Ini merupakan hasil tulisan santai anak saya dengan kawan-kawannya dalam bulan puasa 2005. Mula-mula saya agak marah kerana merosakkan pantun-pantun Melayu. Tetapi bila saya baca banyak kali, saya ketawa tak henti-henti lalu menolong mereka membuat dan melengkapkan pantun untuk menggalakkan kreativiti . Semoga terhibur.
~: Pantun UltraMan :~
Pulau Hokkaido jauh ketengah
Gunung Fuji bercabang tiga
Hancur Raksase di'fire' Ultraman
Ultraman yg baik dikenang jua.
Dua tiga Raksase berlari
Maner nak samer Raksase Kero
Dua tiga Ultraman boleh kucari
Maner nak samer Ultraman Taro.
Kalau roboh Kota Narita
Papan di Tokyo Ultraman dirikan
Kalau sungguh itu keje Raksase
Badan dan kepaler dierUltraman 'fire'kan.
Kajang Pak Malau kajang berlipat
Kajang hamba mengkuang layu
Kalau Ultraman Ace tak cukup kuat
Ultraman Taro datang membantu.
Buai laju-laju
Sampai Pokok Sena
Apa dalam baju?
Ader lampu menyala.
Mengata dulang paku serpih
Boleh fire terus lawan pulak lebih-lebih.
Sudah geharu cendana pula
Sudah kalah di'fire' pula.
Orang berbudi kiter berbahase
'Fire' diberi pada raksase
slamat pose!!
jaa nak balaz pantun tapek
so get readdy
sorong papan tarik papan,
pokok bonsai atas perahu,
jikalau raksakser mendatangkan beban,
ultraman hempuk guner penyapu,
sayang selasih buah bidara,
dari Kobe dibawa ke Sarawak,
muler-muler ultraman kene dera,
lampu menyala raksakser teriak,
siakap senohong gelama ikan duri,
bercakap bohong lamer-lamer mencuri,
ultraman naik geram raksakser sumer mati,
sebab di fire bertubi-tubi,
hisap rokok tembakau cina,
baru diimport dari hiroshima,
raksakser menang, father of ultra menjelma,
habis sumer ultraman dijentik telinga,
dari dulu sampai le,
ultraman asyik pakai baju yang samer,
diorang nee tak besar-besar ker?
samer jer sampai biler-biler?
en hayata memandu toyota,
ultraman ace selalu dibuli,
lalu dipanggil father of ultra,
habiz raksakser dibuat capati
berakit-rakit ke hulu,
berenang-renang ke nagasaki,
ultraman asyik-asyik dipukul dahulu,
tapi xnah nampak ultraman mati
dengan pertolongan mak ultra
Thursday, August 27, 2009
Pantun Ultraman Pun Ada! (Metafora kot?).
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 11:36 AM 0 comments
Tuesday, August 18, 2009
Tok Guru Yang Semakin Melalut!
Kontroversi terakhir kata Dato Nik Aziz, penyokong UMNO tak boleh masuk syurga. MasyaAllah, kenapa dengan Tok Guru ni? Dia tuhan ka nak keluarkan cakap macam tu? Dan lebih meributkan suasana, hari ini dalam Utusan Malaysia dilaporkan Ketua Dewan Ulama PAS Haron Taib mengatakan masuk syurga tak kira parti. Orang UMNO , PAS, PKR atau pun Parti Komunis Uzbekistan kalau dia orang Islam yang beriman, bertaqwa dan banyak amal ibadatnya, InsyaAllah, syurga balasannya dan itulah janji Allah Taala. Jadi, Tuan Guru apa sudah jadi? Mungkin Dato Nik Aziz perlu memilih nak jadi ahli politik atau pun ulama? Sebab kalau nak jadi ulama, kena tolak kepentingan parti dan jadilah ulama yang baik dan jangan keluar fatwa-fatwa yang mungkin membuatkan orang berkata kenapa Nik Aziz ini semakin melalut?
FRAGMEN CERPEN: SENYUMAN SEORANG SAMIRA
Dari jauh aku sudah nampak senyuman Samira. Senyumah yang tulus dan dapat dirasakan kehangatannya. Senyuman yang datang dari dalam. Bukan dibuat-buat. Tambah memaniskan wajahnya. Menjadikan Samira senang didekati walau ke mana ia pergi. Malah senyuman itu masih mampu mengumpulkan peminat demi peminat, walau pun Samira sudah boleh menjadi nenek jika anak gadisnya memilih untuk berkahwin.
“ Bila dia tersenyum, matanya turut tersenyum. Perhatikan matanya. Ada sesuatu yang tulin yang dapat dirasakan hangatnya.” Begitu kata Mir, bekas suami Samira suatu ketika dulu waktu kami semua duduk-duduk menghirup angin musim dingin di tepi Loch Aithrey, Universiti Stirling.
“Sam! Samira ! Apa kabar sayang?” Aku terus berlari ke depan dan kami berpelukan.
“Nadiah! Apa kabar? Aduh lamanya kita tidak bertemu. Hampir lima tahun. Aku terlalu rindu kepada mu Nad.”
“Sam, aku juga selalu teringatkan kau, bila menonton wayang seorang diri.”
“Apa? Kau pun dah pandai menonton seorang diri? Sejak bila ni? Hey itu penyakit aku.”
“Sam, kerana kau lah aku jadi begitu. Aku juga sudah merasa senang ke sana ke mari seorang diri.”
“Hey, Nad! Ap a sudah jadi dengan kau? Ke mana perginya si manja tua yang perlu berteman walau pun sejengkal bergerak?”
“Ini Nadiah baru lah, Sam! Kau ingat kau saja yang boleh ke Moscow atau Vienna atau menonton Nutcracker di Marinsky Theatre seorang diri dan masih seronok tanpa perlu berteman?”
“Tahniah, Nad. Aku akan gugurkan gelaran manja tua kepada kau.”
Kami sama-sama ketawa sambil menolak troli KLIA berisi beg besar Samira kea rah lif ke tempat meletak kereta.
Samira tidak banyak bercakap sewaktu aku memandu memasuki lebuh raya menuju ke kondo ku di SJ. Sesuatu yang agak pelik bagi Samira, yang selalunya cukup rajin bercakap dan ada saja yang nak diceritakan.
“Berat, Sam?” Aku memecah kesunyian sambil memperlahankan radio yang kebetulan sedang mengumandangkan salah satu lagu kegemaran ku Hello oleh Lionel Ritchie.
“Begitulah! Lebih rumit dari soal-soal negara yang ku pikul selama ini.”
“Maaf, kalau aku menggangu lamunan mu.”
“Tak mengapa. Aku datang ke sini memang untuk bertemu dengan kau.”
“Untuk bercakap dengan aku?”
“Ya! Aku selalu yakin dengan nasihat dan pandangan kau. Sejak dari dulu lagi.”
“Kau datang dari Istanbul semata-mata untuk meminta nasihat dan pandangan aku?’
“Antaranya. Lagi pun aku memang dah lama nak ke Kuala Lumpur. Lapangan terbang mu cantik sekali.Terlalu banyak yang ku dengar tentang kehebatan Kuala Lumpur dan terlalu lama aku menangguhkan perjalanan ini, akhirnya aku sampai juga. Alhamdullilah.”
“Tapi kami masih punya ramai orang miskin terutama dari kalangan penduduk asal. Dan jurang perbezaan pendapatan semakin luas antara kelas atasan, menengah dan kelas pekerja.
“ Turki juga menghadapi masalah yang sama. Malah lebih rumit kerana grup Islami semakin besar dan berpengaruh dan grup sekular merasa cukup cemas dengan keadaan ini. Dan kami cukup tertekan kerana isu kemasukan ke EU.”
“Mir masih beri kau masalah? Atau tugas-tugas mu? Kau perlukan tempat persembunyian?”
“Mir sampai bila pun bermasalah. Dengan dirinya pun dia tak lepas dari masalah.Bukan kau tak tahu.Aku cukup lapang dan tenteram lepas berpisah dengannya. Itulah keputusan terbaik pernah ku buat untuk kehidupan peribadi ku.”
“ Kau dalam bahaya?”
“Jangan bimbang kalau Mosad mahu mencari aku, apartmen mu bukan tempat terbaik untuk aku bersembunyi.”
Sam selamba. Air mukanya sedikit pun tidak berubah. Suaranya juga cukup tenang.
“Lagi pun sudah sepuluh tahun aku melepaskan jawatan di Jabatan Risikan.”
“Waktu kita di Stirling dulu, aku sikit pun tak tahu kau ini perisik Turki.”
“Aku bekerja di Jabatan Risikan tapi aku bukan perisik. Dan kalau kau tahu?”
“Aku mungkin tak berani nak rapat dengan kau.”
“Iran-Iraq sedang dalam proses menamatkan perang masa itu. Dan Amerika sedang mencari sebab untuk bertapak di Timur Tengah. Siapa pun tidak mahu membuat kerja begini. Tapi seseorang perlu melakukannya dan kalau orang macam aku tidak buat kerja-kerja begini, siapa yang akan buat? Aku bukan berkhidmat untuk Turki saja, tapi seluruh dunia Islam. Termasuk untuk Malaysia.”
“Jauh di sudut hati,aku cukup kagum dengan kau, Sam”.
“Kerana buat kerja pelik yang orang lain tak buat? Kau pasti kau kagum dan tidak menganggap aku bodoh, seperti kata Mir.”
“Kau yang kata Mir cukup bermasalah walau pun dengan dirinya. Kenapa kau rasa begitu dengan apa yang dikatakannya ? C’mon Sam. Kau lebih baik dari apa juga pandangan Mir tentang diri mu.”
“Siapa yang kata begitu?”
“Nadiah binti Sulaiman.”
Kami sama-sama ketawa.
“Jadi apa masalahnya, Sam?”
“Lelaki.”
“Apa? Lelaki dan lelaki lagi?”
“Ya lah! Apa lagi? Maslah perempuan lelaki, masalah lelaki perempuan. Mana nak lari dari masalah macam ini?”
“Aku ingat kau kata kau tak mahu kahwin lagi, lepas 20 tahun bersama Mir.”
“Tapi aku tak pernah kata aku tak akan jatuh cinta, selepas Mir.”
“Ah ha! Samira sedang dilamun cinta rupanya! Yahoo! Apa sudah jadi? Dengan siapa? Macam mana kau kenal dia? Tapi dia pasti punya IQ 150. Kau mana tertarik kalau orang tu tak pandai kepala otak dia!”
“Nad, kau nak dengar jawapannya atau nak terus bertanya? Satu-satulah!”
Aku terus ketawa. Samira menjeling tajam kea rah ku, kemudian senyum dan akhirnya ketawa.
“Bergegar Istanbul. Habislah peminat kau yang tiga empat orang tu.Kesian mereka berderet menunggu bertahun-tahun. Akhirnya kau jatuh cinta dengan orang lain. Kes naya ni.”
“Nasiblah. Aku bukan suruh dia orang tunggu . Sapa suruh dia tunggu? Aku tak pernah berjanji apa dengan siapa pun.”
“Bagaimana dengan Hakeem? Kekasih pertama waktu zaman remaja dulu?”
“Hakeem? Aku sudah buat keputusan tentang dia lama dulu. Full stop.”
“Kau pernah bertemu dengannya selepas bercerai dengan Mir, kan?”
“Dipertemukan.Oleh pihak yang merasakan mereka kerugian kerana aku bercerai dengan Mir.Dan mereka kehilangan sumber maklumat penting risikan asing Turki.”
Belum sempat mulut ku terlopong, Samira sudah menyambung kata-katanya semula.
“Hakeem dipertemukan dengan ku untuk mengorek rahsia!”
“Kau menyedarinya sejak mula?”
“Aku syak! Kerana terlalu banyak kebetulan.”
“Hakeem mahu kau jadi isteri keduanya?”
_____________________
“Jadi, kau jatuh cinta dengan siapa?”
“Seorang lelaki yang telah lama ku kenali melalui tulisannya.”
“Hey, kau jatuh cinta dengan siapa? Lelaki itu atau tulisannya?”
“Entah! Dua-dua agaknya. Hingga aku tak begitu pasti kadang-kadang. Aku suka kepada pemikirannya atau dirinya? Tapi aku tak kisah tentang hal itu semua”
“Dan masalahnya? Isterinya tak benarkan?”
“Isterinya dah meninggal tujuh tahun lalu. Kanser payu dara. Aku yang tidak bersedia ketika itu.”
“Dan sekarang? Kau dah bersedia?”
“Begitulah lebih kurangnya. “
“Dan dilemanya? Ada seorang lagi peminat kau?”
“ Macam dalam Camelot. Guinevere hampir jatuh cinta dengan Lancelot. Tanpa mengetahui ada Arthur yang menunggu! “
“ Sam, Guinevere tidak tahu tentang kehadiran Arthur ? ”
“ Tidak! Hampir 5 tahun yang lalu,seorang bapa saudara jauh seorang ahli politik pernah cuba menjodohkan aku dengannya. Tapi mereka tidak beritahu aku identitinya yang sebenar. Mulanya aku kata ya, lepas tu entah macam mana aku tukar fikiran kerana belum bersedia. Hampir 2 tahun dia menunggu dan bertanya tentang ku dari semasa ke semasa. Malah dia pergi jumpa adik aku di Amsterdam. Tapi aku sedikit pun tak diberitahu tentang hal itu semua.
“Kenapa? Ini kes naya namanya. Simpati ku 100 % kepada Arthur.Kesian hambaAllah tu!”
“Konspirasi politik. Berselindung di sebalik Mir yang kononnya separuh gila nak balik kepada aku. Dan dia berkempen kepada semua orang dalam keluarga aku dan mereka bersimpati dengannya.Tapi yang sebenarnya tu hanya helah puak-puak tertentu untuk memastikan aku balik kepadanya dan mereka terus dapat memeras-ugut dia untuk mengorek rahsia.”
“Ah ini dah nak jadi skrip Mission Impossibble atau James bond. Sam apa yang berlaku? Bagaimana dengan Lancelot ?”
“Pada mulanya aku hampir percaya kepadanya, tapi aku semakin yakin dia hanyalah plan B kepada Mir. Karl ada di situ untuk memastikan aku tidak mengahwini Pasya, penulis berpengaruh tu.
“Karl? Orang Jerman? Memang sah ni bahan skrip Mission Impossibble. Tom Cruise pasti mahu menerbitkannya.”
.”Karl orang Turki tapi tinggal lama di Jerman. Kembali ke Istanbul untuk mencari akarnya selepas bercerai dengan isterinya orang Jerman.”
“Oh, plotnya semakin menebal. Ini memang bahan yang baik. Cantik ceritanya mengalahkan Casablanca”
_______________________
“Membiarkan kau menceritakan tentang hidup aku ke seluruh dunia?Dan aku harus berbangga dan berterima kasih untuk itu? Kau masih mahu bersahabat dengan aku tak?”
“Hey Sam, janganlah sensitif. Aku tak akan tulis cerita kau kalau kau tak benarkan. Jangan susah hati. Jadi apa masalahnya?”
“ Pasya seorang penulis yang berpengaruh dan rapat dengan Presiden kami. Dan musuh-musuh mereka dan Mir dengan konco-konconya juga tak henti-henti berusaha supaya kami tak jadi kahwin.” Samira menarik nafas panjang.
“Memang rumit. Aku kesian kepada kau dan Pasya.Mungkin juga kesian kepada Mir.”
“Bukan kami saja . Keluarga kami pun jadi macam-macam.Berbagai perkara dilakukan untuk menekan kami. Karier Pasya amat terkesan dan dia terpaksa bersara dari jawatannya di Pejabat Presiden .”
“ Dan Karl? Apa yang berlaku kepadannya?”
“ Aku sudah putus dengannya sebelum aku bertemu Pasya dan mengetahui segalanya.”
“Kenapa?”
________________________
Dan beberapa minggu lepas itu aku terserempak dengan Pasya di satu majlis. Dan cerita 1001 malam kami pun terbongkar!Pada mulanya aku sangka Pasya yang buat begitu. Tapi aku yakin Mir punya kerja semua tu.” Samira ketawa tiba-tiba.
“ Memang rumit. Mengalahkan konspirasi masa perang dingin dulu! Atau mungkin takdir yang nak menemukan kau dengan Pasya sebenarnya.” Aku turut ketawa.
________________
“Jadi apa masalahnya?”
“Mencari titik pertemuan! Yang begitu sukar kadang-kadang.”
“ Kenapa begitu? Keluarga Pasya?”
“ Di antaranya. Pasya juga tak habis-habis menguji aku. Kadang-kadang aku letih dan bosan dengan sikap dia. Anak-anaknya pula ada yang mengharapkan aku berhenti dengan tugas ku dan menolak tepi segala-galanya untuk menjadi isteri kepada bapa mereka . Kerana itulah yang dilakukan oleh ibu mereka dulu. Kadang-kadang aku bertanya siapa yang akan aku kahwini? Pasya atau keluarganya?”
“Tak masuk akal betul jangkaan mereka. Ini sudah lebih. Apa yang mereka nak? Emak mereka dah tak ada tak kan satu dunia kena berhenti berfungsi?
“Begitulah nampaknya yang mereka nak.”
“ Ini memang berat. Bagaimana dengan Pasya? Dia pun nak macam tu juga?”
“ Aku kurang pasti, tapi Pasya tentu berada dalam keadaan yang sukar .Dia tak kata apa-apa. Dan ini menyebabkan aku makan hati kadang-kadang. Kau bayangkan dah 10 tahun sejak berpisah dengn Mir, aku tidur lena dan senang hati. Tiba-tiba terpaksa mengadap masalah macam ini.Mungkin ada hikmahnya aku tak tahu Pasya menunggu ku selama ini. ”
“Kau terfikir nak memutuskan hubungan dengan Pasya?”
“Tak pernah! Aku tidak terfikir untuk memutuskan hubungan dengan dia.”
“Karl masih di situ?”
“ Setahu aku tidak lagi, tapi ada desas desus mengatakan dia dengan Mir bergabung tenaga menabur fitnah kepada keluarga Pasya supaya dia tak jadi mengahwini aku.”
“Wow. Ini sudah lebih. Apa pulak tak habis-habis lagi? Aku rasa Mir benar-benar mencintai kau dan mahukan kau kembali.”
“Nadiah, setiap hari selepas solat aku berdoa Allah tidak menemukan aku lagi dengan Mir. Cukuplah 20 tahun menjadi isterinya. Dan jadi keliru tentang banyak perkara dan melarikan diri ku dengan membuat kerja yang siapa pun tak terfikir nak buat. 15 tahun aku berkejar ke merata tempat di seluruh dunia. Mana yang aku tak pergi? Semua ceruk aku sampai. Alaina dan Nuruddin lebih banyak membesar tanpa aku di sisi mereka. Aku cukup rasa bersalah tentang hal itu.Nasib baik ibu aku ada dan dia cukup memahami kekecewaan ku . Ya, aku tahu Alaina dan Nuruddin mungkin kecil hati kalau mereka dengar aku cakap begini. Tapi itulah kenyataannya.”
Samira bercerita tanpa henti. Dia sedikit emosi
________________________
“Kau masih getir tentang perpisahan dengan Mir. Mungkin luka mu yang bercakap. Bukan hati nurani dan rasional.” Aku bersuara sambil membuka pintu apartmen. Samira masih terdiam panjang.
“Nad. Mir adalah seorang bi-seksual! Aku sudah lama mahu bercerai dengannya ketika Alaina masih kecil dan Nurruddin belum lahir . Tapi ibu bapa ku melarang. Kesian kepada Alaina. Dalam masyarakat kami menjadi seorang ibu tunggal bukannya senang. Kau akan hidup dengan fitnah 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 30 hari sebulan. ” Samira membuang tudung yang membaluti kepalanya dan meletakkannya atas sofa di sebelahnya.
Aku terduduk di atas sofa di depan Samira. Aku terkejut kerana dia tidak pernah bercerita tentang hal Mir dan sebab mereka berpisah.
“ Tapi bila Nuruddin pulang dari sekolah satu hari dan berkata apa salahnya menjadi homoseksual, aku tahu ketika itu juga aku perlu bercerai dengan Mir . Kami sudah lama tidur berasingan ketika itu. Jadi proses perceraian kami cukup mudah.”
“Kau pasti tentang semua cerita ini Sam? Kau tidak mencari sebab untuk bercerai dengan Mir? Sukar untuk aku percaya kerana Mir nampak macam orang baik-baik saja. Dia lembut,pengasih, sabar, cukup gentleman! Dan bukannya aku seorang yang berkata demikian. Semua kawan-kawan kita di kelas Collins kata begitu.
“ Mestilah. Collins tu kan gay? Sebab itu Mir rapat dengan dia.”
_______________________
“Semua orang tau, Nadiah. Kau saja yang tak sedar. Kau hidup dengan buku-buku saja. Tu sebabnya. Yasmeen dari Bangladesh tu, ingat tak? Dia yang tau tentang banyak perkara dan bercerita kepada aku akhirnya. Tapi itu bukan kejutan kepada aku. Dah lama aku tau tentang Mir. Kemudian berharap dan terus berharap bertahun-tahun lamanya yang dia akan berubah. Tapi kerana Mir tak berubah, akhirnya aku yang berubah. ”
“OK, Sam. Aku faham. Maaf. Kenapa kau tak pernah cerita tentang ini semua kepada aku selama ini?”
“ Ianya bukan sesuatu yang mudah bagi aku. Hingga sekarang pun, tak ramai orang yang tahu sebab sebenar aku meninggalkan Mir. Aku tak mahu Alaina dan Nuruddin terluka dan tidak menghormati bapa mereka. Dia masih tetap bapa mereka dan sesiapa pun tak akan dapat mengambil tempat tersebut. Tapi Mir ambil kesempatan kerana aku tak bercerita tentang kami dan dia memutar belit kenyataan seolah-olah kami bercerai kerana aku ada orang lainlah, aku mahu kebebasan, aku terlalu mementingkan karier ku dan 1001 sebab untuk memburukkan diri ku.
________________________
“Kau ingat tak masa kita bercuti dan menaiki keretapi dari Berlin hingga ke Moscow? “
“Itu salah satu cuti yang paling menyeronokkan dalam hidup aku sampai sekarang. Gila betul kita dua orang masa tu. Tak rancang apa pun, tapi tiba-tiba kita sampai di Moscow dan sempat melihat white nights di St.Petersburg pada 22 Jun berikutnya. Tapi aku terkejut kenapa tiba-tiba saja kau ajak aku ke Rusia musim panas itu?Seingat aku kau bercadang nak memandu ke Madrid bersama Mir.”
“Ya. Memang begitu asalnya. Tapi beberapa hari sebelum cuti bermula aku bertemu dengan Collins dan bertanya terus terang tentang dia dan Mir. Dan dia mengakuinya. Bum! Aku dapat jawapannya dan sebab itu aku tukar rancangan dan pergi ke Moscow bersama kau. Sejak itu juga aku dan Mir tidur berasingan. Moscow adalah untuk merayakan Samira yang baru! Lebih baik merasai 24 jam tanpa malam dari duduk termenung melihat angsa liar di Loch Aithrey! ”
“Whew! Dan kau sedikit pun tak menunjukkan apa-apa tanda suatu tragedi besar telah berlaku dalam hidup mu ketika itu! Patutlah di St.Petersburg kau sikit pun tak tidur. Kau berjaga sebab nak tengok white nights kata mu“
“Nadiah sayang, buat apa pergi ke sana kalau kau terlepas pengalaman merasai siang tanpa malam? Aku hanya tidur waktu kita di atas keretapi balik ke Moscow. Tu pun lepas kita menyeberang Sg.Volga yang amat luas. Pemandangannya cukup menakjubkan. Mengingatkan aku kepada babak-babak cantik dalam filem Dr.Zhivago.”
“Sam, aku bukan macam kau. Tidur 4 jam normal bagi kau. Tak tidur langsung 24 jam pun kau boleh tahan. Aku tak boleh macam tu. Tapi kau sedikit pun tak menunjukkan tanda-tanda seperti sedang berkrisis . Kau lebih teruja dengan white nights kau ”
_______________________
“Ok. Setuju! Aku gembira kau cukup realistik tentang hal itu dan sudah mendapat cinta baru. Aku tumpang gembira untuk mu. Tapi kau pasti kau mahu berkahwin untuk kali ke dua? Bagaimana dengan Alaina dan Nuruddin? Mereka dapat menerimanya? “
“Alaina sememangnya mahu aku berkahwin lagi. Atas satu sebab saja. Dia tak mahu Mir kembali ke dalam hidup ku. Aku tak pernah kata apa-apa tentang hal itu, tapi dia cukup mengerti tentang perasaan aku. Dan dia cukup senang dengan Pasya. Orang lain dia tak mahu. Dia yang beria-ia sangat suruh aku kawin dengan Pasya .”
“Kenapa? Apa yang istimewanya tentang Pasya kepada Alaina? Bagaimana dengan Nuruddin ?”
“Alaina terlalu rapat dengan aku dan secara otomatik bila aku dan Mir bercerai, dia kehilangan seorang bapa. Aku tak pernah menyuruh dia berbuat begitu, tapi dia takut melukakan hati ku kalau dia rapat dengan bapanya. Aku dapat rasakan dia melihat Pasya sebagai seorang bapa yang tidak ada dalam hidupnya. Mungkin juga Pasya seperti seorang bapa yang diharapkannya selama ini.“
“Apa yang dia kehendaki dalam seorang bapa?”
“Agama. Mempunyai seorang bapa tempat dia merujuk perkara-perkara yang tidak diketahui bagaimana mau menanganinya. Menjadi dewasa dan ada tempat dia mengadu hal kepada orang yang lebih tua selain daripada aku ibunya. Juga pendapat seorang lelaki. Dan sememangnya Pasya seorang bapa yang baik dan figura bapa yang baik. Alaina tidaklah muda sangat dah hampir 27 tahun tapi setiap orang perlukan seorang bapa pada bila-bila masa juga. “
“Dan Nuruddin?“
“Beberapa tahun selepas kami bercerai Nuruddin agak sukar menerimanya dan memberontak juga. Dia anak lelaki dan Mir adalah segala-galanya bagi dia. Itu yang menyebabkan aku meninggalkan Jabatan Risikan. Aku menumpukan lebih banyak perhatian kepadanya dan Alhamdullilah dia semakin ok sekarang. Dapat menerima perceraian kami dan menyedari bahawa kami semua perlu meneruskan kehidupan. Lima tahun lalu agak sukar dia nak menerima kehadiran orang lain dalam hidup ku. Antara sebab utama aku tidak bersedia mengahwini Pasya. 2 kali dia meninggalkan rumah dan hidup sendirian. Tidak mau jumpa dan menghubungi aku beberapa tahun. Tapi aku tak pernah putus asa berdoa.Dalam sujud terakhir ku dalam setiap solat aku berdoa dia akan kembali dan dapat menerima hakikat kehidupan dan reda dengan segalanya.” Samira semakin segar bercerita. Maklum saja kopi panas hitamnya sudah habis diteguk.
“Dia dapat menerima Pasya?”
“Ya. Begitulah katanya dan aku uji dia beberapa kali. Masih begitulah jawapannya. Mir sudah berkahwin dengan pelajarnya yang sebaya dengan Alaina dan aku yakin Nuruddin sedar dia hanya ada aku dan Alaina sekarang. Dan dia ada Maria seorang gadis cantik yang sopan, cukup sabar dan baik dalam hidupnya. Aku kesian kepada Maria dan amat berharap mereka berkahwin akhirnya. Ibu bapa Maria orang Kristian yang kuat pegangan agamanya tapi Maria tidak pernah ke gereja sejak kecil lagi. Di sekolah dia bersahabat dengan ramai gadis Islam dan memang sejak kecil sudah belajar tentang Islam dan mahu menjadi Muslim satu hari kelak. Rumit juga. Tapi aku yakin Allah akan mendatangkan bantuan kepada mereka berdua.”
“InsyaAllah, Sam. Dari dulu satu perkara yang aku kagum tentang engkau ialah kau tak pernah putus asa. Sentiasa optimis. Sentiasa positif.”
“Jabatan Risikan Turki mengajar ku untuk sentiasa optimis dan positif. Slogan dalam hidup aku ialah: Problem is a problem when you make it a problem! Tak kan kau dah lupa tentang slogan itu? Ha ha ha!” Samira ketawa kuat hingga terenjut-enjut bahunya.
Aku turut ketawa melihat dia ketawa. Aku seronok melihat dia ketawa dan melupakan masalahnya. “ Mana boleh lupa perkataan itu? Ya aku masih ingat. Kau yang kata masa kita di kelas Collins waktu kita semua bertekak tentang teori Perlucutan Senjata Nuklear Dunia. Collins punya meradang bila kau bercakap. Tapi kau tau tak dia puji kau melangit bila kau tak ada.”
“Apa? Micheal Collins pensyarah Hubungan Antara-bangsa tu puji aku? Kau mengigau ke? Collins benci kepada aku sejak hari pertama aku mendaftar kursus dia. Dan aku tak tahu kenapa, hinggalah aku tahu bahawa dia gay dan mempunyai hubungan dengan Mir. Dia panggil aku Mafia of the East, aku masih ingat gelaran tu.”
“Collins sebenarnya mengakui kau cukup pintar dan dia mungkin rasa tercabar. Siapa yang dapat mematahkan hujah-hujah kau dalam kelas?”
“Bukan. Sebenarnya dia tahu siapa aku dan itu sebabnya dia rapat dan buat hubungan dengan Mir. Dia juga mengorek rahsia dan mungkin juga memeras-ugut Mir untuk mendapat maklumat. Dan aku yakin Mir terjerat dan terpaksa memberikan dia maklumat yang dikehendaki.”
__________________________
“Ah cukuplah cerita-cerita lama tu. Aku datang bukan sebab nak cakap hal-hal 12 tahun lalu. Kau ingat tak masa kita jumpa di Persidangan di Teheran lima tahun lalu? Collin kan ada sama? Dia sengaja dihantar supaya membuat tawaran lumayan kepada aku supaya bekerja untuk MI 5.”
“Apa? British nak cekup kau bekerja untuk mereka?”
“Ya. Dan ini bermakna Collins tau tentang aku. Kalau tidak dia tak kan dihantar ke Teheran.”
“Patut la kau nampak semacam saja masa persidangan itu. Dan aku percaya bila kau kata kau sedang bersedih kerana kematian ibu mu.Berapa tawaran mereka kepada kau?”
“ Name your price kata Collins kepada ku. Dia ingat semua orang boleh dibeli dengan wang. Ramai orang yang ingat aku macam tu termasuk keluarga Pasya. Mungkin Pasya sendiri fikir begitu! Sedih rasanya kadang-kadang.“
“Ok, memang mereka silap orang. Tapi bagaimana dengan si Pasya kau ni? “
“Aku datang ke sini untuk memberikan diri ku sedikit ruang daripada terlalu membungkus diri ku dengan masalah kami. Tapi aku yakin antara kami tak ada masalah kerana kami hampir satu kepala dalam banyak hal. Dan dalam hal-hal yang kami berbeza pendapat kami menghomati pandangan masing-masing. Mula-mula dulu susah juga. Dia dari generasi yang berbeza dari kita dan mahu aku mengikut semua pendapat dan apa yang dia percayai kerana antara dia dengan isterinya tak bermasalah tentang hal itu.”
“Mereka dah lama hidup bersama tentu dah masak dengan perangai masing-masing, Sam.”
“Bukan kerana itu saja. Isteri Pasya tidak punya latar-belakang pendidikan macam kita. Dia wanita yang hanya menjadi isteri dan ibu kepada anak-anaknya dan nenek kepada cucu-cucunya. Dia tak masuk universiti macam kita. Dia macam bumi dengan langit dengan orang yang macam aku yang pergi merata ceruk dan boleh hidup dalam apa juga keadaan. Aku rasa kalau dihumban di Kutub Utara seorang diri pun aku boleh hidup. Macam semua orang dari generasi mereka dia seorang isteri dan ibu yang dunianya hanyalah rumah-tangga dan itu saja. Dan mungkin ini yang dimahukan oleh anak-anaknya dari aku. Ini yang merisaukan aku.”
“Kenapa? Apa yang kau nak risaukan?’
“Pastinya jurang perbezaan kami cukup besar. Dan aku mungkin dilihat sebagai angkuh, tak sopan dan nak tunjuk pandai. Mungkin ini yang menakutkan anak-anaknya tentang aku. Kerana aku ada pendapat dan boleh berdebat bum-bam bum-bam tak kira di mana atau dengan siapa juga. Di Jabatan Penyelidikan Strategik aku berdepan dan bekerja dengan profesor serta pakar-pakar paling hebat dari seluruh Turki. Jadi aku juga kena hebat dan ilmu pengetahuan ku setaraf dan diiktiraf dan aku cukup yakin dengan diri ku sendiri. Ini masalahnya. Orang ingat aku sombong dan angkuh kerana imej dan daya pemikiran serta intelektual aku !Malah ini juga mungkin menakutkan Pasya tentang aku kerana kelayakan aku lebih tinggi dari dia sendiri. ”
“Dan itu sebabnya anak-anak Pasya memberi syarat begitu dan begini?”
“Entahlah! Mungkin juga begitu. Mungkin mereka juga nak kontrol pergerakan dan kerja aku. Aku dapat cerita seorang dari anak Pasya mengenali adik Mir dan sering bertemu dengannya.”
“Oh, tidak! Ini keterlaluan.Pasya tak tahu kah dengan cerita ini semua? Kau tak beritahu cerita ini pada dia ? Tapi kenapa dia pilih orang macam kau dan pergi hingga ke Amsterdam untuk mendapat jawapan dari adik kau kalau dia mahu seorang wanita yang seperti klon isterinya? Tak kan anak-anak dia tak sedar tentang hal itu dan berfikir mengapa bapa mereka tunggu bertahun-tahun kepada seorang international roamer macam kau?
__________________
Pasya buat apa sekarang?Umur dia berapa? “
“Dia sudah bersara dari Jabatan Presiden dan kini meneruskan kerja-kerja penulisannya sendiri. Dia mana boleh berhenti menulis. Itu dah jadi darah daging dia. Bagi aku itu ok kerana aku juga akan menulis selepas bersara nanti.Sekarang pun aku sudah mula menulis . Banyak pengalaman dan perkara yang aku nak kongsi dengan ramai orang terutama sewaktu di Jabatan Risikan. Terlalu banyak cerita. Umurnya? 67. Dan memang sudah cukup sesuai untuk bersara.”
“67? Dia hampir 15 tahun lebih tua dari engkau. Tak terlalu tua ke? Atau itu yang kau risaukan sebenarnya? Kadang-kadang helah bela diri kita buat trick kepada rasionalisasi kita.” Aku terus mengasak Samira dengan soalan yan agak sensitif kerana dia kelihatan cukup bersedia untuk menghamburkan segala-galanya. Di waktu lain mungkin dia dah tak mau bercakap.
“Nadiah. Aku cukup sedar tentang perbezaan umur kami.Tapi itu bukan masalahnya. Tidak kepada aku. Sewaktu aku masih di bangku sekolah lagi aku sudah mengenali tulisan-tulisannya. Tapi aku rasa Pasya dan anak-anaknya banyak buat hal mungkin sebab ini. Tapi jangan lupa bukan aku yang cari dia dan tunggu bertahun-tahun. Mungkin itu yang keluarga dia tak tahu dan mereka ingat aku mengejar harta dia. Aku tidak mengharapkan apa-apa darinya. Aku tak kaya tapi bukan juga nak kawin dengan dia kerana dia ada harta.”
“Itu semua tak penting bagi kau? Apa yang kau nak dari perkahwinan ini?” Aku terus bertanya kepada Samira.
“ Aku tak tahu pun samada dia berharta atau tidak. Aku tak kenal dia secara peribadi pun. Bagi aku segala-galanya amat mudah. Hampir lima tahun yang lalu, berkali-kali dia bertanya tentang aku dah bersedia atau tidak menjadi isterinya. Dan aku tak tahu apa-apa tentang itu semua kerana manipulasi Mir dan bapa saudara ku . Dan setelah aku berjumpa dengan Pasya dan mengetahui segala yang terjadi dan mengetahui bahawa dia masih mahu mengahwini ku, aku bertanya kepada anak-anak ku dan ahli keluarga ku yang terdekat dan mereka memberi restu. Ibu saudara ku menyuruh dan mengajar aku reda dan pasrah menerima segalanya .Inilah takdir tuhan. Aku selalu buat istiqarah dan tahajud sampai kini pun. Dan perasaan ku masih sama tidak berubah. Aku yakin Allah menghendakinya begini. Kau tau apa ayat pertama aku kepadanya?”
“Apa kata mu? Mesti dramatik habis kan?” Aku tersenyum mengusik Samira.
“Aku tanya kepada dia kami ni dah kenal satu sama lain tak? Aku pun panik masa tu. Dan ayat itu yang terkeluar dari mulut aku! Bila aku fikir semula, aku rasa macam orang bodoh saja aku ini. Kenapa aku tanya dia macam tu?”
“Ha ha ha! Ya kenapa kau tanya dia begitu? Dan apa jawab dia kepada engkau?”
“Muka dia merah kerana malu. Lepas tu dia tunduk dan tersenyum. Aku hulurkan tangan dan bersalam dengan dia. Berkali-kali dia mengangkat bahu tak tahu nak jawab apa. Kemudian dia buat nakal dan kata dia tak kenal aku! Sikit punya teruk ka manusia ini? Aku cukup trauma lepas tu. Sampai sekarang dia tak minta maaf kepada aku tentang hal itu. Kadang-kadang aku sakit hati dengan pak cik macho ni.”
“Ha ha ha! Kenapa kau panggil dia Pak Cik Macho?”
“Itu nama yang diberikan Alaina kepada Pasya. Tapi aku rasa itu nama yang sesuai untuk dia. Memang dia macho tak tentu hala kadang-kadang. Nak jaga standad. Nak jaga maruah. Dia sengaja membina jurang di antara kami. Tapi dia tak sedar, orang macam aku yang lari merata dunia berkhidmat untuk Turki dan meletakkan orang macam dia menjadi orang-orang penting dan berpengaruh di sekeliling Presiden. Tanpa orang macam aku , dia dan Presiden pun belum tentu selamat!”
“Kau cukup terasa hati dengan dia, rupanya. Sensitif kau tu masih tebal, Sam. Sememangnya kau hebat dan pintar dan ramai lelaki rasa tercabar dengan mu. Aku yakin Pasya juga begitu. Mungkin dia memerlukan sedikit masa dan sensitiviti yang lebih banyak bila berdepan dengan orang macam kau yang pastinya macam bumi dengan langit dengan isterinya dulu. Sabar, Sam. ”
“Aku boleh bersabar, tapi aku tak yakin musuh kami tak akan terus buat kacau. Dan bersabar serta memberikan masa sama seperti memberi kemenangan kepada mereka. Kau perlu faham tentang realiti di luar sana. Kau sedar tak? Krisis dalam hidup ku dan Pasya adalah manifestasi pergolakan yang berlaku dalam politik Turki. Antara kami dari golongan yang moderat Islami dan sebahagian dari Turki yang sekular . Gerakan Islami cukup kuat dan Mir serta kawan-kawannya sedang bermati-matian mempertahankan kedudukan mereka. Dan orang seperti aku harus membayar harga yang mahal tak habis-habis. “
“Kau menyesal menjadi sebahagian dari jentera Presiden mu?”
“Letih. Amat letih. Dan menyakitkan hati bila berdepan dengan orang macam Mir dan kumpulan mereka. Aku tak menyesal dengan segala pengorbanan yang ku lakukan. Tapi aku rasa aku perlukan perubahan untuk menumpukan lebih banyak perhatian kepada kehidupan peribadi ku dan keluarga.Terutama bila aku berkahwin nanti. ”
“Kenapa tak bersara saja seperti Pasya? Tak ada siapa yang akan mempedulikan kau bila kau melepaskan jawatan aku rasa.”
“Aku terfikir juga begitu. Dan bersedia jika itu yang diperlukan.
“Kita semua semakin tua, semakin matang serta memberi banyak pertimbangan untuk keluarga serta orang lain. Kau sudah pun dapat jawapan kepada masalah kau, sebenarnya. Mari, dah dekat pukul 3 pagi. Tak nak tidur ka wirawati Turki yang hebat?i” Aku bangun dan menarik beg besar Samira ke dalam biik.
Samira terpinga-pinga sebentar tapi kemudiannya bangun mengikut ku ke bilik tidurnya.
“Aku sudah dapat jawapan kepada masalah ku Nad? Apa maksud mu?”
“Kan ka kau kata dah terfikir dan bersedia untuk bersara? Itulah jawapannya. Turki tak akan roboh kalau kau bersara. Akan ada orang lain yang menggantikan mu nanti. Kerana aku yakin, puak moderat Islami yang cukup besar tak akan kekurangan orang-orang seperti kau. Fikirkan tentang Pasya yang memerlukan seorang isteri sepenuh masa di sisinya. Fikirkan Alaina dan Nurudin yang memerlukan bapa dalam hidup mereka. Juga keluarga Pasya yang perlukan ibu dan nenek moden yang boleh bercerita tentang kesedapan Fish and Chips Oban, Stirling Castle, Istana Musim Sejuk Nicholas 2 di St.Petersburg, indahnya memandu dalam kabus Francochamp serta cantiknya permaidani di pasar Teheran. Mereka juga rakyat Turki yang memerlukan khidmat bakti mu.”
“Oh, begitu? Bersara sekarang juga? “ Samira seperti dipanah petir.
“Ya. Bersara sekarang dan tak perlu tunggu dua tahun lagi. Kerana Samira juga memerlukan seorang suami tempat bermanja dan mengadu hal. Dan seorang suami yang boleh menjadi imam sewaktu bersolat dan mengucapkan zikrullah setiap kali mengelilingi kaabah sewaktu mengerjakan Umrah. Bukankah dulu ketika bercerai dengan Mir kau kata kau perlukan seorang imam dalam hidup mu dan Mir hanya perlukan seorang teman lelaki untuk menemaninya ke pub? Allah dah makbulkan doa mu. Dan ada pengorbanan yang perlu di buat.”
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:20 PM 0 comments
Sunday, August 16, 2009
POLEMIK POLIGAMI
Sejak beberapa minggu kebelakangan akhbar Mingguan Malaysia menyiarkan beberapa artikel tentang pro dan kontra poligami ekoran dari penubuhan Kelab Poligami di Sungai Petani baru-baru ini. Kelab tersebut ditubuhkan dengan tujuan memberi khidmat sokongan kepada mereka serta keluarga mereka yang duduk dalam situasi perkahwinan poligami. Ianya tak ubah seperti NGO yang lain seperti Persatuan Ibu-Bapa Guru atau PIBG dan lain-lain NGO.Saya yakin tujuan penubuhannya sangat jelas dan sesiapa pun tidak perlu menjadi histeria tentang itu sehingga menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan, emosional malah mempunyai konotasi berat ketidak-upayaan kita memahami hukum syariah dan Islam yang sebenar.
Saya percaya Islam membenarkan poligami dilakukan atas banyak sebab dengan hikmahnya yang tersendiri. Tapi ia juga mensyaratkannya dipraktis dengan mengikut hukum Islam yang teliti dan memerlukan rasionalisasi serta 'self-restraint' yang cukup tinggi serta berilmu pengetahuan dalam hal-hal hukum agama yang cukup. Poligami bukan untuk semua orang, tetapi tidak dapat dinafikan ada segelintir daripada kita yang memerlukannya. Pun begitu, ia harus dilaksanakan dengan mengikut hukum Islam yang betul dan tidak boleh mengikut emosi bagi semua pihak yang mahu melaksanakannya. Mengatakan poligami dipraktis oleh lelaki semata-mata kerana nafsu adalah sangat emosi dan tidak betul.
Begitu juga halnya mengatakan mereka yang menjadi isteri kedua atau ketiga dan keempat adalah merendahkan martabat wanita dan ini adalah pernyataan yang tidak adil dan sangat-sangat emosi. Mana lebih merendahkan martabat wanita menjadi isteri kedua yang sah dan halal di sisi hukum agama dan perundangan daripada menjadi perempuan simpanan yang tinggal di kondo mewah atau berkesedudukan tanpa berkahwin, atau melahirkan anak luar nikah atau menjadi pekerja seks yang terdedah kepada 1001 kerumitan hidup dan risiko HIV dll?
Saya kurang pasti poligami merendahkan martabat wanita. Lihat sahaja keluarga Seri Sultan Brunei yang membawa kedua isterinya di semua majlis rasmi termasuk ketika baginda melawat ke luar negeri. Apakah Pangeran Isteri Azrinaz Mazhar Hakim kelihatan seperti seorang wanita yang rendah martabatnya? Apakah Pangeran Isteri Soleha juga nampak seperti seorang isteri yang rendah martabatnya? Poligami memerlukan kematangan berfikir, bertindak dan berkelakuan yang amat tinggi dan tidak mengikut emosi. Paling penting, ia memerlukan keyakinan, kepercayaan akidah serta mengikut hukum agama Islam yang betul dan setiap individu perlu sentiasa memuhasabah dan melakukan koreksi diri sendiri. Paling penting ia memerlukan setiap individu yang terlibat di dalamnya akur, reda dan pasrah dengan setiap yang didatangkan oleh Allah Taala kepada kita. Martabat seorang wanita sebagai isteri tunggal belum tentu berada di tempat yag tinggi kalau di belakangnya suaminya menyimpan perempuan lain, atau berkahwin di luar negeri secara senyap-senyap dll. Tepuk dada tanya selera!
Sedikit waktu dulu, polemik yang sama telah terjadi ketika Sisters in Islam dengan sokongan kuat beberapa tokoh Wanita UMNO yang melancarkan kempen 1 Isteri 1 Suami. Wacana perdebatan itu begitu emotif sehingga JAKIM terpaksa masuk campur dan mengeluarkan fatwa mengikut hukum Islam. Apakah polemik dan wacana kali ini akan begitu juga jadinya? Hukum dan peraturan berpoligami di negara ini sudah cukup ketat saya kira, tapi yang perlu dilakukan adalah memastikan perlaksanaannya dijalankan dengan baik dan tidak menginayai sesiapa. Begitu juga dengan fatwa dan peraturan-peraturan baru yang perlu dilaksanakan mengikut undang-undang demi menjaga tidak ada yang menjadi mangsa manipulasi emosi, fizikal, kewangaan atau pun 'mandrem' dan ada yang tidak mendapat hak yang sewajarnya. Pepatah mengatakan 'jangan berumah di tepi pantai kalau takut dilambung ombak'!
Nenek sebelah ibu saya adalah isteri ketiga kepada seorang pedagang kaya dari Bombay (Mumbai sekarang). Beliau tidak mengenali isteri pertama dan kedua suaminya kerana seorang tinggal di Bombay dan seorang lagi wanita bangsawan di Sumatera. Beliau bernasib baik kerana keadaanya begitu, tetapi menerima anak-anak tirinya yang datang ke Malaya ketika itu selepas kematian nenek lelaki saya di Pulau Pinang. Semua harta peninggalan arwah suaminya dibolot oleh anak-anak tirinya kerana beliau dimanipulasi oleh mereka dengan begitu rupa. Juga kerana beliau tidak punya sesiapa tempat bergantung kerana beliau anak tunggal. Pun begitu, beliau reda dengan segala yang didatangkan oleh Allah kepadanya dan sebelum meninggal dunia anak-anak tirinya yang datang menangis meraung-raung meminta ampun kerana mereka cukup terhukum dengan perbuatan mereka kepada nenek saya ketika mereka masih hidup. Seperti yang selalu dikatakan oleh Prince Charming saya, 'Life is not fair sometimes, but God is.' Dalam menjadi ibu yang cukup tua banyak kali saya terasa kerdil kerana belajar dari anak-anak saya.Allahuakbar.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 4:54 PM 0 comments
Friday, August 7, 2009
Konsert Jamal Abdillah
Bersama hampir 1000 orang penonton dan petugas media saya menonton konsert Jamal Abdillah pada malam raptai 5 hb.Ogos lalu. Setelah habis konsert saya duduk dengan beberapa orang wartawan dari Berita Harian Singapura dan Editor Karangkraf yang semuanya menyatakan Jamal Abdillah masih lagi Raja Pop Malaysia yang tidak ada tandingannya. Saya setuju dengan pendapat tersebut cuma saya juga kagum dengan semangat juang Jamal dalam kehidupan peribadinya. Paling penting kejujuran dan keterbukaan Jamal yang cukup berani mengakui kesilapan, bangun dan jatuh dan bangun semula dari lembah paling menyakitkan dalam kehidupan seseorang. Saya tabik dengan keberanian dan kegigihan beliau mengharungi hidup ini dan ia bukan sesuatu yang senang dilakukan oleh sesiapa juga dalam keadaan beliau.
Jamal, you are great! Dan seperti ramai orang yang berjaya dalam hidup mereka, ujian yang didatangkan Allah kepada kita juga selalunya hebat dan mungkin menakutkan orang lain. Tapi percayalah, anda mampu menanganinya. Allah tidak akan menguji seseorang dengan ujian yang dia tidak mampu menghadapinya. InsyaAllah.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 11:13 PM 0 comments