Sunday, October 18, 2009

Sisters In Islam dan bayi-bayi yang dibuang.

Kebelakangan ini semakin banyak tersiar berita tentang pembuangan bayi baru lahir yang amat menyayat hati membaca atau menontonnya di kaca televisyen. Orang-orang Arab Jahiliah dahulu menanam anak-anak perempuan yang baru dilahirkan, tetapi orang 'moden' sekarang membuangnya di tempat pembuangan sampah, di tangga masjid dan surau dll. Sehingga ke hari ini belum ada kenyataan yang dibuat oleh Sisters In Islam (SIS), tentang perkara sebegini walau pun mereka mendakwa berjuang atas dasar memartabat wanita. Sehingga kini juga saya tidak mendengar apa juga cerita tentang program sokongan terhadap wanita yang mengandungkan anak di luar nikah mahu pun tindakan-tindakan lain membela golongan ini. Maafkan saya jika tersilap dan saya tarik balik kenyataan ini sekiranya saya tidak mengetahui ianya telah dilakukan oleh pihak SIS .

Beberapa bulan yang lalu ketika berbual dengan Pengerusi PERKIM Negeri Sembilan Datuk Hajah Siti Rahmah Kassim yang juga merupakan Ketua Penerangan Kaum Ibu UMNO yang pertama, beliau menyatakan kepada saya pihak PERKIM Negeri Sembilan mengambil tindakan
memberikan perlindungan dan kaunseling kepada mereka yang telah tersilap jalan ini sehingga mereka melahirkan kandungan dan juga menguruskan proses mengambil anak angkat kepada mereka yang memerlukannya dan tidak membiarkan bayi-bayi yang tidak bernasib baik ini terbiar tanpa pembelaan. Soalan saya amat mudah, kenapa SIS tidak mengambil apa-apa tindakan seperti ini jika mereka benar-benar mahu memartabatkan kedudukan wanita dan berjuang untuk hak wanita?

PERKIM Negeri Sembilan tidak bising-bising tentang apa yang mereka lakukan, tetapi sedikit sebanyak mereka telah berjaya tidak membiarkan bayi-bayi yang tidak berdosa ini. Jika mahu meneruskan penggunaan nama Islam dalam pertubuhan mereka, ahli-ahli SIS semua mungkin perlu mendalami pengetahuan tentang agama Islam dan memperbetul strategi dan tindakan mereka dalam membela wanita Islam. Selamat Berjaya saya ucapkan.

0 comments: