Sunday, June 28, 2009

Biasiswa Nasional.

Terbaru diumumkan ialah cadangan pemberian biasiswa atas dasar meritokrasi kepada semua pelajar rakyat Malaysia yang layak. Saya kurang pasti bagaimana ini nak dijalankan, tetapi belum pun dibincangkan di kabinet, sudah ada banyak pihak yang tidak setuju kerana ini akan memberi kesan kepada pelajar-pelajar di luar bandar. Saya amat bersetuju dengan pandangan ini tetapi ingin mencadangkan dibuat 2 skim biasiswa. Satu skim berasaskan meritokrasi satu lagi berasaskan hak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara iaitu kepada orang Melayu dan pelajar Bumiputera yang layak. Situasi yang ada di negara ini memerlukan bukan satu sistem sahaja yang boleh menyelesaikan segala masalah tetapi ia perlu dimodifikasi untuk menangani segala 'poket-poket' yang terpencil yang juga perlu ditangani dan inilah cabarannya. Dan yang paling penting ditangani juga ialah pemberian biasiswa ini harus kepada golongan yang memerlukan sahaja, bukan kepada semua orang. Pelajar dari golongan kaya dan berada tidak perlu diberi biasiswa kerana mereka mampu belajar di mana juga dan tidak memerlukan biasiswa dari kerajaan walau pun mereka merupakan pelajar terbaik dan dapat berapa A pun!

LIGA NGO

Minggu lalu saya menghadiri Majlis Dialog dengan berbagai NGO di Pejabat TPM. Majlis dipengerusikan oleh Encik Feris Omar Pegawai Khas beliau yang bercakap tentang penubuhan 'Liga NGO Malaysia' yang bertujuan membentuk jaringan dan rangkaian NGO d negara ini.
Usaha ini adalah sambungan kepada apa yang telah dilakukan oleh Tun Abdullah Badawi sewaktu menjadi PM dahulu. Malah Gabungan NGO Malaysia, yang mengendalikan usaha-usaha ini sebelum ini masih memainkan peranan penting mengumpulkan berbagai NGO dari negara ini untuk memulakan dialog dan kerjasama. Tahniah kepada Pejabat TPM atas usaha yang murni meneruskan program yang baik ini kerana ianya amat diperlukan.

Thursday, June 25, 2009

Reviu Mana Setangginya

Beberapa emel dari luar negeri yang saya terima meminta saya letakkan reviu Mana Setangginya yang pedas tapi menawan ini dalam blog. Setiap minggu hampir 20 % daripada pembaca blog saya terdiri daripada pembaca luar negeri . Jadi kepada peminat-peminat saya
inilah reviu saya yang tak sepertinya:-

MANA SETANGGINYA: AKHIRNYA KEADILAN KEPADA KARYA NORDIN HASSAN
OLEH
SITI RUQAIYAH HASHIM.

Akhirnya skrip teater Mana Setangginya karya Sasterawan Negara (SN) Dato Nordin Hassan dipentaskan di pentas bertaraf dunia ini. Setelah 10 tahun karya yang ditulis untuk majlis pembukaan Istana Budaya ini akhirnya diberi penghormatan paling tepat dan keadilan telah dilakukan untuk satu karya cantik, halus dan cukup bermakna kepada seorang SN dan juga rakyat Malaysia amnya. Hanya dengan ‘kesungguhan politik’ dan iltizam yang tinggi sahaja (serta berbakul sindiran, kritikan, innuendo, serangan sakit jantung dll) karya seperti Mana Setangginya boleh dipentaskan. Tahniah kepada semua kerana melakukan keadilan kepada suatu karya besar ‘Lord of the Rings Malaysia’ (istilah Kassim Lee Pegawai Media Istana Budaya dan saya bersetuju) ini. Sememangnya pentas bertaraf dunia memerlukan karya SN dengan wacana budaya,intelektual dan spiritual bertaraf dunia juga dan itu adalah suatu kemestian.

Langkah Institut Terjemahan Negara (ITNM) menterjemahnya ke dalam Bahasa Inggeris memang cukup tepat dan kena pada tempatnya. Tahniah kepada ITNM kerana cukup berjiwa besar memartabat karya-karya besar kita untuk tujuan mengantara-bangsakannya. Tidak ada gunanya jika bercakap tentang perkara besar di dunia tetapi bila diberikan tanggung-jawab duduk di atas longgokan buku dan karya kita yang cukup baik pun, tapi kita tidak tahu nak berbuat apa dengannya!

Skrip Mana Setangginya diangkat dari kisah dalam Kitab Taurat dan juga Al-Quran dengan refleksi senario politik-ekonomi-sosial masa kini. Dan seperti kata Dato Nordin, setiap kali dia menulis, ianya mempunyai konotasi dengan apa yang berlaku di sekelilingnya ketika itu. Untuk memahami Mana Setangginya, fikir-fikirkanlah apa yang berlaku sekitar akhir tahun 90han dan pasti jawapannya tertera di situ. Jadi siapa Juda, Hawar, Sibli, Ibra, Iriam, Uzza , mau pun nombor 2 pada backdrop dll elemen dalam skrip ini menuntut penghayatan yang cukup teliti. Setiap patah perkataan, dialog , simbolisme dan metaforanya mempunyai makna yang tertentu dan sarat dengan wacana pemikiran yang sangat tinggi. Setiap kali menonton saya menemui lapisan baru makna dan pengertian dan ianya bukan sekadar semantik bahasa seorang Sasterawan Negara.

Di tangan Zaifri Husin, interpetasi teksnya cukup baik dan teliti. Paling penting ianya juga menjadi suatu skrip berat dan serius yang amat menghiburkan, kreatif dan inovatif. Mencari suatu keseimbangan yang baik begini bukanlah suatu kerja yang mudah tetapi ianya tetap perlu dilakukan. Bukan semua orang yang datang menonton bersedia untuk berfikir secara mendalam dan analitikal dialog dan segala simbolisme yang dipamerkan, tetapi kesan set, kostum, pencahayaan dan kesan khas menjadikan pementasan teater ini cukup menghiburkan dengan elemen visual dan dramatik yang hebat. Jadi kalau pun ada yang tidak mampu menyelami dan memahami apa sebenarnya yang nak dikatakan oleh Nordin Hassan nikmati sahaja pementasan yang cukup baik dan menghiburkan ini pada laras pemikiran masing-masing.

Aspek lakonan pementasan Mana Setangginya cukup kuat dan impresif. Azizah Mahzan yang membawa watak Mira si puteri raja yang meninggalkan istana untuk mencari kehidupan yang lebih suci dan bermakna sebagai orang biasa mempamerkan lakonan yang sangat berkesan dan meyakinkan. Begitu juga Shaharuddin Thamby sebagai Hawar, Rudy De Luna Jr. sebagai Subat dan Mohd Nor Fatih Mohtar sebagai Silbi membawakan watak masing-masing dengan lontaran suara dan stylization hebat, konsisten dan berada dalam karekter sepanjang masa. Kebanyakan pelakon memberikan lakonan yang cukup baik dan berkesan serta meyakinkan walau pun saya rasa Sabrina Ali sebagai Iriam ada kalanya sedikit kaku tapi masih ada ruang untuk memperbaikinya.

Dalam komen tentang pementasan Mana Setangginya dalam program DIVA @ 1 RTM saya katakan berpuas hati dengan kerja serta ketelitian Zaifri menangani skrip besar ini. Babak pari-pari berterbangan dengan begitu indah dan diakui sangat sukar melakonkannya oleh pengarah ini sangat impresif dan menarik. Pun begitu, pencahayaan ada kalanya sedikit bermasalah dan kurang sesuai kerana walau pun duduk di barisan kedua dari hadapan (dikhaskan untuk jurugambar) saya merasakan sesuatu masih perlu dilakukan untuk menampilkan mimik muka pelakon dengan menggunkan lampu spot ke wajah mereka. Penataan muzik dengan komposisi yang cukup unik dan bertenaga sepanjang persembahan adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian. Begitu juga dengan kesan khas dan penataan artistiknya cukup baik menampilkan kesan yang cukup spektakular kepada keseluruhan pementasan teater ini.
Walaupun begitu mungkin ada yang berkata ini sedikit ‘meringankan’ teater yang cukup berat ini kerana dalam banyak aspek pengaruh dan elemen teater pendidikan pada kerja Zaifri amat ketara. Pun begitu, apa salahnya? Cuma beberapa kesan yang lebih besar perlu dicipta ketika babak kehancuran kota serta Iriam menikam mata belut gergasi untuk menjadikannya lebih dramatik.

Monday, June 22, 2009

Finale Mana Setangginya

Semalam di Istana Budaya merupakan malam terakhir teater Mana Setangginya dipentaskan. Empat kali saya menonton teater ini sejak malam pertamanya lagi dan En Mohamed Johari (Abg Jo) Ketua Pengarah Istana Budaya dengan penuh bangga mengumumkannya ketika sesi bertemu Dt. Nordin Hasan penulis skrip ini selepas pementasan. Sebelum itu saya sempat beritahu beliau bahawa sebelah siangnya saya terima banyak ucapan tahniah kerana reviu Mana Setangginya tulisan saya disiarkan dalam Berita Minggu dan antaranya ada yang mengatakan 'Tahniah kerana artikel yang pedas tapi menawan '. Abg. Jo ketawa tapi mengumumkannya kepada semua orang tentang komen tersebut. Sampai hari ini saya pening macam mana boleh pedas dan menawan pada masa yang sama? Seorang orang teater terkenal menghantar sms kepada saya bertanya ' Ni reviu lepas geram 1 dekad ke? Teruskan, teruskan....I love your style and your article ' Wallahualam bisawab.

Apa pun semasa pertunjukan semalam semua tempat duduk penuh hingga ke tingkat 2 dan 3 dan ramai murid-murid sekolah dari Kuala Lumpur dan tempat-tempat lain. Penonton sangat responsif dan tidak ada yang gelisah keluar masuk ke tandas kerana tidak faham. Malah dah nak masuk setengah jam pementasan dimulakan pun, masih ada orang yang datang lambat dan nak masuk menonton juga mengikut usherer IB yang bertugas. Saya tanyakan kepada Dt.Nordin dan Abg.Jo, kenapa agaknya teater yang serius dan berat ini boleh menarik ramai penonton dan ini 'debunked' teori populer selama ini bahawa teks yang begini tidak ramai yang akan menontonnya? Dt.Nordin mengatakan sokongan media yang cukup baik menyebabkan ramai yang datang. Macam biasa Cikgu Nordin ni seorang manusia yang amat merendah diri dan gentle soul yang membuatkan semua tak boleh nak kata tidak kepadanya (Zaifri saya sependapat dengan anda) dan membuatkan kami semua sayang habis kepada beliau.Tanyalah siapa pun kalangan inner circle teaterMelayu Malaysia, semua orang akan kata begitu. Saya hampir nak menangis bila mengingatkan teks Sarah dipentaskan di Stor DBP sahaja. Teks seorang Sasterawan Negara! Apa pun saya hampir nak kata kepada Cikgu Nordin orang datang kerana Cikgu adalah penulis skripnya dan Mana Setangginya adalah di antara mahakarya cikgu. Tapi saya tak menonton Intan yang Tercanai yang sedang dikerjakan oleh sahabat saya Wahab Hamzah (dan dengarnya beliau sedang pening!) lagi jadi tentang mahakarya tu biar saya simpan dulu.

Seperti yang saya pernah coretkan sebelum ini kepercayaan bahawa hanya muzikal yang dapat menarik ramai penonton dan orang tidak akan menonton teater yang berat dan serius mungkin hanya andaian yang tidak dibuktikan. Tahniah Istana Budaya kerana berani bereksperimen
dengan mementaskan karya berat yang 'tak ada nilai komersial' ini (menurut Ku Seman). Semalam Ku Seman adik saya sorang lagi juga lebih kurang senada dengan saya melepaskan geram satu dekad! Macam jodoh jugalah pementasan karya Cikgu Nordin ini kalau dah nak jadi tu, berapa tahun 'melilau' (bahasa orang Utara) ke sana sini pun, akhirnya jadi juga. Dan macam kata TS Aishah Ghani beberapa tahun lalu, kalau dah jodoh tak ke mana, sorok dalam peti besi pun jumpa juga akhirnya. Dan saya cukup tersentuh dengan kata-kata Dt.Nordin mungkin ada hikmahnya Mana Setangginya tidak dipentaskan 10 tahun lalu dan saya yang mengarahnya. Kerana selepas 10 tahun banyak teknologi baru dan orang lain jadi pengarah lain pulak pendekatannya. Allahuakbar.....Allah maha besar maha agung dan maha suci!

Thursday, June 18, 2009

Kampung Budaya di Sabah

Baru-baru ini, TS Mahyuddin Yassin telah mengumumkan pembinaan projek Kampung Budaya di Sabah. Tahniah saya ucapkan dan terima kasih kerana perkara ini telah banyak kali saya sentuh dalam postings lalu. Di Sabah sekurang-kurangnya ada Taman Budaya Monsopiad yang dikerjakan oleh pihak swasta. Ianya tidaklah besar, tetapi sekurang-kurangnya ada. Dan pengumuman pembinaannya oleh kerajaan adalah sesuatu yang sudah lama patut dilakukan. Saya sedikit hairan mengapa semasa DS Shafie Apdal anak Sabah sendiri menjadi Menteri Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan iannya tidak diumumkan, tetapi TPM yang mengumumkannya?

Berkaitan dengan itu, saya teringat tentang Kampung Budaya Kuala Lumpur yang beberapa tahun lalu diumumkan pembinaannya. Kalau tak salah saya di Jalan Davis dan Tiara Jacquilina yang diberikan kontrak mengusahakannya. RM 40 juta dengarnya harga projek tersebut. Selepas beberapa sidang akhbar tentang pelancarannya, sampai sekarang tidak dengar apa pun tentang projek ini. Dah siap ka? Dah dimulakan ka? DS Rais yang mengumumkannya hampir 2 tahun lalu mungkin mempunyai jawapannya tentang perkara ini. Terima kasih.

WACANA DUNIA MELAYU DI ALOR SETAR

Minggu lalu ramai orang-orang GAPENA dan saya sendiri, Ahli-ahli Persatuan Penulis di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang serta pegawai Kerajaan Negeri Kedah dan Perpustakaan Kedah berkumpul dan berwacana mengenai isu dan cabaran yang dihadapi oleh 300 juta orang umat Melayu di seluruh Alam Melayu. Ianya berlangsung dalam keadaan yang cukup sederhana tetapi bermakna kepada semua yang mengambil bahagian. Kira-kira 150 orang mengambil bahagian dalam seminar sehari ini yang berfokuskan 'CITRA KEISLAMAN DAN KEMELAYUAN DI NUSANTARA'. 10 orang pembentang kertas kerja telah membentangkan kertas masing-masing dan mencakupi berbagai aspek dan elemen Kemelayuan dan Keislaman Nusantara. Antaranya adlah:-

Sdr Fadlin Djafar dari Universitas Sumatera Utara, Medan
Ustaz Haji Suhaimi Awee dari Kolej Teknologi Yala, Selatan Thailand
Haji Djamal Tukimim dari Singapura
Prof Dr.Nurhayati Abd.Rahman dari Universitas Hasanuddin Makassar, Indonesia
Haji Azizi Abdullah Penulis dari Malaysia
Drs. Mursyid Yahya M.Pd dari Dinas Syariat Islam Kota Lhokseumawe, Aceh
Dr.Haji Brahim dari Astrawani Brenei Darussalam
Drs. Safuan Hadi Umri dari Medan Indonesia
Sdr.Azmi Hamid dari Pengerusi Teras Malaysia.

Kemuncak seminar adalah majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Melayu online.com iaitu portal pengkalan data tentang kesenian dan kebudayaan Melayu yang berpusat di Jogjakarta di bawah kelolaan Pak Mahyuddin A.Mudra dan syarikatnya dengan semua wakil Persatuan Penulis Dunia Melayu dari Malaysia, Thailand, Brunei, Singapura dan Indonesia. Seperti kata Pak Mahyuddin, 'inilah warisan paling berharga yang bisa kita tinggalkan untuk anak cucu kita tentang Melayu nya kita di Dunia Melayu ini.' Salut Pak Mahyuddin!

Monday, June 15, 2009

Mana Setangginya dll.

Tahniah diucapkan kepada Istana Budaya yang akhirnya berjaya mementaskan Skrip indah yang cukup halus dan tinggi nilai sasteranya buah tangan SN Dt.Nordin Hassan. Malam Ahad lalu sidang akhbar selepas persembahan teater ini diadakan bersama Ketua Pengarah Istana Budaya, Dt.Nordin Hasan, Dt.Wan Hashim Wan Teh Pengerusi Institut Terjemahan Negara, Datuk Saifuddin Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang merasmikan pelancaran buku terjemahan ITNM skrip Mana Setangginya. Selepas sidang akhbar, Datuk Wan Hashim berkata kepada saya, soalan saya kepada Istana Budaya suatu soalan yang baik. 'Malam ni saya jadi budak nakal bertanyakan soalan yang sensitif' balas saya. Dia ketawa, tapi En Mohamed Juhari berkata dia lega kerana saya mengucapkan tahniah kepada IB kerana mempercepatkan pementasan Mana Setangginya. Soalan saya pendek saja malam tu, saya tanya kenapa dalam situasi yang tinggi cas politiknya seperti juga senario tahun 1999, IB berani mementaskan karya cantik ini? Biarlah saya jadi budak nakal bertanya soalan begitu tetapi pasti ramai yang suka ada orang yang berani bertanya demikian. Paling penting, pementasan Mana Setangginya mendapat sambutan baik, tak ada parti politik NGO dll yang berdemonstrasi di depan IB kerana mementaskannya.

IB juga mengumumkan akan memberi slot skrip teater karya Sasterawan Negara setiap tahun. Awal tahun ini saya berleter dalam blog sebab karya SN kita tak diangkat ke pentas bertaraf dunia ini! Apa guna ada pentas canggih kalau karya dan teksnya tidak bermutu tinggi dan diisi dengan muzikal demi muzikal sahaja? Dengarnya perkara itu dibawa ke parlimen! Samada ada orang tak tahan mendengar leteran saya atau ada' wira tak didendang' yang cukup misteri membawa isu ini ke parlimen! Lama dulu ada seorang 'hero''yang juga membawa isu mengenai IB yang saya dan kawan-kawan lain perdebatkan ke parlimen. Jangn-jangan dia yang
buat lagi macam tu tak? Apa pun jutaan terima kasih kepada wira saya ni! Allah yang maha mengetahui segalanya dan membalas budi beliau. InsyaAllah.

Saya ada 3 reviu yang berlainan tentang Mana Setangginya yang dah dijanjikan kepada 3 penerbitan jadi saya tak mahu cakap banyak-banyak tentang pementasannya. Ghaffar Abdullah DBP dah nak merajuk kerana saya tak menghantar kritikan teater kepada majalah DBP, jadi kesian pulak sahabat saya ini! Apa pun, saya ucapkan tahniah kepada Zaifri Husin pengarahnya yang awal-awal lagi dah lancar perang saraf kepada saya di kafe IB baru-baru ini dengan berkata saya pengkritik teater terbaik yang paling digeruni di Malaysia. MasyaAllah. Takut saya mendengarnya. Zaifri jangan risau saya tak makan orang!

Friday, June 5, 2009

Tahniah Kepada Tan Sri Zainuddin Maidin

Ucapan tahniah saya kepada Tan Sri Zainuddin Maidin yang akan dianugerahkan gelaran tersebut hari ini sempena Keputeraan DYMM Yang Di Pertuan Agong.

Pasti hari ini merupakan satu hari yang istimewa dan akan dikenang sampai bila-bila. Dan saya pasti Tan Sri akan sentiasa bersetuju bahawa keikhlasan, kejujuran dan sentiasa berlaku adil dan menimbang rasa kepada orang lain ada ganjarannya. Ramai 'wira yang tidak didendang' di sekeliling kita yang tidak kita ketahui mereka ujud kadang-kadang! Alhamdullilah dan tahniah sekali lagi.

Tuesday, June 2, 2009

Wacana Dunia Melayu Di Alor Setar

Mulai 10 - 11 Jun 2009 perjumpaan dan suatu majlis ilmu yang dinamakan Wacana Dunia Melayu akan di adakan di Alor Setar bertempat di Perpustakaan Negeri Kedah. Wacana ini bermula dengan pelancarannya pada 10 Jun oleh Menteri Besar Kedah dan keesokkan harinya diikuti dengan majlis perbincangan dan pembentangan kertas kerja oleh sarjana dan tokoh-tokoh akademik dunia Melayu. Majlis ini adalah hasil perbincangan dan cadangan tokoh-tokoh budaya dan akademik Acheh yang telah beberapa kali berbincang dengan GAPENA susulan siri wacana yang telah beberapa kali dibuat sebelum ini di seluruh Alam Melayu. Walikota Acheh juga akan turut hadir dan menjadi tetamu Kerajaan Negeri.

Fokus wacana kali ini adalah memupuk ruang kerjasama dan perpaduan antara komuniti Islam-Melayu dalam aspirasi, identiti dan berbagai isu pembinaan negara bangsa bagi hampir 300 juta orang Melayu di seluruh dunia. Partisipasi dijangkakan dari peserta luar negeri terutama Acheh, Kalimantan, Jogjakarta, Brunei, Thailand, Singapura dan juga Filipina dll selain daripada Malaysia sendiri. Dijangkakan 100 orang tokoh, sarjana dan pemikir dunia Melayu akan berhimpun dan berwacana dan partisipasi yang cukup terhad adalah melalui jemputan sahaja.

Kerjasama dan keterbukaan Negeri Kedah memberi sokongan dan bantuan untuk majlis wacana ini adalah sesuatu yang amat dialu-alukan dan diucapkan terima kasih selain daripada ianya sesuatu yang perlu dilihat dan diterima dengan pandangan yang lebih terbuka, intelektual dan menuntut kewarasan di peringkat paling optimum. Dan GAPENA sekali lagi gigih melangkah ke depan membina platform bagi wacana intelektual yang sihat dan amat perlu tanpa mengira kecenderungan politik tapi segalanya atas dasar kepentingan 300 juta orang Melayu di seluruh dunia dalam mendepani globalisasi dan segala macam cabaran order baru dunia. Semoga tidak ada yang memandang serong atau berfikiran sempit dan meletakkan label yang tidak sepatutnya ke atas majlis ilmu yang bakal diadakan. InsyaAllah.