Saya tidak pernah satu hari pun belajar di sekolah yang bahasa pengantarnya Bahasa Inggeris. Dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah saya belajar di sekolah beraliran Melayu atau Sekolah Kebangsaan. Sememangnya suatu kejutan besar bila berada di USM dan membuat pengkhususan dalam bidang Teater dan Drama saya terpaksa belajar Shakespeare dan lain-lain teks klasik. Memang macam nak terencat akal juga mula-mula tu, tapi kerana kecintaan yang begitu mendalam kepada teater dan drama semua itu dapat diredah dan ditangani. Bahasa Inggeris saya tidaklah buruk sangat kerana semasa di sekolah rendah dan menengah kakak-kakak saya semuanya dari sekolah beraliran Inggeris dan faktor persekitaran serta pengaruh di rumah menyebabkan saya boleh memahami Bahasa Inggeris dengan baik.
Saya masih ingat ketika mula membaca majalah Reader's Digest sewaktu berumur 15 tahun saya juga terpaksa mengepit kamus kemana juga saya duduk dengan majalah tersebut. Majalah itu dilanggan setiap bulan sebagai hadiah harijadi dari kakak sulung saya yang merupakan seorang guru Bahasa Inggeris. Semua perkataan yang tidak saya fahami saya gariskan kemudian cari maknanya dalam kamus dan tulis dengan pensil di atasnya. Pada permulaannya semua orang lain tak boleh baca majalah tersebut kerana artikelnya dipenuhi oleh contengan pensil dengan perkataan Melayu selepas saya membacanya. Kakak saya yang kedua selalu berkelahi dengan saya kerana seluruh artikel itu dipenuhi dengan perkataan Melayu. Tapi begitulah cara saya belajar Bahasa Inggeris. Membaca Reader's Digest pada umur 15 tahun.
Sewaktu di University Sydney Australia dan membuat kursus Post-Graduate dalam Labour Law and Labour Relations, standard universiti ini sahaja sudah pasti mengecutkan perut sesiapa juga yang tidak datang dari sekolah beraliran Inggeris. Apalagi berada di sekolah undang-undangnya! Tapi saya beranikan diri memasuki kelas malamnya dan lulus juga. Selain saya hanya seorang pelajar asing dari Nigeria yang masih saya ingat namanya iaitu Jacob Egba. Hingga sekarang saya tidak boleh menerangkan bagaimana saya boleh lulus di Sydney Law School Sydney University. Tapi seperti ramai manusia yang berani stretch segala batasan dan kekangan apa juga halangan pasti dapat diatasi.
Moralnya ceritanya ialah sikap positif kita ketika belajar bahasa apa pun amat perlu. Kalau susah macam mana pun, kalau kita ada daya usaha yang tinggi kita pasti berjaya akhirnya. Anak-anak saya sengaja saya galakkan bertutur dalam Bahasa Inggeris sewaktu di rumah supaya mereka fasih dalam bahasa ini kerana di sekolah mereka belajar dalam Bahasa Kebangsaan . Dan Alhamdullilah pendedahan mereka sewaktu di luar negeri dan dengan mengekalkan bahasa pertuturan di rumah keduanya fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris hingga kini. Itu adalah strategi saya.
Saya seorang pejuang Bahasa Kebangsaan kita dan berpendapat memperjuangkan kedudukan Bahasa Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan adalah suatu kemestian. Pun begitu, ianya tidak bermakna kita patut mengenepikan keperluan kepada Bahasa Inggeris malah bahasa-bahasa ilmu yang lain juga seperti Jerman, Peranchis, Russia Mandarin dan Jepun . Jadi saya memang bersetuju dan menyokong Bahasa Inggeris dijadikan matapelajaran wajib. Tetapi segala keperluan dan metodologi pengajarannya perlu dilihat semula dan diperkemas dan dimantapkan terlebih dahulu. Faktor kegunaan Bahasa Inggeris di luar bilik darjah perlu dipertingkatkan. Mungkin kegiatan ko-kurikulum perlu dijalankan dalam Bahasa Inggeris. Malah Khidmat Negara juga mungkin baik dijalankan dalam Bahasa Inggeris untuk menggalakkan interaksi dalam bahasa ini. Sewaktu di Universiti dulu semua pelajar yang tidak fasih dalam Bahasa Inggeris akan memasuki kelas tambahan dan ini berjaya meningkatkan kemahiran mereka. Ini hanyalah sebahagian dari cadangan saya, banyak lagi yang perlu dilakukan dan dengan iltizam yang cukup tinggi pasti kita akan berjaya. InsyaAllah.
Monday, July 13, 2009
Belajar Bahasa Inggeris
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:33 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment