Wednesday, July 8, 2009

PPSMI DIBATALKAN

Dalam perjalanan pulang dari Ipoh semalam saya menerima SMS dari seorang penyelidik UMNO yang memberitahu bahawa PPSMI telah dimansuhkan. Mesej tersebut saya hantarkan kepada beberapa orang rakan, orang GAPENA dll. Semuanya menyatakan kelegaan kepada keputusan tersebut dan percaya Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan yang terbaik untuk semua rakyat negara ini.

Kepada semua yang percaya bahawa banyak cara lain untuk meningkatkan kemahiran dan kefasihan Bahasa Inggeris pelajar kita tanpa mencabul Perlembagaan Negara dan melanggar Dasar Pelajaran Kebangsaan ianya adalah suatu kemenangan yang amat perlu untuk memartabatkan kedudukan Bahasa Kebangsaan kita. Keputusan yang dibuat oleh orang-orang politik yang ada kalanya kurang arif dan bertindak tanpa ilmu dan pengetahuan yang cukup serta memandang rendah sentimen dan hati nurani pejuang bahasa, budayawan dan golongan intelektual Melayu yang cukup kuat pengaruhnya perlu dijadikan iktibar. Jangan sampai pisang berbuah dua kali!

Mantan PM Tun Mahathir yang bertanggung-jawab memulakan PPSMI dikatakan merasa sedih kerana tidak dirundingi tetapi hanya diberi 'taklimat' akan keputusan memansuhkan PPSMI perlu menyedari bahawa guru-guru dan golongan pendidik bahasa, pejuang bahasa, intelektual bahasa, budayawan juga tidak pernah dirundingi ketika PPSMI hendak dimulakan. Jadi tak apalah Tun, kata orang putih "its all fair and square!"

MENONTON INTAN YANG TERCANAI

Sudah dua kali saya menonton teater arahan Wahab Hamzah Intan Yang Tercanai yang sedang dipersembahkan di DBP sekarang hingga 12 hb.Julai ini. Teks terbaru karya Sasterawan Negara Dato Nordin Hassan ini seperti yang dijangkakan cukup hebat, halus dan memprovokasi minda serta bercakap terus kepada kita tentang pegangan hidup, agama dan kepercayaan. Cikgu Nordin yang terkenal dengan teater fitrahnya melalui teks ini menyentuh hati nurani kita dan bercakap tentang seorang manusia Danial Sundaram yang dalam pencarian tentang kehidupan dan pegangan agama dan tertarik kepada Islam setelah jatuh cinta dengan seorang sahabatnya Engku Intan Anis. Tapi yang indahnya ialah Danial dan Engku Anis tidak pernah mengucapkan kata cinta antara mereka tetapi mereka merasainya. Saya tak mau tulis lebih panjang tentang Intan Yang Tercanai kerana perlu membuat reviu tentangnya tapi tontonlah teater ini kerana ia akan membuat anda berfikir tentang banyak perkara tentang hidup, hubungan kita dengan orang lain dan hubungan kita dengan tuhan. Cikgu Nordin, terima kasih sekali lagi kerana teks ini cukup cantik, halus dan antara high points dalam teater kita.

0 comments: