Wednesday, July 22, 2009

Reviu Ke 2 Teater Mana Setangginya.

Saya berhutang terlalu banyak reviu dan tulisan kepada ramai orang dan kebelakangan ini agak sibuk untuk menulis dalam blog. Tapi bila menyedarinya saya rasa amat bersalah dan merasa perlu dilakukan sesuatu tentang ini. Jadi saya letakkan fragmen reviu Teater Mana Setangginya
supaya saya tidak menghampakan peminat setia blog saya yang ada dah mula merungut.

MANA SETANGGINYA: PERJALANAN TAKDIR SEBUAH KARYA HEBAT YANG HAMPIR DINAFIKAN
OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM.

Bila ditanya tentang perasaannya apabila teks Mana Setangginya akhirnya mendapat pengiktirafan dan dipentaskan di Istana Budaya setelah 10 tahun tidak berani disentuh oleh sesiapa pun selepas ditolak dari jadual asalnya untuk menjadi pembuka tirai Istana Budaya, Sasterawan Negara (SN) Dato Nordin Hassan cukup pasrah dan penuh graceful menerima segalanya sebagai takdir. “ Mungkin ada hikmahnya teks ini tidak dipentaskan 10 tahun lalu. Walau pun mungkin saya yang akan mengarahkannya ketika itu, tetapi kini dengan teknologi moden dan sentuhan kreatif orang lain ianya dapat dipersembahkan dengan cara yang lebih baik.” Siapa yang tidak kenal dengan SN Cikgu Nordin yang legendary kelembutan dan rendah dirinya? Pun begitu, menitis juga air mata kami selepas mendengar kata-kata demikian, kerana ia menjadikan kami tersentuh dan berasa cukup kecil di sisi tuhan.

Dalam keuzuran yang amat ketara beliau mengagahi dirinya untuk menghadiri beberapa persembahan teater ini, menjawab soalan-soalan dalam sidang akhbar pelancaran buku terjemahan teks ini yang dinamakan The Frankinscene dan bersama-sama dengan krew dan pelakon Mana Setangginya pada malam akhir persembahan teater ini. Begitu fitrah dan perjalanan takdir sebuah karya cantik dan cukup tinggi nilainya. Malah mungkin sebuah mahakarya. Pun begitu, Cikgu Nordin agak malu untuk menerima gelaran “Lord of The Rings Malaysia” dan meminta nama ini tidak digunakan.” Terlalu tinggi. Saya tak yakin ianya sehebat itu. “ Demikian kata beliau ketika pengacara majlis mengumumkan gelaran tersebut pada malam pertama persembahan. Atas permintaan beliau pada malam-malam berikutnya, gelaran itu tidak lagi digunakan.

Sememangnya SN Nordin Hassan seorang manusia yang cukup merendah diri. J.R.Tolkein yang mengarang Lord of The Rings terlalu tinggi baginya, tetapi siapa yang layak meletakkan di mana tahap dan nilai teks Mana Setangginya kalau bukan pengkaji, sarjana, penonton dan peminat teater Malaysia? Dalam Seminar Pemikiran Nordin Hassan awal tahun ini di Aswara, pengkaji dan sarjana-sarjana yang cukup tinggi profilnya mensifatkan karya-karya Nordin sebagai’ lombong berlian kreativiti teater fitrah’ yang perlu digali dan diperhalusi sebagai himpunan teks-teks karya yang sangat tinggi mutunya dan halus penulisannya.

Apa pun tahniah yang amat tinggi diucapkan kepada pihak Istana Budaya yang cukup berani dan dengan keterbukaan yang tidak sedikit mengangkat teks ini untuk diletakkan di tempatnya. Dalam euphemism dan lingo yang begitu berhemah 10 tahun lalu ketika negara ini terhumban di satu jurang gelapnya oleh krisis politik dan ekonomi yang begitu mencabar, teks ini dilihat begitu sensitif dan ditarik dari dipersembahkan di Istana Budaya . Hari ini, apakah situasi sosio-ekonomi-politik kita berubah dari tahun 1999? Apakah keadaan sekarang tidak setinggi political charge 10 tahun lalu?

Pun begitu, Mana Setangginya dipentaskan dengan jayanya, mendapat sambutan hangat dan panggung penuh hampir setiap malam dan walau pun ada orang mengakui beliau berasa seperti terencat akal cuba mencerna teks ini, umum mengakuinya sebagai persembahan spektakular yang menghiburkan dan di antara teater terbaik pernah dipentaskan di Istana Budaya. Paling penting, tidak ada parti politik atau NGO atau apa juga kumpulan hak asasi yang berdemonstrasi saban hari menentang pementasan teks ini sepanjang ianya berlangsung.
10 tahun telah menjadikan rakyat Malaysia cukup matang dan dapat menerima karya seperti ini? Atau iklim keterbukaan hari ini menjadikan kita semua cukup civil dan menerima fakta tidak ada apa yang perlu ditakutkan dengan minda kritis dan kreativiti seorang SN dan membuktikan pepatah ‘kalau dah takut tu, tunggul pun disangka hantu!’ Begitulah perjalanan takdir sebuah karya hebat yang bernama Mana Setangginya.

Zaifri Husin yang diminta menangani teks ini oleh Istana Budaya dan Cikgu Nordin sendiri pada mulanya berasa cukup gementar untuk menerima tawaran dan memerlukan beberapa hari untuk berfikir mengenainya. Karya yang dianggap kontroversial ini (dikontroversikan sebenarnya) dan reputasi Cikgu Nordin dengan ketelitiannya setiap kali mengarah teksnya sendiri seperti segunung jangkaan yang terbeban di mindanya. “Saya takut saya tidak sampai ke tahap yang dijangkakan sebab semua orang tahu tentang kerja cikgu.” Begitu katanya ketika kami bercakap tentang proses berkarya Mana Setangginya.

Pun begitu kesabaran Cikgu Nordin memberikan semangat dan galakan kepadanya menjadikan Zaifri berani menerima tugas besar ini. Apalagi bila memikirkan 2 tahun lalu Cikgu Nordin menyatakan beliau puas hati dengan kerjanya mengarahkan teater Sarah teks SN ini juga di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka. Lulusan Seni Persembahan dari Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang dan pernah mengikuti kursus drama di Sekolah Drama Meyerhold, Moscow Russia beberapa tahun lalu membuat persediaan awal semenjak bulan April lalu untuk mengarah Mana Setangginya.

Sedikit kelucuan kata Zaifri kerana 10 tahun lalu ketika angin bertiup kencang mengatakan teks ini akan dipentaskan sebagai pembuka panggung Istana Budaya, beliau memberanikan diri dan menebalkan muka kepada Cikgu Nordin dan menawarkan dirinya sebagai Penolong Pengarah kepada SN ini untuk menjadi sebahagian daripada pasukan yang menerbitkan teks ini. Tujuan beliau hanya satu ingin menggali pengalaman bekerja dengan ‘the divine master’ ini. Siapa sangka perjalanan takdir karya hebat ini begitu rupa dan Zaifri merupakan pilihan utama untuk mengarahkannya satu dekad kemudian.

Selain dari kekuatan teksnya, Zaifri telah berjaya menjadikan teater ini cukup pantas dinamismenya dan tidak ada ruang yang membosankan tanpa menjadikannya terlalu pantas sehingga mencungap pace nya. Set dan penataan artistik, muzik, kostum dengan latar tempat Timur Tengah yang dimodifikasi serta kesan khas yang sangat impresif seperti dalam babak pari-pari berterbangan menjadikan teater ini sangat baik, menarik dan antara yang terbaik pernah dipersembahkan di Istana Budaya. Apalagi dengan kos yang cukup rendah dengarnya dan memanfaatkan tenaga kerja serta kemahiran dalaman Istana Budaya sendiri siapa kata produksi yang baik mesti mahal harganya?

Tanpa kreativiti, teks yang baik dan pengarah yang berpengalaman dan terlatih, teater berharga RM 5 juta pun belum tentu boleh mencapai tahap seperti yang dicapai oleh pementasan Mana Setangginya yang dipenuhi penonton hampir setiap malam sewaktu pementasannya. Istana Budaya telah menunjukkan kematangan dan keberanian bereksperimen mementaskan teater berat karya Sasterawan Negara Nordin Hassan yang pastinya merupakan salah satu mercu tanda teater terbaik tempatan yang pernah dipentaskannya. Cadangan mengadakan slot teater tetap dari teks Sasterawan Negara adalah amat baik sekali kerana pentas bertaraf dunia memerlukan karya bertaraf dunia juga. Mungkin tidak keterlaluan jika slot ini diperuntukkan dengan dua teks berat dan serius Sasterawan Negara setiap tahun kerana siapa lagi yang mahu memartabatkan karya seni kita kalau bukan institusi seperti Istana Budaya?

Maaf kerana artikel ini belum disiarkan lagi jadi tak dapat saya sertakan keseluruhannya.

0 comments: