Wednesday, February 25, 2009

Antara Feudalistik dan Hadiah Penyapu

Dalam interviu dengan sebuah akhbar tempatan dengan calon Ketua Pemuda UMNO mantan Menteri Besar Selangor Dato Seri Khir Toyo baru-baru ini, beliau mengatakan UMNO masih feudalistik sifatnya dan beliau mahu mengubah situasi ini jika menang dalam pemilihan Mach nanti. Saya pening juga memikirkan apa maksud perkataan 'feudalistik' yang diucapkan oleh beliau. Apakah konsep serta pengertian feudalistik yang beliau fahami? Kerana pada pemahaman saya konsep feudalistik itu ada kaitan kuat dengan institusi monarki, istana, 'war-lordism" perhambaan dan juga konsep yang dipraktis dalam masyarakat zaman dahulu sebelum merdeka malah sebelum penjajahan juga. Soalnya apakah semua ciri ini ada dan masih wujud dalam UMNO pada hari ini?
Tidak dapat nafikan, kita telah melalui suatu evolusi perubahan sosial yang panjang dan mengambil masa yang lama dan banyak institusi sosial kita yang telah berubah. Sesuai dengan perubahan yang bersifat evolutionary masyarakat Melayu masih kuat berpegang kepada tradisi dan adat resam dan ini amat jelas dalam kebanyakan institusi sosial orang Melayu termasuk UMNO. Pun begitu, saya tidak yakin segala ciri masyarakat feudal yang ada dalam masyarakat Melayu lama masih kekal dan dipraktis seperti yang dikatakan masih terdapat dalam UMNO pada hari ini dalam erti kata yang sebenarnya.

Satu soalan yang timbul pada fikiran saya ialah apakah konsep Dato Seri Khir sendiri tentang rupa-bentuk perlakuan budaya orang Melayu UMNO yang patut dipegang sekarang? Apakah kita perlu membuang segala perlakuan yang mengangkat tinggi adat resam, perasaan hormat-menghormati, kesetiaan dll dan menggantikannya dengan perlakuan 'baru dan moden' seperti memberi hadiah penyapu sebagai sesuatu yang lebih wajar demi menolak dilabel sebagai konservatif dan tidak feudalistik? Atau menyogok wang untuk membeli undi kemudian disyaratkan mengangkat sumpah dan tidak boleh mengundi orang lain? Saya tidak fikir ini yang diperlukan dalam UMNO terutama sekali di kalangan pemimpinnya!

Mungkin semangat berpuak-puak dan 'war-lordism' masih sangat kuat dalam UMNO. Tapi saya yakin dalam semua parti politik di Malaysia (yang bukan berasaskan Melayu) pun situasi ini wujud. Malah di seluruh dunia pun konsep kesetiaan dan pemimpin adalah begitu simbiotik dan berlaku di mana-mana juga. Ahli psikologi Perancis Simone Le Bon pernah menulis dan mengatakan hubungan pemimpin dan orang yang dipimpin itu mempunyai ciri-ciri 'libidinuos' yang membawa konotasi seperti hubungan yang berasaskan seksualiti antara lelaki dan perempuan yang saling memerlukan. Dan perkara ini juga berlaku antara pemimpin dan yang dipimpin sehingga ada yang sanggup berkorban apa saja demi mempertahankan pemimpin mereka dan ianya dilakukan atas apa juga nama seperti prinsip, kepercayaan, kepentingan bersama, material dll.

Dato Seri Khir mempunyai latar-belakang pendidikan doktor gigi mungkin beliau tidak begitu arif tentang segala konsep yang berkaitan dengan institusi sosial tetapi beliau perlu lebih berhati-hati dalam mengungkap kata kerana ditakuti ada orang yang akan menginterpetasi dan menganalisis sedalam-dalamnya tentang pemikiran beliau dengan perlakuan memberi hadiah penyapu yang mungkin mencerminkan perkara yang akan merugikan beliau sendiri
! Selamat Bertanding.






se

0 comments: