Monday, October 21, 2013

MUSIM PUISI DATANG LAGI

KESEDIHAN YANG TERTANGGUH INI.
(UNTUK NOR AISHAH OSMAN).


di pusara mu adik ku
Dia telah memakbulkan doa ku
bahawa kita akhirnya bertemu

     
      sejuk marmar hitam yang bertanda nama mu
      ku usap permukaannya
      tanpa dipinta
      titis-titis panas merintis tak henti-henti
      dalam sendu itu
      ku gagahi menghabiskan Yassin
     

Putri mu yang tegak berdiri
terdiam dan hanya memerhati
dan berlalu tanpa suara
 mungkin dia merasakan
 air mata ku yang tertumpah itu
 punya keluhuran
dan kerinduan yang tidak bertepi
serta kekesalan
mengenang fitnah dan persengketaan
yang cukup memalukan  
   

       lalu kesedihan yang tertangguh ini
       terurai juga akhirnya.
                      

                                                                            SYUEN HOTEL
                                                                             IPOH.

     

Sunday, October 13, 2013

REVIU ASAL FILEM LE DANIEL'S THE BUTLER


LE DANIEL’S THE BUTLER: DOSA TAK TERAMPUN  ORANG KULIT PUTIH

OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM.

 Satu ‘tour de force’ sejarah sosio-politk-ekonomi rakyat Amerika Syarikat keturunan Afrika. Begitulah ayat paling ringkas dan tepat untuk mengungkap filem Le Daniel’s The Butler. Dengan lakonan paling hebat dari Forest Whitaker  dan Oprah Winfrey serta ramai bintang besar lain dari Hollywood, filem ini perlu ditonton oleh semua peminat filem dan pengkaji sosio-budaya-politik Amerika Syarikat mungkin juga seluruh dunia. Untuk memahami  Uncle Sam dan segala yang berlaku di  ‘Land of Milk and Honey’ dengan ilusi dan realiti ‘The American Dream’  filem ini seperti filem Forrest Gump ‘bercakap’ dengan keluhuran dan kejujuran yang tidak sedikit tentang menjadi rakyat Amerika Syarikat berketurunan Afrika.

 Filem arahan Lee Daniels dengan skrip Danny Strong ini mengungkap kekuatan  dan  kemantapan kisah yang  berasaskan cerita benar  seorang ‘butler’ atau pembantu rumah lelaki keturunan Afrika  yang berkhidmat dengan 8 orang Presiden  Amerika Syarikat berkulit putih  semenjak Presiden         Dwight  Eisenhower  (1957) hingga kepada pentadbiran Ronald Reagan . Ada pengertian lain tentang mereka  yang berada ‘di koridor kuasa’ saya kira. Seorang  pembantu rumah juga turut menyaksi dan merasakan segala perubahan dan pergelutan kuasa dan ketegangan dalam masyarakat dalam soal-soal hak asasi awam yang beratus tahun evolusinya  dan hanya menyaksikan seorang Presiden berketurunan Afrika dilantik pada tahun 2008 yang lalu. 

 Seperti di negara mana pun, seseorang Presiden (atau apa juga namanya) datang dan pergi, tetapi staf Rumah Putih dengan pembantunya yang cukup cemerlang, popular,  disenangi ramai dan setia seperti Cecil Gaines tetap di situ dan menjadi saksi utama segala yang berlaku di Pejabat Oval dan menjadi sebahagian daripada  kehidupan  manusia paling berkuasa di dunia ini. Diasaskan kepada cerita benar staf Rumah Putih bernama Eugene Allen yang berkhidmat selama 34 tahun (dengan lesen kreatif yang cukup besar dan liberal),  filem ini adalah drama politik yang cukup berat. Filem Django Unchained mungkin hanya suatu permulaan, Le Daniel’s The Butler adalah hidangan utamanya yang banyak mempamer dosa tidak terampun layanan orang Kulit Putih  terhadap rakyat  Amerika Syarikat  berketurunan Afrika.

 Filem yang membuat Presiden Obama mengalirkan air mata menontonnya mendapat sambutan hangat dari penonton dan juga hampir 75 peratus kritikan positif (dari 132 reviu) dari berbagai akhbar dan majalah arus perdana  di Amerika Syarikat dan Britain seperti USA Today,  The Guardian, majallah Rolling Stones, Variety dan lain-lain. Penulis sependapat dengan   Richard Roeper  pengkritik filem terkenal yang mengatakan ‘ Forest whitaker sebagai  Cecil Gaines memberikan lakonan terhebat sepanjang karier nya….’ Dengan barisan ‘bangsawan Hollywood’ seperti Jane Fonda, Oprah Winfrey, Vanessa Redgrave , Mariah Carey, John Cussack,Cuba Gooding Jr.            Lenny Kravitz, Robin Williams dan lain-lain, filem ini cukup hebat dan ramai yang meramalkannya sebagai calon penerima anugerah Akademi, Golden Globe dan lain-lain anugerah berprestij filem.

 Filem ini mengisahkan kehidupan Cecil Gaines yang lahir di ladang kapas di Georgia dalam tahun 1920an. Bapa Cecil  dibunuh oleh anak pengurus ladang itu kerana membantah perbuatannya  merogol isterinya (ibu cecil). Sebagai ‘pampasan’ Cecil diambil bekerja sebagai pembantu rumah oleh Annabeth Wesfall ibu kepada pembunuh bapanya. Kehidupan yang lebih baik bagi Cecil sehingga dia berusia remaja kerana tidak perlu bekerja dalam persekitaran yang lebih teruk di ladang kapas. Cecil dibenarkan meninggalkan ladang itu ketika berumur 18 tahun dan pergi ke bandar dan akhirnya diterima bekerja di sebuah hotel terkemuka di Washington. Beliau bertemu Gloria (lakonan cemerlang Oprah Winfrey) yang juga bekerja di hotel tersebut dan mengahwininya dan mendapat dua orang anak lelaki Louise dan Charlie.

 Hotel tersebut sering dikunjungi oleh seorang  Ketua staf  Rumah Putih yang akhirnya memberikannya pekerjaan di  kediaman Presiden Amerika Syarikat itu. Bermulalah tugas              Cecil Gaines yang tidak pernah bersekolah secara formal dengan ‘dua wajah’ yang harus dipakai oleh semua orang berketurunan Afrika di tempat seperti Rumah Putih. Wajah setia, pekerja yang rajin dan cemerlang, tidak ada pegangan politik dan tidak mendatangkan masalah kepada sesiapa dan disukai ramai. Wajah lain Cecil serta staf sepertinya adalah apabila mereka pulang ke rumah di kawasan kediaman orang berketurunan Afrika dengan jiran  dan keluarga mereka yang seperti berada di dunia yang lain daripada ketika mereka berkhidmat penuh dedikasi di Rumah Putih.

 Sepanjang berkhidmat di Rumah Putih. Cecil menyaksikan evolusi perubahan kedudukan orang berketurunan Afrika melalui  proses perundangan yang dilaksanakan oleh berbagai Presiden dan  sedikit demi sedikit memberikan hak yang lebih sama kepada mereka. Di satu pihak yang lain, Cecil juga melalui detik sukar berhadapan dengan  anaknya Louise yang belajar di University Fisk  di Kentucky yang terlibat sedikit demi sedikit dengan pergerakan pelajar, gerakan militan The Black Panther  dan Gerakan Hak Asasi Awam Martin Luther King Jr. Ironi dan paradox kehidupan yang dilaluinya akhirnya membuatkan beliau meletakkan jawatan ketika  Reagan menjadi presiden kerana Amerika Syarikat  mem veto  Afrika Selatan  menghentikan  dasar apartheid nya dan membebaskan Mandela. Cecil berbaik semula dengan anaknya Louise yang sudah pun menjadi wakil Kongres dan turut berjuang bersamanya.

 Menyaksikan babak Cecil  duduk di kerusi  menunggu untuk dibawa bertemu Presiden Obama dalam tahun 2009  cukup menyentuh perasaan.  Tetapi ia juga  mempamer penuh  keyakinan  kepada kemenangan semangat manusia  yang menyaksikan realisasi  perjuangan dan kepercayaannya kepada keadilan  walau sekecil mana pun kedudukan seseorang itu. Sememangnya ini sebuah filem yang hebat.      

(ARTIKEL INI TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR BERITA HARIAN HARI INI 13 OKTOBER 2013). 

Sunday, October 6, 2013

HAPUSKAN NAMA CHIN PENG CADANGAN CERDIK KAH?

Baru-baru ini Dato Ibrahim Ali Pengerusi PERKASA mencadangkan nama Chin Peng dihapuskan daripada semua buku sejarah kita supaya orang tidak ingat lagi kepada beliau. Baguskah cadangan itu?

Saya kurang pasti ia cadangan yang bijak sebab keganasan dan kemusnahan yang dilakukan oleh PKM perlu tidak dilupuskan dari sejarah kita untuk mengingatkan generasi akan datang tentang kekejaman yang telah dilakukan oleh PKM. Kalau dilupuskan bab tentang keganasan mereka, itulah yang dikehendaki oleh penyokong mereka.

Tidak ada kisah kekejaman Chin Peng ditulis adalah langkah awal untuk mereka menulis semula tentang peranan Chin Peng yang kononnya pejuang kemerdekaan Malaysia. Kita perlu berhati-hati tentang perkara ini sebab kalau keganasan PKM tidak terus ditulis, satu hari esok adalah puak yang akan menulis sejarah Malaysia versi mereka dan menggambarkan Chin Peng sebagai wira dan telah dizalimi!

Dato Ibrahim Ali perlu jangan lebih terlajak dari laju!

Wednesday, October 2, 2013

THE BUTLER YANG MESTI DITONTON!

Setelah dua kali menonton filem The Butler penulis hanya boleh katakan filem ini mesti ditonton oleh semua peminat filem, penganalisis sosio-ekonomi-politik Amerika Syarikat dan seluruh dunia. Satu 'tour de force' sejarah-sosio-ekonomi-politik rakyat Amerika keturunan Afrika yang merupakan 15 peratus daripada seluruh penduduk Amerika Syarikat. Dengan ramai bintang 'heavyweight' Hollywood dan pemameran lakonan cemerlang Jonathan Winters, Oprah Winfrey dan lain-lain, golongan Caucasian di Negara terkuat dan terhebat ini mungkin sedang melalui detik-detik pedih dan sukar  membayar 'rasa bersalah' perbuatan datuk nenek mereka terhadap mereka yang berketurunan Afrika.

Filem Django Unchained mungkin hanya permulaan saya kira. The Butler mengungkap segala-galanya tentang kepedihan, kelukaan dan kekeliruan yang telah dilalui oleh negara yang tidak pernah berhenti bercakap tentang hak asasi manusia ini. Semoga filem ini menang di Anugerah Akademi dan lain-lain festival besar filem di seluruh dunia!

InsyaAllah reviu filem ini akan disiarkan sedikit masa lagi dalam sebuah akhbar arus perdana.

REVIU ASAL VIKINGDOM


 VIKINGDOM: PANDANGAN DUNIA MELAYU ABAD 21?

OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM.

Melalui semua filemnya yang terdahulu, penulis melihat Yusry Abd.Halim sebagai masih mencari arahnya sendiri. Dari Cicakman, Merong Maha Wangsa dan yang terakhir Vikingdom, ternyata Yusry sebagai seorang pengkarya belum punya kekuatan dan kemantapan jati diri yang dapat mempamer jiwa dan roh  manu sia Melayu  dalam abad ke 21 ini. Bukan salah beliau memilih untuk berkarya begitu, tetapi  persekitaran intektual,emosi dan spiritual  beliau yang global dan glokal pada masa yang sama yang membentuk acuan pemikirannya . Bukan juga suatu kesalahan kepada pengkarya Melayu mana pun membuat filem seperti Vikingdom, tetapi ia cukup menarik. Karya begini mungkin akan terakam dalam kapsul sejarah perfileman negara ini sebagai suatu elemen pandangan dunia Melayu abad ke 21?

Dengan  kos sebanyak RM20 juta yang menjadikan filem ini  termahal pembikinannya di Malaysia (dengan RM 2 juta daripada kerajaan), penulis sedikit terkilan kerana mengapa mesti memilih mitos Dewa Thor dari budaya dan peradaban Scandinavia dan tidak berkarya mengenai sesuatu yang lebih dekat dengan kita? Atau kisah Dewa Thor sememangnya lebih dekat dengan Yusry daripada Panglima Awang misalnya? Pujian harus diberikan untuk aspek penyelidikan teliti yang terpamer melalui autentiknya segala prop dan set yang telah digunakan dalam filem  ini.

Kisah Pelayaran  Panglima Awang atau Enrique yang berjaya mengelilingi dunia dengan  Ferdinand Magellan adalah suatu kisah hebat dan indah sekali untuk ditonjolkan di persada filem antarabangsa.  Enrique adalah nama  yang diberi oleh Magellan ketika   Panglima Awang dibawa bersamanya sebagai hamba dalam kapalnya untuk belayar dari Melaka  ke Filipina. Siapa pun namanya yang pastinya watak ini cukup Melayu dengan kepakaran ilmu pelayaran yang diwarisi dari tradisi ilmu pelayar Arab dan India  Islam yang datang ke Melaka.Magellan terbunuh dalam satu pergaduhan  di Surinam dan Panglima Awang yang terselamat meneruskan pelayaran  mengelilingi dunia.

Penulis membayangkan dengan kehebatan imej janaan komputer (CGI) yang hebat, filem ini pasti akan menjadi bualan komuniti  filem dunia dengan satu watak Melayu di tengah  komuniti pelayar besar dan tersohor seperti Ferdinan Magellan dengan kekuatan Spanish armada nya. Suatu kisah hebat tentang seorang anak Melayu yang tidak diketahui ramai dan penonjolannya pasti punya impak yang besar. Cerita Panglima Awang bukan mitos untuk mengagungkan  peradaban Melayu, tetapi sebuah kisah benar dan legenda sejarah yang cuba ditenggelamkan bersama terbakarnya kapal Flor de La Mar yang karam di Selat Melaka bersama beribu-ribu artifak dan khazanah Istana Melaka selepas jatuh ke tangan Portugis.  

Mungkin Yusry cuba membuat kejutan dengan menghasilkan sesuatu untuk menembusi pasaran antarabangsa. Suatu cubaan yang cukup ‘adventourous berani  serta bercita-cita tinggi. Tidak ada salahnya  jika begitu, tetapi  roh atau jiwa sesuatu karya memerlukan kedalaman intelektual, emosi dan spiritual sang pengkarya yang hanya boleh lahir bila ia datang dari peradaban yang dekat  dengan subjek yang menjadi fokusnya. Jika tidak yang lahir dan terpamer  hanyalah kehebatan visual  dan segala aspek  teknikal. Suatu sesi ‘menjamu mata’ yang menghiburkan. Dan filem bukan kehebatan CGI, kesan khas dan skor muzik sahaja. Paling penting dan perlu adalah kemantapan skrip dari kekuatan pemikiran di belakangnya.     

 

Pun begitu,sebagai sebuah filem ‘blockbuster’dari Malaysia  untuk dunia, filem ini tidaklah mengecewakan kerana pemameran CGI serta kesan khasnya  yang amat boleh dibanggakan dan cukup baik daripada penghasilan KRU Studios selama ini. Kemantapan CGI dan kesan khas filem     The Life of Pi arahan Ang Lee yang menggunakan tenaga kreatif  dari studio kecil di Malaysia dan menyebabkan pengarah ini mengucapkan ‘Terima Kasih Kuala Lumpur!’ ketika menerima Anugerah Akademi untuknya pasti telah membuka mata seluruh dunia tentang kreativiti kehebatan visual dan teknikal kita dalam CGI. Penulis yakin, kemantapan CGI dan kesan khas visual Vikingdom akan memberi pengesahan dan endorsemen antarabangsa kepada aspek perfileman ini. Di sebalik kemuflisan patriotisme dan jiwa Melayu generasi muda masa kini, mereka  mencapai pengiktirafan dan kehebatan peringkat antarabangsa.

Penulis skrip ini juga bukan orang Melayu dan tidak hairan Dewa Thor mengalami dekonstruksi  yang  besar. Lesen kreatif yang cukup besar dipergunakan di sini oleh Yusry sama seperti yang telah di lakukan dalam Hikayat Merong Mahawangsa (sepatutnya perkataan Hikayat tidak boleh digunakan dalam tajuk filem ini). Dalam konteks kreativiti filem ianya tidak mengapa, tetapi apa jadi kalau ada yang membuat perkara yang sama terhadap Nabi Muhammad SAW  dengan para sahabat atau Khulafa Al Rasyidin?

Dan bagaimana dengan beberapa perkataan maki hamun serta lucah dalam dialognya? Kompromi Yusry bukan saja dengan imej suci  Dewa Thor, tapi juga dengan adap sopan dan budi bahasa Melayu kah? Agaknya ini zaman orang Melayu beranggapan tidak  berbudi bahasa itu boleh berjaya?  Semoga tidak ada yang berkata bila guru kencing berdiri muridnya mungkin kencing berlari…..

Beberapa imej visual dari trilogi Lords of The Rings juga terlihat sama dalam watak ahli sihir  Alcuin yang mirip Gandalf. Begitu juga watak-watak dalam laut yang menyerupai  kumpulan Org ketika Eirick the Bloodletter menyelam untuk mengambil tanduk bersalut emas untuk menewaskan dan menghantar Thor ke neraka dan tidak menjahanamkan kemanusiaan. Pun begitu, Vikingdom Yusry cukup menghiburkan.

 (Artikel ini adalah artikel asal yang telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada hari Ahad yang lalu bertarikh 29 September 2013).