GALERI SULTAN AZLAN
SHAH YANG MENAKJUBKAN.
Kalau mahu mengamati 
dan meneliti setiap satu artifak yang dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan Kuala Kangsar, seseorang mungkin memerlukan
sehari suntuk  untuk melakukannya.  Sudah
hampir  10 tahun Galeri ini dibuka dan
ramai tetamu dan pelawat dari dalam dan luar negeri yang telah melawatinya, tetapi  tidak banyak pablisiti yang telah dilakukan
untuk galeri ini. Sayang, kerana  kerana galeri ini mempamer koleksi cenderamata
dan  sebahagian besarnya  merupakan koleksi
dan mengenai  DYMM Sultan Azlan  Shah sendiri yang sangat mengkagumkan sukar di lihat di banyak  muzium di negara ini mau pun jika dibandingkan
dengan di luar negeri. 
“ Tuanku memberi segala 
bahan  dalam koleksi baginda untuk
dipamer .  Staf muzium 
 memilih dan membuat penyelidikan
dan hasil cetusan idea dan perkenan baginda adalah apa yang 
dipamer  di  galeri ini. 
 Tujuannya kerana baginda mahu
menanam kesedaran  kepada golongan 
muda tentang pentingnya pendidikan”  Demikian kata-kata awal pembuka cerita yang
disampaikan 
kepada penulis serta jurugambar Farhan Najib dari Ipoh. Mungkin
sentuhan profesyenal  pegawai 
arkib   seperti Puan Nor
Jannati  Ibrahim yang menjadikan  pemameran artifak di galeri ini begitu 
rupa jadinya dan terasa ‘hidup’  punya ‘jiwa’ dan ‘bercakap’ kepada mereka yang
melawatnya,  
demikian bisik hati penulis.
 Puan Nor Janati seorang pegawai Arkib Negara semenjak tahun
1985 dan cukup berpengalaman  pernah terlibat dengan penubuhan beberapa galeri dan muzium
di Malaysia. Malah selama 6 bulan beliau pernah  di
hantar ke Timor Leste dan bekerja keras menyelaman rekod serta dokumen bersejarah  negara
muda  yang baru  saja mencapai kemerdekaan setelmelalui peperangan
dan masalah kekacauan politik dan etnik yang serius.
Berkhidmat  dibawah panji-panji  Bangsa-Bangsa Bersatu, beliau dengan beberapa orang  petugas dari Malaysia berjaya menubuhkan
Arkib  Timor Leste dengan kecekalan yang tidak sedikit dalam suasana
negara itu  masih belum cukup pulih daripada kekacauan. Sekembalinya dari   Timor Leste, beliau  bertugas  sebagai Pengarah Arkib Cawangan Perak  yang
sedang memulakan tugas  membuat pengisian
untuk pameran  di Galeri Sultan Azlan Shah ketika itu.        
 Penulis memang suka ke  muzium sejak dari dulu samada di dalam atau di
 luar negeri  tetapi bagi saya  Galeri Sultan
Azlan Shah punya kelas dan keistimewaan yang tersendiri dan mengungkap banyak ‘sejarah dalam sejarah’  seorang Sultan, Negeri Perak dan sebahagian
penting sejarah  negara ini. Masakan tidak, dari artifak seperti kad
pengenalan lama, passport antarabangsa dan salinan surat beranak yang cukup peribadi sifatnya membawa
kepada persembahan hadiah berharga dari seorang raja yang di reka indah dari emas.   
 Integriti DYMM Sultan Azlan Shah yang terdidik dalam bidang
Undang-Undang  dan begitu sinonim dengan perundangan negara untuk suatu masa yang lama dan  pernah dilantik ke jawatan  Ketua Hakim Negara  termuda ketika berusia  37 tahun terpahat kuat  dalam jiwa baginda dan mungkin ini sebabnya sepasang gelang kaki emas hadiah dari Sultan Qaboos dan rantai leher dari Amir Kuwait dipamerkan di galeri ini. Bagi orang
lain artifak sebegini mungkin tidak akan dipamerkan untuk tontonan ramai  tetapi tidak di Galeri Sultan Azlan Shah (SAS).
 
 Lama dulu, sewaktu melawat The Hermitage di St.Petersburg
yang merupakan istana musim sejuk Tzar Nicholas  11  raja terakhir Russia,penulis menyaksikan artifak
tinggalan keluarga ini  dan kagum dengan ‘kemewahan’ artifak yang dipamerkan. Dari hiasan
telur Easter yang bertatahkan berlian dan batu  permata berharga
 hinggalah jam mangkuk biasa warna putih
dengan waktu menunjukkan pukul dua yang menandakan waktu istana itu diserang oleh
tentera Lenin  dan Tzar Nicholas  serta keluarganya ditawan. 
Begitulah perasaan penulis ketika melawat Galeri SAS baru-baru ini.
Artifak yang dipamer punya elemen cukup manusia dan cukup  ‘raja’ pada masa yang sama. Lawatilah galeri ini dan anda akan faham apa yang penulis maksudkan.             
Bangunan asal galeri ini juga cukup menarik, bersejarah dan  merupakan istana lama yang pernah di 
semayami oleh DYMM Sultan Perak ke 28 iaitu Sultan Idris
Mursyidul Adzam Shah  yang merupakan 
ayahanda kepada nenda DYMM Sultan Azlan Shah sendiri.
Dikenali dengan nama Istana Ulu dan di 
bina dalam tahun 1898, arkiteknya adalah Kapten Maurice
Alexander  Cameron yang merupakan
Timbalan Jurutera  Kolonial
dan Ketua Juruukir Negeri-Negeri Selat ketika itu. Banyak persamaan 
dalam rekabentuk Istana Ulu ini yang terlihat pada bangunan
seperti Dewan Bandaraya,  Mahkamah 
Tinggi dan  Stesen
Keretapi  di Ipoh serta Istana Negara
yang terbina dalam era  yang sama. 
 Almarhum Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah mementingkan
warisan ukiran Melayu dikekalkan di Istana Ulu yang  dapat
dilihat hingga ke hari ini. Diperbuat daripada kayu cengal yang sangat kuat dan tahan, Seorang juruukir terkenal ketika itu iaitu Raja
Harun Al-Rashid telah ditugaskan membuatnya. Baginda memastikan ukiran yang menghiasi  istana ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Ukiran yang ada di ruang-ruang dalam  istana ini merupakan yang asal dan bukannya dibuat semula. Lebih seratus tahun ukiran-ukiran ini
menghiasi Istana Ulu, dan ia masih boleh dilihat hingga sekarang.
Di antara artifak 
menarik zaman pemerintahan baginda 
yang masih  dapat dilihat di
galeri ini  ialah 
set pinggan mangkuk yang masih sempurna  dan digunakan 
di istana ini pada tahun 1902. Pada 
setiap   artifak ini
tertulis nama baginda dalam tulisan jawi. Tidak kurang pentingnya ialah gambar 
baginda yang diambil ketika menghadiri majlis
Pertabalan   King George ke 5 di England
dalam 
busana di raja yang direka khas untuk majlis ini. Busana ini
hampir menyerupai sut kolar Nehru yang 
banyak dipakai ketika ini kerana  baginda tidak dibenarkan memakai sut barat
seperti yang dipakai  oleh  orang barat. Ini bertujuan  untuk membezakan baginda seorang raja dari
koloni Britain 
dari orang barat lain. Fakta sensitif sebegini mungkin tidak
dapat dibaca dalam buku sejarah mana 
pun, tetapi gambar Alrmarhum Sultan Idris Mursyidul Adzam
Shah di Galeri SAS ini menceritakan 
segala-galanya,  
 Bahan-bahan yang dipamerkan di Galeri ini dibahagikan
mengikut 13 kategori pengkelasan yangberbeza dan menarik. Di bahagian DYMM Sultan Azlan Shah
sebagai tokoh perundangan, turut dipamerkan kertas-kertas penghakiman dengan tulisan tangan
baginda yang bersih, halus dan cantik kemas tersusun dalam fail ‘crcodile’ yang digunakan ketika
itu. Sebahag besar dokumen ini telah dibukukan dan masih digunakan di mahkamah dan sekolah
perundangan di IPT kita.                   
Baginda telah mengendalikan lebih 1000 kes dan amat terkenal
sebagai seorang hakim yang adil, 
jujur, tegas dan berani demi menegakkan kesaksamaan,
keadilan dan kebenaran.  Banyak anugerah  perundangan daripada universiti luar negeri yang diterima
oleh baginda dipamerkan di galeri ini yang menjadi testimoni kepada kejayaan membina    imej perkhidmatan kehakiman yang
dihormati  dan baik dengan baginda sebaga salah seorang ‘pemain’
utamanya yang mencorakkan sistem perundangan   kita untuk
suatu waktu yang lama.
 Sukan Hoki negara ini juga sinonim dengan DYMM Sultan Perak.
Malah sesiapa yang mahu membuat penyelidikan dan bercakap tentang sukan ini di Malaysia
tidak lengkap sekiranya tidak merujuk kepada baginda. Banyak bahan yang ada kaitan dengan sukan
hoki Malaysia dan juga diperingkat antarabangsa terpamer di galeri ini. Kedudukan baginda
sebagai Naib Presiden Persekutuan  Hoki Antarabangsa dan Presiden Persekutuan  Hoki Asia hanyalah sebahagian kecil daripada
begitu banyak pencapaian dalam bidang ini yang bermula semenjak
baginda di bangku sekolah lama dulu. 
Sememangnya suatu pengalaman yang menarik, informatif dan
akan diingati oleh sesiapa juga yang 
melawati Galeri SAS ini. Mungkin pihak pengurusan Galeri
perlu mengadakan banyak kerjasama 
dengan IPT tempatan dan badan bukan kerajaan yang ada kaitan
dengan pemuliharaan warisan dan 
sejarah untuk menganjurkan seminar dan berbagai majlis ilmu
yang akan mendedahkan 
kecermerlangan galeri ini dengan artifak yang dipamerkannya
kepada ramai orang. Ramai murid 
sekolah, penuntut IPT, 
penyelidik  serta pelawat yang
telah mendapat manfaat ilmu dari Galeri SAS, 
tetapi masih ramai Khalayak yang tidak mengetahui tentangnya
dan sesuatu perlu dilakukan tentang perkara ini. Paling penting, galeri dengan pemameran koleksi
yang baik  dengan sentuhan 
peribadi   DYMM Sultan
Perak  ini adalah suatu aset Negeri  Perak dan Malaysia yang penting dan 
setaraf dengan beberapa galeri termashyur di seluruh dunia.
Banyak yang boleh dipelajari secara 
santai dengan melawat galeri seperti ini. 
 (Artikel ini telah diedit dan disiarkan dalam akhbar Berita Harian semalam Ahad 12 Mei 2013. Artikel di atas adalah versi asal ketika dihantar kepada Berita Harian).
 
 
0 comments:
Post a Comment