Wednesday, October 6, 2010

PAKATAN RAKYAT PUN PARTI ANAK BERANAK

Suatu waktu dulu, berbagai nama yang diberikan kepada orang UMNO, MCA,MIC dll parti komponen dalam Barisan Nasional kerana ramai anak-anak pemimpin politiknya juga memasuki politik dan bergerak aktif dalam kepimpinan parti pimpinana bapa mereka. Membina dinasti, nepotisme, kronisme dll adalah di antaranya.

Apa yang berlaku hari ini di kalangan Parti Pembangkang? Dalam DAP Lim Kit Siang ada ‘junior’ yang bernama Lim Guang Eng. Karpal Sing ada Gobind Sing Deo yang salin tak tumpah macam bapanya juga. Tok Guru Nik Aziz juga ada anak lelaki yang aktif dalam Pemuda PAS.

Pun begitu, yang paling klasik ialah apa yang berlaku di dalam PKR. Dato Seri Anwar Ibrahim disokong kuat oleh isteri dan anak sulungnya Nurul Izzah. Mereka bukan sahaja aktif berpolitik tetapi juga menerajui kepimpinan Parti Keadilan Rakyat. Apa jadi dengan ‘jijiknya’ pembinaan dinasti politik? Sudah berubahkah definisi nepotisme dan apakah pengertian kronisme ada makna baru sekarang?

Saya sering diinagatkan oleh arwah nenek dan ibu saya bahawa memfitnah orang itu amat keji dan doa orang yang diinayai itu amat dekat dengan Allah SWT. Hari ini, segala yang difitnah, ditohmah dan dikatakan tentang Tun Mahathir dan ahli keluarganya yang mendapat faedah kerana nepotisme dan kronisme; Tun Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya YB Khairy Jamaluddin dll ahli politik BN semuanya dilakukan oleh ahli-ahli politik Pakatan Rakyat.

Tak ada pula tuduhan nepotisme, tidak demokratik, dinasti politik dll. Agaknya Allah Taala membalikkan segala yang dikatakan kepada ahli politik BN kepada orang-orang Pakatan Rakyat? Mungkin Tok Guru Nik Aziz ada fatwanya yang tersendiri tentang hal ini? Saya tidak hairan kalau ini semua dibolehkan sekarang dan ia tidak jijik, tidak boleh dipertikaikan dan segalanya tidak apa! Semoga Tuhan memberikan petunjuk taufik dan hidayahnya kepada kita semua dan kewarasan yang menguasai pemikiran dan hati budi pemimpin-pemimpin politik kita samada di dalam BN maupun di dalam PR!

Thursday, September 23, 2010

BENARKAH ORANG ISLAM MALAYSIA SEMAKIN KONSERVATIF?

Kebelakangan ini banyak sekali penyelidikan mengenai minda serta identiti orang Islam negara ini yang telah dibuat. Banyak institusi luar negeri yang berminat serta bermurah hati mengeluarkan dana untuk penyelidikan sebegini dengan kerja-sama institusi serta Universiti tempatan. Suatu perkembangan yang amat menarik memandangkan ramai penyelidik yang terlibat dalam projek-projek ini terdiri dari mereka yang bukan Islam. Dapatan dari penyelidikan ini adakalanya mengejutkan serta tidak diduga sama sekali dan menepis pendapat serta pandangan yang selama ini samada tidak berasas atau lebih merupakan generalisasi atau mungkin juga telah berlaku perubahan besar pemikiran serta minda masyarakat Melayu-Islam negara ini.

Beberapa tahun lalu, Yayasan Konrad Adenauer dari Jerman dengan kerjasama Merdeka Centre serta Institut Asia-Eropah Universiti Malaya telah mengadakan suatu penyelidikan Pendapat Umum Mengenai Identiti Orang Islam Negara ini. Seramai 1029 responden yang dipilih secara rawak telah ditemubual oleh pihak berkenaan dalam penyelidikan ini. Antara dapatan menarik yang diperolehi ialah:-

98% responden berpendapat orang Islam Malaysia tidak patut dibenarkan menukar
agama

64% responden berpendapat undang-undang Syariah perlu dikekalkan dalam
perlembagaan kita

77% responden percaya undang-undang Syariah kita tidak cukup ketat

73% responden memilih identiti utama mereka sebagai orang Islam

97% responden menerima orang Islam Malaysia hidup bersama dengan bangsa-bangsa
lain di negara ini

79% responden percaya orang Islam Malaysia patut belajar mengenai agama lain

Pihak yang menjalankan penyelidikan ini seterusnya membuat kesimpulan bahawa dapatan-dapatan di atas menunjukkan masyarakat Islam negara ini semakin konservatif dan ortodoks. Suatu kesimpulan yang amat perlu dilihat semula dan boleh didebatkan.

Apakah kerana sebahagian besar orang Islam memilih untuk mengidentifikasi diri mereka sebagai Islam dan mahu undang-undang Syariah diperketat serta tidak mahu orang Islam dibenarkan menukar agama ini bermakna masyarakat Islam semakin konservatif? Apakah peratusan yang tinggi menerima orang Islam perlu hidup bersama penganut dan belajar mengenai agama lain menunjukkan keterbukaan tetapi pada masa yang sama konservatif?
Bagaimana boleh konservatif atau ortodoks tetapi terbuka pada masa yang sama? Sedikit mengelirukan kalau tidak pun banyak perkara asas mengenai pandangan tersebut yang tidak tepat serta menyeleweng.

Paling penting apakah ukuran yang digunakan sebagai indeks konservatifnya orang Islam Malaysia? Apakah bila semakin ramai orang yang sedar serta selesa memanggil diri mereka orang Islam itu tandanya kita semakin konservatif? Mungkin ada sebabnya mengapa ramai orang Islam yang tidak selesa membiarkan orang bukan Islam bercakap mengenai Islam kerana apakah mereka benar-benar faham mengenai kekukuhan akidah serta kedudukan agama dalam diri orang Islam di negara ini? Apakah mereka faham bahawa Islam itu semakin menjadi cara hidup yang dipegang kuat oleh penganutnya dan ini menunjukkan penghayatannya yang semakin tinggi dan mendalam dalam masyarakat kita? Apakah semakin tinggi penghayatan agama itu secara otomatis meletakkan orang Islam di negara ini sebagai semakin ortodoks?

Seperkara yang perlu diingat ialah negara ini dikenali dan diterima sebagai negara Islam sederhana dan progresif di seluruh dunia termasuk banyak negara Barat. Dengan peratusan jumlah tenaga kerja serta penuntut IPT yang tinggi terdiri daripada wanita, apakah menjadi lebih sedar tentang identiti serta mempraktis dan menghayati cara hidup Islam seperti yang sepatutnya merupakan petunjuk konservatisme? Penulis yakin ramai umat Islam di negara ini yang sependapat menjadi orang Islam yang baik dan mengamalkan cara hidup Islamik tidak bererti seseorang itu ortodoks atau nkonservatif.

Dan macam mana pula perlakuan orang Islam yang tidak konservatif? Liberal dengan tidak mengamalkan cara hidup Islam termasuk tidak mengamalkan akhlak yang baik dan terpuji? Dr. Reduan Tee sering berkata, pemimpin masyarakat Cina di negara ini tidak ramai yang mahu berjuang untuk perlakuan hidup dan akhlak yang baik di kalangan komuniti ini. Mungkin itu sebabnya Chua Soi Lek menyamakan orang Melayu-Islam yang mengamalkan cara hidup Islam itu yang menekankan akhlak yang baik sebagai konservatif. Saya yakin beliau perlu melihat semula makna ‘konservatisme’ yang difahaminya dengan realiti sebahagian besar masyarakat Islam negara ini yang mementingkan menjadi seorang Islam yang baik.

Wednesday, August 11, 2010

MENGIKUT PANDANGAN CHUA SOI LEK

Baru-baru ini Chua Soi Lek Presiden MCA mengeluarkan pendapat bahawa PAS menjadikan UMNO dan orang Melayu-Islam lebih konservatif. Soalan saya sangat mudah apakah definisi konservatisme kepada Chua Soi Lek? Dan apakah definisi beliau sama dengan konsep konservatisme kepada orang lain? Kalau konservatisme orang Melayu-Islam itu disamakan dengan mereka yang tidak berzina, tidak minum arak, tidak berjudi dll kemungkinan pandangan Soi Lek itu tidak tepat dan sangat jauh daripada pengertian yang sebenarnya.

Jadi apakah pemimpin UMNO yang merupakan seorang Melayu-Islam yang baik dan tidak berzina, tidak minum arak, tidak bunuh orang, tidak rasuah dan tidak menginayai orang lain merupakan seorang yang terpengaruh dengan PAS dan tidak baik untuk memimpin kerana akan menyebabkan orang Melayu menjadi lebih konservatif? Pada pandangan saya dan ramai orang Melayu yang mempraktis Islam di negara ini tidak berzina, tidak minum arak dan melakukan lain-lain perbuatan dosa besar dan kecil (termasuk mensabotaj usaha serta kehidupan orang lain) hanyalah sebahagian kecil daripada praktis yang menjadikan seseorang itu Islam yang baik dan bukannya konservatif.

Seorang Islam yang baik tidak semestinya seorang yang konservatif. Ada perbezaan yang amat besar menjadi seorang Islam yang baik dengan konservatif. Dan adakah orang Melayu-Islam yang tidak mempraktis ajaran Islam dan mempraktis nilai-nilai hidup yang lebih liberal dan Kebaratan merupakan orang Melayu yang tidak konservatif? Apa ukuran konservatisme seseorang pada pandangan Soi Lek agaknya?

Monday, August 9, 2010

Puisi Terkini

SETELAH CINDAI TERKORBAN

Suatu petang
waktu duduk-duduk bersama guru
kami bercerita tentang Sapura dan Engku Anis
dan selepas menyebut Cindai
aku meyambung ceritanya

selepas Cindai mati terfitnah
adik kembarnya Gita Anjali
melarikan diri ke ulu sungai
dewasa di pelihara
datuk mereka seorang ulama tua
yang menukar namanya kepada Sukma Lara
kerna ia terlalu bersedih
dengan kematian kakaknya

datuk mereka mengajarnya intim dengan Al Quran
berlagu dan menyelami Al Imran Maryam AlBaqarah
dan entah apa lagi di hari malam
dan berpuasa
serta menelaah Qisatul Anbia Bustanul Salatin dan berbagai lagi di siangnya
akhirnya terpamer ketenangan di wajahnya
yang salin tak tumpah persis Cindai yang telah tiada
walau tiada yang dapat menyelami duka di kalbunya

entah bagaimana jadinya
Sukma Lara dianugerahi Nya suatu keajaiban
sesiapa yang menginayainya
dilanda bencana serta merta
mungkin berkat Wa illa hukum Laqad jaakum atau Haikal yang tujuh

lalu berbagai perkara terjadi kepada ramai di sekelilingnya
tunangan yang ingin mengambil kesempatan kehilangan kerusi emasnya
permaisuri tua yang belot buta sebelah mata
anak saudara yang jelita tertangkap berkhalwat
si ibu saudara yang bersekongkol dengan pengawal istana
nanar dalam racau memaki hamun raja
kerna tidak mendapat habuan yang dijanjikan
permaisuri baru semakin kalut menutup jejak berkomplot dengan Pak Ku
walau seluruh negeri tau
sudah lama dia mau menghapuskan Cindai





sewaktu sakaratul
datuknya menggengam tangan Sukma Lara erat-erat
berbisik ke telinganya
pakai terus nama itu
kerna itulah sembilu paling berbisa
yang akan menusuk dan menghukum mereka sampai bila-bila
sedang mereka semakin gila jadinya
berebut kuasa harta dan segala ketamakan yang menjijikkan
dan hilang sudah maruah dan semangat juang
membela agama bangsa dan negara
tapi Sukma Lara akan terus gagah melangkah
bangun menguasai semua
sehinggakan raja yang kurang siasat pun
akan berada dalam genggaman
cuma satu yang harus kau tau
carilah kejujuran dan keharmonian diri
dan cintailah kemanusiaan
serta mereka yang lebih banyak memberi

datuknya menghembuskan nafas
dengan senyum puas
sambil berkata kepada Sukma Lara
senyuman mu bakal menawan mereka semua
jadi walau di saat paling sukar
berikan senyum ikhlas
kerna sedekah itu amat berharga
dan sedikit demi sedikit
kau kan menyembuhkan penyakit jiwa di dada
walau mereka tak pernah sedar
kotor dan jijiknya wajah mereka
Innalillahi wa inna illaihi rajiuun

begitulah bermula kisah Sukma Lara
yang sakti dan tak dapat dikalahkan


La haulawala khuwatailla…..





Kajang – 20 Julai 2010.

Wednesday, July 21, 2010

PUISI TERKINI

KEPADA YANG BERKENAAN

Di awal perjalanan
telah ku katakan
ia bakal mempamer siapa kita
hati budi
kejujuran
keimanan
dan segala yang tak tercoret di wajah

dan hari ini
kita berdua telah tau jawapannya
patutlah
engkau berada di lembah itu
terluka dan di selimuti kecewa
walau
kerlipan permata pakaian mu
dan aku masih di sini
meneruskan langkah
yang kata mereka semakin gagah
dan tak pernah peduli dengan lagak badut mu

engkau telah cuba
mengaibkan ku
dengan putar lidah yang terlalu biasa
serta kelicikan siasah yang menjijikkan

pada mulanya sangka ku
dinding ego yang kau bina untuk menghina ku
adalah laut yang memisahkan kita
tapi tersilap aku rupanya
kerna duduk mu di lembah berlumpur
dan dari atas puncak ini
tangan ku tak tercapai jemari mu
sedang semakin nanar engkau
dalam racau rajuk tak bertepian

maaf
bukan niat ku menghambur penghinaan
tapi begitulah akhirnya
perjalanan ini
mempamer wajah
mempamer urat
mempamer nadi
mempamer hati nurani
dan paling penting mempamer rendahnya harga diri
kerna setiap saat
yang kau buru hanyalah keuntungan
dan kerna itu
pernah kau cuba membunuh ku
tapi Dia punya rencana lain
kebenaran yang ku cari
kebenaranlah yang ku temui
dan jalan sukar yang ku lalui ini
rupanya permata berkilauan menaburinya
dihambur oleh Nya
kepada ku di puncak ini
walau aku tak pernah memintanya

ketahui lah engkau
aku tak terluka sedikit pun
kerna aku hanya mencari kebenaran
bukan diri mu yang ku dambakan
dan harga diri cukup penting buat ku
sedangkan ianya terlalu murah buat mu
seperti 1000 kerut di wajah mu.


KU PERLUKAN RUANG ITU

Berikan ku
sedikit ruang
sedikit waktu
buat menghela nafas panjang
dan menghembuskannya
perlahan-lahan

berikan ku
sedikit ruang
sedikit waktu
buat merasakan nafas bebas
sedang kita sentiasa tau
kau tak pernah jauh dari ku
dan tak pernah melepas pandang

berikan ku
sedikit ruang
sedikit waktu
buat ku benar-benar
merasakan kehadiran mu
dan perlahan-lahan
menggengam tangan mu
yang telah lama kau hulurkan
dan walau pun ia tidak ku sambut ketika itu
tangan itu tak pernah
kau tarik kembali
mungkin ada gerak hati
dan engkau dapat membaca
bahawa satu hari nanti
jemari itulah yang akan ku genggam
dan segala perasaan bersalah
di wajah mu
pasti segera hilang
kerna tau mu
kau telah ku maafkan

mungkin pertemuan kala kalut tsunami di negeri leluhur
punya banyak keberkatan
kerna kita sama-sama
menyedut udara kemanusiaan
dan Dia yang cinta kepada kehalusan
kemurnian hati nurani
kerendahan hati manusiawi
membuat keputusan
kalian harus bersama!

Ah! nanar aku selama ini
berputar mencari kejujuran
dan topeng lama yang masih terlekap itu
menipu mata ku
sedang engkau tetap di situ
menanti penuh sabar
ketibaan ku

Kajang – 20 Julai 2010.





Friday, July 16, 2010

MESYUARAT AGONG GAPENA

GAPENA DAN GAZA

Tahniah diucapkan kepada Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein serta semua yang telah terpilih semula dalam pemilihan Ahli Jawatan Kuasa GAPENA sesi 2010-2012 yang lalu. Apa pun ribut serta cubaan ‘membikin ribut’ oleh orang-orang tertentu untuk melihat Tan Sri Ismail Hussein dikalahkan dan dipaksa berundur saya kira bukannya senang nak menundukkan seorang pendeta (gelaran yang diberikan oleh pemerintah Riau kepada Ketua 1 GAPENA ini)! Selama 39 tahun GAPENA telah dipimpin oleh seorang Sarjana Sastera Melayu yang ulung, berwibawa dan dengan visi yang cukup jelas dan bijak. Beliau mungkin tidak banyak menulis buku sastera atau apa juga genre tetapi entah berapa banyak kerta kerja dll kertas akademik yang telah dihasilkannya dengan pandangan serta pendapat paling bernas tentang survival Dunia Melayu.

GAPENA hari ini merupakan satu-satunya NGO paling kuat dan berpengaruh jaringan dengan Dunia Melayu nya di seluruh dunia. Indonesia dengan penduduk lebih daripada 230 juta orang Melayu pun tidak ada NGO sastera dan kebudayaan yang mencapai kedudukan seperti GAPENA kata beberapa pelawat tetap dari sana.. Ramai sahabat dari Indonesia, Brunei, Singapura dll sering berkata mereka berasa begitu dekat antara satu sama lain melalui jaringan Dunia Melayu GAPENA. Terima kasih kepada Tan Sri Ismail Hussein serta AJK nya semenjak dulu lagi yang begitu dedikasi, fokus serta tidak henti-henti mewujudkan jaringan di seluruh dunia.Jadi sesiapa juga yang teringin memimpin GAPENA harus ‘waras’ dan ukurlah baju di badan sendiri!

Mungkin ada orang yang skeptis tentang kepimpinan GAPENA dan merasakan Tan Sri Ismail sudah terlalu lama dalam GAPENA. Saya tidak nafikan ada lagi perjuangan GAPENA yang belum tercapai tetapi tidak juga dinafikan ada orang yang masih ‘meleleh air liur’ dan ‘mengidam’ untuk menguasai GAPENA kerana kekuatan jaringannya. Bayangkan menjadi pemimpin NGO dengan 23 buah badan kerabat dari seluruh Malaysia yang terdiri daripada penulis dengan jumlah keseluruhan ahli dalam lingkungan 15,000 orang. Suatu kumpulan manusia yang besar dengan pengaruh yang ‘potent’ kerana mata pena itu lebih tajam dari mata pedang!

Sebelum Mesyuarat Agongnya GAPENA yang bekerjasama dengan ATMA UKM dan Pusat Warisan UITM telah mengadakan Persidangan Warisan Melayu di IndoChina dengan sokongan kuat Royal Academy of Cambodia. Bertempat di Phnom Penh, ramai pembentang kertas kerja dari Malaysia, Singapura, Kemboja, Laos dan Vietnam bertemu dan berbincang dan bercakap tentang Warisan Melayu dengan jayanya. Datuk Mior Kamarul Shahid Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian turut sama membentangkan kertas kerja beliau di Phnom Penh.

Pun begitu ada orang yang cukup sinis dan menyamakannya seperti pergi ke Gaza! ‘Rakyat Malaysia pun tak terjaga, kenapa kita nak sibuk-sibuk pergi tolong orang di Kemboja, Laos dan Vietnam semua?’ Begitulah lebih kurang konotasi pengertian puak yang menyamakan Persidangan di Phnom Penh itu seperti pergi ke Gaza! Sayang seribu kali sayang, hanya orang yang tidak benar-benar menghayati ajaran Islam sahaja yang akan berkata begitu. Islam menganjurkan persaudaraan seagama dan ada hadis yang mengatakan tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia memberi makan jiran atau saudaranya yang kelaparan!

Apa pun terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung kepada kelicinan proses pemilihan AJK GAPENA baru yang menyaksikan kelangsungan kepimpinan lama dan menghasilkan stabiliti amat perlu untuk kesinambungan perjuangan nasionalisme Melayu. Rakan-rakan di media terutamanya paling banyak membantu dan ucapan terima kasih daun keladi diucapkan. Perbualan saya dengan beberapa orang AJK GAPENA mereka amat yakin kerjasama erat dengan media terutamanya Kumpulan Media Prima dan Kumpulan Utusan seumpama ‘perkongsian pintar’ yang sangat bermakna dan amat diperlukan.

Kepada Datuk Ahmad Talib dan Datuk Aziz Ishak, ribuan terima kasih saya ucapkan dan pertanyaan apalah GAPENA tanpa sokongan media? Semoga Tuhan memberikan kita semua kekuatan dan keupayaan untuk meneruskan perjuangan dan menghadapi segala cabaran. InsyaAllah.

Thursday, July 8, 2010

GAZA OH GAZA!

Entah berapa kali mereka bertanya
kalian berpuisi untuk apa?
bolehkah ia menentang peluru fosforus dan kereta kebal Israel
dapatkah ia menundukkan zionis?

dan entah berapa kali
ku katakan kepada mereka
api yang menyala itu
bermula dengan rasa
bertukar menjadi semangat
sama seperti kita
yang duduk-duduk berpuisi
melantun rasa ke seluruh pelusuk
bukan kerna itu saja yang dapat kita lakukan
tapi itulah mula dan akhir segalanya

Gaza dan Gaza lagi
citra luka mu di musim yang lalu
menemukan aku dengan seorang pengembara
yang ku kira sedang mencari dirinya sendiri
kalau pun tidak melarikan lukanya
dan darah merah mu
membuat aku terus bersamanya
dan hari ini
tanpa ku sedari
duka derita mu
membuat kami terus di sini

Gaza oh Gaza
darah dan air mata mu
membuat aku lupa seketika
dengan air mata dan luka ku sendiri
kembara di tanah bonda
yang mencengkam hati nurani
walau ia sudah berbelas tahun lamanya

kata mereka
ini sindrom Diana Spencer
yang melarikan diri dari luka sendiri
dalam jejak begitu sedikit demi sedikit memadam lukanya

ah! aku tak pernah peduli semua itu
kerna luka tetap luka
tidak kira seorang ibu tua
yang kehilangan anak mudanya di lorong berdarah di Gaza
mau pun perempuan itu yang cukup terparut hidupnya
dalam tawanan proksi Israel
dan dia tinggal di pinggir Kuala Lumpur cuma


Gaza oh Gaza
kau temukan daku dengannya
seorang pengembara
yang ku kira kini telah menemui jalan pulang
dan cinta kepada kemanusiaan
membawa kami bersama menghulur titis kasih
kepada mereka yang memerlukan

Gaza oh Gaza
luka mu dan luka ku
bertemu akhirnya
dan ia menjadikan aku tidak lagi penuh pertanyaan
kerna mereka yang sentiasa memberi
tidak pernah merasa kekurangan
tapi cukup sekadar kalian menerimanya begitu
buat menutup bicara dan pengertian

Gaza oh Gaza
luka kita bersatu
rupanya jejak-jejak itu
menuntut pengertian penyerahan dan penerimaan
akan takdir dan ketentuan Nya

dan di titik ini
terantuk dan tersedar lagi aku
bahawa jalan itu tak pernah mudah seperti jalan yang lurus
dan sukarnya memahami
makna tangisan seorang bayi waktu dilahirkan
yang menyedari bahwa hidup ini
adalah percaturan dan permainan Nya semata
dan siapa kita mahu menafikan
apa yang telah tercatat di loh mahfuz selama ini?

Tuhan ku
Alhamdullilah!


Rumah PENA – 2 Julai 2010.