Wednesday, March 24, 2010

KEBERANGKATAN PULANG

(Untuk:Anakanda Ayu, Najwa, Hidayah dan Nina)


Tiba-tiba
kita jadi dua manusia asing
dan aku hampir
tak mengenali mu
di sebalik topeng hayat itu
dan sempat ku sapa
sepasang mata yang lesu
di pucat wajah mu
walau ku pasti
Kau tidak mengetahui kehadiran ku


Nor
hari ini tamatlah derita mu
tamatlah kembara itu
di tanah gersang
di malam tak berbintang
di lembah dingin tanpa kasih sayang
dan dalam rasa berdosa itu
aku merasa lega
kerna Dia akan mnenyambut mu
di bumi Syuhada
Al-fatihah.

Ipoh- 20 Mac 2010.

SEORANG BAPA

Semakin bapa menjadi tua
semakin dekat aku kepadanya
dan dalam saat-saat sukar ini
aku masih melihat ia
seperti bapa ku 40 tahun lalu
yang sentiasa memandu

Bongkok belakangnya
kadang-kadang membuat aku tertanya
itukah tubuh
yang membawa ku di atas belakang
sewaktu mendaki Gunung Engku Bongsu
di belakang rumah kami
sedang
ibu melempar pandang penuh cemas
dengan suara nyaring
menyuruh berhenti
kerna kata ibu
aku anak perempuan
harus juga belajar masak, jahit dan menjaga adik

bapa tak pernah peduli
jelingan tajam mau pun nyaring suara ibu
kerna dia percaya
anak perempuan juga harus kuat, tabah dan bijak
pandai menjaga diri
di tepi jalan
maupun di dalam hutan

Ah! Bapa menang akhirnya
kerna kalau tidak
ilmu yang diajarkan
sewaktu mendaki Gunung Engku Bongsu
aku tidak akan di sini
pasti telah lama tergelincir
atau menjadi korban
kerakusan di belantara kehidupan

terima kasih bapa
kerna dalam usia mu begini
kau masih mengajar ku tentang kesabaran dan kerapuhan
tentang makna kasih sayang
seorang bapa kepada anaknya
yang sedia menerima aku seadanya.

Ipoh - 18 Mac 2010.

Thursday, March 11, 2010

WACANA 153

GAPENA (GABUNGAN PENULIS NASIONAL) DENGAN GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) akan mengadakan majlis wacana ilmu mengenai Artikel 153 Hak Istimewa Orang-Ortang Melayu seperti berikut:

NAMA; WACANA 153
TEMPAT: Kompleks Sukan,
Universiti Institut Teknologi Mara
Shah Alam.
TARIKH: 15 hb Mac 2010
WAKTU: 8.00 pagi-1 tengahari.
ATURCARA:

8.30 pagi Perasmian oleh Naib Canselor UITM Prof. Dato Shahol Hamid.

- Ucaptama bertajuk SEJARAH DAN CABARAN TERHADAP 153 oleh
Prof Dato Abd.Latif Bakar Ketua 2 GAPENA.

- Forum bertajuk JURANG PEMBANGUNAN DAN KEWAJIPAN MELAKSANAKAN 153.
Ahli Panel: Prof Dato Abd. Halim Sidek - UITM

Prof Dato Ramlah Adam - UITM

Prof Dato Muhammad Abu Bakar- UM.

Moderator: Dato A. Aziz Deraman.

Rumusan dan Penutup: Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Hussein Ketua 1 GAPENA.

Semua NGO Melayu dan orang perseorangan yang berminat di jemput hadir dan masuk adalah percuma.Tempat terhad.

Tuesday, March 9, 2010

AKHIRNYA HOLLYWOOD MENGIKTIRAF WANITA

Kathryn Bigelow akhirnya menjadi pengarah filem wanita Hollywood pertama yang dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik apabila filem bajet rendahnya The Hurt Locker menang di Anugerah Akademi ke 82 sebagai filem terbaik. Hanya selepas 82 tahun, barulah muncul pengarah filem wanita dengan pengiktirafan paling berprestij bagi industri filem dunia paling berpengaruh, paling besar dan paling mahal. Ironinya ialah Amerika dan Hollywood yang selama ini menjadi pelopor trend kehidupan baru dan menolak tepi segala konvensi dan norma masyarakat di seluruh dunia pun baru sekarang menobatkan seorang wanita sebagai Pengarah Terbaiknya dengan filem yang berbajet rendah pulak tu! Siapa kata mereka cukup ‘liberated’, cukup moden dan pengamal hak asasi paling ideal dan adil di dunia?

Puak-puak liberal yang tidak pernah lekang dari bercakap tentang hak asasi manusia perlu membuka mata mereka luas-luas dan memahami segala ‘subteks’ yang terkandung di dalamnya. Ada sesiapa mahu bercakap tentang hipokrasi Barat? Ada sesiapa mahu bercakap kenapa hanya selepas lebih 230 tahun merdeka Amerika Syarikat yang mendukung Doktrin Monroe yang menjanjikan ‘Kebebasan bercakap, kebebasan bertindak, kebebasan bergerak dan kebebasan berfikir’ sebagai asasnya mengambil masa begitu lama untuk mengiktiraf rakyatnya dari keturunan Afrika sebagai Presiden?

Lebih aneh lagi, Kathryn mengalahkan filem termahal dan terlaris dalam sejarah iaitu Avatar yang dibuat dengan segala kecanggihan teknologi dan CGI yang ditangani bekas suami Kathryn sendiri iaitu James Cameron. 10 tahun lalu, sewaktu filem Cameron ‘Titanic’ muncul sebagai filem terbaik dengan menggondol 7 anugerah seorang kawan (saya tak ingat siapa mungkin Wahab Hamzah) berkata kepada saya, selepas ini, filem-filem yang akan menang di Anugerah Akademi mesti berbajet besar,dengan kecanggihan teknologi dan CGI. Tapi saya berkata kepada beliau, saya yakin ini adalah suatu trend untuk suatu ketika sahaja. Kerana filem mesti mengenai kreativiti dan seni yang dihasilkan oleh manusia tentang manusia dan bukan tentang teknologi dan segala kecanggihannya.

Filem The Hurt Locker karya Kathryn Bigelow membuktikan segala-galanya. Saya selalu yakin, manusia akhirnya akan kembali kepada fitrah manusiawinya dan mengutamakan pemameran diri manusia dengan segala kompleksiti perangai, psiki, jiwa dan hati nuraninya. Hollywood mungkin telah muak dengan segala hipokrasi dan segala eksprimennya dengan trend terbaru kehidupan dan mahu kembali kepada fitrah manusia yang tetap manusia di mana juga mereka berada! Tahniah kepada Kathryn Bigelow dan tahniah juga kepada Hollywood!


SEBUAH FILEM TENTANG KUNG FU TZE

Sedang ditayangkan sekarang di pawagam tempatan ialah filem bertajuk Confucious. Ianya mengenai kehidupan Kung Fu Tze pendeta dari Negeri Lu di China lama dulu. Dibintangi oleh Chow Yun Fatt dan diarahkan oleh Hu Wei, filem ini menceritakan tentang kehidupan dan jatuh bangun Kung Fu Tze di dalam hidupnya.

Tercatat sebagai salah seorang manusia paling berpengaruh dalam sejarah selepas Nabi Muhammad SAW, Jesus Christ, Alexander, Kung Fu Tze hidup di China sebelum negara itu disatukan oleh Shih Huang Ti dari segi politiknya. Tetapi semasa Kung Fu Tze hidup, China berada dalam keadaan huru-hara dan peperangan antara negeri-negeri yang berjiran adalah suatu kebiasaan. Kung Fu Tze berguru dengan Lao Tze yang juga cukup tekenal dalam budaya orang China. Tetapi Kung Fu Tze dengan segala kebijaksanaanya menjadikan Negeri Lu sebuah negeri yang kuat dan berpengaruh tanpa perlu berperang dan menumpahkan darah. Paling penting, segala ajaran Kung Fu Tze kekal hingga ke hari ini menjadi ikutan dan prinsip kehidupan penting ramai orang China dan diangkat hampir seperti status agama walau pun Kung Fu Tze tidak pernah melihatnya begitu.

Antara ajaran Kung Fu Tze yang paling penting ialah konsepnya tentang kemanusiaan atau dipanggil ‘Ren’ dalam Bahasa Mandarin. Dalam apa yang diterjemahkankan sebagai
‘Teori Pembetulan Nama’ (Theory of Rectification of Names) Kung Fu Tze mengatakan kestabilan dan keamanan hidup manusia hanya terjadi apabila semua orang hidup dan menjalankan peranan masing-masing mengikut kedudukan mereka. Seorang Raja mesti berkelakuan dan berfungsi seperti seorang raja. Seorang bapa mesti berkelakuan dan berfungsi sebagai seorang bapa dan begitulah seterusnya. Sekiranya prinsip serta peraturan ini dicabuli, bukan sahaja unit keluarga yang akan bermasalah, tetapi akhirnya seluruh negara akan kacau bilau. Inilah peraturan sosial paling integral dalam ajaran Kung Fu Tze yang kekal hingga kini. Ada banyak kebijaksanaan dalam pemikiran Kung Fu Tze yang perlu direnung oleh manusia. Sebab itulah Hadis Nabi ada berkata ‘ tuntutlah ilmu hingga ke negeri China.’

Filem ini ditangani dengan baik dengan sinematografi yang cukup hebat dan adegan-adegan yang cukup menyanyat hati dalam kehidupan Kung Fu Tze dengan murid-muridnya. Dan ia hanya tambah meyakinkan saya bahawa dalam hidup ini, kesetiaan antara murid dengan gurunya adalah yang paling tinggi dan tidak boleh ditandingi. Antara raja dan rakyat pengkhianatan sering berlaku , antara suami isteri juga begitu, tetapi antara seorang guru dengan muridnya adalah sesuatu yang jarang berlaku. Seorang murid sanggup berbuat apa saja untuk menyelamatkan tulisan,ajaran dan prinsip kehidupan yang diajarkan oleh gurunya walau pun guru itu sudah jatuh dan tidak berpengaruh lagi. Malah setelah kematian dan ketiadaan seseorang guru itu pun, murid-muridnya tidak akan mengkhianati ajarannya.

Sunday, March 7, 2010

SETELAH MENONTON RESIDENCY YEARS

Minggu lalu saya menerima emel dari Mansor Putih. “Jangan lupa tonton my doko – 7hb.Mac RTM 10.mlm. I’m going to UK esok’. Pendek saja emel beliau macam selalu. Dan saya membalasnya pun pendek juga. ‘Mansor, tq for info. Will watch it InsyaAllah..” Sebelum itu Mansor ada beritau saya Cambridge University tawarkan tempat untuk buat PHD berasaskan dokumentari beliau The Residency Years. Saya mengucapkan tahniah kepadanya. Entah kenapa beberapa kali saya sepatutnya telah menonton dokumentari Mansor lebih awal sebelum bising-bising tentangnya tercetus. Tapi ada saja halangannya. Yang terakhir ialah pada hari Arwah Anuar Arai masuk hospital sebelum meninggal dunia dan saya dah siap nak pergi ke ASWARA pada hari itu dari rumah GAPENA. Tapi setelah menontonnya saya memahami kenapa begitu banyak aral yang melintang. Allah Taala mengetahui segalanya.Yang patut berlaku dahulu akan didahulukan, dan yang patut berlaku kemudian akan dikemudiankan oleh Nya. Alhamdullilah!

Apa pun, tahniah sekali lagi Mansor. Dokumentari anda sangat candid, fluid tidak konvensional dan berlainan daripada dokumentari kita yang kita kenali selama ini. Pun begitu, ia bukanlah yang pertama di dunia sebab ramai orang lain dah membuatnya begitu, walau pun kita baru melihatnya sekarang di negara ini. Dan saya gembira Mansor Putih orang yang pertama membuatnya di Malaysia dengan subjek yang amat saya senangi iaitu Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri Malaysia Pertama.

Lama dulu ( tahun 1987) saya pernah membawa Mansor berjumpa beberapa orang kenalan rapat untuk cuba mengusahakan dana untuk membolehkannya membuat pameran gambar-gambar Tunku Abdul Rahman yang berada dalam simpanan abang iparnya Syed Abdullah.Masa itu mereka tinggal di Taman Saraya Cheras dan Mansor baru menjalani pembedahan lututnya dan memakai crutches bila berjalan. Mansor juga mahu menulis buku berdasarkan gambar-gambar tersebut kemudiannya dan dalam salah satu perbualan kami memang timbul cerita membuat dokumentari tentang Bapa Kemerdekaan kita itu. Alhamdullilah Tuhan makbulkan permintaan sahabat yang bergaduh 40 kali setahun dan baik 40 kali setahun dengan saya ini. My friend I’m happy for you!

Tentang dokumentarinya pulak ada juga kami bergaduh. Beberapa bulan lalu semasa iannya masih diperingkat pasca produksi, saya cadangkan tajuknya dalam Bahasa Malaysia sepatutnya menjadi ‘Tahun-Tahun di Residensi’ kerana begitulah terjemahannya yang betul. Tetapi kata Mansor dia lebih suka ‘Bertahun di Residensi’. Ini filem anda Mansor, jadi ikut sukalah. Apa pun, dokumentari ini mempamer
Tunku Abdul Rahman sebagai seorang manusia biasa dalam suasana dan senario cukup santai, bersama ahli keluarganya serta saya yakin tidak ramai orang di negara ini yang telah melihatnya. Banyak gambar foto yang telah diletakkan dalam dokumentari ini telah saya lihat dalam tahun 1987 dulu. Dan melihatnya semula malam tadi mengembalikan banyak nostalgia kepada saya.

Segala-galanya tentang The Residency Years Mansor Putih membuat saya berfikir banyak perkara tentang banyak perkara! Mansor, Terima Kasih untuk banyak perkara.

Tuesday, March 2, 2010

GILIRAN SYAFIAH HUMAIRAH PULA!

Seorang lagi anak kecil menjadi mangsa penderaan hingga membawa maut! Kes adik Sharlinie hampir dua tahun lalu dan yang lain-lain hingga ke hari ini masih belum selesai. Sewaktu mayat Sharlinie ditemui dalam keadaan yang amat sukar digambarkan Menteri Pembangunan Wanita Dato Seri Shahrizat mengeluarkan kenyataan ‘ Kita tidak akan biarkan kejadian seperti ini berlaku lagi.’ Begitulah lebih kurang bunyinya! Belum pun beralih hari kata orang kampung saya, jadi lagi macam tu juga. Seorang kanak-kanak perempuan mati selepas menjadi mangsa penderaan fizikal dengan kecederaan teruk yang sukar difikirkan boleh dilakukan ke atas seorang kanak-kanak. Apa sudah jadi Dato Seri?

Sudah dua kali dilantik sebagai Menteri Pembangunan Wanita. Hanya dua tiga minggu lalu, kes-kes pembuangan bayi diumumkan cara mengatasinya. Dalam lukisan Sdr Ismail Embong yang berada di rumah GAPENA dilukis dalam tahun 1999 ada terlukis gambar bayi dibuang dalam tong sampah dan Tan Sri Zaleha Ismail sedang mengadapnya. Kes pembuangan bayi bukannya baru-baru ini sahaja berlaku. Dan kita mengambil masa 10 tahun untuk mencari jawapan dan memikirkan cara untuk mengatasinya. Dan berbagai-bagai teori serta tanggapan dikeluarkan mengenai sebab musabab semua masalah sosial ini.

Betulkah nilai-nilai kekeluargaan kita semakin longgar? Mungkin ya mungkin tidak. Mungkin ada lebih daripada satu sebab mengapa masalah sosial begini terjadi. Tetapi seorang Menteri perlu mengeluarkan kenyataan yang lebih daripada suatu generalisasi atau suatu retorik politik yang tidak punya apa-apa jawapan kepada permasalahan yang dihadapi. Segala masalah ini perlukan penyelesaian dan bukan hanya kenyataan politik yang tidak berkesudahan!

Anehnya dalam soal-soal begini, Sisters In Islam (SIS) senyap sunyi! Cerita bayi-bayi yang dibuang pun mereka senyap. Kes penderaan fizikal, seksual dll kanak-kanak pun mereka senyap walau pun semua perkara ini melibatkan wanita. Di mana mereka sewaktu wanita memerlukan pembelaan kerana bukankah SIS berjuang untuk meninggikan martabat wanita? Martabat wanita mana yang mereka perjuangkan? Nasib baik adik-adik dalam Pemuda UMNO tu tak bising-bising pun tapi dah beberapa orang anak dara kita yang lari mengikut kekasih ke Lombok berjaya dibawa pulang!! Steady KJ you are doing fine. Let actions speak Bro!!

Dalam Mingguan Malaysia baru-baru ini Dr. Rusinah Siron menyatakan sehingga kini tiada perangkaan rasmi serta penyelidikan yang dibuat mengenai peratusan wanita yang berada dalam kedudukan pembuat dasar. Ini amat memalukan! Saya yakin banyak lagi perangkaan dan penyelidikan yang amat diperlukan mengenai wanita yang besar kemungkinannya tidak dilakukan. Ini zaman K Economy dan Nano Technology
Dato Seri. Semuanya perlukan R & D! Buat apa heboh-heboh dengan Skuad Sayang berarak ke sana ke sini tetapi bayi-bayi masih dibuang dan anak-anak kita masih tidak selamat walau pun dalam rumah sendiri? Sesungguhnya masalah sosial kita cukup rumit dan besar dan ia perlu ditangani dengan serius dan holistik. Kepada anak-anak seperti Syaifah Humairah, apa yang nak kita katakan walau pun mereka sudah tiada? Maafkan kami? Jangan sampai ada segolongan manusia yang mengatakan ‘Tiada Maaf Bagi mu Dato Seri’. Kerana ‘Sorry, No Cure!’