Tuesday, February 26, 2013

Reviu Filem Husin Mon dan Jin Pakai Toncit


JIN PAKAI TONCIT PERLUKAN ANALISIS SARJANA

Rasanya sempurnalah sudah trilogi Mamat Khalid dalam siri zombie dan hantu-hantunya dengan tayangan filem Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit. Filem ini telah lama disiapkan tetapi entah kenapa ‘diperam’ sebelum akhirnya ditayang dengan mendapat sambutan yang amat baik. Kali kedua penulis menonton filem ini adalah di hari kelima tayangan pukul 9 malam dan panggung masih penuh! Dalam keriuhan dan cuti panjang menyambut Tahun Baru Cina dengan hampir semua pawagam menayangkan filem Cina, filem Husin Mon dan Jin Pakai Toncit (HMJPT) tetap mencuri tumpuan peminat filem Melayu.

Lebih menarik ialah filem ini bukan saja ditonton oleh orang Melayu, tetapi berbagai bangsa dengan golongan umur yang berbeza juga memenuhi panggung. Penerbit filem yang masih mahu membuat filem untuk golongan remaja dengan tema-tema cinta, gangsterisme dan rempit-merempit perlu berfikir semula tentang pendekatan mudah mereka. Mamat  Khalid melalui filemnya yang membawakan parodi atau kritikan sosial melalui lelucon menjuarai genre ini sejak beberapa tahun kebelakangan.
Jika dianalisis ketiga filem beliau semenjak Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan terakhir HMJPT, Mamat  membawa tema ‘manusia hidup kembali’ selepas mati. Penulis yakin Mamat yang sentiasa bercakap melalui metafora, analogi dan simbolisme mahu mengatakan sesuatu yang lebih besar impaknya kepada masyarakat dan bukan ketawa-ketawa sahaja. Ada sesuatu yang ‘mati’ tetapi bangun semula menjadi hantu dan menghantui seluruh masyarakat di Kampong Pisang sebuah kampung di negeri Perak. Melalui lelucon, ada lapisan makna lain yang mahu diperkatakan oleh Mamat jika penonton menganalisis dengan lebih teliti segala yang digarap dalam  filem  beliau.

Filem HMJPT membawa sejarah Kampong Pisang sejak 136 tahun  lalu. Ejaan lama perkataan kampung yang masih digunakan mungkin suatu simbolisme bahawa penduduk tempat ini masih mengekalkan ciri  tradisi dan nilai kampung Melayu  lama dan belum benar-benar  terhakis oleh arus kemodenan. Dan ini menimbulkan konflik nilai dalam pemikiran masyarakatnya dan mereka seolah-olah terperangkap  dalam lingkaran masa antara kepercayaan lama dan baru. Dalam mereka menolak tahyul dan segala macam kepercayaan lama, sebahagian besar mereka masih mempercayainya.   

Kampong Pisang dibuka pada tahun 1877 ketika jalan kereta api  pertama dibina di negara ini iaitu dari Taiping ke Port Weld (kini Kuala Sepetang). Latar masa ini  merupakan tiga tahun selepas Perjanjian Pangkor ditanda-tangani yang memulakan campur tangan Inggeris di Perak . Perjanjian ini menandakan bermulanya penjajahan Inggeris secara tidak langsung di sebuah negeri Melayu yang berdaulat dan akhirnya menular ke negeri Melayu lain. Mungkin imej watak Dr.Shamsuddin (lakonan mantap Rashidi Ishak) yang berkemeja dan bertopi ala orang Barat dan sampai di Kampong Pisang dalam sebuah kereta antik dengan nombor plat bertulis HELL merupakan perlambangan kepada penjajahan itu sendiri!
HMJPT membawa kisah Husin (lakonan Awie) yang balik dari Singapura dalam keadaan yang menyedihkan kerana jatuh bankrap. Husin disambut oleh  penduduk Kampong Pisang yang sedang minum di warung Pak Jabit. Pak Abu (lakonan terakhir Zami Ismail) serta beberapa orang lain yang memperlekeh Husin kerana situasi dirinya. Tetapi Pak Jabit (lakonan cukup natural Man Kadir) mempertahankan Husin dengan  menceritakan beberapa orang lain di kampung mereka termasuk anak saudaranya Yeh Sekupang juga berada dalam kebankrapan. Mamat bercakap tentang zaman ramai manusia jatuh bankrap dan kebankrapan boleh datang dalam banyak cara. Mamat mau mengatakan sesuatu saya kira.

Dengan perasaan kecewa, rendah diri  dan kekeliruan Husin pulang ke rumah lama keluarganya. Kak Limah  yang dulunya sakit jiwa tetapi disangka menjadi hantu telah pun pulih dari sakitnya kini menjadi ketua rombongan yang sering membawa jiran-jirannya dan penduduk Kampong Pisang ke Singapura. Sesuatu yang kurang disenangi oleh Husin kerana Singapura membawa kenangan pahit kepadanya.
Apa pun, kekecewaan Husin sedikit terubat apabila Mon (lakonan  Ezylnn) bekas kekasih lamanya tiba-tiba muncul. Mon yang sebenarnya adalah jelmaan Ayu seorang lagi bekas kekasihnya yang telah meninggal dunia memujuk dan merayu Husin mengikutnya dan tinggal ke dalam hutan di waktu malam. Ayu muncul  semula sebagai   seorang puteri bunian tanpa Husin menyedarinya walau pun penduduk Kampong Pisang terutama Usop Wilcha (lakonan  Syed Asri Osman) serta kawan-kawan mereka heboh dan sibuk mencarinya.

Dalam kekalutan itulah tiba-tiba muncul seorang manusia misteri yang menggelarkan dirinya Dr.Shamsuddin yang mengakui dirinya adalah pakar untuk memulihkan penduduk Kampong Pisang dari gangguan hantu dan orang bunian. Beliau berjaya meyakinkan semua orang kampung dengan kehandalan ilmunya apalagi mempunyai gelaran doktor dan nampak terpelajar serta cukup meyakinkan. Suatu sindiran kepada ramai orang dalam masyarakat kita yang sering cepat terpengaruh dengan individu yang punya gelaran doktor dan nampak terpelajar serta datang dari luar.
Pun begitu, Husin mencurigainya dan akhirnya terbongkarlah identiti  Dr.Shamsuddin yang sebenarnya. Beliau adalah jin yang menjelma setiap 45 tahun di Kampong Pisang untuk menuntut haknya.  Rupa-rupanya 136 tahun lalu  penduduk asal Kampong Pisang telah membuat perjanjian dengan jin pakai toncit ini (slanga bahasa Perak bagi lelaki berambut panjang yang mengikat rambutnya di atas kepala). Mengikut perjanjian tersebut jin itu perlu dipersembahkan dengan dikorbankan seekor kambing untuknya selain daripada beberapa orang anak teruna yang akan ghaib daripada kampung tersebut. Kenapa lelaki dan tidak anak dara sunti seperti yang sering terdapat dalam metos serta kepercayaan masyarakat Melayu? Mungkin ada ‘jin ‘yang lebih menyukai lelaki dan tidak mahukan wanita agaknya!

Seperti filem Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah, Mamat Khalid satu-satunya pengarah filem tempatan yang tidak meletakkan barisan pelakonnya terdiri daripada pelakon muda yang tampan dan jelita. Pun begitu, kelakar filem Mamat masih hebat dan menggelikan hati dan membuat kutipan yang tinggi. Mungkin kedua filem awalnya dalam siri ini lebih menggelikan hati, tetapi Mamat mungkin sudah membina reputasi membuat filem cerdik tapi membuatkan penonton ketawa berdekah-dekah pada masa yang sama. Siapa kata pelakon cantik dan tampan sahaja punya tempat dalam industri filem kita? Tahniah kepada Mamat Khalid yang membuktikan itu tidak benar!
Catatan: Artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian Ahad lalu 25 Febuari 2013.
 

0 comments: