaman yang tidak sedikit kepadanya dan beliau meraih kejayaan demi kejayaan dalam hidupnya hasil usaha dirinya sendiri. Ramai sahabat di sekelilingnya yang menyatakan mereka rasa cukup damai apabila melihat wajahnya kerana dia nampak tenang sepanjang masa. Kalaulah mereka tahu apa yang telah dilaluinya dalam hidup ini. Tapi alhamdullilah, rahmat Tuhan datang dalam berbagai cara kepada hambanya!

Moral ceritanya ialah kadang-kadang orang terlalu taksub cuba memburukkan orang lain supaya dibenci tetapi perbuatannya itu akhirnya memakan diri mereka sendiri dan orang yang diinayai itu semakin hebat dan kukuh peribadinya dan dilihat semakin menarik kerana cukup sabar dan tahan menanggung ujian Allah. Sebaliknya, orang yang cuba menginayai orang lain itulah yang semakin hari menampakkan keburukan peribadinya, walau pun pada mulanya orang tidak nampak keburukan tersebut kerana dapat dilindungi dengan berbagai cara.

Kepada Sdr.Rashid Yusuf, usahlah bimbang dan 'gabra' dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh berbagai pihak yang cuba menyekat anda dari mencapai kedudukan yang lebih baik. Apa pun sebabnya samada ia bertujuan politik atau tidak, orang-orang seperti itu akan sentiasa ada dan anda jumpai di mana-mana juga. Sabar,tabahkan hati dan kukuhkan peribadi anda yang cukup profesional dan tidak bermasalah dengan ramai orang lain. Usah biarkan dream-killers yang beberapa kerat itu menganggu hidup, dik! Dan jangan lupa berdoa kepada Allah SWT. InsyaAllah dan jangan lupa bahawa doa orang-orang yang terinaya itu amat dekat dengan Tuhan.

Seorang manusia yang cukup istimewa kepada saya baru-baru ini berkata ' terimalah dunia dan hidup ini seperti apa yang terjadi seadanya dan jangan harapkan hidup menjadi seperti apa yang kita mahukan.' Beberapa hari saya memikirkan apa yang beliau katakan kerana memang benar apa yang dikatakannya, tetapi saya juga teringat ayat quran yang mengatakan 'tidak akan berlaku qadak dan kadar itu melainkan dengan doa.'

Jadi Shid, berdoa banyak-banyak kerana hanya itu yang dapat mengubah segala kekecewaan yang telah ditakdirkan berlaku.

Sunday, April 26, 2009

2 tahun untuk pulihkan UMNO? R.O. Winstedt dan TS Mahyuddin ikut telunjuk Joceline Tan?

Ketua Penerangan UMNO yang baru mengulangi kata-kata TPM TS Mahyuddin bahawa UMNO/BN perlu 2 tahun untuk dipulihkan dan mendapat sokongan kembali. 2 tahun? Lamanya! Ramai orang menghubungi saya tentang perkara ini dan berbagai isu timbul dan diperkatakan. Antaranya ialah: -

1) Kenapa begitu lama masa yang diperlukan kalau Pak Lah adalah penyebab kepada penolakan BN dalam pilihan-raya 2008 yang lalu? Pak Lah dah tak ada sekarang dan Tun Mahathir yang 'diinayai' sudah pun kembali, kenapa perlu begitu lama nak pulih? Sepatutnya BN menang di Bt.Selambau dan Bt. Gantang sebab Tun Mahathir sendiri dah turun berkempen. Rakyat semua hanya percaya dan yakin dengan Tun Mahathir dan bukan orang macam Pak Lah! Jadi kenapa secara otomatik BN tak menang-menang juga bila Pak Lah dah turun?

2) Kalau UMNO/BN perlu 2 tahun, kenapa perlu Pak Lah undur diri? Mungkin kalau Pak Lah kekal pun masa 2 tahun tu dapat digunakan untuk memulihkan UMNO dan mendapat sokongan kembali. Kalau masa adalah faktornya, kenapa pemimpin yang harus digantikan? Atau seperti yang ditanya oleh seorang hambaAllah kepada saya baru-baru ini bahawa UMNO/BN telah disalah bedah?

Kepada orang-orang yang menanyakan soalan ini, sekali lagi saya nak katakan Wallhualam Bisawab, ada soalan adalah jawab....Lepas ni pasti ada orang kata saya ada wicked sense of humor. Allahuakbar. Tapi apa pun yang terjadi saya seronok tengok gambar Pak Lah bersalam dengan TS Saleha Ali dalam surat kabar baru-baru ini. Pasti TS Saleha boleh tanya terus kepada Pak Lah Islam Hadhari tu agama baru ke?

Beberapa tahun yang lalu, sewaktu saya mengunjungi bonda Ts Saleha di rumahnya, itulah soalan yang ditanyakannya kepada saya! Hampir lima jam saya duduk berbual dengan beliau dan macam-macam cerita yang keluar. Mungkin tak ramai orang yang tahu bahawa TS Saleha pernah jadi anak angkat R.O.Winstedt. Banyak gambar lama semasa menuntut di England dan tinggal di rumah Winstedt yang bonda TS Saleha tunjukkan kepada saya. Saya seronok sangat mendengar cerita-cerita TS Saleha dan bila nak balik, dia berikan jambangan bunga pulak kepada saya! Dia sayang kepada saya agaknya. Lepas ni saya mungkin patut menziarah beliau sebab dah lama tak bertemu bonda saya yang seorang ini. Saya dah lama teringat nak bertemu beliau, tetapi kerana cuaca agak panas sebelum ini, saya tak ada mood nak jumpa siapa pun!!

Seorang lagi adik saya Rashid Yusuf yang sepatutnya dijadualkan menjadi Setiausaha Akbar kepada TPM telah tidak jadi berbuat demikian kerana dengarnya Jocelin Tan menghantar SMS kepada TPM mempertikaikan perlantikan Rashid. Wow besarnya power Joceline! Ini bukan faktor wow nampaknya tetapi power wow. Saya kurang pasti apakah benar seorang TPM perlu tunduk kepada telunjuk seorang kolumnis STAR dan beberapa orang bloggers sahaja? Atau ada tangan-tangan ajaib yang tak mahu sesiapa juga yang mempunyai kaitan dengan YB KJ menduduki Bangunan Perdana Putra, Putrajaya!!

Thursday, April 23, 2009

Pilihan-raya Penanti Patut Dibatalkan!

Keputusan SPR tidak mengumumkan tarikh pilihan-raya kecil DUN Penanti lagi adalah sesuatu yang patut dipuji. Saya di antara orang yang berpendapat ianya tak patut diadakan atas banyak sebab. PKR nampaknya hanya mahu berpolitik dan membazir duit rakyat. Mereka bukan nak mentadbir dan buat apa sepatutnya dilakukan oleh kerajaan yang bertanggung-jawab! Sebelum ini mereka menjanjikan bulan dan bintang kepada pengundi-pengundi tetapi mana dia janji-janji tersebut? Habuk pun tak ada! Yang tak habis-habis dilakukan ialah memaksa pilihan-raya kecil untuk mengekalkan momentum politiking mereka.

Saya yakin kalau SPR membenarkan pilihan-raya DUN Penanti diadakan, ianya akan diikuti oleh DUN Bt. Lanjan atau tempat-tempat lain pula sebulan dua lagi. Semoga rakyat negara ini membuka mata seluas-luasnya dan menyedari taktik-taktik licik PKR ini! BN mungkin bukan parti paling baik di dunia dan tidak bermasalah, tetapi sekurang-kurangnya mereka ada rasa tanggung jawab yang tinggi kepada pengundi mereka. Ramai bekas YB BN yang kalah dalam setiap pilihan-raya masih setia berkhidmat di kawasan mereka dan turut berkempen untuk calon BN yang lain dalam setiap pilihan-raya kecil berikutnya. Saya kagum dengan sikap serta dedikasi mereka yang tidak mengenal perkataan give-up kadang-kadang.

Istilah Prof.Dt.Zainal Kling kepada pakatan pembangkang ialah mereka diperkuda dan 'diperunta' oleh DAP. MasyaAllah!

Tuesday, April 21, 2009

Buku Politik, Terjemahan dan Patik Menjunjung Kasih Tuanku.

Semalam di Hotel Seri Pacific, YTM Raja Dr. Nazrin Raja Muda Perak melancarkan buku terjemahan Institut Terjemahan Negara (ITNM) tentang Barack Obama dalam satu majlis yang amat bermakna dan berprofil tinggi (Rev.Jesse Jackson yang sangat 'camera -shy' pun hadir. Oh dia kelihatan macam Will Smith 30 tahun lagi!). Dalam ucapannya baginda memperkatakan tentang banyak perkara yang menyentuh isu semasa dengan analisis yang amat tajam, sarat dengan fakta dan ilmu. Patik menjunjung kasih tuanku.

Antara isu yang baginda timbulkan adalah tentang penulisan yang berbau fitnah dan tidak benar untuk membunuh karekter orang tertentu ( terutama kepada ahli politik ) di musim-musim tertentu yang cukup strategik untuk menjatuhkan seseorang. Seperti yang telah berlaku ketika pemilihan UMNO baru-baru ini dan YB KJ menjadi mangsanya. Tujuannya hanya satu iaitu untuk memberi persepsi buruk tentang beliau supaya YB KJ kalah dan tidak terpilih! Itu saja. Satu perangai negatif orang kita ialah jika saingannya lebih berilmu, lebih tinggi dan dia tidak dapat mengalahkannya, jatuhkan hamba Allah tu. Jangan bagi dia naik. Perkara ini telah lama berlaku dan ramai orang yang menjadi mangsanya dan YB KJ bukan lah orang pertama yang mengalami nasib begini (saya merujuk kepada perkara yang terjadi ketika pemilihan Ketua Pemuda UMNO baru-baru ini dan tidak mengenai perkara lain).

YTM Raja Dr.Nazrin juga menyentuh tentang penerimaan orang Amerika terhadap Obama
adalah kerana beliau tidak menolak budaya besar yang lebih dominan di sekelilingnya walau pun dia berketurunan orang kulit hitam dari Afrika. Obama tidak berkonflik dengan budaya Anglo-Saxon dalam masyarakat kulit putih di Amerika Syarikat sebab itu dia tidak diragui dan tidak ditolak oleh pengundi yang bukan sekulit dengannya. Begitulah seharusnya di mana pun, budaya penduduk yang lebih besar (apalagi penduduk asal) dalam sesebuah negara tidak boleh dipinggirkan, ditolak atau dipersoalkan oleh kumpulan imigran yang lebih kecil jumlahnya.
Penerimaan ini amat penting dan cukup sakral dalam konteks membina toleransi dan perpaduan dalam sesebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti di Malaysia. Istilah sahabat saya Prof Dt.Shamsul Amri ialah plurality in plural society.

Sementara itu, dalam satu rancangan bual-bicara di TV 1 sebelum itu, ada perbincangan tentang penterjemahan. Rata-ratanya ahli panel berkata aktiviti penterjemahan buku di negara ini terlalu minimal dan perlu dilipat-gandakan. Saya amat bersetuju tentang pendapat ini dan ITNM ( juga DBP) patut diberikan peruntukan yang lebih besar supaya buku-buku ilmiah, karya sastera dll dapat diterjemahkan samada dari bahasa asing kepada Bahasa Melayu atau sebaliknya.

Sehubungan ini, saya mengucapkan sekalung tahniah kepada ITNM yang sedang giat menterjemah karya-karya agung kita ke dalam bahasa asing untuk tujuan pengantara-bangsaan dan mempamer sistem nilai, pemikiran dan falsafah hidup orang Melayu yang mempunyai tamadunnya yang tersendiri, cukup unik dan tinggi sejak beratus tahun lalu. Entah kenapa DBP yang telah begitu lama berfungsi, tidak terfikir untuk membuatnya selama ini. Karya agung Hikayat Hang Tuah, Sulalatus Salatin dll akan diterjemahkan dan siap tidak lama lagi.

Ada banyak cara membina monumen untuk mempamer kebesaran dan kegemilangan kita dan mengantara-bangsakan karya-karya sastera kita adalah salah satu di antaranya yang boleh dibuat dengan kos yang jauh lebih murah dan melibatkan tenaga serta pakar tempatan.
Kepada Menteri Pelajaran yang baru, jangan jauhkan diri dari golongan orang berilmu dan intelektual. Ilmu dan keintelektualan pegawai-pegawai tinggi kementerian sahaja tidak cukup walau pun ramai yang mempunyai PhD. Paling penting jangan lupa bahawa golongan budayawan dan pemikir adalah aset negara yang amat berharga!

Sekali lagi, patik menjunjung kasih tuanku.

Monday, April 20, 2009

Alex Josey, Melayu dan Lanun.

Kolum TS Mazlan Nordin dalam Mingguan Malaysia semalam mencatatkan kisah wartawan Singapura Alex Josey yang mendakwa orang Melayu adalah keturunan lanun. Dalam diskusi tentang Tun Razak minggu lalu, Dt. Zam juga menyentuh hal ini. Hari Sabtu lalu saya mengikuti sesi pengkisahan sejarah Perang Bt. Nanas anjuran Persatuan Sejarah Selangor dan Encik Siri Neng Buah menceritakan bagaimana orang-orang Raja Abdullah menjadi perompak yang hanya merompak kapal-kapal British, Perancis, Cina (dari Pulau Pinang) dll tetapi tidak akan menggangu kapal-kapal yang datang dari seluruh Kepulauan Melayu sewaktu menghampiri pantai negeri Selangor. Ini bukan cerita perompak yang mengamalkan pilih kasih atau apartheid , tetapi ianya membawa konotasi hanya kapal-kapal penjajah dan orang barat saja yang akan dirompak. Sekaligus ini bermakna pernyataan politik yang amat kuat tentang kebencian orang tempatan kepada kuasa barat dan penjajah yang mereka musuhi.

Saya masih kecil ketika kejadian ini berlaku ( sekitar 10 tahun) tetapi masih ingat membaca berita tentang kecoh yang ditimbulkan oleh Alex Josey ini dalam surat-kabar jawi Utusan Zaman. Banyak perkara yang tidak saya fahami ketika itu tetapi arwah ibu saya yang merupakan seorang guru sekolah menerangkannya kepada saya. Dan untuk suatu waktu yang lama saya mempunyai perasaan kurang senang yang saya tidak tahu kenapa dan sedikit keliru bila mengetahui seseorang itu bekerja sebagai pelaut. Balada seorang gadis kecil!

Sebenarnya cerita orang Melayu menjadi perompak itu adalah suatu fakta tetapi mereka bukan merompak kerana mereka memang keturunan perompak dan suka merompak. Mereka adalah pejuang nasionalis Melayu awal yang bergerak di bawah naungan golongan bangsawaan dalam usaha menentang penjajahan dan pengluasan tanah jajahan dan pengaruh kuasa-kuasa Eropah di abad 18 dahulu di seluruh Kepulauan Melayu. Jadi kita semua tidak perlu sensitif sangat tentang apa yang ditulis oleh Alex Josey. Lagipun dalam sejarah Inggeris, Walter Raleigh dan Francis Drake diberi gelaran Sir oleh Permaisuri Elizabeth I kerana mereka pun merompak kapal-kapal dagang terutama dari Sepanyol yang memang terkenal dengan armadanya yang tak dapat dikalahkan oleh mana-mana kuasa Eropah ketika itu. Seperti orang Melayu yang merompak sebagai penyataan politik menentang penjajahan, orang Inggeris telah lama melakukannya terlebih dahulu sebagai strategi melemahkan musuh. Dan seperti selalu, orang kulit putih sering merasakan apa yang mereka lakukan adalah betul, tetapi perkara yang sama kalau dilakukan oleh orang lain adalah salah!

Friday, April 17, 2009

Mengenang Semula Kongres Kebudayaan Melayu II

Beberapa hari lepas di rumah GAPENA dan sewaktu membelek Warta GAPENA terbaru keluaran April 2009 yang memuatkan banyak cerita dan gambar sepanjang Kongres Kebudyaan Melayu II pada 16-17 Mac lalu, barulah saya terfikir bahawa kami telah membuat satu kongres yang amat bersejarah selepas tahun 1957. 52 tahun selepas kongres yang pertama baru diadakan pula yang keduannya. Ramai orang yang berkata kepada saya Kongres itu diadakan tepat pada waktunya dan dalam senario politik-ekonomi-sosio yang sedang menghadapi cabaran dan perubahan serta ketidak-tentuan nasib bangsa yang amat menuntut renungan, pemikiran dan tindakan yang wajar, bijak dan tuntas.

Beberapa minggu sebelum kongres itu, beberapa kali kami duduk bermesyuarat di rumah GAPENA, Persatuan Sejarah Malaysia malah kami membuat kunjungan hormat dan menjemput DS Shafie Apdal Menteri Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan berbagai perkara yang timbul dan diperkatakan, tapi ketika itu saya sedikit pun tidak menyedari bahawa kami telah melakukan sesuatu yang amat bersejarah serta mempunyai konsekuen yang penting dalam banyak aspek. Minggu-minggu sebelum kongres itu saya seperti terpukau dan tidak memikirkan hal lain selain daripada kongres yang kami cuba buat sejak tiga tahun yang lalu.

Bermula dari tahun 2006 saya dan Puan Halimah Hassan dari UPM mula duduk berbincang dengan Prof.Awang Sariyan dan merancang untuk mengadakan kongres ini di UPM . Kami merancang untuk menjemput PM merasmikannya dan pejabat PM telah diberitahu mengenainya.Beberapa rintangan yang tidak dijangka akhirnya memaksa kawan-kawan di UPM untuk duduk berbincang dengan Prof Madya Dt.Zainal Abidin Borhan dari Akademi Pengajian Melayu UM supaya bergabung tenaga dan cuba membuat kongres ini . Pun begitu kerana masih terdapat 'aral yang melintang' usaha itu terpaksa dibatalkan sehinggalah saya mula bercakap dengan TS Ismail Hussein dan Dt.Omar Hashim melontarkan cadangan mengenainya kepada Dt.Shafie Apdal tahun lepas. Tapi pada ketika itu saya masih tidak menyedari bahawa ianya akan menjadi satu batu-tanda yang amat bersejarah sehingga dua tiga hari yang lepas.

Memetik kata-kata Tuan Haji Mokhtar Yasin Ketua 1 IPM badan kerabat GAPENA yang merupakan segelintir kecil mereka yang menghadiri Kongres Kebudayaan Melayu I "Kongres Kebudayaan Melayu II ...telah memperlihatkan usaha yang amat berguna bukan setakat mengenang semula kongres yang lalu bahkan lebih dari itu . ...kongres pada kali ini disamping menghimpunkan para ilmuan Melayu dari berbagai jurusan bidang ilmu seperti undang-undang, ekonomi, jurutera, falsafah...bersama dengan sasterawan dan ahli politik bersatu untuk mempertahankan kedaulatan bangsa, bahasa dan agama. Sifat terbuka dan ikhlas dalam mempertahankan hak dan kedaulatan Melayu terdapat dalam perbincangan setiap sesi. Ia sebenarnya menggambarkan rasa kekecewaan Melayu pada awal abad ini. GAPENA (dan PSM) dalam usahanya menyatukan semua para cendekiawan tanpa mengira aliran fahaman politik untuk bersatu atas nama Melayu merupakan perintis yang berjaya yang sehingga ini tidak sanggup dilakukan oleh sebarang badan lain. Hendaknya usaha ini dapat diteruskan tanpa henti dengan izin Allah."

Saya masih ingat selepas pilihan-raya tahun 1999, Dt.Omar Hashim yang baru menamatkan tugas sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan-raya ketika itu pernah mengatakan kepada saya
bahawa orang Melayu amat memerlukan satu platfom yang tidak mengira kecenderungan politik untuk memperjuangkan kepentingan mereka. 'Kita kena bergerak dalam satu barisan sebagai orang Melayu kerana keputusan pilihan-raya (1999) bukan kali ini sahaja yang akan jadi macam ini' begitulah lebih-kurang kata-katanya kepada saya. Apa yang dikatakan oleh Dt.Omar Hashim memang tepat berlaku dan walau pun selepas 10 tahun baru cadangan beliau dapat dilaksanakan, ianya adalah satu permulaan yang baik. Saya cuma terkilan, di dalam 'keserabutan' senario politik semasa Kongres ini tidak dapat menjemput PM untuk merasmikannya.

Sekarang saya faham mengapa saya sebak dan menitiskan air mata bila melihat ayahanda Prof Madya Dt.Zainal Abdin Borhan iaitu Dt.Borhan Md Yamin (yang hadir dalam Kongres I) menitiskan air mata bila dia bangun bercakap dan berkongsi cerita tentang nostalgia, kedaifan serta kekurangan Kongres I yang mengungkap senario kemiskinan orang Melayu tetapi mereka kaya dengan semangat dibakar oleh bahang kemerdekaan yang baru dicapai ketika itu. Beberapa tahun lalu TS Aziz Tapa juga menceritakan kepada saya cerita yang hampir sama di rumahnya di Jasin.

Terima kasih kepada semua yang telah menggerakkan usaha sehingga Kongres Kebudayaan Melayu II berjaya dilaksanakan. Ianya merupakan satu usaha yang akan tercatat dalam sejarah merakam perasaan, pemikiran, resah dan gelisah orang Melayu. Hari ini kita bercakap tentang 1 Malaysia. Dan ianya bermakna setiap orang berfikir sebagai orang Malaysia dan bukan orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau apa saja. Dan untuk semua orang boleh berfikir sebagai orang Malaysia kita perlukan faktor penyatu-paduan yang mengikut lunas undang-undang seperti yang tertera dalam Perlembagaan Negara yang menjanjikan hak setiap orang di negara ini. Dan ia bermakna satu bahasa, satu budaya satu aspirasi negara walau dari mana juga keturunan dan latar-belakang kita. Kita tidak boleh ada 'multi-level multiculturalism' (istilah baru yang diperkenalkan oleh Prof Dt. Zinal Kling baru-baru ini) seperti yang sedang membiak dengan pantasnya dalam masyarakat hari ini atas nama hak asasi manusia dan landaan globalisasi!