Friday, September 4, 2009

Reviu Muzikal Tun Razak

Reviu ini telah disiarkan oleh Berita Minggu dua minggu yang lalu. Tetapi atas permintaan beberapa orang pengirim emel yang mahukan versi originalnya, saya muatkan dalam posting ini.


MUZIKAL TUN ABD. RAZAK: MENELUSURI JEJAK SEORANG PATRIOT.
OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM.
Kata pengarah Muzikal Tun Abd. Razak (MTAR) Dato Rahim Razali beliau sedikit kesal kerana skrip teater ini tidak menggunakan banyak simbolisme. Seperti yang dijangka sesiapa juga yang mementaskan teater selepas Mana Setangginya bulan lalu pasti akan menghadapi cabaran besar walau pun beliau adalah seorang tokoh teater besar seperti Dato Rahim. Cabaran itu datangnya bukan dari segi kreativiti dan pendekatan pementasan oleh pengarah, tetapi kerana tidak dapat tidak perbandingan genre di antara keduanya pasti akan dibuat.
Bagi orang teater tulin seperti Dato Rahim, pasti ianya seperti makan nasi dengan lauk yang tidak pedas sedangkan sebelumnya berlaukkan sambal tumis cili api yang menjadi kegemaran. Dato Rahim, saya memahami perasaan orang seperti Dato tetapi perlu diingat MTAR adalah sebuah teks realisme berdasarkan fakta kehidupan seorang manusia yang benar-benar wujud, dan tidak banyak ruang berfantasi dan berimaginasi yang terluang untuk dieksploit untuk tujuan kreativiti. Pun begitu, MTAR tidak mengecewakan dan cukup baik dalam menelusuri nostalgia pahit manis perjalanan hidup seorang negarawan ulung yang dipenuhi dengan dedikasi terhadap perjuangan kemerdekaan dan komitmen terhadap tanggung-jawab membangunkan negara serta berlumba dengan leukemia yang meragut nyawanya di usia yang masih muda.
Ini kali pertama ASWARA mementaskan suatu produksi berskala besar hasil gabungan usaha pengarah terkenal, staf dan penuntut-penuntutnya. Dan ia cukup membanggakan walau pun ada aspek yang boleh diperbaiki lagi terutama kerana pelakon utamanya Rashidi Ishak yang jelas tidak boleh menyanyi dan seringkali off key. Ini juga kali pertama Rashidi berlakon di atas pentas dan memainkan peranan utama karekter seorang pemimpin yang serius, kuat bekerja tidak berwarna-warni kehidupannya dan pasti ini adalah suatu cabaran besar kepada siapa pun walau beliau mungkin seorang pelakon filem yang hebat. Berlakon di atas pentas adalah berbeza daripada untuk layar perak. Jadi agak mengecewakan menonton watak Tun Razak yang dibawakan ada kalanya sedikit kaku serta tidak dapat mencapai tahap kedalaman emosi seorang pesakit leukemia yang juga seorang Perdana Menteri.
Lebih malang lagi, lakonan Rashidi sering ‘dibanting’ oleh kekuatan lakonan dan vokal Fauziah Latif yang cukup baik, berkesan dan meyakinkan dalam membawakan watak Tun Rahah. Fauziah jauh lebih baik dari lakonan pertamanya dalam teater Rubiah 10 tahun lalu. Walau pun tidak banyak pengalaman pentas yang ditimbanya kerana beliau lebih terkenal sebagai seorang penyanyi daripada pelakon, tetapi saya yakin kreditnya harus diberikan kepada pengarah kerana dapat membentuk karekter Tun Rahah yang dilakonkan oleh Fauziah dengan begitu baik sekali.
Penciptaan watak Wan Rakyat sebagai narator, pembantu, kawan baik dan juga pekerja rumah Tun Razak adalah sesuatu yang menarik dan tidak banyak digunakan dalam skrip teater kita. Wan Rakyat bukanlah watak yang benar-benar ada , tetapi ia melambangkan rakyat yang ditemuai oleh seorang pemimpin dalam setiap hari kehidupannya. Itulah sebabnya Wan Rakyat ada di mana-mana dan menjadi simbul kepada orang banyak. Ia mengingatkan saya kepada watak Everyman lakonan Antonio Banderas dalam filem Eva yang mengisahkan jatuh bangun Eva Peron seorang diktator di Argentina.
Muzikal ini dimulakan dengan pertunjukan boria Pulau Pinang yang cukup menarik dengan pembinaan dramatik yang baik melalui pemberhentian pertunjukan untuk pengumuman kembalinya Tun Razak ke rahmatullah dan pembacaan Al- fatihah. Kreatif dengan unsur suspen yang tidak dijangkakan. Mulai dari situ, babak demi babak dengan berbagai elemen dramatik yang baik terhampar mengikut kronologi dan berjaya mempamerkan pengisian interpetasi skrip yang kreatif dan mantap.
Babak seorang kanak-kanak lelaki yang kebingungan dan terperangkap semasa pergaduhan kaum yang membawa kepada peristiwa 13 Mei 1969 begitu baik dan simbolik sekali. Ia membawa konotasi kekeliruan, kekacauan dan keterkejutan yang tidak sedikit bagi seorang anak kecil yang boleh juga dilihat sebagai sebuah negara yang masih muda mengharungi kekeliruan kerana terhumban ke dalam anarki. Babak ini dengan latar-belakang kebakaran dan kekacauan cukup mengesankan dan antara klimaks yang dramatik dan cantik selain daripada konfrontasi dan lawatan ke Beijing. Kawad Pengawal Mao yang di stylized kan dengan paluan gendang cukup cantik dan menarik serta begitu berkesan.
Koreografi . penataan artistik serta kesan khas yang baik juga membantu menghasilkan elemen teatrikal yang baik mengikut keperluan babak yang menggambarkan ketegangan, kecerian, kesedihan dan lain-lain. Aspek lakonan juga cukup baik dan meyakinkan dari hampir kesemua pemegang watak utama. Tahniah Dato Rahim dan ASWARA, kerana teater ini menyingkap banyak momen sedih, duka, gembira dan 1001 rasa dalam kehidupan Perdana Menteri Kedua Malaysia iaitu AllahYarham Tun Abd.Razak. Al-fatihah untuk seorang patriot bangsa yang hidup matinya untuk bangsa dan negara ini.

0 comments: