Thursday, April 4, 2013


TANDA PUTERA: TANDA KEMUFLISAN PATRIOTISME KITA?

Bagi semua yang telah menonton  filem cantik Tanda Putera arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba
yang masih entah  bila akan ditayangkan, pasti akan mengatakan tidak ada detik yang lebih baik
untuk menayangkannya selain daripada sekarang. Senario politik kebelakangan yang amat mencabar di Sabah hanyalah suatu pengesahan bahawa filem kenegaraan seperti   Tanda Putera amat diperlukan dari semasa ke semasa untuk memastikan generasi muda sekarang tidak muflis
patriotisme mereka  kerana kesilapan kita  meminggirkan pelajaran sejarah suatu ketika dulu. 

Patriotisme bukan boleh dipupuk dengan kempen pengibaran Jalur Gemilang setahun sekali pada musim menyambut kemerdekaan sahaja, tetapi banyak cara lain yang lebih halus seperti melalui filem dan genre kesenian  lain untuk menyerapi  jiwa dan hati nurani rakyat Malaysia.

 Berbagai alasan diutarakan supaya filem ini tidak ditayangkan hingga sekarang. Antaranya kerana ada adegan kepala peserta FELDA dipenggal komunis tergolek di atas tanah. Tapi tontonlah filem    Django Unchained yang sedang ditayangkan sekarang, pasti ramai yang akan berkata babak kekejaman dalam Tanda Putera itu tidak ada apa-apa sebenarnya. Dalam Django Unchained babak kekejaman apa yang dilakukan oleh orang kulit putih terhadap hamba abdi dari Afrika di ladang kapas yang tidak ada? Tapi tiada pula  yang mempertikaikan tayangan filem ini di negara ini? Kedua filem ini Tanda Putera dan Django Unchained adalah filem-filem sejarah yang dipadankan dengan insiden yang benar-benar terjadi. Tapi mengapa harus ada dwi-standard dalam soal ini? Puak humanis mana yang punya justifikasi begini agaknya? Semoga  keakuran pihak  berwajib mengikut rentak mereka tidak akan dilihat sebagai kelemahan dan kemuflisan patriotisme di negara ini.

 Tanyalah mereka yang telah menonton filem Tanda Putera, pasti ramai yang mengatakan ini adalah sebuah filem  indah ‘festival material’ yang perlu dipertontonkan kepada khalayak. Suatu kerugian besar filem cantik seperti ini tidak ditayangkan  di pawagam kita kerana hingga kini hanya ada beberapa buah filem kenegaraan yang  indah begini. Lainlah kalau filem Tanda Putera ini setahap filem  Lelaki Komunis Terakhir yang sedikt pun tidak punya nilai aestetik dan artistik yang boleh dibanggakan. Tanda Putera  bukan dalam liga filem Lelaki Komunis Terakhir  yang dibuat sebagai agenda politik simpatisan kepada Chin Peng yang telah tua dan mahu kembali ke negara yang pernah diderhakainya! Tanda Putera mempamer  kekuatan dan kemantapan skrip yang bukan calang-calang bikinannya. Hanya beberapa buah filem kenegaraan (dan bukan kenegaraan juga) kita yang sebaris kedudukannya seperti Tanda Putera.

 Malah jika mahu bercakap tentang filem kita sejak dari dahulu, Tanda Putera adalah di antara beberapa buah filem tempatan yang mengangkat perspektif lain daripada perkara biasa dalam kehidupan , tak usah bercakap tentang filem yang berasaskan sejarah yang benar-benar terjadi. Tanda Putera mengangkat perspektif persahabatan dan keakraban di antara dua orang pemimpin ulung negara ini yang benar-benar terjadi dan bukannya fiksyen yang ditokok tambah untuk menyedapkan cerita. Ianya mengenai kekuatan dan kewibawaan peribadi Perdana Menteri Kedua Malaysia Tun Abdul Razak dan Timbalannya iaitu Tun Dr Ismail. Garapannya begitu artistik sekali dengan mempamer  aspek kehidupan mereka yang cukup tragik dan menyedihkan.   

 Aspek penyelidikan dan ketelitian pembinaan skripnya  sahaja sudah kup baik dan  membanggakan. Tak usah bercakap tentang penataan artistik, lakonan dan sinematografi serta  runut bunyi yang memang dalam kelasnya yang tersendiri. Penulis tidak ada sedikit pun rungutan tentang filem ini melainkan bila dan bila ia akan ditayangkan kepada umum? Dan perlu diulang sekali lagi,suatu kesilapan besar kepada industri  filem dan rakyat negara ini jika filem ini tidak ditayangkan. Atas sebab filem ini belum ditayangkan untuk umum, adalah tidak beretika jika penulis  membuat reviu Tanda Putera. Tetapi rasanya tidak adil juga jika tidak menulis tentang beberapa aspek yang tidak diketahui tentang kehebatan buah tangan Shuhaimi Baba yang terakhir ini.      
 Ada  portal berita media alternatif parti pembangkang  yang menuduh filem ini sebagai rasis. Penulis kurang pasti apakah kewajaran mengatakan filem  ini sebagai rasis? Malah ada tokoh yang lantang memperjuangkan liberalisme dan hak asasi manusia yang terkemuka belum pun menonton filem ini turut menuduhnya sebagai rasis! Apakah kerana adegan gerakan hartal orang Cina di Pulau Pinang dan pergaduhan kaum Peristiwa 13 Mei 1969 dipaparkan sebagai latar masa dan peristiwa filem Tanda Putera maka ia secara otomatik menjadi sebuah filem yang rasis? Dalam filem ini juga
dipaparkan persahabatan dan keakraban beberapa orang mahasiswa Universiti Malaya  berlainan
kaum dengan seorang pensyarah mereka  dari keturunan Serani. Apakah seorang yang rasis
pemikirannya   akan memaparkan adegan sebegini jika ia sememangnya rasis? 

 Sewaktu kontroversi filem Lelaki Komunis Terakhir rancak diperkatakan sedikit waktu yang lalu, penulis pernah disergah dengan biadap sekali oleh seorang wartawan BBC di perkarangan kompleks FINAS. Wartawan tersebut bertanya kenapa orang Melayu negara ini begitu takut untuk membiarkan filem ini ditayangkan kepada khalayak sedangkan ia adalah berasaskan kebenaran dan bukan tentera Melayu sahaja yang terkorban semasa darurat? Penulis tergamam seketika bukan kerana soalan tersebut tetapi kerana cara wartawan berkulit putih itu bertanya. Lalu penulis ceritakan kepadanya bahawa bapa saya berkhidmat dalam angkatan bersenjata dan pernah bertugas di kawasan hitam di Kroh semasa darurat dan masih mengingati cerita beliau tentang kekejaman komunis dan trauma yang dilaluinya semasa pertempuran di dalam hutan. Wartawan tersebut terdiam mendengar jawapan saya dan tidak menjawap bila ditanya apakah bapanya pernah bertempur menentang komunis dalam hutan di Tanah Melayu semasa darurat juga?

Atas dasar kebenaran dan fakta sejarah juga, penulis ingin bertanya pihak yang melobi supaya Tanda Putera tidak ditayangkan, apa yang nak ditakutkan kerana filem ini bercakap tentang kebenaran dan sejarah yang betul-betul terjadi? Mereka yang terkorban dalam Peristiwa 13 Mei terdiri daripada orang Melayu dan juga Cina jadi apa yang difobiakan bila kita bercakap tentang secebis sejarah negara ini?           

0 comments: