Wednesday, December 26, 2012


FESTIVAL  PUISI  DAN LAGU RAKYAT PANGKOR YANG SEMAKIN  MERIAH

Berada di Pulau Pangkor baru-baru ini sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Pangkor  3 (FPLRP) mengingatkan penulis ketika berada di ‘kampung Shakespeare’ di Stradford- Upon Avon sedikit waktu lalu. Bezanya cuma Stradford-Upon Avon hidup sepanjang tahun dengan  segala-galanya  berpaksikan Shakespeare  tapi Pantai Pasir Bogak dan sekitarnya bernafaskan puisi  selama tiga hari tiga malam sahaja. Perbandingan sebegini sememangnya tidak wajar  tetapi penulis berimaginasi tentang potensi FPLRP di masa akan datang yang boleh menjadi sepenting dan sebesar          Stradford Upon Avon sekiranya di angkat ke tahap yang lebih tinggi dengan perancangan yang baik dan teliti.  

Ia bukan mustahil dan bukan angan-angan. Negeri Perak menuju ke arah negeri maju dalam beberapa tahun lagi, jadi festival sebegini memang cukup perlu dan sesuai. Pangkor sebuah pulau yang cukup eksotik untuk program sebegini. Pun begitu dana yang lebih besar amat diperlukan dan perancangan yang cukup rapi dan teliti sangat mustahak.

Cadangan saya ialah festival ini diperluaskan menjadi festival seni selama seminggu atau lebih. Selain daripada kita berpuisi dan membicarakan buku, kenapa tidak dipentaskan teater (tak perlu teater perdana) dan juga di buat tayangan filem-filem yang baik dan merupakan 'festival material' yang tidak ditayangkan di pawagam biasa. Ada berbagai program yang boleh diisi untuk festival ini  dan jumlah pelancong yang akan datang jauh lebih besar nanti. Apa pun, tahniah kepada Kerajaan Perak yang merupakan satu-satunya negeri yang mengadakan program sebegini yang merakyatkan seni sekaligus. Tahniah.
 

    

         

 
  
 
    
         
 
 

 
 
    
         
 
 
 
 
 
 
    
         
 
 




 

 



 

Sunday, December 23, 2012

Menonton The Life Of Pi sekali lagi

Saya menonton filem The Life of Pi sekali lagi baru-baru ini. Jadi tiga kali saya menontonnya musim ini. Kali ini saya cuba mencari perkara lain yang saya tak nampak sebelum ini yang mungkin dilihat olehn orang lain. Saya tidak membaca buku karangan Yann Martel yang di adaptasi dengan intim sekali oleh Ang Lee. Tetapi dari mereka yang membacanya memberitau bahawa Ang Lee menterjemah hampir 100% apa yang berada dalam pemikiran Yann Martel. Jadi perlu diingat bahawa apa yang divisualkan dan imej dalam filem Ang Lee adalah  merupakan pemikiran Yann Martel. Jadi apa pun interpetasi seseorang tentang filem The Life Of Pi arahan Ang Lee jangan sesekali melupakan fakta bahawa pemikiran Yann Martel menunjangi lakon layarnya. Seseorang mungkin melihat Ang Lee bercakap tentang perkara lain di sebalik visual yang dipaparkan, tetapi apa pula yang berada dalam pemikiran Yann Martel? Dan sedikit latar-belakang kehidupannya keduanya amat  perlu sebelum seseorang cuba mengatakan itu dan ini tentang karya ini.

Bagi saya, The Life Of Pi karangan Yann Martel dan filem arahan Ang Lee tetap bercakap tentang pencarian. Mencari diri, mencari identiti, mencari Tuhan, mencari tujuan dan makna kehidupan dan segala yang tidak jelas dalam kehidupan seseorang. Bagi yang berhadapan dengan senario alienasi dari persekitaran mereka perkara-perkara ini adalah sesuatu yang sering berlaku dan amat normal di rasai. Berada dipuncak kejayaan, berada dalam masyarakat lain malah berada dalam kumpulan yang tidak sehaluan dengan kita juga mungkin meng'alienasi' seseorang dari persekitarannya. Orang filem mungkin melihat segala imageri dalam visual Ang Lee/Yann Martel dari konteks filem. Seorang 'Taliban' mungkin melihatnya dari sudut pandangan Taliban dan begitulah seterusnya. Tetapi kritikan seni harus berasaskan ilmu dan fakta bukan emosi dan kecenderungan politik dan kepercayaan seseorang.

Dalam program di History Channel yang ditayangkan semalam bertajuk 'Proving God' ada peringatan  penting di permulaannya  yang mengingatkan penonton dokumentari ini tidak mengikut pandangan Islam. Mereka cukup prihatin saya kira kerana meletakkan peringatan sebegitu. Jadi kita juga perlu menerima bahawa novel dan filem The Life of Pi bukan untuk menghina agama siapa pun. Yann Martel sebagai manusia barat yang hidup dalam persekitaran yang sudah lama mengenepikan agama adalah seorang pencari yang sedang bergelut mencari makna dan banyak perkara dalam kehidupan dan kewujudannya di dunia ini.








       

Tuesday, December 11, 2012

ANG LEE DAN THE LIFE OF PI

Dua kali menonton filem arahan terbaru Ang Lee dalam The Life of Pi baru-baru ini baru saya tersedar tentang simbul pi dalam matematik sama bentuknya seperti simbul 'Ren' (bunyinya seperti menyebut Ruhr dengan bunyi en di belakangnya). 'Ren' bermaksud kemanusiaan dalam falsafah Kung Fu Tze dan merupakan konsep asas yang cukup fundamental dalam ajaran salah seorang manusia yang paling berpengaruh di dunia yang berasal dari China ini. Sebelum itu saya tak henti-henti memikirkan kenapa ada penghargaan kepada Institut Kung Fu Tze dalam senarai  kredit di akhir filem ini. Pada mulanya saya fikirkan ianya tidak lebih daripada salah satu sumber penyelidikan yang telah dimanfaatkan dalam pembikinan filem ini. Tetapi hanya setelah menyedari simbul pi yang punya persamaan dengan bentuk 'ren' barulah segalanya jelas pada pemikiran saya.

Skrip yang diadaptasi dari novel karya Yann Martel ini sebenarnya banyak merujuk kepada ajaran dan falsafah Kung Fu Tze yang banyak menganalisis tentang kehidupan dan kemanusiaan hampir 500 tahun sebelum masihi lagi. Sebelum Ang Lee, beberapa nama besar telah mula cuba menangani filem The Life of Pi, tetapi akhirnya Ang Lee yang berjaya melakukannya dengan begitu baik sekali. Pilihan yang tepat saya kira kerana hanya mereka yang datang dari latar-belakang budaya yang dekat dengan Kung Fu Tze sahaja yang benar-benar dapat memahami apa yang mahu diperkatakan oleh Yann Martel.

Filem ini perlu dilihat dalam konteks dan makna yang lebih dalam dan bukan sahaja keindahan imej janaan komputer dan kesan khas yang menakjubkan sebaris dengan filem Avatar. Tetapi segala analogi, alegori dan perlambangan dalam filem ini memerlukan analisis yang cukup teliti dan dengan ilmu yang tidak sedikit. Kritikan seni (termasuk filem) perlu ilmu bantu yang berbagai bukan sahaja memahami struktur teksnya. Psikologi, falsafah, sosiologi, antropologi,kesusasteraan dan segala macam bidang ilmu lain bukan lagi sekadar membantu analisis tetapi pada hari ini menjadi perlu supaya tidak ada orang yang tersasar melabelkan karya ini begitu dan begini sehingga apa yang hendak diperkatakan oleh seorang pengkarya menjadi momokan kepada manusia dalam budaya lain. Kritikan filem (dan lain-lain seni) memerlukan ilmu yang luas supaya kita dapat meneroka minda dan menganalisis kreativiti seseorang pengkarya dan tidak menulis sesuatu sewenang-wenangnya. Sesuatu karya perlu dilihat dengan landasan ilmu dan bukan interpetasi seseorang yang mungkin mempunyai prasangka dan ketidak-cukupan ilmu dalam menganalisis sesuatu!

InsyaAllah reviu saya tentang filem ini akan tersiar sedikit waktu lagi dalam sebuah akhbar arus perdana tempatan.