Sunday, March 17, 2013

Rock Oo!


ROCK OO…: SECEBIS SEJARAH MUZIK ROCK MALAYSIA.

Ada orang   menamakan filem ini sebagai ‘rockumentari’ iaitu   dokumentari tentang muzik rock. Sekali lagi filem parodi Mamat Khalid yang sedang ditayangkan mendapat sambutan box office yang membanggakan.   Filem Rock Oo arahan Mamat yang diterbitkan oleh Grand Brilliance adalah sekuel kepada filem Rock yang diterbitkan beberapa tahun lalu. Sememangnya filem-filem bertemakan rock garapan Mamat memaparkan  secebis sejarah genre muzik rock di negara ini dan ‘rokumentari’ mungkin nama yang tepat baginya jika Dewan Bahasa dan Pustaka bersetuju dengan terma tersebut.

Seperti filem Tanda Putera arahan Shuhaimi Baba yang memaparkan sejarah persahabatan dan kehidupan dua orang pemimpin ulung Malaysia dengan intim sekali, Rock Oo juga cukup intim menceritakan tentang kemunculan dan perkembangan muzik rock Malaysia semenjak tahun 80han hingga  90han. Cuma garapan kedua pengarah ini berbeza kerana Mamat memilih memperkatakannya melalui lelucon sementara sejarah persahabatan dan kehidupan Tun Abdul Razak dan Tun Dr.Ismail disampaikan melalui drama cukup menyayat hati dan tragis (suatu kesilapan dan dosa besar jika filem ini tidak ditayangkan di Malaysia sampai bila-bila)!

Pun begitu kedua pengarah filem ini  mencoretkan sebahagian penting sejarah negara ini dalam karya mereka. Hanya pengarah dan penulis skrip cukup kreatif dan berpemikiran tinggi sahaja mampu berkarya dan mengangkat perspektif lain kehidupan dalam karya mereka dengan begitu baik sekali. Tidak pernah ada kumpulan rock bernama Rimba Bara di Malaysia, tetapi Mamat mengungkap kemunculan dan perkembangan muzik rock di negara ini melalui jatuh bangun dan perjalanan kumpulan dengan nama tersebut. Kumpulan rock Rimba Bara mungkin tidak pernah wujud, tetapi penulis yakin ada kumpulan rock yang mirip dan menyerupai apa yang telah dilalui oleh kumpulan ini.      

Rock Oo memaparkan kisah ahli-ahli kumpulan rock Rimba Bara yang cuba menaikkan semula nama dan kemegahan kumpulan ini yang pernah berada di puncak suatu ketika lalu. Amy Mat Piah (lakonan Que Haidar) bukanlah seorang bekas ahli kumpulan Rimba Bara tetapi seorang pemuda kampung penjual air batu campur yang amat berminat untuk menjadi seorang rocker. Beliau mengajak Jijo (lakonan mantap  Khir Rahman) sebagai bekas gitaris Rimba Bara untuk menghidupkan semula kumpulan ini.

Mi Black (lakonan Azmi Black) pemain dram yang cukup setia dengan kumpulan ini bersetuju untuk menghidupkan semula Rimba Bara dengan penyertaan Slash Hj.Tapah  (lakonan hebat Pekin Ibrahim) walaupun vokalis utama mereka Zul Kapan ( lakonan Sofi Jikan) telah dilamar oleh Studio Luncai Emas. Amy Mat Piah mendapat peluang keemasannya untuk menyertai Rimba Bara menggantikan Zul Kapan walau pun vokalnya tidaklah sebaik mana tetapi dalam situasi ini, tiada rotan akar pun berguna.

Tetapi keazaman anak-anak muda dari kawasan luar bandar ini untuk berjaya bukanlah semudah yang disangkakan. Berbagai masalah dan halangan seperti yang telah dilalui sebelum ini hampir berulang dan mereka hampir berputus asa. Tetapi Amy Mat Piah dengan semangat anak petani modennya yang berkobar-kobar pantang mengalah serta beberapa insiden yang menimpa Zul Kapan dengan kumpulan rock  Malaikal Maut nya yang telah diharamkan oleh kerajaan telah mengubah keadaan dan menaikkan semula kumpulan rock Rimba Bara.

Bersama dengan kumpulan rock  lain yang cukup terkenal dan disukai ramai seperti Wings, Bumiputera Rockers dan lain-lain, Rimba Bara mendominasi pentas dan dunia muzik tanah air. Berbagai polemik tentang sub-budaya yang dibawa bersama muzik mereka  dan itulah yang telah berlaku dan  mendominasi akhbar dan media tempatan dalam tahun 90han. Di suatu ketika, muzik rock  heavy metal telah diharamkan kerana berbagai gejala tidak sihat yang ikut serta bersamanya. Dadah, perlakuan liar dan arak yang  sangat asing dari budaya kita adalah sebahagian daripadanya dan  semua ini dicatatkan oleh Mamat Khalid dalam filem ini dengan kepekaan yang tidak sedikit kerana begitulah realitinya.

Imej-imej pemuzik rock tempatan yang cukup mirip dengan kumpulan dari luar negara yang ‘brutal  habis’ (dalam bahasa rock nya)  seperti Iron Maiden, Slayer, Led Zeppelin dan lain-lain juga terpancar melalui imej pemuzik rock tempatan. Melalui imej yang di bawa oleh Zul Kapan, Slash Hj.Tapah dan kumpulan Malaikal Maut, imej sejagat muzik rock menjadi ikutan anak-anak muda di Malaysia juga. Rambut panjang dengan pakaian dan seluar jean sendat adalah suatu kemestian dan samada di bandar atau pun di kawasan FELDA, golongan muda Malaysia turut mengikutinya sehingga menimbulkan kebimbangan kerajaan.

 Insiden paling diingati ialah arahan berambut pendek bila pemuzik rock kita mahu membuat penampilan di televisyen tempatan. Amy Search yang menjadi rocker pertama merelakan rambutnya dipotong oleh Menteri Penerangan ketika itu iaitu Dato Mohamed Rahmat dan merupakan insiden yang cukup sensasi dalam sejarah muzik rock kita. Mamat memaparkan insiden tersebut dengan sentuhan yang cukup kelakar, sinis dan membuatkan penonton ketawa selain daripada rocker ‘brutal’ Jijo mengukur kelapa dan lain-lain. Realiti dan fiksyen yang digarap Mamat dalam Rock Oo cukup kreatif, sensitif dengan kedalaman intelektual yang tidak boleh dipertikaikan walau pun subjek yang mahu diperkatakan cukup santai dan tidak memerlukan keseriusan langsung.        

Hampir semua pelakon utama filem ini merupakan pelakon teater tempatan yang cukup terdidik di  pentas teater. Hasilnya, aspek lakonan filem ini dengan perkembangan watak yang sangat menghiburkan dan menarik mewarnai filem ini dari awal hingga akhir. Pekin Ibrahim tidak punya dialog yang banyak tetapi mimik muka dan lakonan dari ‘dalam’ yang dibawanya cukup meyakinkan, dan berkesan. Ada orang seringkali membuat komen bila teater dipenuhi oleh pelakon filem dan selebriti, tetapi dalam Rock Oo Mamat Khalid menterbalikkan situasi dan siapa pun tidak menyentuh tentang hal ini. Bagi penulis, yang mustahak ialah lakonan seseorang mesti meyakinkan dengan watak yang dibawanya dan memberikan kesan cukup baik kepada filem atau teater, bukan dari mana dia datang.                

(Artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian Ahad 17 Mac 2013. Ini adalah versi asal artikel). 

0 comments: