Thursday, September 24, 2009

ASWARA Mahu Pentaskan Muzikal Patriotisme

Baru-baru ini Dato Omar Awang menulis dalam Utusan bahawa ASWARA akan terus mementaskan muzikal berunsurkan patriotisme dan tokoh-tokoh sejarah negara. Baguslah tu, saya setuju sangat kerana sebagai sebuah institusi kerajaan sememangnya menjadi tugas ASWARA mementaskan karya seni berbentuk begini. Pun begitu, kenapa hingga ke hari ini tiada muzikal mengenai Tunku Abdul Rahman Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia? Saya ingin mencadangkan ASWARA mementaskan teater mengenai Tunku di musim akan datang. Inilah satu-satunya tokoh sejarah yang banyak mencorakkan asas-asas penubuhan negara ini dan sayang sekali sehingga hari ini tidak ada siapa pun yang terfikir untuk membawanya ke pentas teater.

Impak Maksima ke Esplanade

Muzikal Impak Maksima akan dipentaskan di Panggung Esplanade Singapura atas jemputan orang sana. Saya kurang pasti atas dasar apa teater ini dipilih kerana sewaktu menontonnya tahun lalu saya tidak nampak di mana istimewanya muzikal ,mengenai budak lelaki jatuh cinta dengan budak perempuan dan melibatkan pergaduhan remaja dan lain-lain 'genre' kehidupan orang muda sekarang patut diangkat sebagai karya seni yang membanggkan? Mungkin keistimewaannya ialah kerana ada adegan drift kereta di atas pentas? Jadi ia dipilih kerana seni drift-mendrift? Kalau pun ia boleh dipanggil seni!

Lainlah kalau ada orang menghasilkan kisah dan dilema cinta dengan berlatar-belakangkan konspirasi politik, PRU 12 dan persoalan-persoalan berat ekonomi, perubahan sosial dan pengorbanan manusia-manusia yang terjebak di dalamnya serta penemuan makna cinta sejati, kejujuran, persahabatan, dendam serta pedihnya tertusuk tikaman dari belakang manusia-manusia yang disayangi selama ini? Mungkin saya patut menulis skrip begini. Dan orang yang saya bayangkan memegang watak utamanya ialah YB KJ! selepas menonton filem pendek KJ sebagai pemandu teksi saya sering memikirkan beliau cukup versatil untuk berlakon di atas pentas. Lagi pun sekarang dia belum pegang jawatan dalam kabinet jadi kalau dia berlakon banyak-banyak sekarang ini bagus juga! Saya yakin ahli-ahli Kelab Peminat KJ mesti suka. Saya yakin ada orang yang akan ketawa dengan cadangan ini, tetapi macam KJ saya juga suka berfikir di luar kotak. Kepala kita kadang-kadang sama dik!

Filem-filem Yasmin di Australia

Selepas menonton program tribute kepada arwah Yasmin Ahmad (dalam TV 3) beberapa bulan lalu, saya menghantar sms kepada Ku Seman. Kata saya, untungnya Yasmin buat filem cereka cuma tujuh tapi ada program tribute untuk karya-karyanya. Tapi AllahYarham Pak Arenawati menulis selama lebih daripada 50 tahun dengan entah berapa puluh novel dan mendapat anugerah Sasterawan Negara tidak ada pulak stesen TV yang membuat program untuk menghargai khazanah sastera yang beliau tinggalkan. RTM pun tidak buat program belangsungkawa untuk penulis-penulis terkenal kita secara konsisten. Hanya ada tokoh-tokoh tertentu saja yang dibuat program khas bila mereka meninggal dunia.

Mungkin Dato Seri Rais Yatim boleh memikirkan cadangan mengadakan program belangsungkawa secara konsisten tentang semua tokoh terkenal (selain tokoh politik) negara ini dalam apa juga bidang yang mereka ceburi. Ini juga ada kaitan dengan merakam sejarah serta kehidupan tokoh kebanggaan negara yang telah sepanjang kehidupan mereka mencurah bakti dalam bidang yang mereka ceburi. Saya cukup terkilan bila berbual dengan Prof Dr.Norhayati dari Universitas Hasannudin Makassar yang mengheret kamera, laptop dan segala macam alat perakam sewaktu beliau dengan seorang penuntutnya berada di sini untuk membuat dokumentari tentang Arenawati yang kita tidak buat. Kami tinggal sebilik di Hotel Seri Malaysia di Alor Setar ketika itu dan banyak cerita yang dikongsi bersama tentang Arenawati yang saya dapat dari beliau yang saya yakin tidak diketahui oleh ramai orang. Alfatihah untuk Tunku Abdul Rahman, Yasmin dan Pak Arenawati.

0 comments: