Monday, March 11, 2013

ROYAL BELUM WORLD DRUM FESTIVAL


ROYAL BELUM WORLD DRUM FESTIVAL: MANIFESTASI MERAKYATKAN SENI

OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM.
Royal Belum World  Drum Festival 2.0 (RBWDF) baru saja melabuhkan tirainya  dengan sambutan yang sungguh baik. Pada malam penutup festival ini di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh hampir 10 ribu orang menghadirinya walau pun dalam cuaca sejuk dan hujan renyai. Malam sebelumnya di Lapangan Terbang Grik cuaca lebih baik dan hampir lima ribu orang menyaksikan pertunjukan yang sama. Beberapa pertunjukan sampingan dalam skala yang lebih kecil di pusat membeli belah di adakan di seluruh Perak seperti di Taiping, Manjung, Jelapang dan Gopeng.Penulis berkesempatan menghadiri  pertunjukan ini di beberapa tempat yang berlainan dan jelas kelihatan usaha merakyatkan seni hidup segar di negeri ini.

Sejak beberapa tahun kebelakangan, Perak cukup giat mengadakan berbagai aktiviti seni dan budaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.  Festival Puisi dan Lagu Rakyat Pangkor yang telah tiga tahun berturut-turut di adakan  mendapat sambutan yang semakin meriah dan ramai. Pangkor yang sememangnya merupakan pulau yang cukup eksotik memang sesuai dengan aktiviti begini dan cukup berpotensi menjadi lebih besar dan terkenal.  RBWDF pula telah dua tahun berturut-turut di adakan dengan jayanya dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Syabas kepada semua pihak berkenaan kerana dalam usaha  menjadi negeri maju, manifestasi merakyatkan seni budaya tempatan dan membawa kesenian dan warisan dunia ke negeri ini jelas kelihatan dan ianya sesuatu yang cukup sihat. Dengan slogan ‘Beat The World’ festival yang asalnya  bertujuan untuk pemuliharaan dan pengekalkan warisan dan kebudayaan tidak ketara dunia ini membawa berbagai kumpulan  genderang (perkusi) terkenal dari seluruh dunia. Suatu usaha terpuji yang cukup berpandangan jauh dan sepatutnya sudah lama di adakan  dalam kita berusaha untuk mengapresiasi dan memahami budaya orang lain dan menjustifikasi kehadiran dan kekuatan budaya kita sendiri di dunia ini.

Cuma sayang, Malaysia sendiri tidak punya kumpulan genderang yang  terkenal seperti beberapa perwakilan negara luar yang sudah berpuluh tahun membuat persembahan di seluruh dunia. Mungkin dalam seni persembahan tradisional kita,alat genderang hanyalah sebahagian daripada berbagai jenis alat muzik lain yang mengiringi persembahan seperti makyung, wayang kulit, mek mulung, kuda kepang dan berbagai genre lain. Pun begitu, hasil daripada pertandingan yang di adakan di Gopeng  dalam Royal Belum Malaysia Drum and Percussion Challenge 2013 baru-baru ini, kumpulan dari ASWARA iaitu Rhythm of Malaysia yang memenanginya memberikan persembahan  yang menarik dan cukup bertenaga.

 Mungkin Kumpulan Gendang Sembilan dari Perak sendiri perlu diperkemas dan dinaik-taraf dengan mendapat sentuhan pakar genderang terbaik negara ini dan boleh diangkat ke taraf yang lebih tinggi dan di bawa keluar negeri untuk mendapatkan lebih banyak pengalaman bagi memperbaiki  persembahan mereka. Festival bertaraf dunia begini perlukan persiapan rapi  dan perancangan jangka pendek dan panjang yang sistematik dan berpandangan jauh jika ianya mahu terus di adakan dan mampu menarik pengikut dan penonton yang ramai dari seluruh dunia. RBWDF ini memang cukup unik, menarik dan berpotensi untuk menjadi suatu persembahan yang  dapat meletakkan Perak di peta kebudayaan dan warisan dunia dan  menarik ramai pelancongan  seperti yang telah dilakukan  Sarawak melalui Rainforest Festival nya.    

Rata-ratanya dari persembahan yang telah di saksikan, festival ini telah berjaya membawa beberapa kumpulan genderang yang cukup terkenal di seluruh dunia. Natiq Rhytm Group dari Azerbaijan di bawah pimpinan Natiq Shirinov cukup menarik diperkatakan. Ini kali kedua kumpulan ini di jemput membuat persembahan oleh RBWDF dan Natiq Shirinov  merupakan seorang pemukul genderang yang telah membuat persembahan di Itali, Switzerland, Rusia, Turkey, Amerika Syarikat, Perancis, Poland dan lain-lain. Ketangkasan dan kecepatan jari-jemari Natiq memukul gendang telah menjadikan kumpulan yang telah 13 tahun diketuainya sebagai kumpulan genderang terbaik  Azerbaijan dan beliau mendapat anugerah seni tertinggi di negaranya pada tahun 2007.

Tidak kurang menariknya ialah persembahan Egyptian Nile Folkloric Musical Troupe dari Mesir. Di ketuai oleh  seorang pemukul gendang  veteran bernama Abdul Rahman kumpulan ini terdiri daripada 7 orang pemukul gendang kecil menyerupai kompang . Ditubuhkan sejak tahun 1975, Abdul Rahman dan kumpulannya telah  menjelajah dan membuat pertunjukan di seluruh Mesir, Paris, Malaga,Malta, Uzbekistan, Istanbul, Maghribi, Qatar, China, Amerika Syarikat dan beberapa negara Afrika.

 Kumpulan ini mempunyai seorang penari lelaki bernama Mustaffa 33 tahun yang menarikan     Tarian Tannura. Ianya cukup unik dan menarik dengan memakai kostum berwarna-warni seberat 8 kilogram dan berlapis-lapis berpusing-pusing tanpa henti hampir 20 minit lamanya. Tarian ini mempunyai kaitan rapat dengan Islam dan berasal dari Turki diasaskan oleh ahli sufi                   Mohammad Jalaludin Rumi.  Mustaffa membuat improvisasi dan belajar tarian ini sendiri ketika berumur 25 tahun sewaktu melawat Kuniya di Turki. Sejak 3 tahun yang lalu, beliau dengan kumpulan genderang Abdul Rahman telah mengadakan pertunjukan di 14 buah festival antara-bangsa dengan mendapat sambutan yang hangat.       

Kumpulan Wild Marmalade dari Australia yang dianggotai oleh seorang pemain dram moden bergabung tenaga dengan seorang peniup serunai panjang dan besar yang dipanggil  didjeredoo dan merupakan alat muzik orang asli Australia yang cukup menarik bunyinya. Dari Thailand, gabungan kumpulan Nakhonsawan Rajabhat University dan Absolutely Thai juga mempamerkan deruman pukulan gendang yang cukup unik dan bertenaga. Indonesia mengantar 2 kumpulan genderang iaitu Pancasura STSI dan Tataloe Percussion dari Bandung. Maldives mempersembahkan kumpulan genderang Harubee yang diiringi beberapa orang penari yang  jelas mempamerkan pengaruh tarian India.

Secara keseluruhannya Royal Belum World Drum Festival ini cukup membanggakan walau pun masih banyak ruang untuk pembaikan diperlukan. Pada pandangan penulis pengurusan majlis yang lebih baik perlu dilakukan dengan memberi penekanan kepada ketepatan masa kerana persembahan di Grik terlewat hampir setengah jam. Walau pun ini pertunjukan percuma, tetapi ianya perlu dilakukan penuh disiplin termasuk menyediakan tong sampah kerana ‘tarmac’ lapangan terbang itu dipenuhi sampah selepas pertunjukan dan perkara sama telah berlaku tahun lalu. Kumpulan seperti Wicked Aura dari Singapura juga mungkin tidak diperlukan dalam festival ini kerana kumpulan ini tidak lebih daripada sebuah kumpulan rock yang lebih sesuai beraksi dalam konsert  bersama kumpulan yang se genre dengannya. Sedikit dikesalkan juga dalam mempromosi hutan tropika Royal Belum tidak pula disediakan klip video mengenainya untuk mempamer kepelbagaian fauna dan floranya ke seluruh dunia melalui  internet ketika festival  ini berlangsung.     

(ARTIKEL INI TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR HARIAN METRO JUMAAT  8 MAC 2013)                                      

0 comments: