INTAN YANG TERCANAI: ANTARA CINTA DAN PENCARIAN
OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM
Ada orang berkata, teater Intan Yang Tercanai yang dipentas di Balai Budaya baru-baru ini bukanya teater fitrah, malah menyimpang dari fitrah. Saya kurang pasti apa yang dimaksudkan dengan kenyataan begitu, tetapi kita mungkin perlu faham bahawa teks yang ditulis oleh Sasterawan Negara (SN) Datuk Nordin Hassan sememangnya mengandungi elemen teater fitrah, tetapi apa yang terjadi di atas pentas adalah interpetasi pengarahnya. A.Wahab Hamzah yang mengarah teater ini ketika diminta memberi komen tentang isu ini ketawa dan mengatakan beliau tidak kisah tentang genre teater ini, tetapi yang penting bagi beliau ialah teater ini bercakap tentang manusia kepada manusia. Samada ia fitrah, atau realisme atau apa juga itu tidak penting bagi beliau.
Apa pun saya rasa A.Wahab Hamzah yang cukup gigih berkarya mementaskan teks serius dan berat setiap tahun samada di stor ataupun auditorium DBP patut menerima kalungan tahniah. Kerana di kala orang lain sedikit pun tidak peduli kepada teks teater yang mengajak orang berfikir dan ghairah mementaskan muzikal demi muzikal , hanya beliau yang terus berkarya dengan teks serius yang lebih daripada menghiburkan sahaja.
Skrip yang pada mulanya bertajuk Anis ini adalah karya terbaru dan terpendek Cikgu Nordin Hassan. Pun begitu, ia bukan sebarang teks kerana wacananya mempamer kedalaman intelektual,spiritual dan emosi yang cukup baik. Seperti biasa, skrip Nordin mencungkil banyak persoalan dan menuntut kejujuran penonton menyoal banyak perkara tentang kepercayaan, agama, hubungan manusia dengan tuhan, hubungan manusia dengan orang lain dan seperti dalam ayat Quran” Dan Kami jadikan kamu berpuak-puak dan berbangsa-bangsa, supaya kamu belajar di antara satu sama lain”. Menjadi orang Islam tidak bermakna secara automatik kita menjadi umat yang terbaik dan masuk syurga di akhir nanti kalau kita tidak benar-benar menghayati dan mengamalkan apa yang terkandung dalam ajarannya.
Dalam Nordin mempamerkan peribadi orang Islam Engku Anis yang baik dan hampir sempurna, dia juga menunjukkan Mak cik Yong Sutinah ibu tiri Engku Anis yang materialistik, melakukan kesyirikan memakai susuk dan begitu seksa semasa sakaratul maut. Juga tentang ketidak-sabaran jemaah haji yang bertolak-tolak dalam Terowong Muaasim sehingga berlaku tragedi yang amat menyayat hati pada tahun 1990. Kita disuruh sabar dan sentiasa patuh kepada agama ketika berihram sewaktu melakukan ibadah haji, tetapi ada orang yang tidak peduli akan itu semua demi merebut pahala dan mau ke syurga. Ini adalah perkara biasa.
Umat Islam sepatutnya menjadi yang terbaik, tetapi kenapa sewaktu terlanggar orang ketika mengangkat kavadi, penganut agama Hindu boleh meminta maaf? Nordin bukan mahu menunjukkan Islam tidak baik atau Hinduisme lebih baik tetapi dia mahu memperkatakan bukan Islam yang salah, tetapi manusia yang menganutinya yang tidak betul dan tidak mengikut ajaran. Juktaposisi dua agama ini harus diperhalusi dan diteliti penuh hati-hati kerana Nordin bukan membuat perbandingan agama mana yang lebih baik di antara keduanya yang mungkin mengundang kontroversi tak berkesudahan.
Pentas dan set unik yang dipamerkan oleh pementasan pertama teks ini mempamerkan kreativiti yang cukup baik. Pentas yang menganjur panjang ke tempat duduk penonton melambangkan terowong dan peristiwa kekecohan jemaah haji di Terowong Muaasim tahun 1990 sehingga ramai yang terkorban digambarkan dengan begitu baik dan simbolik sekali. Sekeping kain merah menyelimuti ensembel yang jatuh terbaring di atas pentas dan bergelut lemas di bawah kain itu simbolik kepada apa yang berlaku di Muaassim hampir 20 tahun lalu. Pun begitu, pentas yang hampir seperti teater arena ini sayangnya tidak mengambil kira posisi penonton di kanan, depan dan kiri pentas dan lokasi lakonan kebanyakannya mengadap ke depan seperti untuk pentas prosenium sahaja. Ia mungkin bukan kecacatan yang serius, tetapi pengarah perlu teliti dalam hal-hal begini dengan pentas yang begini.
Kebanyakan pelakon watak utama memberikan lakonan yang cukup baik dan meyakinkan. Babak Makcik Yong Sutinah sedang nazak dan Engku Anis membaca doa untuk mengeluarkan susuk dari mukanya begitu meyakinkan dan hidup seperti menonton perkara yang sebenarnya berlaku di depan mata kita. Mardiana Alwi sebagai Engku Anis dan Arwindran Kalaivanan merupakan pelakon baru yang mempamerkan lakonan yang cukup baik dan berbakat besar. Rasdi Daud sebagai Haji Fadzil sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dan cukup konsisten mempamerkan lakonan yang amat meyakinkan. Mungkin Geethanjali Kathirvalu memerlukan lebih banyak perhatian pengarah ketika melakonkan watak Sandha Sundaram adik Danial kerana monolog yang dibawakan oleh watak beliau agak banyak dan panjang.
Penataan muzik oleh Hafiz Askiak cukup baik, menyegarkan dan harmonis dengan latarbelakang cerita dan menaikkan rasa kesyahduan di babak-babak yang tertentu. Pengarah Seni Hamzah Tahir juga telah melakukan kerja yang baik dengan set yang mudah, warna putih yang mendominasi keseluruhan pementasan dan penchayaan yang berjaya menaikkan mood dan suasana tegang, tenang dan kelam-kabut tragedi Terowong Muaasim dengan baik. Secara keseluruhannya, Intan Yang Tercanai di tangan Wahab Hamzah berjaya dipentaskan dengan baik walau pun ia mungkin tidak sempurna.
(Sebahagian daripada reviu Intan Yang Tercanai yang belum disiarkan oleh sebuah majalah tempatan dan maaf ianya tidak dapat diletakkan dalam versi original yang penuh).
Friday, July 31, 2009
FRAGMEN REVIU KE 2 INTAN YANG TERCANAI
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:17 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment