Monday, November 30, 2009

Nik Aziz Buat Hal Lagi.

Dah lama saya tidak menulis di blog kerana berbagai perkara yang perlu difikirkan. Dan bila duduk diam seketika, berfikir dan memerhati apa yang berlaku dan tidak berlaku di sekeliling kita kadang kala lebih banyak mendatangkan 'jawapan' kepada banyak persoalan. Pun begitu, saya dari jenis yang tidak boleh diam lama. Malah sejak kecil saya memang dikenali sebagai anak yang tidak boleh duduk diam! Wallahu Alam tuhan saja yang mengetahui kenapa saya jadi begitu!!

Pun begitu, kebelakangan ini kontroversi tentang Mursyidul Am PAS Dato Nik Aziz timbul lagi. Dan benar seperti kata seorang lagi 'adik' saya yang mengakui dia orang PAS dan sering menulis dalam Harakah bahawa kebelakangan ini Tok Guru lebih banyak mendatangkan masalah kepada orang Islam di negara ini. Malah banyak lagi kata-kata beliau yang kurang manis jika dituliskan di sini dan saya tak sampai hati nak meletakkannya. Apa pun saya memahami 'kekecewaan' adik saya ini dan sememangnya merasakan Nik Aziz banyak buat hal kebelakangan ini. Terakhir, beliau mendoakan Allah membukakan hati PM untuk memberi royalti minyak kepada Kelantan atau memusnahkan PM.MasyaAllah. Islam tidak pernah menyuruh kita berdoa yang tidak baik kepada sesiapa pun walau pun hidup kita mungkin tonggang terbalik oleh kekejaman dan kezaliman manusia lain kepada kita.

Apa sudah jadi Tok Guru? Islam jenama apa yang nak dibawa? Jenama manusia pendendam dan pemikiran yang kacau tapi bertopengkan Islami? Nik Aziz begitu tertekan agaknya kerana berbagai isu menghantui beliau dan keluarga beliau, PAS dan juga tekanan dari dalam dan luar Pakatan Pembangkang sendiri. Baru-baru ini saya berbual dengan sahabat-sahabat di GAPENA dan kami sependapat bahawa masalah PAS sekarang kerana ada orang lain yang membuat parti itu jadi begini. "Pas tak kan jadi begitu, kalau tak ada orang yang mencelah!" begitu kata Prof. Zainal Kling yang sememangnya vokal terhadap parti ini.

Di celah-celah kami ketawa kerana seorang sahabat kami yang cukup populer sedang 'dipancing' oleh pihak tertentu untuk memasuki PAS, kami semua merasa cukup cemas dengan perkembangan mutakhirnya, kerana parti yang memperjuangkan kepentingan Islam dan Melayu ini semakin kuat badai yang ditempuhnya oleh perbuatan orang yang tidak mahu melihat parti ini berkerja-sama dengan UMNO untuk kepentingan Melayu dan Islam di negara ini.Orang yang tidak mahu Melayu bersatu-padu. Orang itu sudah berjaya memecah-belahkan UMNO sehingga keadaannya begini sekarang, kalau dia terus dibiarkan tidak mustahil PAS juga akan menjadi mangsanya. Doa saya, semua orang Islam dan Melayu memahami dan mengenali siapa kawan dan siapa musuh mereka yang sebenar!!

'Close encounter' denganTembok Berlin

Sudah 10 tahun Tembok Berlin diruntuhkan. Sebagai ikon penting Perang Dingin dan menimbulkan banyak nostalgia kepada ramai orang, saya mempunyai kenangan sendiri tentangnya. Sewaktu Tembok Berlin nak diruntuhkan, saya berada di Stirling, Scotland. Beberapa minggu sebelum perkara itu berlaku saya dan beberapa orang penulis dari berbagai negara Asia, Eropah dan Afrika yang menuntut di Universiti Stirling berjumpa dan berbual di Mc Roberts Library. Desas desus yang kami dengar ketika itu cukup kuat mengatakan sesuatu yang cukup drastik dan bersejarah bakal berlaku. Ramai di antara kami yang sudah mengagak bahawa Komunisme akan berkubur tidak lama lagi.

Beberapa hari kemudian seorang penulis dari Mesir memberitahu saya bahawa Vaclav Havel penulis drama tersohor dari Czechovslovakia (kemudiannya menjadi Presiden Czech yang pertama) menjemput kami untuk pergi ke Budapest dan dari situ akan dibawa ke Berlin kerana ada perkara penting yang akan berlaku. Kumpulan kami cukup teruja dan masing-masing bersiap sedia apalagi kerana mendapat jemputan Vaclav seorang penulis yang terkenal di seluruh dunia.Semua orang menghubungi Kedutaan masing-masing untuk mendapat kebenaran. Saya juga tidak ketinggaalan dan menghubungi seorang pegawai yang sudah saya lupa namanya di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi kita di London untuk meminta kebenaran dan visa ke Budapest.

Dua hari kemudian saya menghubungi London sekali lagi untuk mendapat jawapannya dan amat kecewa kerana diberitahu visa untuk rakyat Malaysia tidak akan dikeluarkan untuk saya walau pun kami dijemput oleh orang seperti Vaclav Havel sekali pun atas isu keselamatan. Semua kawan-kawan penulis saya pergi ke Budapest dan menjadi tetamu Vaclav dan menyaksikan Tembok Berlin diruntuhkan. Dan tidak ada apa pun yang tidak baik berlaku kepada sesiapa pun sewaktu peristiwa ini terjadi. Agaknya kalau saya mendapat kebenaran hari itu, mungkin saya merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang menyaksikan peristiwa bersejarah itu. Kadang-kadang birokrasi sememangnya tiada bermata dan bertelinga selain daripada tidak dapat bertindak atas dasar empati. Begitulah birokrasi namanya!

0 comments: