Thursday, July 2, 2009

Mana Setangginya Suatu Mahakarya?

Semalam di Putrajaya saya duduk berbual buat kali ketiga dengan Zaifri Husin yang mengarahkan teater Mana Setangginya baru-baru ini. Biasalah tu, kalau orang yang saya betul-betul kenal sahaja saya akan interviu dalam satu sesi yang pendek. Tapi kalau orang yang kerjanya memerlukan analisis yang cukup mendalam dan banyak yang nak diperkatakan, selalunya 3 atau 4 sesi interviu adalah perkara yang normal. Petua Sutung Umar yang bertanggung-jawab menjadikan saya seorang penulis kerana menyiarkan karya pertama saya. "Kita mesti puas hati dengan penulisan kita. Bukan orang yang membaca sahaja. Kalau orang puas hati tapi kita tidak,kita akan sentiasa rasa ada sesuatu yang tak kena dengan apa yang kita tulis." Memang betul. Terima kasih sekali lagi Sutung.

Zaifri mengakui ini kali pertama dia diinterviu 3 kali oleh penulis yang sama untuk satu kerja yang besar. Dia ada tugas di Kementerian Pelajaran di Putrajaya semalam jadi pada paginya dia talipon saya untuk menghabiskan sesi sembang seni kami. Ni bukan nak lancarkan perang saraf kepada sesiapa atau nak bagi sesiapa juga cemburu atau mencipta konspirasi dalam teater Melayu Malaysia. Bukan, bukan bukan! Kami duduk di restoran dekat masjid tu di tengah orang ramai jadi nak konspirasi apa pulak kan? Hanya orang tak waras saja yang akan kata macam-macam.

Saya tanyakan kepada Zaifri apa pandangan dia dengan pendapat beberpa orang tertentu yang mengatakan Mana Setangginya adalah suatu mahakarya. Zieman yang menulis dalam Star pun kata begitu. Saya dan Zaifri sama-sama bersetuju Mana Setangginya adalah salah sebuah karya Cikgu Nordin yang terhebat. Hingga kini Cikgu menulis 35 buah skrip dan semuanya baik, serius dan mempunyai kedalaman intelektual yang tidak boleh dipertikaikan. Dan banyak karya beliau yang hebat dan karya terbaru sentiasa mengatasi karya yang lalu. Cikgu seorang seniman tulin yang sentiasa mencabar dirinya untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik dari yang sebelumnya. Begitulah yang dinamakan seniman. Cabaran bukan datang dari orang lain atau faktor luaran tetapi dari dalam diri sendiri. "The challenge is within yourself" kata sahabat lama saya A Ghaffar Ibrahim-pelukis, penulis dan segala-galanya yang berbau seni.

Jadi berbalik kepada soal Mana Setangginya. Saya takut ramai orang terkeliru meletakkan nilai 'mahakarya' skrip ini pada pementasannya. Zaifri pun ketawa bila saya katakan begitu. Pementasan skrip ini adalah hasil dari interpetasi pengarah dan Cikgu Nordin sedikit pun tak campur tangan dalam apa juga kerja kreatif Zaifri. Pun begitu, kata Cikgu, Zaifri mencapai hampir 70% daripada apa yang difikirkannya ketika menulis Mana Setangginya 10 tahun lalu. Zaifri terbeliak biji mata bila saya beritahu apa yang Cikgu katakan kepada saya dan tidak kepada Zaifri sendiri. Katanya kalau dah capai 10% daripada apa yang difikirkan oleh Cikgu Nordin pun dia dah cukup puas hati!

Jadi adakah teks Mana Setangginya sebuah mahakarya? Bagi saya teks ini cukup hebat dan antara karya terbaik Cikgu Nordin. Saya belum membaca Intan yang tercanai yang dengar kabarnya tentang ' a beautiful woman with a beautiful mind on a spiritual journey'. Ah ianya terlalu hampir dengan seorang manusia yang amat saya kenali!

Apa pun saya amat gembira 2 karya Sasterawan Negara ini dipentaskan tahun ini dan seolah-olah ada sensitiviti yang lebih tinggi meletakkan karya-karya hebat ditempatnya. Sudirman juga dah dapat gelaran Datuk dan ini juga menggembirakan saya kerana kita sudah boleh memberi penghargaan kepada orang lain atas bakat dan kebolehan beliau yang unik dan istimewa. Allah memakbulkan banyak doa saya kebelakangan ini. Alhamdullilah. Blog-memblog memang boleh bawa bahagia!

0 comments: