Sunday, November 8, 2009

Lembing Awang Pulang ke Dayang Patut di Bawa Ke Istana Budaya

Seorang pembaca reviu filem Lembing Awang Pulang ke Dayang yang tersiar dalam Berita Minggu semalam menghubungi saya dan mencadangkan skrip ini harus diadaptasi kepada teater dan dipentaskan di Istana Budaya. Saya amat bersetuju dengan cadangan tersebut malah dalam reviu asalnya saya cadangkan begitu juga. Sememangnya skrip ini cukup baik dan penceritaannya 'gripping'. Saya membayangkan pementasannya yang cukup spektakular, teatrikal dan mempunyai kedalaman intelektual yang cukup hebat. Cerita serta karya yang diangkat dari kisah benar ini cukup besar dan penting dalam wacana sejarah kita untuk dijadikan suatu teks yang memukau disamping kita bercakap tentang nasionalisme dan patriotisme serta penjajahan Belanda yang jarang sekali disentuh dalam apa juga genre kesenian kita.

Lembing Awang Pulang ke Dayang bukan sahaja bercakap tentang tragedi percintaan dan pertunangan dan bukan saja mempamerkan perang psikologi yang bertukar menjadi perang fizikal kerana situasi buah hati kekasih orang. Ia juga bukan sahaja bercerita tentang kegelapan hati budi manusia yang tamak, kurang pertimbangan akal dan keimanan sehingga sanggup bersekongkol dengan lanun yang kekuatannya bersumberkan ilmu hitam dll. Skrip filem ini memuatkan segala aspek dan milieu masyarakat Melayu Nusantara. Paling penting, ia mengungkap citra Dunia Melayu yang dijerut dan diperkotak-katikkan oleh penjajahan Barat di abad ke 18.

0 comments: