Tuesday, June 26, 2012

Kasut Penari-Penari Kita

Setiap kali menonton tarian Melayu (asli mau pun hybrid tarian Malaysia) saya seringkali merasa kecewa kerana entah kenapa, penataan kostumnya tidak memasukkan kasut penari-penari wanitanya sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian penting.Seringkali (malah semuanya)penari wanita kita memakai kostum atau busana Melayu yang cukup lengkap dan rapi dengan perhiasan kepala yang secocoknya. Tetapi lihat saja di kaki mereka apa yang anda dapati? Tak lebih dari kasut biasa yang dipakai oleh orang sekarang. Kebanyakkannya memakai sandal bertali dan bertumit rendah keemasan dll yang dapat dibeli di semua kedai kasut negara ini.Bagi orang seperti saya, ini hanyalah merosakkan penataan busana yang cukup cantik oleh kerana ketiadaan penyelidikan yang sebenar dan rapi tentang apa yang harus dipakai di kaki penari-penari kita. Soalnya, beginikah kostum atau busana Melayu yang sebenarnya? Atau kenapa tidak digantikan sahaja dengan kasut yang lebih berciri Melayu tradisional untuk tarian sebegini? Misalnya gunakan kasut tekat seperti yang dipakai oleh pengantin Melayu Perak di zaman dahulu. Perhiasan seni tekat ini cukup cantik dan autentik serta sinonim dengan budaya Melayu walau pun ia berasal dari Perak. Kalau Penari lelakinya cukup segak mengenakan busana Melayu dengan kasut capalnya, kenapa penari wanita tak boleh berkasut tekat yang cukup cantik dan jelas identiti budaya Melayunya?

Wednesday, June 20, 2012

Pelancaran Yayasan Al-Quds Malaysia

Beberapa hari lalu saya menghadiri majlis pelancaran Yayasan Al Quds di Putrajaya. Timbalan Perdana Menteri Malaysia merasmikannya dalam satu majlis yang cukup ringkas tapi bermakna. Ramai Sisters dan brothers dari Palestine, Syria, Lubnan dll negara yang datang dengan membawa anak-anak kecil dan keluarga mereka. Menariknya, di majlis ini beberapa pertunjukan kebudayaan Palestin ditunjukkan. Seorang anak muda Palestin mendendangkan sebuah lagu yang saya kira bercerita tentang kehidupan mereka yang di ancam keganasan Zionis. Pun begitu, saya sedikit terseksa kerana tidak memahami lirik lagu-lagu yang dinyanyikan. Ucapan TPM dalam Bahasa Kebangsaan juga tidak diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris mau pun Bahasa Arab sewaktu beliau berucap. Dalam zaman mana kita ni berada? Susah sangatkah nak menterjemahkannya ke dalam bahasa yang boleh difahami oleh khalayak? Kita punya ramai pelajar dan graduan Melayu yang fasih berbahasa Arab untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa kita dan sebaliknya. Mentaliti dunia ketiga masih berlaku walau pun dalam majlis yang sofistikated dan bertaraf antara-bangsa!Perkara begini masih dipandang remeh dan tidak perlu. Tetapi ia tidak remeh kepada mereka yang ternganga mendengar ucapan TPM tetapi tidak tahu maknanya.

Sunday, June 17, 2012

Wani Ardy Langit Vanilla dan Jaa

Hari Sabtu lalu, saya diheret oleh anakanda saya Jaa untuk menikmati 'gigs' orang-orang muda seangkatan beliau. Kalau waktu dia kecil, saya mengheretnya menonton filem Kurosawa, Teater Anak Tanjung dll, kini giliran saya mengikut beliau. Kompromi emak dan anak! Bertempat di Rumi and Kohl Gallery di Plaza Damas Sri Hartamas yang cukup eksotik dekornya, saya menonton Wani Ardy bersama kumpulannya memetik gitar dan melagukan Langit Vanilla nya. Dinamik, segar,original dan cukup berlainan daripada penulis puisi Melayu lain yang seangkatan dengan beliau.Demikian juga tiga orang gadis manis dalam kumpulan Kata Mata. Diksi dan perlambangan serta kata yang dipilih dalam puisi mereka tidak menampakkan sedikit pun metafora dan simbolisme 'Melayu' dari generasi yang sebelumnya. Anakanda saya juga menulis puisi dalam Bahasa Inggeris. Akhir tahun lalu,dia berada pada kedudukan ke 19 daripada 25 tempat teratas dalam senarai Free Rhymers of The World yang mempunyai hampir 250000 orang penulis puisi dalam internet dari seluruh dunia.Saya terkejut besar bila diberitahu tentang perkara ini oleh Jaa. Tapi begitulah dunia sekarang, persembahan yang dimuatkan dalam You Tube pun boleh dengan segera menjadikan seseorang bintang ternama. Begitulah yang berlaku kepada Zee Avi gadis dari Sarawak yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat selepas muzik video nya termuat dalam You Tube.Anda hanya perlu percaya kepada kebolehan diri sendiri dan menekuni segalanya penuh dedikasi. Wani Ardy, masanya akan tiba untuk orang seperti anda. Dan usah pedulikan apa juga yang dilemparkan kepada anda.Ramai yang mahu memusnahkan mimpi kita, tapi kita hanya perlu meneruskan apa yang kita percayai, kerana ramai lagi yang akan mengapresiasi apa yang kita lakukan dengan bakat dan kebolehan kita nanti!!

Wednesday, June 13, 2012

KENAPA SHAMSUL MARAH SANGAT NI?

Habis menonton filem Bohsia 2 arahan Shamsul Yusof semalam saya terkedu. Pada mulanya saya ingin membuat reviu tentang filem ini, tetapi membatalkannya. Sebabnya? Dialog skrip filem ini sangat mengejutkan kerana hampir 50% daripadanya merujuk tentang sex dan amat lucah. Walau pun tidak dituturkan secara langsung tetapi menggunakan terma dan slanga orang muda dari sub-budaya kumpulan rempit, apakah filem ini punya lesen besar untuk mencarut sewenang-wenangnya? Selebihnya, dialog dan'undertone'filem ini begitu nihilistik membuatkan penulis bertanya beginikah dunia orang muda kita dalam kumpulan sub-budaya ini? Atau garapan Shamsul dalam filem ini begitu hitam yang jelas mengatakan sesuatu tentang jiwanya? Kenapa marah sangat ni Shamsul? Karya seni seseorang secara langsung atau tidak memperkatakan banyak perkara tentang pengkaryanya! Atau apakah ini suatu manifestasi gejala sosio-budaya yang cukup kronik tentang sekumpulan orang muda kita yang terpinggir dari aspek intelektual-material-emosional nya daripada sebahagian besar kumpulan manusia dalam masyarakat kita? Ini bukan kali pertama Shamsul membuat filem dalam genre sebegini dan belasah, belasah dan belasah adalah menu utamanya! Mungkin Shamsul perlu mencari idea dan tema filem yang segar dan tidak klise dengan apa yang telah dilakukannya selama ini.Kreativiti seseorang tidak teruji kalau masih melakukan perkara yang sama sahaja sampai bila-bila.Jangan marah-marah sangat ye Shamsul!

Monday, June 11, 2012

MARIA SHARAPOVA YANG JELITA, HEBAT DAN BAIK

Dua malam yang lalu saya menonton French Open Tennis Wanita. Saya bukanlah peminat setia tennis ni, tetapi mengakui terpanggil untuk menontonnya kerana mahu melihat kehebatan Sharapova. Dengan wajah secantik Ratu Dunia dan tubuh yang tinggi langsing, Maria boleh saja menjadi seorang supermodel atau seorang aktres, tetapi pemain tenis wanita hebat ini memilih untuk berpeluh dan berlari di padang permainan di hampir semua pertandingan grand slam di seluruh dunia. Dan kemenangannya di Roland Garros baru-baru ni meletakkannya kembali pada ranking nombor satu dunia. Maaf kepada para lelaki yang hanya mahukan isteri cantik duduk di rumah sahaja,saya yakin kehebatan Maria dikagumi ramai wanita diseluruh dunia.Dan saya antara mereka yang sentiasa percaya seseorang wanita harus diberikan peluang untuk mencapai kejayaan dan kehebatan dalam bidang yang mereka pilih walau punya suami berpendapatan tinggi dan boleh hidup senang lenang dengan wajah yang jelita!! Melainkan Anna Kournikova yang juga dari Rusia dan cukup jelita tetapi tidak pernah memenangi apa juga gelaran grand Slam, sukar juga mencari atlit sejelita Maria dan berada ditempatnya sekarang.Tetapi yang lebih saya kagumi adalah kerana baik hati dan rasa hormat yang tinggi ditunjukkan kepada lawannya samada ketika menang mau pun kalah. Beliau cukup 'gracious' jika menang mau pun kalah dan sentiasa memuji lawannya yang telah memberikan permainan yang baik. Dan sikap rendah diri Maria yang sentiasa bersamanya walau berapa kali menang pun adalah sesuatu yang sukar dikekalkan oleh pemain-pemain hebat yang lain. Ego bukan menjadi menu sarapan pagi Maria agaknya.Tahniah kepada Sharapova yang jelita, hebat di gelanggang tenis dan manis tutur katanya.

Sunday, June 10, 2012

Tentang Blog Saya

Hari ini saya dikejutkan oleh beberapa pertanyaan daripada kawan-kawan tentang blog saya. Ok, agak lama saya tidak menulis apa-apa, tetapi inilah satu-satunya blog saya yang ada.Pertanyaan tentang perkara ini timbul kerana ada sebuah blog yang ramai memikirkannya kepunyaan saya. Blogger itu bernama MUMMY ROKIAH yang telah menulis tentang seorang blogger lain yang baru mula mem blog. Memandangkan perkara ini boleh menjadi serius, jika tidak dijelaskan maka dengan ini saya menafikan bahawa saya adalah blogger yang sama dengan MUMMY ROKIAH.Anda hanya perlu melihat profil saya dan profil MUMMY ROKIAH untuk mengetahui identiti kami adalah berbeza. Terima kasih.