Friday, February 27, 2009

Wednesday, February 25, 2009

Antara Feudalistik dan Hadiah Penyapu

Dalam interviu dengan sebuah akhbar tempatan dengan calon Ketua Pemuda UMNO mantan Menteri Besar Selangor Dato Seri Khir Toyo baru-baru ini, beliau mengatakan UMNO masih feudalistik sifatnya dan beliau mahu mengubah situasi ini jika menang dalam pemilihan Mach nanti. Saya pening juga memikirkan apa maksud perkataan 'feudalistik' yang diucapkan oleh beliau. Apakah konsep serta pengertian feudalistik yang beliau fahami? Kerana pada pemahaman saya konsep feudalistik itu ada kaitan kuat dengan institusi monarki, istana, 'war-lordism" perhambaan dan juga konsep yang dipraktis dalam masyarakat zaman dahulu sebelum merdeka malah sebelum penjajahan juga. Soalnya apakah semua ciri ini ada dan masih wujud dalam UMNO pada hari ini?
Tidak dapat nafikan, kita telah melalui suatu evolusi perubahan sosial yang panjang dan mengambil masa yang lama dan banyak institusi sosial kita yang telah berubah. Sesuai dengan perubahan yang bersifat evolutionary masyarakat Melayu masih kuat berpegang kepada tradisi dan adat resam dan ini amat jelas dalam kebanyakan institusi sosial orang Melayu termasuk UMNO. Pun begitu, saya tidak yakin segala ciri masyarakat feudal yang ada dalam masyarakat Melayu lama masih kekal dan dipraktis seperti yang dikatakan masih terdapat dalam UMNO pada hari ini dalam erti kata yang sebenarnya.

Satu soalan yang timbul pada fikiran saya ialah apakah konsep Dato Seri Khir sendiri tentang rupa-bentuk perlakuan budaya orang Melayu UMNO yang patut dipegang sekarang? Apakah kita perlu membuang segala perlakuan yang mengangkat tinggi adat resam, perasaan hormat-menghormati, kesetiaan dll dan menggantikannya dengan perlakuan 'baru dan moden' seperti memberi hadiah penyapu sebagai sesuatu yang lebih wajar demi menolak dilabel sebagai konservatif dan tidak feudalistik? Atau menyogok wang untuk membeli undi kemudian disyaratkan mengangkat sumpah dan tidak boleh mengundi orang lain? Saya tidak fikir ini yang diperlukan dalam UMNO terutama sekali di kalangan pemimpinnya!

Mungkin semangat berpuak-puak dan 'war-lordism' masih sangat kuat dalam UMNO. Tapi saya yakin dalam semua parti politik di Malaysia (yang bukan berasaskan Melayu) pun situasi ini wujud. Malah di seluruh dunia pun konsep kesetiaan dan pemimpin adalah begitu simbiotik dan berlaku di mana-mana juga. Ahli psikologi Perancis Simone Le Bon pernah menulis dan mengatakan hubungan pemimpin dan orang yang dipimpin itu mempunyai ciri-ciri 'libidinuos' yang membawa konotasi seperti hubungan yang berasaskan seksualiti antara lelaki dan perempuan yang saling memerlukan. Dan perkara ini juga berlaku antara pemimpin dan yang dipimpin sehingga ada yang sanggup berkorban apa saja demi mempertahankan pemimpin mereka dan ianya dilakukan atas apa juga nama seperti prinsip, kepercayaan, kepentingan bersama, material dll.

Dato Seri Khir mempunyai latar-belakang pendidikan doktor gigi mungkin beliau tidak begitu arif tentang segala konsep yang berkaitan dengan institusi sosial tetapi beliau perlu lebih berhati-hati dalam mengungkap kata kerana ditakuti ada orang yang akan menginterpetasi dan menganalisis sedalam-dalamnya tentang pemikiran beliau dengan perlakuan memberi hadiah penyapu yang mungkin mencerminkan perkara yang akan merugikan beliau sendiri
! Selamat Bertanding.






se

Monday, February 23, 2009

Penghormatan kepada Pak Lah

Saya amat bersetuju dengan cadangan Dato Mukriz calon Ketua Pemuda yang nampaknya amat yakin akan menang dalam pemilihan bulan Mach ini bahawa penghormatan yang sewajarnya harus diberikan kepada Pak Lah bila beliau meletakkan jawatan nanti. Di Parlimen pun perkara ini dibangkitkan. Soalnya penghormatan bagaimana yang harus diberikan kepada Pak Lah yang akan menjadi Mantan PM 2 (?) tidak lama lagi?
Paling banyak kedengaran ialah cadangan melantik beliau sebagai Menteri Kanan ala portfolio yang dipegang oleh Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong di Singapura. Ini suatu cadangan yang baik, praktikal dan amat berhemah. Apalagi bila memikirkan Pak Lah masih menjadi Ketua Bahagian UMNO dan Ahli Parlimen Kepala Batas dan mungkin tiga tahun lagi sebelum pilihan-raya yang akan datang baharulah beliau akan betul-betul mengundurkan diri dari Politik. 3 tahun adalah suatu tempoh yang lama dan saya tak boleh menggambarkan Pak Lah masih ke parlimen setiap kali persidangan sebagai Ahli Parlimen biasa. Suatu situasi yang pastinya janggal sejanggal-janggalnya!

Alternatifnya ialah melantik beliau sebagai Penasihat Kerajaan. Ini juga cadangan yang baik apalagi bila Datuk Seri Najib telah pun mengistiharkan akan meneruskan dasar-dasar yang telah diperkenalkan oleh Pak Lah termasuk Islam Hadhari. Pastinya jika Pak Lah menjadi Penasihat Kerajaan, beliau masih terus memberikan sumbangan kepada negara setiap kali diperlukan. Hubungan baik, akrab serta kepercayaan antara TPM dan Pak Lah perlu diteruskan dan sekiranya ada perubahan dasar yang perlu dilakukan segalanya boleh dirunding dan dilaksanakan dengan mudah. Sesiapa pun tidak perlu menulis dalam blog atau beri kenyataan media di seluruh dunia bahawa dia tidak berpuas hati kerana janji dan dasar itu dan ini telah tidak dilaksanakan selepas tidak menjadi PM lagi. Saya yakin Datuk Seri Najib dan semua orang dalam BN amat menghargai pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh Pak Lah dan pasti beliau akan menerima dan amat berbesar hati jika dilantik sebagai Penasihat Kerajaan.

Seperkara lagi yang perlu difikirkan ialah tentang jawatan Pengerusi Yayasan Kepimpinan Perdana yang sekarang ini dipegang oleh Tun Mahathir. Banyak orang yang saya temui menanyakan kenapa Tun Mahathir masih memegang jawatan ini walau pun beliau telah keluar dari UMNO? Sebenarnya saya tak tahu macam mana nak jawab soalan ini jadi bila Pak Lah sudah meletakkan jawatan sebagai PM nanti mungkin kita perlu mencari mekanisme yang tertentu supaya masalah ini dapat diselesaikan.

Pun begitu saya cukup terkilan dengan kenyataan Dato Mukriz bahawa ayahandanya telah diperlakukan dengan begitu buruk sekali selepas meletak jawatan dan ini salah satu daripada punca BN kalah di Kedah dalam PRU 12. Walau pun calon UMNO yang kalah di Kedah hanyalah beberapa orang sahaja begitu juga di negeri lain, kenyataan Dato Mukriz sedikit tidak kena pada tempatnya pada pandangan saya. UMNO mungkin perlukan perubahan drastik tetapi yang ditolak ialah undi kepada parti-parti komponen BN lain dan bukan kepada UMNO.

Tentang Mantan PM diperlakukan dengan buruk sekali ialah suatu perkara yang perlu dilihat dengan lebih objektif. Dato Mukriz adalah anak kepada Tun Mahathir pastinya sensitiviti dan sentimen beliau boleh difahami apabila Tun Mahathir tidak berpuas hati dengan beberapa perkara yang menjadi punca 'masalah komunikasi' antara beliau dengan Pak Lah. Tapi bagaimana kalau beliau menjadi anak Pak Lah dan Tun Mahathir mengkritik bapanya sebagai pilihan yang salah dll seperti yang telah dilemparkan kepada PM? (Tun Mahathir juga pernah berkata Anwar juga adalah pilihan yang salah dan Datuk Seri Najib juga bukannya pilihan yang baik sebagai bakal PM walau pun di waktu lain beliau berkata macam lain pula). Lagi lama saya lagi pening bila memikirkan banyak juga pilihan dan kesilapan yang dibuat oleh Tun Mahathir sepanjang 22 tahun menjadi PM dan ini diakuinya sendiri! Dalam Berita Minggu baru-baru ini Dato Mukriz mengatakan "saya amat bangga dengan apa yang dilakukan ayah dan kepimpinannya seperti itu yang saya mahu kembalikan kepada UMNO dan ini haruslah bermula dengan Pemuda". Dato Mukriz perlu lebih objektif dan melihat pencapaian dan kelemahan serta kesilapan ayahandanya sekaligus sekiranya beliau menang nanti!

Seperti kata Dato ZAM Mantan Menteri Penerangan dalam bukunya Surat Daripada Dr. Mahathir " Pada pandangan saya faktor kekalahan besar Barisan Nasional dalam pilihan raya ke 12 lebih banyak sumbangan Dr.Mahathir sendiri...."" Dr.Mahathir tidak boleh membasuh tangannya dalam kekalahan besar Barisan Nasional dalam pilihan raya itu, malah beliau sendiri mengakuinya dalam satu majlis di sebuah hotel di Petaling Jaya....." Seperti Tun Mahathir mengakui kesilapannya tentang PPSMI dll saya amat bersetuju dengan pandangan Dt.Zam ini dan mengatakan kepimpinan Pak Lah semata-mata sebagai lemah dan menyebabkan kekalahan BN di lima negeri adalah tidak wajar sama sekali.Sesungguhnya semakin lama seseorang berkuasa pencapaian dan kesilapannya mungkin sama banyak akhirnya!

Friday, February 13, 2009

Tentang PPSMI

Hari ini sehingga esok , orang-orang GAPENA akan berkampung untuk majlis yang dinamakan Ratip Ratap Anak Bangsa. Berbagai aktiviti yang dimulai dengan sembahyang hajat, tahlil dan membaca Yassin untuk memohon petunjuk taufik dan hidayat dan diakhiri kemelut tentang PPSMI ini dengan suatu penyelesaian yang positif dan tidak merugikan agama, bangsa dan negara yang dicintai ini hari ini, 20 tahun lagi, 50 tahun lagi mahupun beberapa ratus tahun yang akan datang. Pada majlis wacana intelektual bulan Disember tahun lalu, Mantan PM Tun Mahathir telah mengakui bahawa PPSMI yang telah dibuat ketika beliau menjadi PM adalah suatu kesilapan. Pun begitu, beliau telah meminta supaya dasar tersebut tidak diubah kembali dan dibiarkan berterusan. Saya amat simpati dan tersentuh dengan kejujuran Tun mengakui kesilapannya tentang PPSMI. Tetapi saya juga beranggapan bahawa meneruskannya juga adalah suatu kesilapan. Takut nanti seperti penarikan imuniti Raja-Raja, PPSMI tidak lebih daripada tindakan jangka pendek untuk menangani masalah tertentu yang akhirnya merugikan orang Melayu dan stabiliti serta perpaduan rakyat negara ini dalam jangka panjangnya. Kalau sesat dihujung jalan, baliklah ke pangkal jalan dan lakukanlah yang betulnya. Manusia menjadi lebih mulia jika mengakui segala kesilapan yang dilakukan dan memperbetulkannya dan tidak terus menerus melakukan kesilapan!

Tentang Imuniti Raja-Raja

Dalam sebuah akhbar hari ini, Sdr.Lim Guan Eng menyalahkan Tun Mahathir kerana krisis perlembagaan semasa beliau menjadi Perdana Menteri dulu telah antara lainnya meminda dan menarik balik imuniti kepada Raja-Raja Melayu . Sememangnya itulah yang terjadi. Mungkin ketika itu, isu salahlaku beberapa orang kerabat Di Raja mendominasi senario dan hasilnya perlembagaan dipinda dan hari ini Karpal Singh boleh menyaman DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Tidak ada apa yang dapat dilakukan lagi, kerana perkara ini telah berlaku walau pun sejak dari dahulu saya berfikiran bahawa situasinya tidak lebih dari seperti peribahasa Melayu marahkan nyamuk kelambu dibakar! Dan hari ini kita menerima akibat dari segala kekalutan, keghairahan dan ketidak-seimbangan pemikiran ketika itu. Suatu lagi kesilapan Tun Mahathir sewaktu menjadi PM? Saya sering mahu melihat banyak perkara positif yang telah dilakukan oleh mantan PM kita, tetapi tidak melihat dan menganalisis kesilapan-kesilapan beliau juga adalah tidak adil dan tidak wajar.

Pun begitu, ini tidak bermakna apa yang mahu dilakukan oleh
Karpal Singh adalah perkara yang betul kerana Sultan Perak telah bertindak mengikut peruntukan perlembagaan negeri Perak. Sebagai seorang bekas Ketua Hakim pasti baginda telah mengambil keputusan yang paling bijak untuk situasi di Perak yang dimulakan oleh Pakatan Rakyat sendiri. Tindakan Karpal Singh hanya akan menaikkan kemarahan lebih ramai orang Melayu. Karpal Singh mungkin tidak memahami psiki dan pemikiran orang Melayu seperti yang terpancar dalam kontrak sosial dalam waadat antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana tapi saya yakin pemimpin Melayu dalam Pakatan Rakyat memahami, menerima serta menghormati institusi Di Raja Melayu di negara ini dan pasti mereka tidak mahu bermain api!

Sunday, February 8, 2009

Waadat antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana

"Seperkara lagi. perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu itu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan janganlah ia difadihatkan. dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh,tuanku; jangan tuanku aibi".

Maka titah Seri Teri Buana, "Kabullah hamba akan janji paman itu: tetapi hamba pun hendak minta janji juga pada paman."

Maka sembah Demang Lebar Daun," Janji yang mana itu, patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia."

Maka titah Seri Teri Buana, "Hendaklah oleh segala anak cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya,jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga."

Maka sembah Demang Lebar Daun,"Baiklah tuanku, tetapi jikalau anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuanku."

Maka titah Seri Teri Buana " Baiklah paman, kabullah hamba akan waad itu.".........

(Petikan dari buku Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin.)

SEMOGA PETIKAN INI SENTIASA DEKAT DENGAN JIWA DAN MINDA SEMUA ORANG MELAYU DAN MEREKA YANG MENDIAMI TANAH ORANG MELAYU.

Tuesday, February 3, 2009

UMNO dan Pemilihan Mac 2009.

Telalu banyak orang berkata dan menulis tentang pemilihan UMNO Mac ini. Paling ketara juga adalah cerita-cerita politik wang, siasatan dalaman Lembaga Disiplin dan berbagai cadangan yang dilontarkan untuk mengatasainya. Dari cadangan yang selalu didengar hinggalah kepada cadangan paling drastik membubarkan berbagai sayap UMNO. Soalnya adakah politik wang berlaku dalam Puteri, Putera, Wanita dan Pemuda dan bukan dalam UMNO induk? Apa rasionalisasinya entahlah sehingga Tengku Ahmad Rithauddin membuat cadangan begitu?

Apa pun, semua orang menyedari bahawa UMNO perlukan perubahan drastik dan dengan segera. UMNO perlu realistik dan berpijak dibumi nyata dan keluar dari zon eksklusifnya. Mungkin satu cadangan yang baik perlembagaannya dipinda dan pemilihan Timbalan Presiden, Naib Presiden MT harus diserahkan kepada semua 3 juta orang ahlinya dan bukan 2500 orang perwakilan pada bulan Mac nanti. Telah banyak kali cadangan ini dikemukakan, kenapa tidak diberi peluang untuk dilaksanakan dan dilihat bagaimana jadinya nanti? Selagi belum dicuba, kita tidak boleh mengandaikan yang ianya tidak baik dan tidak praktikal. Paling penting, besar kemungkinan ini akan mengurangkan kalau pun tidak menghapuskan sama sekali politik wang dalam UMNO. Macam cerita tak kenal maka tak cinta, situasi ini pun sama juga. Tak cuba tak tahu!!

Realpolitik dalam Pakatan Rakyat?

Sejak beberapa bulan yang lalu banyak kali sangat berlaku tadika dan tabika KEMAS ditutup dan dikunci di beberapa negeri yang dikuasai oleh PR. Apa sudah jadi? Untuk suatu waktu yang lama Pembangkang selalu menuduh kerajaan BN mengamalkan penyalah-gunaan kuasa dan Jabatan Kerajaan untuk kegunaan parti. Pembangkang selalu berkata ini tidak seharusnya berlaku kerana apa juga prasarana yang dibangunkan oleh kerajaan yang memerintah adalah menggunakan duit rakyat dan semua orang berhak ke atasnya bukan parti pemerintah sahaja.Tapi sekarang ternyata Kerajaan PR juga melakukan perkara yang sama dengan mengunci kelas-kelas tadika kepada semua kanak-kanak. Tidakkah ini penyalahgunaaan -kuasa? Tidakkah ini menyalah-gunakan prasarana yang dibina dengan duit rakyat untuk kepentingan politik? Bukankah ini tidak adil namanya? Sehingga ke hari ini, semakin banyak perkara yang dilakukan oleh PR yang tidak menunjukkan kredibiliti mereka sebagai alternatif yang lebih baik kepada kerajaan BN. Cakap memang senang, tetapi bila sudah mendapat tempat, dari sehari ke sehari, PR juga menyalah-gunakan kuasa, membazir, double standard
dan mempamerkan mereka semakin menyimpang dari praktis-praktis masyarakat civil!