Sejak beberapa minggu kebelakangan akhbar Mingguan Malaysia menyiarkan beberapa artikel tentang pro dan kontra poligami ekoran dari penubuhan Kelab Poligami di Sungai Petani baru-baru ini. Kelab tersebut ditubuhkan dengan tujuan memberi khidmat sokongan kepada mereka serta keluarga mereka yang duduk dalam situasi perkahwinan poligami. Ianya tak ubah seperti NGO yang lain seperti Persatuan Ibu-Bapa Guru atau PIBG dan lain-lain NGO.Saya yakin tujuan penubuhannya sangat jelas dan sesiapa pun tidak perlu menjadi histeria tentang itu sehingga menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan, emosional malah mempunyai konotasi berat ketidak-upayaan kita memahami hukum syariah dan Islam yang sebenar.
Saya percaya Islam membenarkan poligami dilakukan atas banyak sebab dengan hikmahnya yang tersendiri. Tapi ia juga mensyaratkannya dipraktis dengan mengikut hukum Islam yang teliti dan memerlukan rasionalisasi serta 'self-restraint' yang cukup tinggi serta berilmu pengetahuan dalam hal-hal hukum agama yang cukup. Poligami bukan untuk semua orang, tetapi tidak dapat dinafikan ada segelintir daripada kita yang memerlukannya. Pun begitu, ia harus dilaksanakan dengan mengikut hukum Islam yang betul dan tidak boleh mengikut emosi bagi semua pihak yang mahu melaksanakannya. Mengatakan poligami dipraktis oleh lelaki semata-mata kerana nafsu adalah sangat emosi dan tidak betul.
Begitu juga halnya mengatakan mereka yang menjadi isteri kedua atau ketiga dan keempat adalah merendahkan martabat wanita dan ini adalah pernyataan yang tidak adil dan sangat-sangat emosi. Mana lebih merendahkan martabat wanita menjadi isteri kedua yang sah dan halal di sisi hukum agama dan perundangan daripada menjadi perempuan simpanan yang tinggal di kondo mewah atau berkesedudukan tanpa berkahwin, atau melahirkan anak luar nikah atau menjadi pekerja seks yang terdedah kepada 1001 kerumitan hidup dan risiko HIV dll?
Saya kurang pasti poligami merendahkan martabat wanita. Lihat sahaja keluarga Seri Sultan Brunei yang membawa kedua isterinya di semua majlis rasmi termasuk ketika baginda melawat ke luar negeri. Apakah Pangeran Isteri Azrinaz Mazhar Hakim kelihatan seperti seorang wanita yang rendah martabatnya? Apakah Pangeran Isteri Soleha juga nampak seperti seorang isteri yang rendah martabatnya? Poligami memerlukan kematangan berfikir, bertindak dan berkelakuan yang amat tinggi dan tidak mengikut emosi. Paling penting, ia memerlukan keyakinan, kepercayaan akidah serta mengikut hukum agama Islam yang betul dan setiap individu perlu sentiasa memuhasabah dan melakukan koreksi diri sendiri. Paling penting ia memerlukan setiap individu yang terlibat di dalamnya akur, reda dan pasrah dengan setiap yang didatangkan oleh Allah Taala kepada kita. Martabat seorang wanita sebagai isteri tunggal belum tentu berada di tempat yag tinggi kalau di belakangnya suaminya menyimpan perempuan lain, atau berkahwin di luar negeri secara senyap-senyap dll. Tepuk dada tanya selera!
Sedikit waktu dulu, polemik yang sama telah terjadi ketika Sisters in Islam dengan sokongan kuat beberapa tokoh Wanita UMNO yang melancarkan kempen 1 Isteri 1 Suami. Wacana perdebatan itu begitu emotif sehingga JAKIM terpaksa masuk campur dan mengeluarkan fatwa mengikut hukum Islam. Apakah polemik dan wacana kali ini akan begitu juga jadinya? Hukum dan peraturan berpoligami di negara ini sudah cukup ketat saya kira, tapi yang perlu dilakukan adalah memastikan perlaksanaannya dijalankan dengan baik dan tidak menginayai sesiapa. Begitu juga dengan fatwa dan peraturan-peraturan baru yang perlu dilaksanakan mengikut undang-undang demi menjaga tidak ada yang menjadi mangsa manipulasi emosi, fizikal, kewangaan atau pun 'mandrem' dan ada yang tidak mendapat hak yang sewajarnya. Pepatah mengatakan 'jangan berumah di tepi pantai kalau takut dilambung ombak'!
Nenek sebelah ibu saya adalah isteri ketiga kepada seorang pedagang kaya dari Bombay (Mumbai sekarang). Beliau tidak mengenali isteri pertama dan kedua suaminya kerana seorang tinggal di Bombay dan seorang lagi wanita bangsawan di Sumatera. Beliau bernasib baik kerana keadaanya begitu, tetapi menerima anak-anak tirinya yang datang ke Malaya ketika itu selepas kematian nenek lelaki saya di Pulau Pinang. Semua harta peninggalan arwah suaminya dibolot oleh anak-anak tirinya kerana beliau dimanipulasi oleh mereka dengan begitu rupa. Juga kerana beliau tidak punya sesiapa tempat bergantung kerana beliau anak tunggal. Pun begitu, beliau reda dengan segala yang didatangkan oleh Allah kepadanya dan sebelum meninggal dunia anak-anak tirinya yang datang menangis meraung-raung meminta ampun kerana mereka cukup terhukum dengan perbuatan mereka kepada nenek saya ketika mereka masih hidup. Seperti yang selalu dikatakan oleh Prince Charming saya, 'Life is not fair sometimes, but God is.' Dalam menjadi ibu yang cukup tua banyak kali saya terasa kerdil kerana belajar dari anak-anak saya.Allahuakbar.
Sunday, August 16, 2009
POLEMIK POLIGAMI
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 4:54 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment