Sunday, July 26, 2009

Reviu Merchants of Bollywood

MERCHANTS OF BOLLYWOOD: DUTA KECIL INDIA YANG TIDAK KECIL PERANANNYA.
OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM.

Dengan hampir 60 orang aktor dan krew, beberapa ribu tan bagasi yang kebanyakkannya terdiri dari kostum dll keperluan pentas, serta kos yang menjangkau 7 digit setiap produksi The Merchants of Bollywood Pty.Ltd. (MOB)menjelajahi dunia. Semenjak tahun 2005, MOB menjadi duta budaya dan seni India di atas pentas di Sydney, New Zealand, Zurich, Berlin. Milan dll dan terakhir di Istana Budaya di Kuala Lumpur.

Kepada ramai orang, pementasan MOB dengan kira-kira 18 buah tarian dan nyanyian tanpa ragu-ragu merupakan epitom kepada industri filem Bollywood yang berpusat di Mumbai dengan 800 filem setahun dan 15 juta tiket dijual setiap hari. Dan ianya mempamer cebisan Bollywood disebalik tabir, tentang kerja dan cerita keluarga Merchant yang mendominasi elemen koreografi dalam filem-filemnya dan merupakan sebahagian daripada budaya India yang terpamer melalui seluloid. Tapi mungkin tidak ramai yang melihatnya sebagai ‘duta kecil yang tidak kecil’ kepentingannya mempromosi budaya dan kesenian India yang semakin mendapat tempat disebabkan oleh diasporanya di seluruh dunia.

Apa pun, MOB dengan formula ‘masala (rempah ratus) Bollywood’nya iaitu lakonan, tarian, musik dan kostum yang bergemerlapan, berjaya menarik perhatian ramai peminat filem Bollywood walau pun mereka bukan berketurunan India. Persembahan MOB mempunyai jalan cerita yang klasik yang diangkat dari kisah benar iaitu tentang konflik antara generasi dalam sebuah keluarga seni yang amat terkemuka. Dan ia diceritakan melalui lakonan yang cukup segala-galanya ada kesedihan, kegembiraan, kasih sayang, kelucuan dan kekecewaan seperti kehidupan sebuah keluarga yang normal. Kerana itulah kehidupan dan orang yang mengatakan kehidupan keluarganya bahagia sepanjang masa pastinya hidup di atas trip dadah ekstasi!
MOB adalah persembahan budaya dan keseniaan Bollywood yang tipikal dan mempamer tarian dan muzik beroktana tinggi, pantas, dengan kostum yang indah bergemerlapan samada bagi tarian tradisional maupun moden. Bagi mereka yang biasa dan mengenali sastera Sanskrit, pasti dapat melihat satu lagi elemen dalam konvensi filem-filem Bollywood iaitu penghabisan cerita yang menyeronokkan. “I love happy endings” kata karekter kartun Snoopy dalam Charlie Brown. Dan dalam MOB juga kita melihat elemen yang sama di mana konflik keluarga yang memisahkan saudara, melukan hati dan menimbulkan persengketaan yang bertahun lamanya kembali bertaut oleh tragedi dan kesedihan.

Watak Ayesha Merchant yang dilakonkan oleh Carol Furtado meninggalkan datuknya Shantilal lakonan Chander Khanna untuk mengejar kegemilangan dan glamor Bollywood. Ayesha juga lari dari kehidupan sebagai penari utama di rumah ibadat Shiva melalui sekolah tari yang dibina oleh keluarga mereka di Rajasthan, akhirnya kembali kerana apa yang dicarinya tidak memberi makna kepadanya. Kegemilangan dan pencapaian kariernya dalam industri filem di Mumbai tidak memberikannya kebahagiaan dan Ayesha akhirnya kembali ke Rajasthan.
Beliau kembali ke pangkuan kasih lamanya Uday penari utama lelaki di rumah ibadat Shiva dan meminta keampunan Shantilal yang ditinggalkan. Ego seorang datuk dan luka yang disebabkan oleh kekecewaan Ayeshya meninggalkannya menjadi penghalang kepada kegembiraan dan kebahagian mereka. Ayesha menghidupkan kembali sekolah tari mereka dan dalam keuzuran dan kenazakan , Shantilal sempat melihat sekolah tari itu berfungsi semula sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Cinta dan kasih sayang memenangi segala-galanya akhirnya.

Entah kenapa dalam menonton MOB saya kerap terfikir sampai bila kita mahu menjadi pengimport setia pementasan dari luar negeri sepanjang masa ? Kenapa kita juga tidak menubuhkan sebuah grup teater seperti MOB Pty.Ltd. atau yang mementaskan Mama Mia yang mendapat tajaan dari berbagai syarikat di negara ini dalam jumlah yang cukup besar? Kita punya pengarah, pelakon, penulis skrip penari dan krew pementasan lain yang cukup berkelayakan, kreatif dan baik untuk membina serta mementaskan satu karya seni yang baik untuk dipentaskan di seluruh dunia.

Kalau syarikat-syarikat gergasi kita boleh menaja pementasan dari luar kenapa mereka tidak boleh bergabung tenaga untuk menaja pementasan tempatan untuk dibawa ke luar sebagai ‘duta kecil’ budaya dan kesenian kita? Atau kerajaan sendiri patut mengambil inisiatif membina satu kumpulan teater untuk mementaskannya di luar negeri atas dasar yang tetap dan konsisten bukan secara mendapat jempuatan sekali-sekala di festival teater Nancy, Shiraz dll. Kita bercakap tentang mengubah paradigma pemikiran kepada kelas pertama, tetapi kenapa kita tidak mengeksport budaya kita sama seperti yang dibuat oleh orang lain?

0 comments: