Tuesday, October 27, 2009

Reviu singkat Muzikal Cuci

Semalam saya menonton Muzikal Cuci di Istana Budaya. Sewaktu makan di kafeteria IB saya bercakap dengan Dt.Zahim Al Bakri pengarah muzikal ini. Saya memohon maaf kepada beliau kerana tidak dapat menghadiri pratonton media yang jarang tidak saya hadiri kerana ada urusan lain sewaktu ianya dibuat minggu lalu. Saya juga katakan saya perlu menonton sekali lagi kalau mahu membuat reviu penuh tapi beliau meminta saya coretkan sedikit dalam blog ini secepat mungkin. 'Sikit pun jadilah' katanya. Ok Dt. Zahim saya tuliskan juga kerana tak sampai hati nak biarkan anda menunggu lama kerana ada beberapa artikel saya yang sedang menunggu penyiaran di akhbar.

Pada asasnya Muzikal Cuci jauh lebih baik 'pace' nya dari yang terakhir diarahkan oleh Zahim Albakri iaitu Muzikal P.Ramlee. Ada 'ruang' untuk bernafas dalam istilah teaternya untuk memberikan segala lontaran, lonjakan dan 'upheaveal' emosi skrip, lakonan dan segala elemen teater lain untuk 'sink' ke pemikiran penonton. Tahniah Dt. Zahim dan semua yang terlibat dengan pementasan Cuci. Teater adaptasi dari filem dengan tajuk yang sama ini sedikit panjang dan sangat 'pop' pendekatannya jadi ramai orang yang menonton merasa terhibur dengan adegan serta dialog lucu yang dituturkan. Ramai yang boleh pertalikan emosi dan pengalaman hidup mereka dengan apa yang ditonton dan itu mungkin kunci kepada iannya begitu menghiburkan.

Kalau dalam Mana Setangginya ada adegan pari-pari terbang penuh fantasi , dalam teater Cuci ada pula adegan romantis di atas gondola pencuci tingkap bangunan tinggi dan peraduan mencuci dari kiri kanan pentas di paras siling. Sebelum itu ada adegan drift atas pentas. Ada 'perlumbaan' kreativiti, inovasi dan keberanian mencabar konvensi yang tidak saya sedari kah? Soalan nakal ini entah mengapa timbul di benak saya. Pun begitu bagi orang macam saya, ada kalanya menonton sedikit unsur slapstik dalam muzikal ini mengganggu konsentrasi saya. Ok. Saya dah tunaikan hajat Dt.Zahim. Terima kasih kerana memberikan muzikal yang menghiburkan.

0 comments: