VIKINGDOM: PANDANGAN DUNIA MELAYU ABAD 21?
OLEH: SITI RUQAIYAH
HASHIM.
Melalui semua filemnya yang terdahulu, penulis melihat Yusry
Abd.Halim sebagai masih mencari arahnya sendiri. Dari Cicakman, Merong Maha
Wangsa dan yang terakhir Vikingdom, ternyata Yusry sebagai seorang pengkarya
belum punya kekuatan dan kemantapan jati diri yang dapat mempamer jiwa dan roh manu sia Melayu dalam abad ke 21 ini. Bukan salah beliau
memilih untuk berkarya begitu, tetapi
persekitaran intektual,emosi dan spiritual beliau yang global dan glokal pada masa yang
sama yang membentuk acuan pemikirannya . Bukan juga suatu kesalahan kepada
pengkarya Melayu mana pun membuat filem seperti Vikingdom, tetapi ia cukup
menarik. Karya begini mungkin akan terakam dalam kapsul sejarah perfileman
negara ini sebagai suatu elemen pandangan dunia Melayu abad ke 21?
Dengan kos sebanyak
RM20 juta yang menjadikan filem ini
termahal pembikinannya di Malaysia (dengan RM 2 juta daripada kerajaan),
penulis sedikit terkilan kerana mengapa mesti memilih mitos Dewa Thor dari
budaya dan peradaban Scandinavia dan tidak berkarya mengenai sesuatu yang lebih
dekat dengan kita? Atau kisah Dewa Thor sememangnya lebih dekat dengan Yusry
daripada Panglima Awang misalnya? Pujian harus diberikan untuk aspek
penyelidikan teliti yang terpamer melalui autentiknya segala prop dan set yang
telah digunakan dalam filem ini.
Kisah Pelayaran Panglima
Awang atau Enrique yang berjaya mengelilingi dunia dengan Ferdinand Magellan adalah suatu kisah hebat
dan indah sekali untuk ditonjolkan di persada filem antarabangsa. Enrique adalah nama yang diberi oleh Magellan ketika Panglima Awang dibawa bersamanya sebagai
hamba dalam kapalnya untuk belayar dari Melaka
ke Filipina. Siapa pun namanya yang pastinya watak ini cukup Melayu
dengan kepakaran ilmu pelayaran yang diwarisi dari tradisi ilmu pelayar Arab
dan India Islam yang datang ke Melaka.Magellan
terbunuh dalam satu pergaduhan di
Surinam dan Panglima Awang yang terselamat meneruskan pelayaran mengelilingi dunia.
Penulis membayangkan dengan kehebatan imej janaan komputer
(CGI) yang hebat, filem ini pasti akan menjadi bualan komuniti filem dunia dengan satu watak Melayu di
tengah komuniti pelayar besar dan
tersohor seperti Ferdinan Magellan dengan kekuatan Spanish armada nya. Suatu
kisah hebat tentang seorang anak Melayu yang tidak diketahui ramai dan penonjolannya
pasti punya impak yang besar. Cerita Panglima Awang bukan mitos untuk
mengagungkan peradaban Melayu, tetapi
sebuah kisah benar dan legenda sejarah yang cuba ditenggelamkan bersama
terbakarnya kapal Flor de La Mar yang karam di Selat Melaka bersama beribu-ribu
artifak dan khazanah Istana Melaka selepas jatuh ke tangan Portugis.
Mungkin Yusry cuba membuat kejutan dengan menghasilkan
sesuatu untuk menembusi pasaran antarabangsa. Suatu cubaan yang cukup ‘adventourous’ berani
serta bercita-cita tinggi. Tidak ada salahnya jika begitu, tetapi roh atau jiwa sesuatu karya memerlukan
kedalaman intelektual, emosi dan spiritual sang pengkarya yang hanya boleh
lahir bila ia datang dari peradaban yang dekat dengan subjek yang menjadi fokusnya. Jika
tidak yang lahir dan terpamer hanyalah
kehebatan visual dan segala aspek teknikal. Suatu sesi ‘menjamu mata’ yang
menghiburkan. Dan filem bukan kehebatan CGI, kesan khas dan skor muzik sahaja.
Paling penting dan perlu adalah kemantapan skrip dari kekuatan pemikiran di
belakangnya.
Pun begitu,sebagai sebuah filem ‘blockbuster’dari
Malaysia untuk dunia, filem ini tidaklah
mengecewakan kerana pemameran CGI serta kesan khasnya yang amat boleh dibanggakan dan cukup baik
daripada penghasilan KRU Studios selama ini. Kemantapan CGI dan kesan khas
filem The Life of Pi arahan Ang Lee yang menggunakan
tenaga kreatif dari studio kecil di
Malaysia dan menyebabkan pengarah ini mengucapkan ‘Terima Kasih Kuala Lumpur!’
ketika menerima Anugerah Akademi untuknya pasti telah membuka mata seluruh
dunia tentang kreativiti kehebatan visual dan teknikal kita dalam CGI. Penulis
yakin, kemantapan CGI dan kesan khas visual Vikingdom akan memberi pengesahan
dan endorsemen antarabangsa kepada aspek perfileman ini. Di sebalik kemuflisan
patriotisme dan jiwa Melayu generasi muda masa kini, mereka mencapai pengiktirafan dan kehebatan
peringkat antarabangsa.
Penulis skrip ini juga bukan orang Melayu dan tidak hairan
Dewa Thor mengalami dekonstruksi yang besar. Lesen kreatif yang cukup besar
dipergunakan di sini oleh Yusry sama seperti yang telah di lakukan dalam
Hikayat Merong Mahawangsa (sepatutnya perkataan Hikayat tidak boleh digunakan
dalam tajuk filem ini). Dalam konteks kreativiti filem ianya tidak mengapa,
tetapi apa jadi kalau ada yang membuat perkara yang sama terhadap Nabi Muhammad
SAW dengan para sahabat atau Khulafa Al
Rasyidin?
Dan bagaimana dengan beberapa perkataan maki hamun serta
lucah dalam dialognya? Kompromi Yusry bukan saja dengan imej suci Dewa Thor, tapi juga dengan adap sopan dan
budi bahasa Melayu kah? Agaknya ini zaman orang Melayu beranggapan tidak berbudi bahasa itu boleh berjaya? Semoga tidak ada yang berkata bila guru
kencing berdiri muridnya mungkin kencing berlari…..
Beberapa imej visual dari trilogi Lords of The Rings juga
terlihat sama dalam watak ahli sihir
Alcuin yang mirip Gandalf. Begitu juga watak-watak dalam laut yang
menyerupai kumpulan Org ketika Eirick
the Bloodletter menyelam untuk mengambil tanduk bersalut emas untuk menewaskan
dan menghantar Thor ke neraka dan tidak menjahanamkan kemanusiaan. Pun begitu,
Vikingdom Yusry cukup menghiburkan.
0 comments:
Post a Comment