Tuesday, June 21, 2011

SEJARAH YANG HAMPIR BERULANG

sewaktu Pangeran Surabaya
Patih Adam namanya
mengadap ke Melaka
Tun Minda
anak kesayangan Bendahara Seri Nara di Raja
masih gadis kecil
berlari-lari di balai rong seri
lalu digurau oleh Bendahara
"Patih Adam anak hamba ini ingin jadi isteri mu"
lalu ketawa semua yang mendengar
"Inggih" kata Patih Adam

masa pun berlalu
dewasalah Tun Minda
sampai perkabaran di Tanah Jawa
manis ayu dan cerdik orangnya
lalu bersiaplah Patih Adam
untuk ke Melaka bagi menuntut janjinya

mengadap ia di hadapan Bendahara
"manira datang hendak menuntut janji andika pakanira
hendak mengahwinkan manira dengan anakanda Tun Minda"

termenung panjang Seri Nara Di Raja mendengar kata
"Benar hamba pernah berkata demikian tapi ia gurauan cuma"
lalu dengan kemarahan yang tak disembunyikan
Patih Adam pun berkata
"Adakah adap dan adat perjodohan itu dipermainkan orang?

Patih Adam mengepung dan menceroboh rumah Tun Minda
menawannya dengan keris terhunus
kain lilitnya diikat di pinggang Tun Minda
pahanya menindih ke paha Tun Minda

banyaklah mati orang Patih Adam
bertikam dengan orang Bendahara
tapi sedikit pun tidak dipedulikan
hingga tinggallah dia seorang
menindih paha Tun Minda dengan keris terhunus

lalu naiklah sang ayahanda ke rumah
belas dan hiba amat
melihat anakanda diperlakukan begitu

dihulurnya puan
sirih pun dikapur
berundinglah mereka
akhirnya
Tun Minda dikahwinkan dengan Patih Adam

begitulah rupanya Melayu itu
tiada ia bergurau senda tentang perjodohan
kerna aibnya teramat sangat jika diperlakukan begitu

datang ke hari ini
hampir berulang cerita itu
mujur kebijaksanaan seorang ayahanda tua
mengubah perjalanan peristiwa
seorang puteri anak gahara yang sedang terluka
ditunangkannya
dengan putera sendiri secara rahsia
setelah tersebar berita
seorang saudara jauh
menjanjikan si anak gahara
kepada seorang Patih Adam
demi siasah dan ketamakan kuasa

berperang juga mereka
hampir tujuh tahun lamanya
persis Bharatayuda
waktu Arjuna lima bersaudara
berbunuhan
melawan Duryodana lima bersaudara
ah!
sejarah darah dan amarah manusia
tak pernah berbeza semenjak pergaduhan qabil dan habil
ramailah panglima yang berkaparan di medan perang
tidak sedikit pun timbul kewarasan
tapi si anak gaharalah yang semakin sakit jiwanya

akhirnya
jernih juga awan kelabu
oleh doa dan ketakwaan
segalanya hanyalah ujian Nya
mahu mempamer
keteguhan hati nurani
keikhlasan hati budi
atau kelamnya lautan kalbu
kerna doa si anak gahara
Dia mempamer yang terbaik untuk dunia dan akhirat
dia yang pandai mengurai kekusutan
memilih perdamaian dan keamanan
bukannya panglima merah yang handal bertikam
membunuh tak henti-henti
kemabukan darah dan hilang kewarasan

si anak gahara
menerima segalanya penuh keredaan
terima kasih kepada ayahanda yang bijaksana
kerna dalam firasatnya
membaca jauh ke hadapan
lalu amuk si orang Jawa pun
tidak berulang di bumi Melayu

Alhamdullilah!

15/6/2011.

0 comments: