Tuesday, July 31, 2012

Kempen Mengumpulkan Buku Untuk Somalia

Lebih Sedekad yang lalu sewaktu berada di Rusia saya sempat melawat St.Petersburg. Saya dan beberapa orang rakan ditemani oleh seorang pemandu pelancong yang jelita bernama Katherina di bawa melawat beberapa tempat menarik di sekitar St.Petersburg. Katherina seorang graduan dari University Oxford dalam jurusan Kesusasteraan Inggeris. Jadi saya yang rajin sekali berbual dengan beliau sepanjang perjalanan tentang seni, sastera dan budaya kerana banyak perkara yang menjadi pokok perbincangan merupakan topik yang dekat dengan kami berdua.

Hampir sehari suntuk Katherina bersama kami dan dalam perbualan  saya diberitahu bahawa beliau pernah bertugas sebagai  penterjemah kepada  tentera Rusia ketika Jeneral Aidit memberontak di Somalia. Katherina telah memberitahu saya bahawa  dijangkakan  pertumpahan darah di Somalia akan mengambil masa yang lama dan negara itu akan jadi padang jarak padang tekukur akhirnya - 'Balik ke zaman Batu' mengikut istilah Prof.Dato Dr Zainal Kling.

Dalam New Sunday Times Ahad lalu, tulisan Dato Ahmad A.Talib yang pergi ke Somalia baru-baru ini membuatkan saya teringat semula kata-kata Katherina tentang Somalia yang akan kembali ke zaman batu sekali lagi. Dan benarlah seperti yang dikata, dari dua orang pekerja di Mercy Malaysia yang pernah menuntut di Malaysia, Somalia memerlukan sekolah, buku dan hospital dan lain-lain prasarana asas dan mungkin mengambil masa 30-40 tahun lagi untuk keluar dari kesan kehancuran peperangan yang dilaluinya. Dan begitulah juga dengan Afghanistan, Iraq dan semua negara yang telah melalui peperangan.

Mungkin ada baiknya rakyat  Malaysia memulakan kempen mengumpulkan buku untuk saudara-saudara kita yang memerlukannya di Somalia, Afghanistan atau di mana saja. Kita punya banyak NGO yang boleh digerakkan untuk tujuan ini dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Yayasan Salam dan lain-lain boleh menjadi pusat pengumpulannya dan menjadi koordinator atau melakukan apa saja fungsi yang diperlukan.    

Salam Ramadan dan selamat melakukan kebajikan untuk manusia yang memerlukannya tidak kira di mana mereka berada.

Wednesday, July 25, 2012

Artikel Asal Dalam Harian Metro 25 Julai 2012


USIKAN REBAB: KENAPA BEGITU MIRIP REBAB BERBISIK?
OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM.

Sekali lagi di kalangan orang seni timbul  isu plagiarisme. Kali ini orang teater pula ramai yang gelisah dan bercakap  tentang teater Usikan Rebab yang dipentaskan untuk kali kedua oleh The Actors Studio di KL Performing Arts Centre. Plot dan tema skrip ini  begitu mirip dengan skrip karya Rahimidin Zahari  Rebab  Berbisik yang telah dipentaskan banyak kali  sebelum ini.  Ada orang berkata  hanya di kalangan wartawan hiburan dan penulis sahaja yang mempersoalkan hal ini. Penulis kurang pasti tentang hal itu, tetapi siapa pun yang mempersoalkannya tidak penting, tetapi kenapa ia dipersoalkan? Karya apa pun tidak akan dipersoalkan kalau tiada yang tidak kena tentangnya. 
Mengikut  penulis  skrip Usikan Rebab Zamzuriah Zahari (sumber  fakta dari sidang akhbar beliau)ianya ditulis sebagai kerja tahun akhirnya yang diserahkan kepada pensyarahnya pada tahun 2006. Zamzuriah tak perlu gusar jika apa yang dikatakannya benar tapi beliau perlu membuktikan skripnya adalah karya beliau yang tulen dan tidak dipengaruhi  kerja orang lain. Sedikit pengaruh intertekstual masih boleh diterima, tetapi kalau lebih daripada itu ia pasti mengundang persoalan.

Penulis telah membuat sedikit penyelidikan tentang skrip Rebab Berbisik karya Rahimidin Zahari. Melalui info Rahimidin  yang dsampaikan oleh Rosnan Rahman, skrip ini ditulis oleh Rahimidin pada tahun 2001 sebagai  kertas Penulisan skrip yang dikendalikan oleh Dr.Samad Salleh pensyarah teater di Universiti Sains Malaysia. Pernah dipentaskan di  USM, tetapi pementasan di luar kampus yang pertama adalah di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2006. Sehingga kini, skrip ini telah 15 kali dipentaskan di banyak negeri dengan Rosnan sebagai pelakon solonya yang memegang empat watak sekaligus. Beberapa bulan yang lalu, Rosnan dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik Teater oleh Anugerah Boh Cameronian. Dan terakhir teater ini akan di bawa ke Pusat Warisan Melayu di Singapura  untuk dipentaskan.  
 Usikan Rebab karya  Zamzuriah mengisahkan  Kak Nab seorang primadona  makyung di masa mudanya. Kak Nab hidup keseorangan dalam kesepian setelah kematian suaminya  Dolmat Sulaiman  pemain rebab kumpulan makyung mereka. Mereka mempunyai tiga orang anak perempuan Idah, Ani dan Yam  yang telah membawa haluan masing-masing dan tidak mahu mewarisi  permainan makyung lagi. Ini mengecewakan Kak Nab yang  masih berharap salah seorang anaknya kembali untuk mengambil tempatnya sebagai primadona makyung. 

Idah  anak sulung  Kak Nab menjadi seorang guru agama yang menentang habis-habisan permainan makyung yang dikatakan mempunyai ciri-ciri mistik dan syirik. Ani anak keduanya pula menjadi seorang  penyanyi  dangdut di Kuala Lumpur. Dan Yam anak bongsunya pula menolak tarian tradisional dan mahu menjadi  guru tari disebuah sekolah yang mengajar  tarian barat. Dalam kesunyian di usia tuanya,  Kak Nab sering mengenang zaman kegemilangannya  bermain makyung  dan kebahgiaan kehidupan dengan Arwah suaminya Dolmat.           
Rebab berbisik mengisahkan kehidupan Pak Su seorang tokoh makyung di zaman mudanya dengan isterinya Mek Ning seorang primadona makyung juga. Mereka merupakan pasangan bahagia dan gemilang di pentas makyung  dan dikurniakan dua orang anak lelaki  Azri dan Azmi (juga Mimi). Azri menjadi seorang ustaz dan menolak dunia makyung Pak Su kerana beberapa praktisnya  yang dikaitkan dengan perkara syirik dan menyalahi agama. Azmi yang menjadi Mimi bekerja sebagai seorang penyanyi dangdut di sebuah kelab malam setelah melarikan diri dari kampung mereka di Kelantan (juga berlaku kepada watak Ani dalam Usikan Rebab).  Di usia tuanya, Pak Su yang kematian Mek Ning mengenang kembali zaman kegemilangan dan kebahgiaannya tapi pada masa yang sama kesunyian dan kecewa oleh penolakan anak-anaknya yang tidak mahu mewarisi  dunia makyungnya.  

Begitu  mirip sekali teks  Rebab Berbisik dengan  Usikan Rebab ini. Malah nama kedua skrip ini  juga memanfaatkan rebab  dan hanya satu perkataan yang membezakannya. Mungkin ada beberapa perbezaan kecil di sana sini, tetapi  begitu banyak persamaan dari segi tema dan plot di antara kedua teks ini. Penulis begitu terpanggil untuk bertanya apa yang terjadi dalam dunia seni kita? Baru-baru ini  filem terbaru arahan   Pierre Andre Aku, Kau dan Dia dipersoalkanS (sekurang-kurangnya dikalangan karyawan dan  yang menonton) kerana begitu banyak persamaan dengan filem Sepi arahan Kabir Bhatia beberapa tahun lalu.
Sekali lagi penulis perlu berkata, jangan jadi orang seni jika kita tidak meletakkan integriti dan kejujuran sebagai keutamaan kita.  Orang seni perlu jujur dan tidak melakukan perkara sebaliknya, kerana tanggung jawab mereka sangat berat kerana punya bakat anugerah Tuhan yang tidak diberikan kepada orang lain. Dan anugerah tersebut datang dengan tanggung jawab besar dan tidak boleh disalah-gunakan.

Entahlah, kita sedang melalui zaman getir kecelaruan moral agaknya kerana terlalu banyak senario negativiti moral di sekeliling kita sehinggakan orang seni pun terikut-ikut melakukan perkara tidak jujur.  Mereka  tidak lagi bercakap tentang idealisme moral yang harus diletakkan  sebagai nombor satu dalam karya dan kehidupan mereka. Penulis dapat memahami  jika  perkara ini berlaku dalam masyarakat Barat yang sudah menolak nilai moral dalam kehidupan. Tetapi kita hidup dalam  masyarakat berbilang kaum dengan Islam sebagai agama rasmi negara ini dan tidak ada agama yang dipraktis oleh majoriti rakyat yang mengajar tentang ketidak-jujuran.

   

Monday, July 16, 2012

Artikel Asal Dalam Berita Harian Ahad lalu


 JANGAN JADI ORANG SENI KALAU TIDAK JUJUR!

OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM.



Menonton filem Pierre Andre yang terbaru bertajuk Aku,  Kau dan Dia penulis termenung panjang dan mula memikirkan tentang kekalutan dan kehodohan beberapa perkara yang semakin kerap berlaku dalam industri seni kita. Pun begitu, ini bukan masalah baru dan bukan masalah orang seni saja. Plagiarisme tidak berlaku dalam filem sahaja, di universiti tempatan maupun Harvard, Yale, Oxford dan Cambridge juga berlaku dan terus berlaku.Ada orang yang hingga hari ini tesis PHD nya tidak boleh diletakkan di perpustakaan kerana kualitinya yang cukup rendah dan banyak berlaku ketidak-jujuran dalam penulisannya. Bukan di mana perkara  itu berlaku, tapi   pokok pangkalnya ialah kejujuran dan integriti diri manusia yang melakukannya.



Begitu banyak persamaan antara filem Pierre kali ini dengan filem Sepi arahan Kabir Bhatia sedikit waktu lalu yang turut dibintangi oleh Pierre sendiri. Dalam filem Sepi, Pierre berlakon sebagai Khalil yang terbunuh dalam  pergaduhan dan Imaan kekasihnya yang tidak dapat menerima kenyataan tentang tragedi tersebut melalui tekanan jiwa yang cukup hebat sehingga sampai ke taraf psikosis. Imaan sentiasa berimaginasi Khalil masih disampingnya dan tidak dapat menerima Ean teman sekelasnya yang berbuat macam-macam  hal untuk memikatnya. Imaan jatuh koma oleh  kemalangan dan  Ean yang menemaninya  menyedarkannya bahawa dia perlu ‘melepaskan’ segala kesedihan dan kenangannya tentang Khalil dan meneruskan kehidupan.



Aku, Kau dan Dia pula bercerita tentang  Mia (lakonan pertama Zarina Jamalulail)yang kehilangan Ilhan tunangnya (lakonan Pekin Ibrahim) dalam satu kemalangan. Mia yang tidak dapat melupakan tragedi ini juga berada dalam keadaan sindrom penafian yang merasakan Ilhan masih ada disampingnya. Tetapi Mia bertemu dengan Izlan seorang pemuzik jalanan yang berbuat macam-macam untuk memikatnya dan membahagiakannya. Walau pun sebenarnya pertemuannya dengan Izlan hanya berlaku dalam imajinasi  Mia  terlalu banyak persamaan dan keselarian antara plot filem Sepi dan Aku, Kau dan Dia.



Apa sudah jadi dengan kreativiti orang seni kita? Lebih serius lagi, apa jadi dengan kejujuran berkarya dan integriti orang Seni kita? Penulis sering percaya, seni harus menjadikan manusia lebih baik.  Bakat seni yang dianugerah Tuhan bukan diberi kepada semua orang, jadi tanggung jawab orang seni amat berat dan tidak boleh diabaikan sama sekali. Apalagi melakukan perkara tidak jujur (dalam apa bentuk sekalipun) ketika berkarya (juga ketika tidak berkarya) adalah sesuatu yang tidak kena dengan orang seni yang perlu punya integriti tinggi dan jujur dalam hidup. Jangan jadi orang seni kalau tidak dapat menjadi begitu.



Pun begitu, karya seni hebat mana pun tidak terlepas daripada pengaruh karya lain. Kita hidup dalam dunia yang semakin kecil dan sudah tidak ada dinding pemisah antara kita semua. Tapi sedikit serapan atau pengaruh intertekstual antara satu karya dengan yang lain adalah dibolehkan dan dapat diterima di mana pun. Yang tidak boleh adalah jika terlalu banyak persamaan dan keselarian plot dan tema dalam sesuatu cerita walau pun diubah sedikit . Ketulenan sesuatu karya  harus ada originalitinya, harus segar dan banyak perbezaannya dengan karya lain walau pun ada sedikit persamaan di sana sini.



Sedikit waktu lalu, sebuah filem yang menang di Festival Filem Malaysia juga dipersoalkan kerana begitu banyak persamaan dengan sebuah filem berbahasa Inggeris yang masyhur.  Pun begitu, kerana  ianya dalam konteks yang berbeza  dan watak-watak mitos dan sastera rakyat tempatan yang banyak dalam filem ini, ramai yang mendiamkan diri dan menerima keputusan juri FFM  meski pun persamaan dalam filem ini dengan filem lain lebih daripada pengaruh intertekstual. Penulis risau, justifikasi menjadikan filem seperti ini sebagai pemenang FFM diinterpetasi  sebagai  plagiarisme adalah  tidak mengapa dan bukan satu kesalahan yang serius dalam berkarya.  Penulis khuatir implikasinya  lama kelamaan boleh membawa kepada tragedi  yang lebih serius dalam dunia seni kita. Jadi, jangan jadi orang seni kalau tidak jujur dan mahu mencari jalan pintas kepada kejayaan (atau  kekayaan).



Pemilihan  pendatang baru   Zarina Jamalulail memegang watak Mia juga adalah suatu keputusan yang sangat berani  tapi boleh dipersoalkan kebijaksanaannya. Watak Mia sangat berat dan kompleks untuk seorang yang tidak berpengalaman seperti Zarina. Apalagi bila digandingkan dengan  pelakon berbakat besar dan berpengalaman di pentas teater seperti Pekin Ibrahim dan Remy Ishak. Keduanya  mempamer lakonan yang cukup mantap dan meyakinkan dalam watak masing-masing. Akibatnya, Zarina kelihatan sedikit kaku dan ‘dibanting’ oleh  kedua pelakon hebat Pekin dan Remy.



Watak yang dipegang oleh Zarina patut dipegang oleh pelakon wanita lain yang cukup berpengalaman. Zarina belum bersedia untuk memegang watak utama dan perlu banyak menimba ilmu terutama di pentas teater. Penulis percaya, pentas teater dapat membentuk pelakon yang tidak berpengalaman, maupun tidak terdidik dalam bidang lakonan jika mendapat seorang pengarah teater yang terlatih dalam pengarahan dan lakonan.Di Barat dan negara maju lain, seorang pelakon pentas yang baik sentiasa di intai oleh pengarah filem untuk filem mereka. Ini kerana pelakon pentas yang baik terdidik  dengan perkara asas yang penting dalam lakonan sebelum mereka memasuki lakonan filem. Tidak ada hukum yang mengatakan  pelakon filem tidak patut berlakon teater, jadi manfaatkan pentas teater untuk menimba ilmu.       




Sunday, July 15, 2012

Ramli Sarip di IKIM

Semalam bertempat di Institut Kefahaman Islam Malaysia selesai saja konsert Alunan Kalbu, saya dan beberapa orang petugas media berkesempatan menemu-bual ikon rock Malaysia Ramli Sarip. Entah berapa kali saya menitiskan air mata bila mendengar lagu beliau "Kau Yang Satu' semalam saya akui terus terang kepada penyanyi hebat ini tentang impak lagu-lagunya kepada saya. Abang Ramli tersenyum dan mengatakan bahawa apa yang dilakukan dalam lagu-lagunya adalah sesuatu yang sangat dekat  dan natural dengan dirinya dan orang banyak. Seterusnya beliau bercakap tentang album 'Sadaqa'nya yang terbaru. Saya mencadangkan selepas ini beliau membuat album lagu-lagu bertemakan kerohanian dalam Bahasa Inggeris untuk mencapai ke tahap yang lebih tinggi. Beliau bersetuju dengan cadangan saya dan mengatakan memang sudah sampai masanya beliau berbuat begitu.

Abang Ramli, terima kasih dan saya tunggu kelahiran album dalam Bahasa Inggeris kerana saya yakin, anda dapat melakukannya dan pasti ia akan diterima oleh ramai orang. Dunia perlu tahu tentang kehebatan  'Joe Cocker' Malaysia ini!  

Sunday, July 8, 2012

The Colors of Paradise

TV AlHijrah menayangkan filem Iran The Colors of Paradise semalam. Ini antara 'permata' hasil karya Majid Majidi yang amat terkenal. Saya telah beberapa kali menontonnya, tapi setiap kali menonton ada sesuatu yang baru yang saya temui. Selain itu, juga banyak pengaruh intertekstual filem ini yang terserap dalam filem-filem lain. Mungkin Dain Said yang mengarah filem Bunohan yang cukup artistik juga mengambil sesuatu dari filem ini sewaktu memperkatakan tentang niat jahat dan 'syaitan dalam diri manusia'. Yang saya maksudkan adalah gema suara burung Enggang yang cukup 'menacing' dan menimbulkan ketakutan yang tidak sedikit sewaktu watak Ilham bercakap tentang pekerjaannya sebagai pembunuh upahan. Dalam Colors of Paradise, bapa Mohamad remaja yang buta dan banyak menyusahkannya juga di hantui oleh gema suara burung yang menggambarkan niat jahat mahu meninggalkan anaknya di tengah-tengah hutan dengan harapan sesuatu yang tidak baik akan menimpa anaknya. Sangat 'subtle; penglahiran serta perlambangan yang digunakan oleh Majid dan ia cukup baik dan berkesan.

Sesekali TV Alhijrah menayangkan filem Iran yang bagus dan cukup halus dakwahnya. Tahniah, kerana saya mengira cara begini lebih berkesan daripada berjam-jam program ala Forum Perdana, syarahan agama, forum agama, mau pun Ustaz Don. Saya kurang pasti program sebegini dapat menarik mereka yang tidak berapa dekat dengan agama dan moraliti. Selain daripada program begini cukup lama formatnya dan tidak menarik perhatian penonton tv langsung melainkan orang-orang tua. Buatlah penyelidikan yang cukup akademik dan tengoklah hasilnya. Berapa ramai orang muda dan golongan yang tidak mesra 'agama' ini menonton Forum Perdana dll.

Berdakwah perlukan anjakan paradigma yang besar. Tak ada siapa yang nak menonton program tv yang asyik berkhutbah dan mengutuk mereka yang berzina, minum arak, tidak jujur, kaki tipu dan belit dll. Jadi macam mana kita nak berdakwah kepada golongan Melayu liberal ini?

TV Al Hijrah juga patut menunjukkan filem-filem yang lebih baru daripada serata dunia Islam dan bukan dari Iran sahaja. Walau pun saya belum pernah menonton filem Iran yang mahu mengajak manusia menjadi Syiah, mau pun memeluk Islam, tapi saya yakin ada suara sumbang yang akan beranggapan begitu. Filem Colors of Paradise itu sudah lama lebih daripada sepuluh tahun yang lalu pertama kali saya tonton! Kenapa tidak diambil juga filem-filem dari Turki, Uzbekistan, Mesir (yang tidak sekular) dan paling panas sekarang ialah filem dari Palestin. Elia Sulaiman pengarah Palestin memukau ramai orang di Festival Filem Doha dan filem-filemnya cukup baik dan tinggi mutunya memperkatakan kehidupan di  Palestin dalam penjara besar Israel. Dan sayang, setiap kali saya bercakap tentang filem-filem ini, beberapa sahabat yang mendengar merasa saya ini seperti datang dari planet Marikh! Tragedi umat Islam di laman sendiri!

Thursday, July 5, 2012

Filem Aku Kau dan Dia

Menonton filem terbaru Pierre Andre bertajuk Aku Kau dan Dia menyebabkan saya teringat kepada watak Iman dalam filem Sepi arahan Kabir Bhatia.Pierre berlakon dalam filem itu sebagai kekasih Iman yang mati terbunuh dalam pergaduhan dan Iman melalui tekanan jiwa yang amat teruk sehingga sampai ke peringkat psikosis.Iman tidak dapat menerima kenyataan tentang kematian kekasihnya dan tidak dapat 'melepaskannya'dari ingatannya. Iman merasakan kekasihnya masih wujud dan sentiasa bersamanya. Inilah yang berlaku dalam filem Aku Kau dan Dia yang dibintangi oleh Pekin Ibrahim, Remy Ishak dan pendatang baru Zarina Jamalulail. Apa jadi dengan kreativiti Pierre Andre? Kenapa begitu hampir persamaan filem ini dengan cerita Iman dalam Sepi? Pemilihan pelakon baru memegang watak utama wanita dalam filem ini juga menimbulkan banyak persoalan. Watak ini amat berat dan memerlukan pelakon yang handal, bukan sebarang pelakon boleh membawakannya. Apalagi bila digandingkan dengan pelakon bagus seperti Pekin dan Remy.Zarina terlalu kaku dan memerlukan sekurang-kurangnya pengalaman berlakon 10 kali dalam filem dan teater sebelum boleh digandingkan memegang watak utama disamping pelakon seperti Remy dan Pekin.Pekin dan Remy banyak berlakon dalam teater dan di situlah pengalaman berharga boleh ditimba oleh pelakon seperti Zarina Jamalulail.