Friday, February 13, 2009

Tentang Imuniti Raja-Raja

Dalam sebuah akhbar hari ini, Sdr.Lim Guan Eng menyalahkan Tun Mahathir kerana krisis perlembagaan semasa beliau menjadi Perdana Menteri dulu telah antara lainnya meminda dan menarik balik imuniti kepada Raja-Raja Melayu . Sememangnya itulah yang terjadi. Mungkin ketika itu, isu salahlaku beberapa orang kerabat Di Raja mendominasi senario dan hasilnya perlembagaan dipinda dan hari ini Karpal Singh boleh menyaman DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Tidak ada apa yang dapat dilakukan lagi, kerana perkara ini telah berlaku walau pun sejak dari dahulu saya berfikiran bahawa situasinya tidak lebih dari seperti peribahasa Melayu marahkan nyamuk kelambu dibakar! Dan hari ini kita menerima akibat dari segala kekalutan, keghairahan dan ketidak-seimbangan pemikiran ketika itu. Suatu lagi kesilapan Tun Mahathir sewaktu menjadi PM? Saya sering mahu melihat banyak perkara positif yang telah dilakukan oleh mantan PM kita, tetapi tidak melihat dan menganalisis kesilapan-kesilapan beliau juga adalah tidak adil dan tidak wajar.

Pun begitu, ini tidak bermakna apa yang mahu dilakukan oleh
Karpal Singh adalah perkara yang betul kerana Sultan Perak telah bertindak mengikut peruntukan perlembagaan negeri Perak. Sebagai seorang bekas Ketua Hakim pasti baginda telah mengambil keputusan yang paling bijak untuk situasi di Perak yang dimulakan oleh Pakatan Rakyat sendiri. Tindakan Karpal Singh hanya akan menaikkan kemarahan lebih ramai orang Melayu. Karpal Singh mungkin tidak memahami psiki dan pemikiran orang Melayu seperti yang terpancar dalam kontrak sosial dalam waadat antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana tapi saya yakin pemimpin Melayu dalam Pakatan Rakyat memahami, menerima serta menghormati institusi Di Raja Melayu di negara ini dan pasti mereka tidak mahu bermain api!

0 comments: