Wednesday, July 21, 2010

PUISI TERKINI

KEPADA YANG BERKENAAN

Di awal perjalanan
telah ku katakan
ia bakal mempamer siapa kita
hati budi
kejujuran
keimanan
dan segala yang tak tercoret di wajah

dan hari ini
kita berdua telah tau jawapannya
patutlah
engkau berada di lembah itu
terluka dan di selimuti kecewa
walau
kerlipan permata pakaian mu
dan aku masih di sini
meneruskan langkah
yang kata mereka semakin gagah
dan tak pernah peduli dengan lagak badut mu

engkau telah cuba
mengaibkan ku
dengan putar lidah yang terlalu biasa
serta kelicikan siasah yang menjijikkan

pada mulanya sangka ku
dinding ego yang kau bina untuk menghina ku
adalah laut yang memisahkan kita
tapi tersilap aku rupanya
kerna duduk mu di lembah berlumpur
dan dari atas puncak ini
tangan ku tak tercapai jemari mu
sedang semakin nanar engkau
dalam racau rajuk tak bertepian

maaf
bukan niat ku menghambur penghinaan
tapi begitulah akhirnya
perjalanan ini
mempamer wajah
mempamer urat
mempamer nadi
mempamer hati nurani
dan paling penting mempamer rendahnya harga diri
kerna setiap saat
yang kau buru hanyalah keuntungan
dan kerna itu
pernah kau cuba membunuh ku
tapi Dia punya rencana lain
kebenaran yang ku cari
kebenaranlah yang ku temui
dan jalan sukar yang ku lalui ini
rupanya permata berkilauan menaburinya
dihambur oleh Nya
kepada ku di puncak ini
walau aku tak pernah memintanya

ketahui lah engkau
aku tak terluka sedikit pun
kerna aku hanya mencari kebenaran
bukan diri mu yang ku dambakan
dan harga diri cukup penting buat ku
sedangkan ianya terlalu murah buat mu
seperti 1000 kerut di wajah mu.


KU PERLUKAN RUANG ITU

Berikan ku
sedikit ruang
sedikit waktu
buat menghela nafas panjang
dan menghembuskannya
perlahan-lahan

berikan ku
sedikit ruang
sedikit waktu
buat merasakan nafas bebas
sedang kita sentiasa tau
kau tak pernah jauh dari ku
dan tak pernah melepas pandang

berikan ku
sedikit ruang
sedikit waktu
buat ku benar-benar
merasakan kehadiran mu
dan perlahan-lahan
menggengam tangan mu
yang telah lama kau hulurkan
dan walau pun ia tidak ku sambut ketika itu
tangan itu tak pernah
kau tarik kembali
mungkin ada gerak hati
dan engkau dapat membaca
bahawa satu hari nanti
jemari itulah yang akan ku genggam
dan segala perasaan bersalah
di wajah mu
pasti segera hilang
kerna tau mu
kau telah ku maafkan

mungkin pertemuan kala kalut tsunami di negeri leluhur
punya banyak keberkatan
kerna kita sama-sama
menyedut udara kemanusiaan
dan Dia yang cinta kepada kehalusan
kemurnian hati nurani
kerendahan hati manusiawi
membuat keputusan
kalian harus bersama!

Ah! nanar aku selama ini
berputar mencari kejujuran
dan topeng lama yang masih terlekap itu
menipu mata ku
sedang engkau tetap di situ
menanti penuh sabar
ketibaan ku

Kajang – 20 Julai 2010.





Friday, July 16, 2010

MESYUARAT AGONG GAPENA

GAPENA DAN GAZA

Tahniah diucapkan kepada Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein serta semua yang telah terpilih semula dalam pemilihan Ahli Jawatan Kuasa GAPENA sesi 2010-2012 yang lalu. Apa pun ribut serta cubaan ‘membikin ribut’ oleh orang-orang tertentu untuk melihat Tan Sri Ismail Hussein dikalahkan dan dipaksa berundur saya kira bukannya senang nak menundukkan seorang pendeta (gelaran yang diberikan oleh pemerintah Riau kepada Ketua 1 GAPENA ini)! Selama 39 tahun GAPENA telah dipimpin oleh seorang Sarjana Sastera Melayu yang ulung, berwibawa dan dengan visi yang cukup jelas dan bijak. Beliau mungkin tidak banyak menulis buku sastera atau apa juga genre tetapi entah berapa banyak kerta kerja dll kertas akademik yang telah dihasilkannya dengan pandangan serta pendapat paling bernas tentang survival Dunia Melayu.

GAPENA hari ini merupakan satu-satunya NGO paling kuat dan berpengaruh jaringan dengan Dunia Melayu nya di seluruh dunia. Indonesia dengan penduduk lebih daripada 230 juta orang Melayu pun tidak ada NGO sastera dan kebudayaan yang mencapai kedudukan seperti GAPENA kata beberapa pelawat tetap dari sana.. Ramai sahabat dari Indonesia, Brunei, Singapura dll sering berkata mereka berasa begitu dekat antara satu sama lain melalui jaringan Dunia Melayu GAPENA. Terima kasih kepada Tan Sri Ismail Hussein serta AJK nya semenjak dulu lagi yang begitu dedikasi, fokus serta tidak henti-henti mewujudkan jaringan di seluruh dunia.Jadi sesiapa juga yang teringin memimpin GAPENA harus ‘waras’ dan ukurlah baju di badan sendiri!

Mungkin ada orang yang skeptis tentang kepimpinan GAPENA dan merasakan Tan Sri Ismail sudah terlalu lama dalam GAPENA. Saya tidak nafikan ada lagi perjuangan GAPENA yang belum tercapai tetapi tidak juga dinafikan ada orang yang masih ‘meleleh air liur’ dan ‘mengidam’ untuk menguasai GAPENA kerana kekuatan jaringannya. Bayangkan menjadi pemimpin NGO dengan 23 buah badan kerabat dari seluruh Malaysia yang terdiri daripada penulis dengan jumlah keseluruhan ahli dalam lingkungan 15,000 orang. Suatu kumpulan manusia yang besar dengan pengaruh yang ‘potent’ kerana mata pena itu lebih tajam dari mata pedang!

Sebelum Mesyuarat Agongnya GAPENA yang bekerjasama dengan ATMA UKM dan Pusat Warisan UITM telah mengadakan Persidangan Warisan Melayu di IndoChina dengan sokongan kuat Royal Academy of Cambodia. Bertempat di Phnom Penh, ramai pembentang kertas kerja dari Malaysia, Singapura, Kemboja, Laos dan Vietnam bertemu dan berbincang dan bercakap tentang Warisan Melayu dengan jayanya. Datuk Mior Kamarul Shahid Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian turut sama membentangkan kertas kerja beliau di Phnom Penh.

Pun begitu ada orang yang cukup sinis dan menyamakannya seperti pergi ke Gaza! ‘Rakyat Malaysia pun tak terjaga, kenapa kita nak sibuk-sibuk pergi tolong orang di Kemboja, Laos dan Vietnam semua?’ Begitulah lebih kurang konotasi pengertian puak yang menyamakan Persidangan di Phnom Penh itu seperti pergi ke Gaza! Sayang seribu kali sayang, hanya orang yang tidak benar-benar menghayati ajaran Islam sahaja yang akan berkata begitu. Islam menganjurkan persaudaraan seagama dan ada hadis yang mengatakan tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia memberi makan jiran atau saudaranya yang kelaparan!

Apa pun terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung kepada kelicinan proses pemilihan AJK GAPENA baru yang menyaksikan kelangsungan kepimpinan lama dan menghasilkan stabiliti amat perlu untuk kesinambungan perjuangan nasionalisme Melayu. Rakan-rakan di media terutamanya paling banyak membantu dan ucapan terima kasih daun keladi diucapkan. Perbualan saya dengan beberapa orang AJK GAPENA mereka amat yakin kerjasama erat dengan media terutamanya Kumpulan Media Prima dan Kumpulan Utusan seumpama ‘perkongsian pintar’ yang sangat bermakna dan amat diperlukan.

Kepada Datuk Ahmad Talib dan Datuk Aziz Ishak, ribuan terima kasih saya ucapkan dan pertanyaan apalah GAPENA tanpa sokongan media? Semoga Tuhan memberikan kita semua kekuatan dan keupayaan untuk meneruskan perjuangan dan menghadapi segala cabaran. InsyaAllah.

Thursday, July 8, 2010

GAZA OH GAZA!

Entah berapa kali mereka bertanya
kalian berpuisi untuk apa?
bolehkah ia menentang peluru fosforus dan kereta kebal Israel
dapatkah ia menundukkan zionis?

dan entah berapa kali
ku katakan kepada mereka
api yang menyala itu
bermula dengan rasa
bertukar menjadi semangat
sama seperti kita
yang duduk-duduk berpuisi
melantun rasa ke seluruh pelusuk
bukan kerna itu saja yang dapat kita lakukan
tapi itulah mula dan akhir segalanya

Gaza dan Gaza lagi
citra luka mu di musim yang lalu
menemukan aku dengan seorang pengembara
yang ku kira sedang mencari dirinya sendiri
kalau pun tidak melarikan lukanya
dan darah merah mu
membuat aku terus bersamanya
dan hari ini
tanpa ku sedari
duka derita mu
membuat kami terus di sini

Gaza oh Gaza
darah dan air mata mu
membuat aku lupa seketika
dengan air mata dan luka ku sendiri
kembara di tanah bonda
yang mencengkam hati nurani
walau ia sudah berbelas tahun lamanya

kata mereka
ini sindrom Diana Spencer
yang melarikan diri dari luka sendiri
dalam jejak begitu sedikit demi sedikit memadam lukanya

ah! aku tak pernah peduli semua itu
kerna luka tetap luka
tidak kira seorang ibu tua
yang kehilangan anak mudanya di lorong berdarah di Gaza
mau pun perempuan itu yang cukup terparut hidupnya
dalam tawanan proksi Israel
dan dia tinggal di pinggir Kuala Lumpur cuma


Gaza oh Gaza
kau temukan daku dengannya
seorang pengembara
yang ku kira kini telah menemui jalan pulang
dan cinta kepada kemanusiaan
membawa kami bersama menghulur titis kasih
kepada mereka yang memerlukan

Gaza oh Gaza
luka mu dan luka ku
bertemu akhirnya
dan ia menjadikan aku tidak lagi penuh pertanyaan
kerna mereka yang sentiasa memberi
tidak pernah merasa kekurangan
tapi cukup sekadar kalian menerimanya begitu
buat menutup bicara dan pengertian

Gaza oh Gaza
luka kita bersatu
rupanya jejak-jejak itu
menuntut pengertian penyerahan dan penerimaan
akan takdir dan ketentuan Nya

dan di titik ini
terantuk dan tersedar lagi aku
bahawa jalan itu tak pernah mudah seperti jalan yang lurus
dan sukarnya memahami
makna tangisan seorang bayi waktu dilahirkan
yang menyedari bahwa hidup ini
adalah percaturan dan permainan Nya semata
dan siapa kita mahu menafikan
apa yang telah tercatat di loh mahfuz selama ini?

Tuhan ku
Alhamdullilah!


Rumah PENA – 2 Julai 2010.