LE DANIEL’S THE
BUTLER: DOSA TAK TERAMPUN  ORANG KULIT
PUTIH 
OLEH: SITI RUQAIYAH
HASHIM.
 Satu ‘tour de force’ sejarah sosio-politk-ekonomi rakyat
Amerika Syarikat keturunan Afrika. Begitulah ayat paling ringkas dan tepat
untuk mengungkap filem Le Daniel’s The Butler. Dengan lakonan paling hebat dari
Forest Whitaker  dan Oprah Winfrey serta
ramai bintang besar lain dari Hollywood, filem ini perlu ditonton oleh semua
peminat filem dan pengkaji sosio-budaya-politik Amerika Syarikat mungkin juga
seluruh dunia. Untuk memahami  Uncle Sam
dan segala yang berlaku di  ‘Land of Milk
and Honey’ dengan ilusi dan realiti ‘The American Dream’  filem ini seperti filem Forrest Gump
‘bercakap’ dengan keluhuran dan kejujuran yang tidak sedikit tentang menjadi
rakyat Amerika Syarikat berketurunan Afrika.
 Filem arahan Lee Daniels dengan skrip Danny Strong ini
mengungkap kekuatan  dan  kemantapan kisah yang  berasaskan cerita benar  seorang ‘butler’ atau pembantu rumah lelaki keturunan
Afrika  yang berkhidmat dengan 8 orang
Presiden  Amerika Syarikat berkulit
putih  semenjak Presiden         Dwight 
Eisenhower  (1957) hingga kepada
pentadbiran Ronald Reagan . Ada pengertian lain tentang mereka  yang berada ‘di koridor kuasa’ saya kira. Seorang  pembantu rumah juga turut menyaksi dan
merasakan segala perubahan dan pergelutan kuasa dan ketegangan dalam masyarakat
dalam soal-soal hak asasi awam yang beratus tahun evolusinya  dan hanya menyaksikan seorang Presiden
berketurunan Afrika dilantik pada tahun 2008 yang lalu.  
 Seperti di negara mana pun, seseorang Presiden (atau apa
juga namanya) datang dan pergi, tetapi staf Rumah Putih dengan pembantunya yang
cukup cemerlang, popular,  disenangi ramai
dan setia seperti Cecil Gaines tetap di situ dan menjadi saksi utama segala yang
berlaku di Pejabat Oval dan menjadi sebahagian daripada  kehidupan  manusia paling berkuasa di dunia ini.
Diasaskan kepada cerita benar staf Rumah Putih bernama Eugene Allen yang
berkhidmat selama 34 tahun (dengan lesen kreatif yang cukup besar dan liberal),
 filem ini adalah drama politik yang
cukup berat. Filem Django Unchained mungkin hanya suatu permulaan, Le Daniel’s
The Butler adalah hidangan utamanya yang banyak mempamer dosa tidak terampun layanan
orang Kulit Putih  terhadap rakyat  Amerika Syarikat  berketurunan Afrika. 
 Filem yang membuat Presiden Obama mengalirkan air mata
menontonnya mendapat sambutan hangat dari penonton dan juga hampir 75 peratus
kritikan positif (dari 132 reviu) dari berbagai akhbar dan majalah arus perdana
 di Amerika Syarikat dan Britain seperti
USA Today,  The Guardian, majallah
Rolling Stones, Variety dan lain-lain. Penulis sependapat dengan   Richard Roeper  pengkritik filem terkenal yang mengatakan ‘
Forest whitaker sebagai  Cecil Gaines
memberikan lakonan terhebat sepanjang karier nya….’ Dengan barisan ‘bangsawan
Hollywood’ seperti Jane
Fonda, Oprah Winfrey, Vanessa Redgrave , Mariah Carey, John Cussack,Cuba
Gooding Jr.            Lenny Kravitz,
Robin Williams dan lain-lain, filem ini cukup hebat dan ramai yang
meramalkannya sebagai calon penerima anugerah Akademi, Golden Globe dan
lain-lain anugerah berprestij filem.
 Filem ini mengisahkan kehidupan Cecil Gaines yang lahir di ladang
kapas di Georgia dalam tahun 1920an. Bapa Cecil 
dibunuh oleh anak pengurus ladang itu kerana membantah perbuatannya  merogol isterinya (ibu cecil). Sebagai
‘pampasan’ Cecil diambil bekerja sebagai pembantu rumah oleh Annabeth Wesfall
ibu kepada pembunuh bapanya. Kehidupan yang lebih baik bagi Cecil sehingga dia
berusia remaja kerana tidak perlu bekerja dalam persekitaran yang lebih teruk
di ladang kapas. Cecil dibenarkan meninggalkan ladang itu ketika berumur 18
tahun dan pergi ke bandar dan akhirnya diterima bekerja di sebuah hotel
terkemuka di Washington. Beliau bertemu Gloria (lakonan cemerlang Oprah
Winfrey) yang juga bekerja di hotel tersebut dan mengahwininya dan mendapat dua
orang anak lelaki Louise dan Charlie. 
 Hotel tersebut sering dikunjungi oleh seorang  Ketua staf  Rumah Putih yang akhirnya memberikannya pekerjaan
di  kediaman Presiden Amerika Syarikat
itu. Bermulalah tugas              Cecil
Gaines yang tidak pernah bersekolah secara formal dengan ‘dua wajah’ yang harus
dipakai oleh semua orang berketurunan Afrika di tempat seperti Rumah Putih.
Wajah setia, pekerja yang rajin dan cemerlang, tidak ada pegangan politik dan
tidak mendatangkan masalah kepada sesiapa dan disukai ramai. Wajah lain Cecil
serta staf sepertinya adalah apabila mereka pulang ke rumah di kawasan kediaman
orang berketurunan Afrika dengan jiran 
dan keluarga mereka yang seperti berada di dunia yang lain daripada
ketika mereka berkhidmat penuh dedikasi di Rumah Putih. 
 Sepanjang berkhidmat di Rumah Putih. Cecil menyaksikan
evolusi perubahan kedudukan orang berketurunan Afrika melalui  proses perundangan yang dilaksanakan oleh
berbagai Presiden dan  sedikit demi
sedikit memberikan hak yang lebih sama kepada mereka. Di satu pihak yang lain,
Cecil juga melalui detik sukar berhadapan dengan  anaknya Louise yang belajar di University
Fisk  di Kentucky yang terlibat sedikit demi
sedikit dengan pergerakan pelajar, gerakan militan The Black Panther  dan Gerakan Hak Asasi Awam Martin Luther King
Jr. Ironi dan paradox kehidupan yang dilaluinya akhirnya membuatkan beliau
meletakkan jawatan ketika  Reagan menjadi
presiden kerana Amerika Syarikat  mem
veto  Afrika Selatan  menghentikan 
dasar apartheid nya dan membebaskan Mandela. Cecil berbaik semula dengan
anaknya Louise yang sudah pun menjadi wakil Kongres dan turut berjuang bersamanya.
 Menyaksikan babak Cecil 
duduk di kerusi  menunggu untuk
dibawa bertemu Presiden Obama dalam tahun 2009  cukup menyentuh perasaan.  Tetapi ia juga 
mempamer penuh  keyakinan  kepada kemenangan semangat manusia  yang menyaksikan realisasi  perjuangan dan kepercayaannya kepada
keadilan  walau sekecil mana pun
kedudukan seseorang itu. Sememangnya ini sebuah filem yang hebat.      
(ARTIKEL INI TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR BERITA HARIAN HARI INI 13 OKTOBER 2013). 
 
0 comments:
Post a Comment