Saya amat bersetuju dengan cadangan Dato Mukriz calon Ketua Pemuda yang nampaknya amat yakin akan menang dalam pemilihan bulan Mach ini bahawa penghormatan yang sewajarnya harus diberikan kepada Pak Lah bila beliau meletakkan jawatan nanti. Di Parlimen pun perkara ini dibangkitkan. Soalnya penghormatan bagaimana yang harus diberikan kepada Pak Lah yang akan menjadi Mantan PM 2 (?) tidak lama lagi?
Paling banyak kedengaran ialah cadangan melantik beliau sebagai Menteri Kanan ala portfolio yang dipegang oleh Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong di Singapura. Ini suatu cadangan yang baik, praktikal dan amat berhemah. Apalagi bila memikirkan Pak Lah masih menjadi Ketua Bahagian UMNO dan Ahli Parlimen Kepala Batas dan mungkin tiga tahun lagi sebelum pilihan-raya yang akan datang baharulah beliau akan betul-betul mengundurkan diri dari Politik. 3 tahun adalah suatu tempoh yang lama dan saya tak boleh menggambarkan Pak Lah masih ke parlimen setiap kali persidangan sebagai Ahli Parlimen biasa. Suatu situasi yang pastinya janggal sejanggal-janggalnya!
Alternatifnya ialah melantik beliau sebagai Penasihat Kerajaan. Ini juga cadangan yang baik apalagi bila Datuk Seri Najib telah pun mengistiharkan akan meneruskan dasar-dasar yang telah diperkenalkan oleh Pak Lah termasuk Islam Hadhari. Pastinya jika Pak Lah menjadi Penasihat Kerajaan, beliau masih terus memberikan sumbangan kepada negara setiap kali diperlukan. Hubungan baik, akrab serta kepercayaan antara TPM dan Pak Lah perlu diteruskan dan sekiranya ada perubahan dasar yang perlu dilakukan segalanya boleh dirunding dan dilaksanakan dengan mudah. Sesiapa pun tidak perlu menulis dalam blog atau beri kenyataan media di seluruh dunia bahawa dia tidak berpuas hati kerana janji dan dasar itu dan ini telah tidak dilaksanakan selepas tidak menjadi PM lagi. Saya yakin Datuk Seri Najib dan semua orang dalam BN amat menghargai pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh Pak Lah dan pasti beliau akan menerima dan amat berbesar hati jika dilantik sebagai Penasihat Kerajaan.
Seperkara lagi yang perlu difikirkan ialah tentang jawatan Pengerusi Yayasan Kepimpinan Perdana yang sekarang ini dipegang oleh Tun Mahathir. Banyak orang yang saya temui menanyakan kenapa Tun Mahathir masih memegang jawatan ini walau pun beliau telah keluar dari UMNO? Sebenarnya saya tak tahu macam mana nak jawab soalan ini jadi bila Pak Lah sudah meletakkan jawatan sebagai PM nanti mungkin kita perlu mencari mekanisme yang tertentu supaya masalah ini dapat diselesaikan.
Pun begitu saya cukup terkilan dengan kenyataan Dato Mukriz bahawa ayahandanya telah diperlakukan dengan begitu buruk sekali selepas meletak jawatan dan ini salah satu daripada punca BN kalah di Kedah dalam PRU 12. Walau pun calon UMNO yang kalah di Kedah hanyalah beberapa orang sahaja begitu juga di negeri lain, kenyataan Dato Mukriz sedikit tidak kena pada tempatnya pada pandangan saya. UMNO mungkin perlukan perubahan drastik tetapi yang ditolak ialah undi kepada parti-parti komponen BN lain dan bukan kepada UMNO.
Tentang Mantan PM diperlakukan dengan buruk sekali ialah suatu perkara yang perlu dilihat dengan lebih objektif. Dato Mukriz adalah anak kepada Tun Mahathir pastinya sensitiviti dan sentimen beliau boleh difahami apabila Tun Mahathir tidak berpuas hati dengan beberapa perkara yang menjadi punca 'masalah komunikasi' antara beliau dengan Pak Lah. Tapi bagaimana kalau beliau menjadi anak Pak Lah dan Tun Mahathir mengkritik bapanya sebagai pilihan yang salah dll seperti yang telah dilemparkan kepada PM? (Tun Mahathir juga pernah berkata Anwar juga adalah pilihan yang salah dan Datuk Seri Najib juga bukannya pilihan yang baik sebagai bakal PM walau pun di waktu lain beliau berkata macam lain pula). Lagi lama saya lagi pening bila memikirkan banyak juga pilihan dan kesilapan yang dibuat oleh Tun Mahathir sepanjang 22 tahun menjadi PM dan ini diakuinya sendiri! Dalam Berita Minggu baru-baru ini Dato Mukriz mengatakan "saya amat bangga dengan apa yang dilakukan ayah dan kepimpinannya seperti itu yang saya mahu kembalikan kepada UMNO dan ini haruslah bermula dengan Pemuda". Dato Mukriz perlu lebih objektif dan melihat pencapaian dan kelemahan serta kesilapan ayahandanya sekaligus sekiranya beliau menang nanti!
Seperti kata Dato ZAM Mantan Menteri Penerangan dalam bukunya Surat Daripada Dr. Mahathir " Pada pandangan saya faktor kekalahan besar Barisan Nasional dalam pilihan raya ke 12 lebih banyak sumbangan Dr.Mahathir sendiri...."" Dr.Mahathir tidak boleh membasuh tangannya dalam kekalahan besar Barisan Nasional dalam pilihan raya itu, malah beliau sendiri mengakuinya dalam satu majlis di sebuah hotel di Petaling Jaya....." Seperti Tun Mahathir mengakui kesilapannya tentang PPSMI dll saya amat bersetuju dengan pandangan Dt.Zam ini dan mengatakan kepimpinan Pak Lah semata-mata sebagai lemah dan menyebabkan kekalahan BN di lima negeri adalah tidak wajar sama sekali.Sesungguhnya semakin lama seseorang berkuasa pencapaian dan kesilapannya mungkin sama banyak akhirnya!
Monday, February 23, 2009
Penghormatan kepada Pak Lah
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:12 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Salam ziarah...
Saya amat tertarik dengan artikel ini... Sangat menarik...
Mungkin Mukhriz terlalu baru dalam Umno.Dulu Tun pernah melarang Mukhriz menceburi diri didalam dunia politik ini...
Bagi saya Mukhriz perlu tahu hak dan kuasa perwakilan. Jika kita imbas kembali dari sejarah Umno(bn), sudah ramai calon-calon yang mendapat pencalonan tertinggi, kalah ketika undian dijalankan.
Saya juga berharap jawatan sebagai Penasihat Kerajaan akan di berikan kepada Pak Lah...
Salam Perjuangan
BJ
Salam perjuangan kepada Bro Jinggo,
Terima kasih atas komen saudara dan saya setuju dengan pandangan yang telah diberikan.
SRH.
Post a Comment