Thursday, February 24, 2011

KESAN KENAIKAN HARGA MAKANAN DISELURUH DUNIA

Salah satu projek penting yang menjadi keutamaan ketika Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri ialah mempopulerkan kembali pertanian di negara ini. Di waktu itu berbagai kritik kedengaran di seluruh Malaysia menentang program ini. Malah ada pihak yang menyamakannya sebagai pentadbiran orang kampung. Penulis sendiri pernah mendengar kata-kata begitu di satu perhimpunan UMNO di PWTC. Mujur pertanian dan agro bisnes terus menerus dimajukan dan mendapat peruntukkan yang tinggi setiap tahun hingga sekarang. Malah tidak lagi kedengaran apa juga kritikan mengenainya kerana semua rakyat Malaysia sudah menerima hakikat bahawa pengeluaran bahan makanan sendiri sangatlah penting dan tidak boleh dikompromi sama sekali.

Mungkin ramai rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa seawal tahun 1990an saintis dan pakar ekologi di seluruh dunia terutama di Barat sudah mengetahui bahawa Dunia akan mengalami krisis bahan makanan di abad ke 21. Krisis makanan di Sudan, Darfur dan beberapa negara Afrika lain hanyalah permulaan dan akan berterusan disebabkan oleh iklim dan suhu yang meningkat di seluruh dunia. Peningkatan satu darjah Celsius iklim dunia pun sudah mendatangkan bencana yang besar dalam pengeluaran bahan makanan. Ekoran daripada ini ialah kenaikan harga bahan makanan di seluruh dunia dan ini akan diikuti dengan rentetan berbagai krisis politik-ekonomi-sosio yang sedang kita saksikan di banyak negara Timur Tengah sekarang ini (walau pun di banyak negara Afrika yang jauh lebih miskin dan tidak demokratik tidak pula berlaku krisis sebegini).

Dalam sekelip mata industri pelancongan yang merupakan sumber pendapatan terpenting Mesir untuk sekian lama lumpuh sama sekali dan ia akan mengambil masa yang lama untuk memulihkannya. Begitu rapuhnya sektor ekonomi ini kerana tidak ada sesiapa pun mahu mengambil risiko bila perusuh memenuhi jalan-raya dan melaungkan tuntutan demi tuntutan yang tiba-tiba meledak tanpa boleh dikawal lagi. Sesuatu yang perlu sangat kita ingat dan ambil iktibar kerana maju dan demokratik macam mana pun kalau rakyat kelaparan berapa puluh menara indah dan hebat pun yang ada di negara ini, ianya tidak berguna sama sekali.

Industri Pelancongan adalah suatu sektor ekonomi yang berjaya membawa berbiliun ringgit ke negara ini, tetapi pembangunannya harus berhati-hati kerana ia cukup rapuh kalau tiada kestabilan politik dan sosial dalam masyarakat kita. Jadi kalau papan tanda jalan raya mahu di ubah dan ditulis dalam berbagai bahasa dan ini ditentang oleh penduduk majoriti negara ini, janganlah terlalu memikirkan ringgit yang bakal mengalir tetapi apakah ia tidak akan menjadi sumber persengketaan dan perselisihan faham antara rakyat. Begitu juga kalau Bak Kut Teh hendak dijadikan makanan nasional negara ini, Menterinya perlu cukup sensitif tentang budaya, sejarah dan latar-belakang agama penduduk terbanyak negara ini kerana tidak ada maknanya kita dapat menarik 25 juta orang pelancong setiap tahun tetapi berlaku rusuhan dan tunjuk perasaan besar-besaran yang mampu menjahanamkan negara dalam sekelip mata.

Model Ekonomi Baru dan segala macam transformasi ekonomi yang dirancang sedang bermula. Negara memilih untuk meningkatkan pendapatan perkapita rakyat ke tahap yang lebih tinggi dalam persediaan menuju menjadi negara maju. Pun begitu, Bahrain yang mempunyai pendapatan perkapita AS$40,000 pun rakyatnya sedang merusuh ketika ini. Kenapa terjadi begitu? Kerana pendapatan perkapita hanyalah metode statistik ekonomi yang digunakan bagi menggambarkan tahap ekonomi sesuatu negara secara keseluruhan. Ia tidak benar-benar mempamerkan tahap kehidupan sebenar seluruh rakyat negara tersebut. Angka purata ini tidak benar-benar mewakili taraf ekonomi rakyat yang sedang dinikmati dalam sesebuah negara. Ia hanyalah kiraan purata pendapatan negara yang dibahagi dengan jumlah penduduk negara tersebut.

Jadi ukuran kenaikan pendapatan perkapita perlu diikuti dengan ukuran indeks kesejahteraan rakyat juga. Kenaikan kos bahan makanan dan apa juga barangan memberi kesan yang sangat serius kepada kehidupan rakyat. Dan apakah ukuran dan definisi taraf kemiskinan tegar dan tidak tegar yang kita pakai masih releven jika iannya menggunakan angka-angka yang sepuluh tahun lalu diformulasikan? Semua ini harus ditangani dan diubah mengikut kesesuaian masakini yang jauh sudah berubah daripada sepuluh tahun lalu. Perkembangan sistem ekonomi kita cukup stabil dan baik mengikut sistem kapitalisme dengan campur tangan dasar kerajaan yang sesuai bila diperlukan.

Pun begitu, ekonomi pasaran datang dengan kembar jahatnya yang menambah -jarakkan jurang ekonomi antara golongan kaya dan miskin walau apa pun yang dilakukan. Jadilah situasi yang kaya bertambah kaya dan yang miskin tetap miskin dan ini diburukkan oleh sentimen ras dan etnik. Ini hanyalah sebahagian kecil daripada aspek yang terangkum dalam indeks kesejahteraan rakyat dan ada banyak lagi perkara yang harus diambil kira termasuk indeks kebahgiaan kehidupan yang cukup penting di negara maju tetapi jarang diberi perhatian di negara membangun.

Penyelidikan yang banyak juga harus dilakukan dalam sektor ini dari semasa ke semasa supaya segala transformasi yang sedang dijalankan dapat dibetulkan cepat-cepat jika terdapat masalah ekonomi dan sosial yang serius yang mungkin timbul akibat daripada dasar-dasar yang diperkenalkan. Semua transformasi ekonomi yang dirancang dan dijalankan adalah perkara baru dan tidak diketahui bagaimana pula kesan sampingannya kepada masyarakat selepas ini. Kita tidak perlu menunggu selepas sepuluh tahun baru penyelidikan yang komprehensif hendak dijalankan secara besar-besaran kerana ia mungkin terlambat dan semakin sukar untuk memperbetulkan apa yang tersasar atau tidak menepati kehendak masyarakat. Dan bukan kesan ekonomi sahaja yang perlu diselidiki tetapi kesan ke atas sosial,budaya,agama dan semua aspek kehidupan juga perlu diperinci dan diperhalusi dapatan kajiannya.

Kedudukan ekonomi, sistem demokrasi dan tahap pendidikan Malaysia mungkin jauh lebih baik daripada apa yang terdapat di negara-negara yang sedang bergolak di Timur Tengah sekarang. Pun begitu, di negara yang hampir maju dengan kehadiran kelas menengahnya yang semakin penting dan besar, cabaran kita adalah berbeza dan jangan dipandang mudah tentang isu integriti, ketelusan dan good governance serta soalan ke mana perginya wang pembayar cukai dibelanjakan. Kita melihat kempen pembasmian rasuah dengan begitu giat dijalankan dengan penubuhan Suruhanjaya yang bebas. Pun begitu, rasuah dan penyalah-gunaan kuasa boleh berlaku dalam banyak cara dan di semua diperingkat masyarakat. Dan lebih membahayakan bila berbagai kumpulan berkepentingan terus-menerus berpolitik untuk mendapat sesuatu tanpa mengira bahaya atau tidaknya perbuatan tersebut dalam jangka panjang. Semua orang perlu berhati-hati dalam membuat keputusan apa pun kerana internet,facebook, blog dan segala macam media sosial punya sisi negatif yang cukup potent dan mampu mencetus revolusi di mana-mana dan bila-bila sahaja.

Thursday, February 10, 2011

SALUT KEPADA MAJID MAJIDI.

THE SONG OF SPARROWS: FILEM MAJID MAJIDI MEMUKAU.



Beberapa tahun lalu sewaktu berada di Malaysia sempena Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur penulis sempat bertemu dengan Majid Majidi dan mewawancara beliau. Majid antara pengarah filem tersohor dan terbaik dari Iran dan diiktiraf sebagai seorang master filmmaker di seluruh dunia dengan kehalusan seni dalam filem seperti ‘Children of Heaven’. Beliau cukup jujur dan merendah diri orangnya. Antara isu yang saya bangkitkan adalah tentang sudah agak lama (hampir 10 tahun) filem-filem Iran tidak menang di festival besar dunia samada di Cannes, Berlin mau pun Venice.

Bercakap melalui seorang penterjemah beliau mengakui perkara tersebut dan bercerita tentang persekitaran filem di Iran yang kurang dinamis kebelakangan ini juga kemungkinan ada kaitannya dengan berbagai isu geo-politikal yang diketahui seluruh dunia. Apa pun , sangat membanggakan mengetahui bahawa filem Iran sudah dapat menembusi pasaran filem di Eropah dan juga di Amerika Syarikat dan hari ini Iran mengeluarkan hampir 60 filem setahun. Memenangi anugerah di festival besar sama pentingnya dengan berjaya menembusi pasaran antara-bangsa terutama di Barat. Mengikut Majid, filem Children of Heaven sahaja membawa pulangan lebih US$ 24 juta hampir 15 tahun yang lalu.

Industri filem Iran cukup jelas tentang perkara ini dan itulah yang dilahirkan jika mereka yang terlibat di dalamnya cukup terdidik dan memahami setiap ‘semantik’ tersurat dan tersirat industri perfileman di seluruh dunia. Filem bukan hanya untuk hiburan dan menonton artis cantik dan peluang bagi penerbit membuat duit tetapi ia tentang pemameran sosio-budaya-politikal dan semua aspek kehidupan sesuatu masyarakat. Iran yang dulu dikenali sebagai Parsi punya cukup ramuan kedalaman intelektual dan sejarah ketamaddunan tinggi yang cukup lama dan terkenal untuk menitiskannya kepada pemikiran generasi pembikin filem masa kini. Dan seluruh dunia mengetahui dan mengakuinya.

Di akhir percakapan kami saya ucapkan selamat berjaya dan berharap filem beliau yang berikutnya akan menang dan mengembalikan kegemilangan industri filem Iran ke tempatnya. Dan Filem Majid Majidi yang diterjemahkan sebagai ‘The Song of Sparrow’ (Avaz –E Gonjeshk –Ha) menang di Festival Filem Berlin yang lalu dengan mendapat Silver Bear bagi pelakon lelaki terbaik. Saya yakin telah ‘meluka-senikan’ (istilah Pak Samad Said) Majid Majidi dengan soalan saya beberapa tahun lalu dan kemenangan ini sesuatu yang saya jangkakan dan amat membahagiakan.

Song of Sparrow mengisahkan seorang pekerja di ladang ternakan burung unta di pinggir bandar Teheran bernama Karim. Seorang suami dan bapa kepada tiga orang anak walau pun penyayang dan komited kepada keluarganya tetapi cukup panas baran, kurang sabar kedekut serta sukar menerima pandangan orang lain. Dan kehilangan alat pendengaran anak gadis suntinya yang akan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi membawa berbagai rentetan peristiwa yang cukup mengesankan kehidupannya.

Kehilangan seekor burung unta di ladang tempat dia bekerja berakibat dengan beliau dibuang kerja. Dan secara kebetulan sewaktu berada di kota metropolis Teheran yang sedang pesat membangun (walau pun satu dunia tahu Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya mengenakan sekatan ekonomi ke atas negara ini) Karim mendapat sumber rezeki baru yang cukup lumayan dengan membawa pembonceng dan barang-barang di belakang motosikalnya. Kesesakan lalu-lintas dan kesibukan Kota Teheran memberi peluang rezeki kepada Karim serta orang-orang lain yang mempunyai motosikal sepertinya.

Berbagai pengalaman baharu dilaluinya dan banyak nilai tradisional kampung serta kekeluargaan Karim yang bertembung dengan nilai-nilai bandar yang mencabar kejujuran serta kemurnian hati serta pemikiran beliau. Dan inilah kekuatan filem-filem Majid Majidi sejak dahulu yang mempamerkan pertembungan nilai tradisional dan agama dengan nilai-nilai materialisme dan individualisme yang ada kalanya menjadi barah dalam kehidupan, spiritualiti serta akidah manusia. Ada kalanya dalam hidup ini kemewahan dan kesenangan harta benda bukanlah segala-galanya kepada orang lain jika nilai intrinsik kita tidak sehebat mana.

Seprti kata Majid Majidi teknologi yang digunakan oleh filem-filem Iran hampir 25 tahun terkebelakang daripada filem barat tetapi seperti yang diketahui di seluruh dunia juga skrip, penceritaan dan sudut kamera filem mereka cukup artistik dengan kedalaman intelektual yang memukau dan cukup halus. Walau pun ia nampak mudah dan tidak sofistikated, tetapi punya bahasa filem yang cukup kuat dan jelas.

Contohnya dalam filem ini ada syot cantik Karim sedang bersolat di depan pintu keluar sebuah rumah besar. Tuan rumah tersebut yang berada di dalam kereta dengan keluarganya terpaksa menunggu sehingga beliau selesai solat sebelum dapat keluar. Karim tidak dimarahi kerana insiden tersebut sebaliknya segelas teh diletakkan di tepi kadbod yang digunakannya sebagai sejadah. Amat menyentuh sekali.

Terima kasih kepada sirkit pawagam yang cukup perihatin menayangkan filem seperti ‘Song of Sparrow’ ini kerana walau pun hanya beberapa kerat filem terbaik Iran yang ditayangkan, tetapi ia cukup bermakna untuk mendidik penonton melaluinya. Setiap kali menonton filem Iran, saya sering bertemu penonton dari berbagai bangsa yang dapat mengapresiasi filem sebegini. Bila ditanyakan seorang penonton warga emas berketurunan Cina menyatakan beliau tidak pernah lepas menontonnya kerana filem Iran cukup dalam, filosofikal dan mendidik manusia dengan cara yang cukup halus tanpa perlu ditakuti ianya bertujuan mengembangkan agama Islam.

Salut kepada pembikin filem seperti Majid Majidi!