Tuesday, December 11, 2012

ANG LEE DAN THE LIFE OF PI

Dua kali menonton filem arahan terbaru Ang Lee dalam The Life of Pi baru-baru ini baru saya tersedar tentang simbul pi dalam matematik sama bentuknya seperti simbul 'Ren' (bunyinya seperti menyebut Ruhr dengan bunyi en di belakangnya). 'Ren' bermaksud kemanusiaan dalam falsafah Kung Fu Tze dan merupakan konsep asas yang cukup fundamental dalam ajaran salah seorang manusia yang paling berpengaruh di dunia yang berasal dari China ini. Sebelum itu saya tak henti-henti memikirkan kenapa ada penghargaan kepada Institut Kung Fu Tze dalam senarai  kredit di akhir filem ini. Pada mulanya saya fikirkan ianya tidak lebih daripada salah satu sumber penyelidikan yang telah dimanfaatkan dalam pembikinan filem ini. Tetapi hanya setelah menyedari simbul pi yang punya persamaan dengan bentuk 'ren' barulah segalanya jelas pada pemikiran saya.

Skrip yang diadaptasi dari novel karya Yann Martel ini sebenarnya banyak merujuk kepada ajaran dan falsafah Kung Fu Tze yang banyak menganalisis tentang kehidupan dan kemanusiaan hampir 500 tahun sebelum masihi lagi. Sebelum Ang Lee, beberapa nama besar telah mula cuba menangani filem The Life of Pi, tetapi akhirnya Ang Lee yang berjaya melakukannya dengan begitu baik sekali. Pilihan yang tepat saya kira kerana hanya mereka yang datang dari latar-belakang budaya yang dekat dengan Kung Fu Tze sahaja yang benar-benar dapat memahami apa yang mahu diperkatakan oleh Yann Martel.

Filem ini perlu dilihat dalam konteks dan makna yang lebih dalam dan bukan sahaja keindahan imej janaan komputer dan kesan khas yang menakjubkan sebaris dengan filem Avatar. Tetapi segala analogi, alegori dan perlambangan dalam filem ini memerlukan analisis yang cukup teliti dan dengan ilmu yang tidak sedikit. Kritikan seni (termasuk filem) perlu ilmu bantu yang berbagai bukan sahaja memahami struktur teksnya. Psikologi, falsafah, sosiologi, antropologi,kesusasteraan dan segala macam bidang ilmu lain bukan lagi sekadar membantu analisis tetapi pada hari ini menjadi perlu supaya tidak ada orang yang tersasar melabelkan karya ini begitu dan begini sehingga apa yang hendak diperkatakan oleh seorang pengkarya menjadi momokan kepada manusia dalam budaya lain. Kritikan filem (dan lain-lain seni) memerlukan ilmu yang luas supaya kita dapat meneroka minda dan menganalisis kreativiti seseorang pengkarya dan tidak menulis sesuatu sewenang-wenangnya. Sesuatu karya perlu dilihat dengan landasan ilmu dan bukan interpetasi seseorang yang mungkin mempunyai prasangka dan ketidak-cukupan ilmu dalam menganalisis sesuatu!

InsyaAllah reviu saya tentang filem ini akan tersiar sedikit waktu lagi dalam sebuah akhbar arus perdana tempatan.

0 comments: